Categories
AGENDA NASIONAL

Pengambilan tembakau, alkohol berlebihan punca utama cetus barah

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Pengambilan tembakau adalah antara faktor utama pencetus kanser iaitu penyakit utama yang menyebabkan kematian di hospital swasta dan kerajaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kanser menyumbang kepada 34.95 peratus penyebab kematian di hospital swasta dan penyebab kematian keempat tertinggi di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu 11.56 peratus.

Beliau berkata kanser juga merupakan antara 10 sebab utama kemasukan ke wad di hospital KKM (5.17 peratus) dan hospital swasta (5.37 peratus).

“KKM melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus atau 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016, berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

“Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia hari ini.

Tiga jenis kanser paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus), manakala dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus), diikuti kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyatakan bahawa satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan dan pengambilan alkohol berlebihan, kurang pengambilan sayur dan buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal.

Sehubungan itu, Khairy menyeru orang ramai agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan mengutamakan penjagaan kesihatan diri dalam kehidupan harian.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Rawatan imunoterapi berita baik untuk pesakit barah

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Pandemik Covid-19 yang masih melanda negara turut memberi kesan kepada pengurusan kanser paru-paru di banyak hospital, baik dari segi saringan kepada diagnosis hinggalah kepada rawatan.

Memandangkan hospital di seluruh negara terpaksa menangguhkan atau membatalkan prosedur perubatan tertentu kerana pengendalian kes Covid-19, keadaan ini pastinya mengganggu penjagaan pesakit kanser.

Dalam situasi ini, pesakit kanser secara umumnya dan mereka yang menderita kanser paru-paru sudah tentu akan menanggung akibat kerana keadaan diri mereka serta penjagaan yang diperlukan, terjejas.

Bagaimanapun, Naib Presiden, Rangkaian Kanser Paru-Paru Malaysia, Dr Tho Lye Mun berkata, dalam zaman kemajuan serta inovasi perubatan, kanser bukan lagi satu hukuman mati memandangkan terdapat pendekatan inovatif untuk rawatan kanser.

“Dengan mengkaji setiap pesakit secara teliti, kami boleh mengenal pasti rawatan yang sesuai untuk setiap pesakit dan tidak lagi mengambil pendekatan trial-and-error,” kata beliau pada forum media maya mengenai ‘No Patient Left Behind: Improving Lung Cancer Care in Malaysia’, anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) baru-baru ini.

“Sebagai contoh imunoterapi. Ia adalah cara inovatif baharu untuk menggunakan sistem imun pesakit bagi melawan kanser,” tambahnya.

Menurut Dr Tho, terdapat kajian yang menunjukkan pesakit yang menerima imunoterapi mempunyai kadar kelangsungan hidup sebanyak 32 peratus dalam tempoh lima tahun jika menerima rawatan imunoterapi.

“Ini menunjukkan perubahan paradigma, dan bukan setakat itu sahaja, pesakit berkenaan juga mampu mengekalkan kehidupan yang berkualiti dan hidup bertahun-tahun lamanya di samping keluarga dan orang tersayang.

“Ubat-ubatan tertentu mungkin memerlukan perbelanjaan yang tinggi tetapi anda mungkin dapat manfaat jangka panjang, ” tambahnya.

Dr Tho yang mengakui bahawa akses kepada imunoterapi mungkin terhad, menyeru sektor awam dan swasta untuk berganding bahu serta membuat “penilaian yang bersungguh-sungguh” mengenai manfaat kos bagi setiap rawatan.

Ini, katanya, adalah untuk memastikan setiap rawatan boleh memanjangkan umur, tetapi bukan mengorbankan kualiti kehidupan.

Diagnosis lewat

Menurut Kajian Malaysia Mengenai Kelangsungan Hidup Kanser (MySCan), kelangsungan hidup untuk tempoh lima tahun bagi pesakit kanser paru-paru adalah hanya 11 peratus berbanding kanser prostat (73 peratus) sementara kanser payudara, 67 peratus.

“Faktor utama untuk keadaan ini adalah diagnosis lewat. Kira-kira 80 peratus pesakit kanser paru-paru didiagnos pada tahap empat, yang berbeza sungguh berbanding kanser payudara yang kebanyakannya didiagnos pada tahap awal.

