Categories
SELANGOR

2,000 hadir Karnival Kerjaya OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 NOV: Lebih 2,000 pengunjung hadir ke program Karnival Kerjaya Orang Kelainan Upaya (OKU) yang diadakan di Atrium SACC Mall, di sini, semalam.

Pegawai Jobs Malaysia Selangor, Mohammad Yusri Mustafa Kamal berkata, beliau memuji Kerajaan Negeri antara perintis yang sudi menganjurkan karnival khas buat golongan OKU.

“Golongan OKU turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri, malah ada juga dalam kalangan mereka baru tahu jawatan itu sebenarnya wujud.

“Malah, majikan juga berpuas hati dengan calon yang hadir kerana mereka mempunyai keyakinan dan semangat untuk bekerja,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, golongan OKU yang malu atau tidak tahu skop kerja bersesuaian boleh mengunjungi Jobs Malaysia terdekat atau hubungi talian tertera di laman sesawang.

“Melihat kepada sambutan menggalakkan, kita akan cuba menguar-uarkan lagi peluang kerjaya kepada golongan ini, pada masa akan datang.

“Kepada golongan OKU, saya berharap kekurangan anda adalah pemangkin untuk berjaya, pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor kerana berusaha menganjurkan karnival itu.

Terdahulu, Karnival Kerjaya OKU disempurnakan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sebanyak 11 syarikat membuka ‘booth’ bertujuan menawarkan pekerjaan khusus buat OKU.

Categories
SELANGOR

Karnival OKU 1 Nov cungkil bakat, erat hubungan masyarakat

BANTING 27 OKT: Keluarga dianugerahkan anak dikategorikan orang kelainan upaya (OKU) seharusnya mengetengahkan anak istimewa itu bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat luar sebagai persediaan menjadi warga komuniti yang dapat berdikari kelak.

Sempena Sambutan Hari OKU Sedunia, Jabatan Kemajuan Masyarakat Daerah Kuala Langat dengan kerjasama MDKL menganjurkan Karnival Orang Kelainan Upaya (OKU) pada 1 November bertempat di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat.

BANNER OKUYang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, pengisian program bertujuan mencungkil serta mengenalpasti potensi bakat anak-anak OKU selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara keluarga mempunyai anak OKU dengan warga masyarakat.

Mohd Azhar berkata, melalui program ini pelajar OKU akan diberi pendedahan tentang jenis-jenis sukan yang bersesuaian, dengan keupayaan ”psikomotor” pelajar OKU tersebut.

Beliau juga menambah, penganjuran program diharap dapat mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan membabitkan golongan OKU serta pemangkin semangat untuk menceburi bidang sukan.

Justeru itu, bagi penganjuran program yang julung kali diadakan ini, dua acara sukan utama selain beberapa acara lain untuk golongan ini akan diadakan seperti pertandingan bocce dan pertandingan bola sepak dimana pertandingan bocce ini lebih mirip sukan petanque dan boling padang.

Manakala bagi pertandingan bola sepak pula, pertandingan ini menjadi medan pemilihan pemain-pemain yang akan mewakili Malaysia ke 1st. Special Olympics World Cup 11 A Side Unified Team 2015.

Beliau berharap, penduduk daerah ini yang mempunyai anak-anak kelainan upaya dapat menyertai program ini.

EZY