Categories
AGENSI SELANGOR

Dua pelari veteran cipta rekod MBOR sempena Larian Merdeka Muhibbah

SHAH ALAM, 1 SEPT: Dua pelari veteran, Nasir Abas, 64, dan rakannya, Krishnan Andy, 61, mengukir nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya menamatkan Larian Merdeka Muhibbah sejauh 540kilometer (km), semalam.

Kedua-dua warga emas yang juga pesara tentera memulakan larian sejak 19 Ogos lalu dari Medan Bandar, Alor Star sebelum mengakhiri misi selama 12 hari itu di Dataran Barat, Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, pada malam kemerdekaan.

Penyertaan mereka dalam larian kali ini adalah sempena Karnival Merdeka Muhibbah 2019 anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), bermula 28 Ogos hingga 1 September.

Untuk rekod, Nasir pernah mencipta rekod melakukan larian sejauh 1,754km menyusuri Semenanjung Malaysia dari Kelantan ke Johor dan pulang ke Kedah pada 2002 selama sebulan.

Beliau turut mencipta rekod melakukan Larian Solo dari Tawau, Sabah ke Kuching, Sarawak pada 2003 sejauh 2,058km selama 48 hari dan larian solo sempena kejayaan pasukan Kedah merangkul Piala Malaysia sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung sepanjang empat hari Karnival Merdeka Muhibbah berlangsung di SACC Walk dan SACC Mall.

Katanya, karnival itu menjadi salah satu daya penarik masyarakat di sekitar Shah Alam untuk bersama menyambut kemerdekaan di kedua-dua lokasi berkenaan selain menyemai semangat cinta dan bangga terhadap negara tercinta.

“Kami membawakan aktiviti seperti Beyblade Merdeka Battle yang menawarkan hadiah berjumlah RM1,300 dengan pendaftaran sebanyak RM10 sahaja untuk kategori kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah.

“Terdapat juga Upin Ipin Store, Pertandingan Mewarna Upin Ipin Kemerdekaan 2019, permainan kanak-kanak, jualan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) dan paling menarik adalah ketibaan pelari duo veteran yang mencipta sejarah dalam MBOR itu,” katanya dalam kenyataan.

Malam Ambang Kemerdekaan ke-62 dihangatkan dengan persembahan artis tanah air dan luar negara selain persembahan buskers daripada 6ixth Sense, Dinamik, Jinbara, Assalambuskers, Klangit, Zamarul Hamzah serta Zara Ali.

Fakru Radzi berkata, pengunjung yang hadir tidak perlu risau untuk memikirkan lokasi tempat makan yang menarik kerana karnival itu turut menyediakan ruang jualan makanan dan produk IKS di lot parkir Kompleks PKNS Shah Alam.

“Antara makanan yang menarik seperti nasi briyani Putra Jaya, kambing bakar, ABC dan sup utara,” katanya.