“Covid-19 adalah penyebab utama kepada diagnosis lewat kanser di Malaysia, memandangkan kemudahan kesihatan awam terpaksa digunakan untuk merawat pesakit Covid-19, ” tambah Dr Tho, yang juga ahli onkologi klinikal.

“Pembedahan elektif yang perlu dirujuk kepada hospital lain ditangguhkan dan sudah tentunya, unit kanser yang sedia menghadapi banyak tekanan.

“Kebanyakan kes yang tidak didiagnos mempunyai akses yang lewat untuk biopsi dan imbasan diagnostik,” keluh beliau.

Dr Tho berkata, meskipun ada pesakit kanser yang dimasukkan ke hospital swasta untuk mengurangkan beban kemudahan penjagaan kesihatan awam, pesakit berkenaan masih kekal sebagai ‘minoriti’ kerana kebanyakan mereka masih tidak mendapat akses kepada platform rawatan yang betul.

“Pesakit kanser atau pesakit yang mempunyai gejala kanser di hospital, mungkin enggan untuk mendapatkan rawatan perubatan kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

“Pada pandangan saya, dalam beberapa hal, keadaan ini mungkin menyebabkan kelewatan untuk mengesan serta merawat kanser pada tahap awal, ” katanya, sambil menambah, antara gejala awal kanser paru-paru ialah batuk yang berterusan, batuk berdarah, hilang berat badan, sakit dada dan jangkitan paru-paru yang berulang.

Menurut beliau, laporan Daftar Pesakit Kanser Kebangsaan (NCPR) mungkin tidak menyatakan kesan Covid19 ke atas pesakit kanser untuk beberapa tahun akan datang kerana data ini dibentangkan setiap lima tahun sekali.

“Kemungkinan lebih ramai pesakit yang menunjukkan kepada kami penyakit yang lebih advance berbanding yang kami lihat sebelum berlaku wabak Covid-19, ” katanya.

Sementara itu, pengarah perubatan NCSM, Dr M. Murallitharan berkata, epidemik semasa adalah penghalang utama untuk pesakit kanser yang pesakit yang berpotensi menghidap kanser mendapat akses kepada perkhidmatan hospital agar dapat didiagnos lebih awal.

“Pembedahan hampir tiada langsung di kebanyakan hospital kerajaan pada masa ini, kerana semua bilik pembedahan digunakan sebagai unit rawatan intensif bagi kes Covid-19.

“Sekiranya mereka tidak buka kembali bilik pembedahan, mungkin tidak ada peluang untuk merawat dan mengawal tahap kanser paru-paru dan keadaan pesakit terhenti di situ, ” katanya.

Menurut Dr Murallitharan, semasa pandemik Covid-19, kekeliruan mungkin timbul antara gejala awal kanser paru-paru dengan gejala Covid-19 yang mungkin menyumbang kepada diagnos lewat kanser paru-apru.

“Gejala kanser paru-paru mungkin serupa dengan Covid-19, jadi mereka membuat ujian polymerase chain reaction (PCR) dan bila kesannya negatif, mereka berasa gembira dan tak buat apa-apa lagi.

“Tapi ia mungkin gejala kanser paru-paru dan mungkin tiga atau empat tahun akan datang, mereka akan melihat diagosis lewat (kanser paru-paru) . Kita mungkin terpaksa menangani keadaan ini untuk beberapa tahun, ” katanya.

Perkongsian awam-swasta

Bagaimanapun, menurut Dr Murallitharan, tidak ramai pesakit akan mendapat manfaat daripada rawatan inovatif, seperti imunoterapi di Malaysia kerana kos yang tinggi serta sumber yang terhad dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Hanya mereka yang mempunyai liputan insurans yang baik serta diirawat di hospital swasta akan mendapat akses kepada rawatan seumpama ini, tetapi di hospital kerajaan, aksesnya terhad dan sebahagian besarnya kerana isu kewangan, ” katanya.

Ketua Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, lewat berjumpa doktor bukan sahaja menghalang pesakit kanser daripada mendapat rawatan yang berkesan tetapi juga mengehadkan pilihan rawatan dalam ketika penyakit mereka mula merebak.

Menurut beliau, sektor awam perlu melabur dalam rawatan inovatif kanser memandangkan 70 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses kepada sistem kesihatan awam.

