Categories
AGENDA GLOBAL

Serpihan komponen kapal selam KRI Nanggala 402 ditemukan

JAKARTA, 24 APRIL Beberapa serpihan dan barangan dipercayai komponen kapal selam KRI Nanggala 402 milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI) yang hilang Rabu lepas serta kesan tumpahan minyak ditemukan di perairan Bali.

Panglima TNI Hadi Tjahjanto dalam sidang media yang disiarkan menerusi youtube rasmi TNI (Puspen TNI) berkata dasar laut lokasi penemuan serpihan, barangan dan kesan tumpahan minyak itu pada kedalaman 850 meter.

Hadi Tjahjanto berkata kapal berkenaan yang diletakkan “submissed” sebelum ini atau terputus hubungan, kini diletakkan “menuju fasa tenggelam” (subsunk).

“Awal pagi tadi (jam 3 pagi) adalah batas akhir live support berupa ketersediaan oksigen di (kapal) Nanggala selama 72 jam, (oksigen kapal yang boleh bertahan selepas dilaporkan hilang dan dipercayai “blackout”),” katanya.

Antara barangan yang ditemukan pasukan pencari ialah bekas pelaras torpedo, paip pendingin, botol berwarna jingga dan sejadah.

KRI Nanggala 402 yang membawa 53 kru, dilaporkan terputus hubungan jam 4.25 pagi Rabu ketika dalam misi latihan penembakan torpedo, yang turut disertai 21 kapal TNI yang lain bersama lima pesawat tempur serta satu lagi kapal selam yang lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

TLDM bantu cari kapal selam TNI Indonesia

JAKARTA, 22 APRIL: Malaysia akan turut membantu Indonesia dalam pencarian kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), KRI Nanggala 402, yang terputus hubungan dan hilang di perairan utara Pulau Bali.

Ketua Pusat Penerangan TNI Mejar Jen. Achmad Riad berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, Mega Bakti dijangka tiba pada 26 April ini bagi bersama-sama mengesan kapal selam berkenaan.

“Bantuan daripada pihak ketiga (negara luar dalam operasi mencari kapal selama itu), antaranya dari Singapura, berupa kapal Swift Rescue, kapal ini adalah kapal penyelamat kapal selam yang mengalami kendala (masalah) di bawah air. Swift Rescue dijangka tiba di lokasi pada 24 April. (manakala) Malaysia, kapal Rescue Mega Bakti, akan tiba pada 26 April,” katanya pada sidang media secara hibrid di Bali hari ini.

Selain itu, beliau berkata tujuh negara lain iaitu Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Turki, India dan Australia juga menawarkan bantuan dalam pencarian kapal selam tersebut yang terputus hubungan selepas melakukan latihan penembakan torpedo semalam.

“Kedudukan terakhir ialah 23 batu di utara Pulau Bali. Kronologi kejadian ialah pada 3.46 pagi, KRI Nanggala melaksanakan penyelaman, kemudian pada 4 pagi bersiap sedia untuk melakukan penembakan torpedo, pada 4.25 pagi selepas arahan kebenaran penembakan diberikan, komunikasi dengan Nanggala telah terputus,” katanya.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Atlantis: Petunjuk baru carian kapal selam hilang

BUENOS AIRES 12 DIS: Pasukan mencari kapal selam milik tentera laut Argentina menemui petunjuk baru iaitu sebuah objek, selepas 26 hari dilaporkan hilang bersama 44 kru.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Presiden Mauricio Macri dan pasukan tentera laut Argentina sebelum ini memutuskan bahawa kapal selam terbabit hilang secara tragik, pada 15 November lalu.

Ahli keluarga mangsa bagaimanapun tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan mendesak misi pencarian diteruskan untuk mendapat jawapan sebenar di sebalik insiden terbabit.

Jurucakap tentera laut, Enrique Balbi ketika ditemui media berkata, sebuah objek ditemui pada kedalaman 1,000 meter dengan menggunakan alat pengesan sonar.

“Kajian sedang dibuat untuk melihat jika objek berkenaan adalah kapal selam yang hilang itu,” katanya.

Menurut laporan, objek berkenaan dikesan oleh kapal milik Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Atlantis.

Pihak berkuasa Argentina sehingga kini tidak memberikan sebarang tarikh rasmi untuk menamatkan misi pencarian itu.

Hubungan terakhir dibuat kapal selam dikenali sebagai San Juan itu adalah pada 15 November ketika sedang belayar di Selatan Atlantik.

