SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan Selangor akan menjadikan kapal korek di Dengkil sebagai muzium bersejarah di negeri ini.
EXCO kebudayaan berkata urusan jual beli kapal melebihi 6,000 tan itu sedang berjalan dan pihaknya berusaha untuk merealisasikan hasrat berkenaan sekali gus menjadikan ia sebagai tarikan baharu untuk orang ramai.
“Kapal itu antara yang terbesar di dunia dan masih lagi boleh beroperasi. Terletak di tengah lombong dan kita mahu jadikannya muzium lombong negara.
“Selain itu kapal tersebut juga akan dijadikan tempat rekreasi bersejarah untuk orang awam. Ini usaha kita bersama Majlis Perbandaran Sepang,” kata Borhan Aman Shah dalam program Bual Bicara: Membina Budaya di Selangor.
Program disiarkan menerusi YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor semalam.
Sementara itu, Borhan berkata Muzium Permainan Tradisional Rakyat di Kuala Selangor dihidupkan semula dengan membenarkan orang awam mencuba permainan tradisi yang ada.
“Muzium ini unik. Bukan hanya kita pamerkan sepak raga, dam dan batu seremban tetapi mereka boleh cuba aktiviti itu. Macam galah panjang, boleh minta kakitangan ajar cara bermain,” katanya.
Pada Januari 2020 Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli meminta muzium terbabit dibaik pulih bagi memelihara aset warisan negeri ini selepas terbiar akibat kebakaran pada 2011.