Sebagai contoh, beliau berkata, semasa pandemik, kedua-dua sektor kesihatan awam dan swasta bekerjasama melawan penularan Covid-19 dengan meminimumkan birokrasi dan berkongsi sumber.

“Untuk kita bergerak ke hadapan, kita perlu mencari jalan untuk memperbaiki cara membiayai sistem penjagaan kesihatan kita dan memastikan semua orang membuat sumbangan dan semua boleh mendapat manfaat.

“Untuk itu, sektor kesihatan awam dan swasta jangan menjadi dua sistem yang bersaing antara satu sama lain. Kedua-duanya perlu bekerjasama untuk menangani jurang dalam perkhidmatan yang disediakan, ” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rawatan imunoterapi, kaedah pilihan rawat kanser

MELAKA, 28 JUN: Jika sebelum ini rawatan imunoterapi merupakan kaedah efektif merawat kanser kulit atau melanoma, namun ia kini digunakan secara meluas untuk pelbagai penyakit kanser antaranya paru-paru dan payudara.

Pakar Onkologi Hospital Pantai Ayer Keroh Dr Abel Zachariah berkata imunoterapi merupakan rawatan alternatif baharu bagi merawat pesakit kanser selain rawatan konvensional melalui kaedah kemoterapi yang kerap digunakan bagi mengawal sel kanser daripada merebak.

Beliau berkata sekiranya imunoterapi digandingkan bersama kemoterapi untuk merawat pesakit kanser misalnya kanser paru-paru, ia boleh memberi kesan lebih efektif bagi mengawal sel kanser seterusnya pesakit dapat menikmati jangka hayat yang lebih panjang.

“Kedua-dua rawatan ini bertindak balas dengan sel kanser dalam cara berbeza. Imunoterapi merupakan satu ubat khas untuk memperkuatkan atau mengubah suai sistem imun tubuh pesakit agar dapat bertindak balas dengan serangan kanser manakala kemoterapi menyerang apa-apa sel berganda yang membahagi dalam tubuh dengan cepat.

“Kesan sampingan bagi rawatan imunoterapi biasanya lebih rendah atau tidak seteruk kemoterapi, dan ada kesan sampingan yang berbeza daripada kemotherapi. Pesakit yang menggunakan rawatan konvensional itu mudah letih dan boleh mengalami penurunan jumlah sel darah merah, sel darah putih dan trombosit,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau yang berpengalaman selama 10 tahun sebagai Pakar Onkologi di Shrewsbury, United Kingdom, pulang ke tanah air untuk menyambung khidmat sebagai pakar di Hospital Pantai Ayer Keroh, sejak 3 Mei lepas.

Dr Zachariah berkata konsep rawatan imunoterapi juga berbeza dengan kemoterapi iaitu kadangkala dalam proses rawatan imunoterapi, sel kanser dilihat seolah-olah tidak berkurang atau kanser semakin membesar tetapi hakikatnya ia berlaku sebaliknya kerana sistem imunisasi sedang bertindak balas atau menyerang sel kanser tersebut.

Beliau berkata berdasarkan pengalamannya, menerusi rawatan imunoterapi, kesan ke atas sel kanser dapat dikawal dalam tempoh yang agak panjang selepas rawatan dihentikan seketika berbanding melalui rawatan kemoterapi.

Katanya bagaimanapun, keberkesanan rawatan imunoterapi terhadap kanser yang dihidapi bagaimanapun bergantung pada daya ketahanan sistem imunisasi seseorang pesakit itu.

“Pesakit kanser perlu mendapatkan pandangan atau nasihat daripada pakar onkologi mereka dan ia memerlukan beberapa ujian klinikal ke atas tumor atau sel kanser tersebut untuk melihat kesesuaian rawatan itu sebelum ia dilakukan ke atas mereka.

“Di Hospital Pantai Ayer Keroh, rawatan imunoterapi telah mula digunakan kira-kira lima tahun lepas namun saya percaya ia akan menjadi alternatif pilihan pesakit pada masa hadapan,” katanya menambah disebabkan kos rawatan yang agak tinggi berbanding kemoterapi, menyebabkan kaedah ini kurang mendapat sambutan.

— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Selamatkah vaksin Covid-19 untuk pesakit kanser?

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini semakin rancak dengan lebih ramai individu tampil mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin itu.

Setakat 5 Jun lepas, hampir 13 juta individu telah berdaftar, berbanding 9.89 juta penduduk pada 6 Mei, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19.