Menerusi komunikasi terakhir itu, kru kapal berkenaan memaklumkan bahawa ia mengalami kerosakan teknikal berpunca daripada litar pintas, apabila saluran kapal terbabit dimasuki air.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Kapal selam Argentina hilang mungkin kehabisan oksigen

MAR DEL PLATA, Argentina 22 NOV: Pasukan yang terlibat dalam misi pencarian antarabangsa untuk kapal selam ARA San Juan mendakwa, kapal tersebut kini berdepan risiko kehabisan bekalan oksigen selepas dipercayai tenggelam untuk tempoh yang lama.

Difahamkan, bekalan oksigen sedia ada ketika ini hanya membolehkan kru kapal selam berkenaan bertahan di bawah air selama satu minggu sahaja, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

“Masalah kehabisan bekalan oksigen sangat membimbangkan kami sejak kapal selam itu dilaporkan hilang,” kata seorang jurucakap tentera laut Argentina, Enrique Balbi.

Seramai 44 orang kru berada dalam kapal selam terbabit ketika ia dilaporkan hilang kira-kira dua minggu lalu.

https://selangorkini.my/2017/11/san-juan-kehilangan-misteri-nasib-44-anak-kapal-tidak-diketahui/

Lokasi terakhir kapal selam buatan Jerman itu pada 15 November lalu ialah 432 kilometer di luar perairan Argentina di Atlantik Selatan. Kru kapal selam San Juan dipercayai mempunyai bekalan makanan dan oksigen mencukupi untuk menunggu bantuan tiba.

Menteri Pertahanan Argentina, Oscar Aguard, pada 18 November mengesahkan bahawa misi pencarian kapal selam ARA San Juan disertai kerajaan Chile, Brazil, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Colombia, Uruguay serta Peru, manakala beberapa negara lain turut menawarkan bantuan mereka dalam operasi mencari dan menyelamat.

=EZY=

Categories
GLOBAL RENCANA

San Juan: Kehilangan misteri, nasib 44 anak kapal tidak diketahui

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

ANALISIS GLOBAL: Kehilangan kapal selam Argentina mengimbau tragedi hitam yang menimpa kapal selam Rusia jenis Kursk pada 12 Ogos 2000 apabila mengorbankan kesemua 118 krew.

Pencarian kapal selam milik Tentera Laut Argentina jenis San Juan terus dipergiatkan sejak kapal selam itu dilaporkan hilang komunikasi pada 15 November lalu apabila dipercayai mengalami masalah kegagalan bekalan elektrik namun punca sebenar belum dikenalpasti.

Kali terakhir kapal selam itu berkomunikasi ialah pada pagi (Rabu) 15 November, dan apabila ia terputus hubungan pada hari sama, misi pencarian dilancarkan pada pagi Khamis (16 November).

Sehingga kini (21 November) nasib 44 anak kapal selam itu terus menjadi misteri dan menimbulkan pelbagai persoalan disebabkan tanpa berita baik diterima.

 

Sejarah kapal selam San Juan

Kapal selam itu memasuki perkhidmatan pada 19 November 1985 dengan naik taraf dilakukan di Argentina antara 2008 dan 2013, mengambil masa lebih lama daripada dijangka disebabkan kekangan bajet.

Kos naik kira-kira 100 juta peso ($ 12.4 juta) dan terdiri daripada lebih 500,000 jam kerja di mana kapal selam dipotong separuh dan enjin dan bateri MTU diganti.

Naik taraf itu dijalankan di limbungan kapal Kompleks Perindustrian Perindustrian Argentine (CINAR) Tandanor dan Storni. Kemudian, San Juan ditugaskan menjalankan latihan pengawasan di zon ekonomi di sekitar Puerto Madryn, khususnya dalam peranan memerangi penangkapan ikan secara haram

 

Apa berita terkini nasib San Juan?

Terbaharu, pakar menolak kemungkinan bunyi dikesan di dasar laut adalah milik kapal terbabit. Jurucakap tentera laut, Enrique Balbi berkata bunyi itu mungkin terhasil dari hidupan yang ada di laut itu.

Laporan mengenai kemungkinan bunyi bising itu dihasilkan kapal selam terbabit telah membuatkan semua ahli keluarga meletak harapan tinggi untuk melihat semua mangsa dalam keadaan selamat.

Sebelum ini panggilan kecemasan yang dikatakan dibuat San Juan disahkan sebagai bukan milik kapal selam terbabit.

Lokasi terakhir kapal selam buatan Jerman itu pada 15 November lalu ialah 432 kilometer di luar perairan Argentina di Atlantik Selatan. Kru kapal selam San Juan dipercayai mempunyai bekalan makanan dan oksigen mencukupi untuk menunggu bantuan tiba.

Menteri Pertahanan Argentina, Oscar Aguard, pada 18 November mengesahkan bahawa misi pencarian kapal selam ARA San Juan disertai kerajaan Chile, Brazil, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Colombia, Uruguay serta Peru, manakala beberapa negara lain turut menawarkan bantuan mereka dalam operasi mencari dan menyelamat.

