Categories
NASIONAL

Gesa tubuh suruhanjaya kanak-kanak

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Kerajaan Persekutuan digesa menubuhkan suruhanjaya kanak-kanak yang berfungsi untuk mengkaji perkahwinan kanak-kanak bawah umur dan isu lain berkaitan golongan itu.

Presiden Badan Peguam Malaysia George Varughese berkata, suruhanjaya itu perlu diketuai seorang pesuruhjaya yang mempunyai kuasa untuk menangani isu seperti kekurangan dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta kekurangan penjagaan kanak-kanak dalam sistem keadilan juvana dan kebertanggungjawaban pelbagai agensi yang menangani isu kanak-kanak.

“Katanya, seramai 10,240 lelaki Islam memohon untuk menikahi kanak-kanak, manakala dari kalangan bukan Islam pula sebanyak 7,719 permohonan dari tahun 2000 hingga 2014 untuk berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia antara 16 dan 18 tahun.

“Statistik ini tidak dapat diterima dan harus membangkitkan kesedaran tentang betapa seriusnya isu itu. Semua perkara dan keputusan diambil berkaitan kanak-kanak mesti mengambil kira kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai yang perlu diutamakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes perkahwinan seorang lelaki 41 tahun dengan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun.

George berkata, pihaknya turut berharap supaya kerajaan dapat melaksanakan pembaharuan undang-undang dan mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesan buruk perkahwinan bawah umur.

Katanya, hal itu kerana kesan buruk itu akan mengakibatkan kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak serta terdedah kepada risiko terhadap penderaan domestik dan seksual.

Beliau berkata kerajaan juga mempunyai obligasi untuk memastikan pembangunan dan perlindungan yang sihat kepada semua kanak-kanak di negara ini berdasarkan penerimaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Beliau turut mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bahawa perkahwinan itu adalah tidak sah, beliau turut mendedahkan data berkaitan isu berkenaan.