Pada masa ini, fasa dua program sedang dilaksanakan melibatkan pemvaksinan warga emas dan kelompok komorbiditi (golongan yang menghidapi dua atau lebih penyakit) termasuk pesakit kanser.

Bagaimanapun ketidakpastian tentang keselamatan vaksin terhadap pesakit yang sedang menjalani rawatan kanser menyebabkan ramai antara mereka yang enggan mendaftarkan diri bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

Kebimbangan utama mereka ialah vaksin itu mungkin mengganggu rawatan kanser mereka dan meningkatkan risiko mereka mengalami komplikasi kesihatan yang lain.

Perunding pakar radioterapi dan onkologi Mahkota Medical Centre Dr Chong Kwang Jeat bagaimanapun menyangkal perkara itu dan menegaskan bahawa vaksin Covid-19 selamat dan tidak ada bukti menunjukkan vaksin berkenaan tidak selamat untuk penghidap kanser.

Malah, pesakit lebih selamat sekiranya mengambil vaksin itu bagi melindungi diri daripada jangkitan Covid-19. Ini kerana beberapa kajian yang dijalankan oleh pakar perubatan di negara-negara seperti China, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Itali baru-baru ini merumuskan “kesan buruk terhadap pesakit kanser yang dijangkiti Covid-19 berbanding mereka yang tidak menghidapi penyakit.”

Vaksin selamat

“Berdasarkan rumusan itu, penghidap kanser lebih berisiko mengalami jangkitan Covid-19 yang teruk dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi,” kata Dr Chong dalam temu bual dengan Bernama, dan menambah bahawa risiko kematian bagi penghidap kanser yang dijangkiti Covid-19 ialah 15 hingga 30 peratus.

Beliau berkata keadaan itu dikesan khususnya dalam kalangan penghidap kanser berkaitan darah yang terimunokompromi (keadaan sistem imun defektif yang mengakibatkan timbulnya gejala penyakit), atau barah paru-paru atau penghidap kanser aktif atau tahap akhir yang sedang menjalani rawatan, serta mereka yang tergolong sebagai komorbiditi seperti penghidap diabetes, hipertensi, penyakit jantung, masalah buah pinggang dan obesiti.

Bagi menangani isu pesakit kanser keberatan divaksinasi, Dr Chong berkata amat penting orang ramai dididik tentang faedah besar vaksin serta kepentingannya menerusi medium media arus perdana dan media sosial.

Ada keperluan mendesak untuk memupuk keyakinan dan kesedaran orang awam menerusi advokasi oleh tokoh terkenal dan pakar penjagaan kesihatan serta mengekang penularan maklumat mengelirukan mengenai vaksin, terutamanya yang disebarkan melalui media sosial.

“Orang ramai perlu tahu risiko ketiadaan vaksinasi ke atas kelompok besar yang berpotensi mencetuskan ‘tsunami’ kes Covid-19 yang akan memudaratkan sistem penjagaan kesihatan kita.

“Kita juga perlu menekankan bahawa apabila seseorang itu menerima vaksin, dia bukan sahaja melindungi dirinya tetapi juga orang di sekelilingnya serta masyarakat amnya. Tidak ada siapa yang selamat sehinggalah semua orang selamat,” tambah Dr Chong.

Patuhi rawatan

Dr Chong juga berkata data yang mengaitkan risiko Covid-19 yang lebih tinggi terhadap pemandiri kanser (mereka yang sembuh daripada kanser) juga bercampur.

“Hal ini disokong oleh kajian di Britain baru-baru ini yang menunjukkan kemoterapi dalam tempoh 12 bulan terkini dikaitkan dengan jangkitan yang teruk serta kematian akibat virus itu, khususnya bagi mereka yang menerima rawatan yang menjejaskan sistem imun mereka.

“Bagaimanapun, kajian lain daripada AS, Kanada, Sepanyol dan UK tidak menunjukkan impak besar ke atas kemoterapi yang terkini,” jelasnya.

Mengenai keperluan pesakit kanser meneruskan rawatan semasa penularan pandemik Covid-19 berikutan risiko lebih tinggi untuk mereka dijangkiti penyakit itu, Dr Chong berkata setiap kes adalah berbeza, justeru pesakit perlu membincangkan perkara tersebut dengan pakar onkologi yang merawat mereka untuk meneliti sama ada rawatan berkenaan boleh diubah suai.