Perintah Selatan AS pada Ahad telah menghantar pesawat kedua untuk membantu operasi pencarian, iaitu P-8A Poseidon yang dikenali sebagai pemburu kapal selam atau antikapal selam dengan 21 kru dari Jacksonville, Florida.

 

Berapa lama krew kapal selam dapat bertahan hidup?

CNN melaporkan jurucakap tentera Laut Argentina, Enrique Balbi menyatakan dalam senario terburuk, kapal selam itu boleh kehabisan oksigen dalam masa dua hari.

Di bawah keadaan biasa, kapal itu mempunyai bahan api, air, minyak dan oksigen yang mencukupi untuk beroperasi selama 90 hari tanpa bantuan luar.

Balbi berkata kapal selam itu boleh “snorkel” – atau menaikkan tiub ke permukaan – “untuk mengecas bateri dan tarik udara segar untuk kru. ”

Negara terlibat dalam pencarian Kapal Selam San Juan

Sekiranya kapal selam terapung di permukaan dan penutup dibuka, ia akan mempunyai bekalan udara yang tersedia dan makanan yang cukup selama 30 hari.

Tetapi jika ia tenggelam dan tidak dapat menaikkan snorkel, oksigennya mungkin bertahan hanya sekitar tujuh hari.

 

Jika kapal selam ditemui, bagaimanakah krew diselamatkan?

Walaupun kapak selam dikesan dijumpai ia mengambil masa beberapa hari untuk kapal selam penyelamat digerakkan di kawasan di mana ia dijumpai.

Keadaan ini menimbulkan masalah apabila bekalan oksigen semakin berkurangan ditambah dengan keadaan gelora lautan dan cuaca yang sukar dijangka.

Kedalaman lautan dan jarak kapal selam itu terdampar serta keadaannya sama ada menegak atau berada di posisi lain bakal menentukan bentuk gerakan menyelamat dapat dilaksanakan yang memerlukan kepakaran tersendiri.

 

Categories
GLOBAL

Panggilan satelit bukan dari kapal selam Argentina

GLOBAL 21 NOV: Panggilan satelit yang dikesan hujung minggu lalu ketika operasi mencari dan menyelamat kapal selam Argentina yang hilang bukan datang dari kapal berkenaan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan jurucakap tentera laut, Enrique Balbi, berkata ia sekali gus memusnahkan harapan panggilan itu datangnya daripada 44 kru kapal terbabit.

Balbi berkata, kapal selam ARA San Juan itu menghantar isyarat terakhirnya, Rabu lalu.

“Panggilan bukan dibuat daripada telefon satelit kapal selam San Juan,” katanya.

Cuaca buruk menyukarkan usaha mencari kapal selam yang hilang di Atlantik Selatan itu.

Lebih 12 bot dan pesawat dari Argentina, Amerika Syarikat, Britain, Chile dan Brazil menyertai usaha pencarian itu.

Pihak berkuasa, biasanya mengimbas laut dari bahagian atas, oleh kerana ribut menjadikan misi pencarian menggunakan bot sukar.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Kapal selam Argentina hilang, NASA bantu cari

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 18 NOV: Tentera Laut Argentina mempergiatkan usaha mencari dan menyelamat selepas sebuah kapal selam Argentina dilaporkan hilang di laut.

Agensi Berita Antarabangsa CNN melaporkan kapal selam jenis ARA San Juan membawa 44 anak kapal dilaporkan dikesan kali terakhir pada Rabu di Teluk San Jorge kira-kira 432 kilometer dari negara itu.

Jurucakap Tentera Laut, Enrique Balbi, berkata, operasi besar-besaran dilancarkan untuk mengesan kapal berkenaan yang dikhuatiri mengalami masalah komunikasi.

“Kami sedang menyiasat punca berlakunya masalah komunikasi itu.

“Jika ada masalah komunikasi, kapal itu perlu timbul di permukaan,” kata Balbi kepada wartawan, di sini lapor REUTERS.

Balbi berkata, kapal selam itu meninggalkan selatan bandar Ushuaia untuk ke Mar del Plata untuk mendapatkan bekalan makanan dan mungkin meneruskan perjalanannya, walaupun berhadapan dengan masalah komunikasi.

Sementara itu, NASA akan membantu dalam pencarian dengan pesawat P-3 Orion, jurucakap agensi Katherine Brown memberitahu CNN.

Beliau berkata pesawat AS “sudah di Argentina dalam misi saintifik.” P-3 adalah pesawat turboprop yang mampu penerbangan lama, menurut NASA.

Kapal selam itu telah pergi dari kepulauan Tierra del Fuego di selatan Argentina ke pangkalannya di Mar del Plata, sebuah bandar beratus batu ke timur laut.


=EZY=