“Prinsip panduan ialah meneruskan rawatan kanser sambil mengurangkan risiko penghidap dijangkiti Covid-19 kerana pengabaian mana-mana satu aspek ini boleh menyebabkan kesan yang lebih serius,” katanya.

Katanya doktor boleh mengubah suai rawatan kanser seperti menggantikan rawatan imunosupresif seperti kemoterapi dengan rawatan hormon bagi sesetengah kes barah payu dara atau mengurangkan kekerapan dan/atau durasi kemoterapi, serta menggunakan kemoterapi oral berbanding suntikan intravena atau infusi yang memerlukan lebih banyak kunjungan hospital.

“Bagi sesetengah pesakit, doktor boleh memendekkan durasi radioterapi dan mengurangkan kekerapan rawatan susulan bagi kes yang tidak mendesak,” katanya, menambah untuk yang tidak dapat hadir di hospital, mereka boleh memilih konsultasi dalam talian dan ubat-ubatan dihantar ke rumah.

Dr Chong sendiri melaksanakan konsultasi dalam talian selepas pendemik itu bermula tahun lepas, dengan kebanyakan pesakit beliau adalah dari luar negara.

Terima guna konsultasi dalam talian

Menyedari kekangan konsultasi secara maya, Dr Chong berkata beliau lazimnya akan meneliti nota dan laporan yang dihantar oleh pesakit kepada beliau sebelum sesi konsultasi bermula.

Jururawat melakukan persiapan bagi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Semasa sesi konsultasi, beliau akan membincangkan dengan pesakit dan/atau ahli keluarga mereka mengenai kes dan mencadangkan langkah seterusnya yang boleh diambil.

“Kemudahan ini sangat berguna bagi pesakit luar negara saya yang tidak boleh melakukan perjalanan berikutan sekatan dan penutupan sempadan.

“Konsultasi dalam talian juga membolehkan kami menyediakan kesinambungan penjagaan terhadap pesakit sedia ada yang tidak boleh datang ke hospital kami. Janji temu secara maya ini selalunya berlangsung dalam suasana mesra… seakan-akan perjumpaan semula dengan rakan lama. Saya sentiasa gembira bertemu pesakit lama saya, gembira masih dapat memberikan perkhidmatan kepada mereka. Kebanyakan pesakit rasa selamat dan tenang apabila mengetahui doktor mereka mengikuti perkembangan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Jika perlu, hospital juga akan menghantar ubat-ubatan menerusi perkhidmatan penghantaran kepada pesakit yang berkenaan selepas selesai sesi konsultasi secara maya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas pesakit barah digalak terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Tiada masalah bagi bekas pesakit kanser dan orang kurang upaya (OKU) menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Beliau berkata selain itu, mereka yang pernah menerima suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) bagi mencegah penyakit Tibi juga tidak mempunyai masalah untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Pejuang kanser ini kalau rawatan sudah selesai, dengan syarat rawatan terakhir tiga hingga enam bulan sebelum (dapat vaksin), mereka tiada masalah untuk menerima vaksin. Begitu juga golongan OKU, tiada masalah.

“Memang kami menggalakkan mereka terima vaksin kerana mereka golongan berisiko tinggi, selain orang yang menghidap diabetes, darah tinggi, sakit jantung, buah pinggang dan penyakit kronik lain,” katanya menerusi program Ruang Bicara bertajuk ‘Vaksin Covid-19 Fasa Pertama’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi golongan yang sedang mengambil ubat untuk merendahkan paras imuniti seperti pesakit kanser, mereka tidak dinasihatkan untuk menerima vaksin buat masa ini sehingga tamat rawatan.

Sementara itu, Dr Hishamshah menjelaskan setakat ini, tiada data jelas yang mengesahkan sesiapa yang menerima suntikan BCG sebelum ini terlindung daripada dijangkiti wabak Covid-19.

“Walaupun ada teori mengatakan ada perlindungan, tetapi dari segi data yang tepat, tiada. Kalau ada perlindungan melalui BCG dan sebagainya, ia tidak akan melindungi kita daripada Covid-19. Buktinya, ramai antara kita ada vaksinasi BCG, tetapi ramai juga yang dapat Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peratusan pesakit kesan kanser membimbangkan

SHAH ALAM, 3 JAN: Kanser yang lewat dikesan pada tahap tiga dan empat dalam kalangan rakyat Malaysia didapati meningkat dari 58.7 peratus pada 2007 hingga 2011 kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.

Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penemuan itu membimbangkan kerana Kajian Malaysia mengenai Survival Kanser yang diterbitkan pada Oktober 2018 menunjukkan semakin lewat kanser dikesan, semakin rendah kadar survival pesakit.

“Kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kanser dan akses kepada pengesanan serta rawatan awal,” katanya dalam kenyataan mengenai Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCRR) 2012-2016.

Katanya analisis laporan edisi kedua MNCRR menunjukkan kaum Cina paling kerap menghidap kanser, iaitu 106 lelaki dan 117 perempuan dalam setiap 100,000 populasi.

Dr Noor Hisham berkata jumlah itu diikuti Melayu dengan lelaki (74 kes) dan perempuan (91 kes) bagi setiap 100,000 populasi.

“Bagi kaum India, kadar insiden yang dicatat adalah 67 kes untuk lelaki dan 107 kes bagi perempuan dalam setiap 100,000 populasi.

“Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan laporan pertama, terdapat penurunan kadar insiden dalam kalangan kaum Cina dan India sementara peningkatan dilihat dalam kalangan Melayu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu perempat penduduk berisiko hidap kanser

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Satu daripada empat penduduk berisiko menghidap kanser pada usia 75 tahun, sekali gus menjadikan penyakit itu punca kedua tertinggi kematian di negara ini, menurut statistik Kementerian Kesihatan.

Pakar Perunding Onkologi Perubatan Hospital Beacon, Dr Azura Rozila Ahmad berkata, selain menggalakkan saringan kesihatan seperti mamogram dan pap smear sebagai langkah pengesanan awal, individu juga perlu peka terhadap perubahan dialami.

“Ramai tidak mengambil berat gejala awal kanser dan hanya mendapatkan rawatan apabila sudah kritikal, kerana beranggapan mereka tidak mempunyai risiko atau tiada anggota keluarga menghidap penyakit kronik.

“Sebenarnya, 30 hingga 50 peratus daripada kanser boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat, berat badan ideal atau memperbanyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran, senaman dan menghentikan pengambilan alkohol serta tabiat merokok,” katanya menurut laporan asal BH Online.

Beliau berkata demikian pada program Health Awareness Cancer: What You Need To Know di Balai Berita NSTP di sini, semalam.

Katanya, kanser bukan saja menunjukkan pertumbuhan cepat, malah berisiko merebak dengan cepat.

Justeru, Dr Azura Rozila berkata, setiap individu perlu mengamalkan pemakanan sihat dan mengurangkan pengambilan daging merah, tinggi lemak, minuman beralkohol serta tidak merokok.

“Berat badan dengan indeks jisim tubuh melebihi 40 atau obesiti lebih cenderung menghidap kanser, berbanding mereka dengan berat badan normal.

“Merokok pula menyumbang kepada 30 peratus kematian akibat kanser, 80 peratus kematian akibat kanser paru-paru dengan keseluruhan 20,000 kematian setahun di negara ini.

“Di Malaysia, kanser paru-paru adalah yang ketiga paling lazim selepas barah payudara dan usus besar (kolorektal). Ia selalunya lambat dikesan dengan kebanyakan pesakit hanya menemui doktor apabila berada pada tahap akhir.

“Kanser paru-paru terbentuk apabila sel paru-paru yang normal mengalami beberapa peringkat perubahan atau mutasi, dan mula membesar serta tumbuh tanpa kawalan,” katanya.

Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kira-kira 70 peratus penduduk di negara berpendapatan rendah dan sederhana, terdedah kepada risiko kanser dengan peningkatan 60 peratus dalam tempoh 20 tahun.

Categories
NASIONAL

Kesedaran kanser masih kurang dalam kalangan belia

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Kesedaran berhubung pentingnya pemeriksaan awal bagi mencegah kanser masih kurang dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama mereka yang masih muda.

Pemandiri (survivor) kanser kolorektal, Choo Mei Sze berkata hal itu kerana golongan muda masih jahil dan beranggapan kanser tidak akan menyerang mereka.

Mei Sze, 27, didiagnosis menghidap kanser kolorektal namun bernasib baik kerana penyakit itu dapat dikesan pada peringkat awal.

“Semua orang berusia 20-an dan 30-an tidak akan fikir mengenai kanser kerana sibuk dalam urusan harian dan berusaha untuk mencapai kerjaya. Kesihatan adalah perkara terakhir dalam minda kita.

“Kita hanya menyedari kesan penyakit itu sebaik kita adalah pesakit dan kanser tidak membezakan umur. Anda boleh mendapat kanser walau pada usia apa pun,” katanya pada sidang media selepas melancarkan acara Relay for Life, di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal adalah penting dan bukan hanya untuk mereka yang berumur.

Katanya, Penasihat Kehormat Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM), Datuk Zuraidah Atan menekankan kepentingan kempen dan program untuk mendidik belia serta kanak-kanak berhubung penyakit itu.

“Mereka lebih rela melarikan diri daripada penyakit itu daripada mengambil tahu dan mempunyai kesedaran. Itulah sebabnya kempen pendidikan dan program mengenai kanser adalah penting untuk mendidik mereka, “katanya.

Selain kempen, beliau berkata media sosial juga boleh menjadi alat yang efektif untuk menyebarkan maklumat berkenaan penyakit itu serta langkah pencegahan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi talian bantuan NCSM 1800-88-1000.

Relay for Life Kuala Lumpur (RFL KL) adalah acara terbesar bagi mengumpul dana yang dianjurkan NSCM untuk meraikan pemandiri kanser dan meningkatkan kesedaran berhubung penyakit itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penghidap kanser dinasihat tidak percaya rawatan tanpa bukti keberkesanan

IPOH, 17 FEB: Individu yang dikesan menghidap kanser dinasihat tidak percaya kepada terapi atau rawatan yang tiada bukti keberkesanan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebaliknya individu terbabit perlu mendapatkan pemeriksaan untuk mengetahui tanda-tanda awal penyakit kanser kerana kebanyakan penyakit itu boleh diubati di peringkat awal.

“Kita perlu bersama-sama memerangi mitos, informasi yang tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat Malaysia enggan menjalani saringan, enggan atau melambat-lambatkan rawatan awal,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kledang Hill Challange bersempena sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri, hari ini.

Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Anggota Kesihatan Kinta dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Batu Gajah itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif melalui bersukan.

Boon Chye yang juga Anggota Parlimen Gopeng berkata, kesedaran rakyat Malaysia mengenai penyakit kanser masih ditahap rendah berbanding negara maju lain,

Katanya, kebanyakan pesakit di negara ini hanya menyedarinya apabila ia sudah di peringkat terakhir.

“Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan saringan kanser secara percuma seperti mamogram dan pap smear di hampir kesemua klinik kesihatan untuk mengesan kanser di peringkat awal,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Suee Lim botakkan kepala sokong kempen bantu pesakit kanser

OLEH AFIX REDZUAN

SETIA ALAM, 6 OKT: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim bersama hampir 800 individu membotakkan kepala masing-masing sebagai tanda sokongan kepada kempen ‘Bald & Beautiful 3.0’ anjuran Yayasan Khind Starfish bagi membantu persatuan penyakit kanser.

Bertemakan ‘Go Bald, Raise Fund, Spread Love’, kempen ini berlangsung di Galeri Pameran Eco Ardence, Setia Alam dan berjaya mengutip dana hampir RM2 juta.

Suee Lim yang ditemui berkata, beliau terpanggil untuk membotakkan kepala sebagai tanda sokongan kerana pernah melalui detik sukar melihat pesakit kanser bertarung melawan penyakit.

“Saya terpanggil untuk menyokong kempen ini kerana syarikat Khind berasal dari Sekinchan yang bertujuan mengutip dana untuk didermakan kepada NGO pesakit kanser.

“Saya sendiri pernah melihat liku-liku dan penderitaan yang dilalui pesakit kanser tambahan mendiang isteri saya, Er Bee Ha meninggal dunia pada 2016 akibat kanser payudara.

“Beliau menghadapi kanser sejak 2004 dan pulih sebelum penyakit sama menyerangnya pada 2015,” katanya.

Dalam majlis sama, Pengerusi Yayasan Khind Starfish, P K Cheng berkata, kempen ini diteruskan buat kali ketiga kerana pihaknya melihat kesedaran masyarakat terhadap penyakit kanser masih rendah.

“Banyak kumpulan yang berkaitan penyakit kanser ini kekurangan dana untuk membantu.

“Kami tampil mewujudkan inisiatif ini dan sangat kagum dengan sokongan yang diberikan masyarakat terhadap kempen ini,” katanya.

Kempen ini kali pertama dianjurkan pada Oktober 2012 dan berjaya mengutip RM250,00 manakala kutipa RM1.2 juta dicapai dalam anjuran kali kedua.

 

Categories
GLOBAL

Rokok vape boleh sebabkan kerosakan DNA, punca kanser

GLOBAL 31 JAN: Kajian penyelidik Universiti New York mendapati menghisap rokok elektronik atau vape boleh menyebabkan kerosakan pada asid deoksiribonukleik (DNA)

Keadaan itu sekali gus mendorong kepada pembentukan kanser dalam badan, lapor Portal Mail Online

Universiti New York menjalankan kajian terhadap sel-sel pundi kencing dan paru-paru yang didedahkan dengan asap vape.

Para pengkaji mendapati sel pada kedua-dua organ berkenaan rosak dan risiko menghidap kanser adalah lebih tinggi berbanding jangkaan mereka.

Penggunaan tikus dalam kajian itu menunjukkan haiwan tersebut turut mengalami kerosakan DNA yang signifikan selepas didedahkan dengan asap vape.

Kajian itu secara tidak langsung menolak tanggapan masyarakat bahawa menghisap vape adalah lebih selamat berbanding rokok konvensional.

Rokok elektronik menyebarkan kesan bahaya nikotin terhadap pengguna menerusi bahan kimia aerosol tanpa perlu membakar tembakau.

Biarpun tembakau mempunyai nitrosamine dan banyak bahan kimia carcinogenic akibat proses pembakaran, rokok elektronik juga mempunyai nikotin dan beberapa bahan pelarut organik.

Kajian terdahulu juga mendapati perokok elektronik mempunyai kekurangan karsinogen paru-paru dalam cecair tubuh mereka sehingga 97 peratus berbanding mereka yang menghisap rokok tembakau.

Namun, keadaan itu tidak memberi jaminan bahawa menghisap rokok elektronik adalah lebih sihat dan mampu mengelak daripada risiko kanser.

Sementara itu, kajian tersebut turut menegaskan perokok elektronik mempunyai risiko lebih tinggi berbanding bukan perokok untuk menghidap kanser pundi kencing dan paru-paru serta terkena serangan jantung.

SUMBER: MAIL ONLINE

Categories
SELANGOR

Murni sedia pemeriksaan kanser payudara percuma

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 FEB: Berita baik buat golongan wanita terutama di kawasan luar bandar, mereka kini berpeluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kanser payudara secara percuma tanpa perlu ke hospital.

Kemudahan itu direalisasikan melalui pengenalan ‘Mobile Unit Reaching Nationwide with Information’ (Murni) dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

_MG_3546Exco Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, Murni boleh dikenalpasti melalui van merah jambu yang akan menjelajah ke seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) terus kepada wanita bagi memperoleh perkhidmatan yang ditawarkan.

Katanya, orang ramai berpeluang menerima pelbagai input dan maklumat berkenaan penyakit yang amat sinonim dengan golongan wanita itu.

“Kebanyakan wanita di Selangor sudah menyertai program mammogram yang ditawarkan Kerajaan Negeri, tetapi tiada pemeriksaan susulan selepas itu.

_MG_3656“Dengan Murni, kita boleh membantu golongan wanita dengan memberikan maklumat, ilmu dan pemberitahuan berkenaan bahaya kanser payudara,” katanya di perkarangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Daroyah yang juga Adun Sementa berkata, pihaknya akan menyediakan jadual penjelajahan Murni yang disebarkan melalui Pejabat Pusat Khidmat DUN termasuk akhbar Selangor Kini.

Beliau berharap peluang itu dimanfaatkan seluruh golongan wanita sebagai salah satu langkah menjaga kesihatan dan mencegah kanser daripada peringkat awal.

“Wanita disarankan supaya tidak melepaskan peluang keemasan untuk mendapatkan perkhidmatan ini tanpa perlu pergi jauh.

“Murni akan berada di kawasan anda sempena Hari Kesihatan Sedunia, bermula April ini,” katanya.

-NFN-