Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Galeri Shah Alam anjur pameran secara maya, himpun karya terbaik

SHAH ALAM, 12 SEPT: Galeri Shah Alam menganjurkan Pameran Maya Insan+tif 1.0 bermula awal bulan lalu hingga penghujung Oktober sempena sambutan ke-30 tahun penubuhan galeri itu.

Pengarahnya Alina Abdullah berkata pameran juga sebagai meraikan penerima Anugerah Insentif Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) sepanjang 1991 hingga 2020.

“Pameran virtual ni mengumpulkan hasil karya terbaik daripada 18 PTGSA dengan pelbagai tema malah turut ditawarkan kepada peminat seni untuk membeli.

“Dalam masa sama kita juga tampilkan karya terbaharu PTGSA yang terlibat supaya peminat boleh melihat perkembangan hasil seni mereka mengikut peredaran masa,” katanya pada perasmian pameran secara dalam talian.

Majlis dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron.

Antara pengkarya terlibat Azman Hilmi, Anuar Dan, Rosli Zakaria, Khairul Azmir Shoib, Fauzul Yusry, Zaharuddin Sarbaini dan Mohamad Hassan.

Sementara itu, Alina berkata para karyawan atau perupa perlu mencari idea segar, teknik serta kaedah baharu seiring perkembangan semasa bagi menghasilkan karya terbaik.

“Ini juga melihatkan kematangan diri mereka. Semoga pameran seperti ini boleh diadakan lebih banyak untuk menjejak perkembangan pengkarya,” katanya.

Ikuti pameran maya tersebut di sini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor rancang bantu penggiat seni hasilkan karya

SHAH ALAM, 20 JULAI:  Selangor merancang untuk membantu penggiat seni bagi menggalakkan mereka berkarya termasuk merakam peristiwa pandemik yang melanda negara ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha dengan kerjasama EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau juga sedang meneliti pendekatan sesuai untuk membantu pengkarya dan kelompok seni yang terlibat dalam kegiatan kebudayaan termasuk termasuk bidang perfileman dan nyanyian.

“…untuk dapat menyumbang buah fikiran mereka dalam bentuk karya namun akan dibiayai sebahagiannya oleh Kerajaan Negeri supaya mereka dapat menyambung hidup mereka serta melaksanakan kehidupan yang terdesak ketika pandemik ini,” katanya.

Berucap pada majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020 yang disiar dalam Facebook Media Selangor malam ini, Amirudin menyedari ramai pemain penggiat seni tidak dapat bergerak dan berkarya seperti biasa.

Namun, beliau menegaskan peristiwa pandemik memerlukan kelompok kreatif untuk merakamkan momen penting dalam sejarah manusia sama ada menerusi filem, catan, lagu dan fotografi.

“Saya mahu mereka menyumbangkan karya dan kreativiti mereka untuk sama-sama memikirkan bagaimanakah rupa kita ketika berdepan krisis ini, bagaimanakah wajah kita ketika melalui detik-detik yang sukar ini.

“Apakah cabaran-cabaran di depan, apakah sudut-sudut dan bingkai yang mungkin tak dapat dilihat oleh mereka yang tidak dapat mendalami setiap perkara dan detik yang kita lalui,” katanya.

Dianjur sejak 2015 ketika Amirudin sebagai EXCO kebudayaan, program anjuran Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) itu mendapat sambutan menggalakkan saban tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perbanyakkan lokasi artis mural serlah bakat

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Kerajaan diharap dapat memperbanyakkan tempat bagi artis mural berkarya misalnya mewartakan sesuatu kawasan atau mengadakan dinding khas untuk golongan seni itu ‘mencurahkan’ kreativiti mereka.

Pelukis mural, Abdul Hadi Ramli, 27, berkata ia bukan sahaja sebagai platform untuk menunjukkan hasil seni, namun pada masa sama mampu mengindahkan kawasan selain ‘menghidupkan’ tempat berkenaan.

“Kebanyakan pelukis mural ini mahu ekspresikan karya mereka pada dinding, dan kalau kita lihat sebenarnya ramai artis seni yang berpotensi di negara ini tetapi tidak diberikan ruang dan peluang.

“Kami pun sebenarnya hasilkan ia (lukisan mural) secara bersahaja untuk suka-suka, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ada board laman seni, jadi saya rasa ia mungkin boleh dinaik taraf supaya lebih banyak karya seni dapat dihasilkan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program ‘Darah Muda’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Pelukis Muhammad Suhaimi Ali 27, ketika melukis mural gergasi potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan wajah-wajah pemimpin negara di Taman Cahaya Alam Seksyen U12 Shah Alam pada 5 Julai 2020. Foto BERNAMA

Abdul Hadi merupakan seorang daripada pelukis mural gergasi pemimpin negara termasuk potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam bersama dua rakannya, Muhammad Suhaimi Ali, 27, dan Muhamad Firdaus Nordin, 26.

Bagaimanapun, baharu sahaja ‘berusia’ dua minggu, ‘pameran’ mural gergasi memaparkan wajah pemimpin negara di dinding sebuah bangunan itu telah dicemari laku musnah (vandalisme) dengan contengan semburan cat merah memaparkan kata-kata yang tidak menyenangkan, tiga hari lepas.

Keadaan itu telah menyebabkan seluruh lukisan di dinding itu terpaksa dipadam dengan cara dicat semula dengan warna putih.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Hadi mengakui kecewa dengan tindakan orang awam yang mungkin ‘buta seni’ itu sehingga tergamak melakukan perkara berkenaan, namun beliau dan rakan-rakan tetap positif dan menganggap ia sebagai suatu cabaran dalam industri itu.

“Siapa yang tak kecewa melihat karya diconteng dengan kata-kata kesat, rasa penat lelah tidak dihargai, tapi kita sentiasa positif, lepas dapat maklum balas daripada orang ramai yang turut tidak bersetuju dengan perkara itu, kami lagi bersemangat untuk menghasilkan mural lain, ia juga sebagai pemangkin semangat,” katanya.

Jelasnya, hasil mural itu juga mampu meningkatkan ekonomi kawasan terbabit, justeru, karya itu perlu dipelihara dan dijaga.

“Seni itu bertujuan mencantikkan kawasan bukan memburukkan dan menjadi tarikan orang ramai, selain dapat membina ekonomi di situ, contohnya kawasan Seksyen U12, Shah Alam, pada asalnya orang tak tahu tapi disebabkan mural ini, orang dah mula beri perhatian,” kata lulusan Sarjana Seni Halus dan Teknologi Universiti Teknologi Mara itu.

Mengulas perjalanan mereka selepas ini, Abdul Hadi berkata beliau dan rakan-rakan dalam perancangan untuk menghasilkan mural yang berskala besar dan di lokasi kedudukan yang tinggi bagi mengelakkan karya mereka dimusnahkan orang awam sekali lagi.

Beliau turut menasihati pelukis mural untuk menghindarkan karya yang berbentuk negatif sehingga memberi pengaruh tidak baik kepada masyarakat khususnya generasi muda.

“Mural ini juga bertujuan mendidik masyarakat, ada maksudnya tersendiri, macam mural yang kami hasilkan itu, ia sebagai tanda terima kasih kepada pengorbanan pemimpin negara mendepani pandemik Covid-19, bagaimana pemimpin ini tangani dengan baik,” katanya yang bercita-cita supaya karya mereka dapat dipamerkan di Balai Seni Negara pada masa hadapan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR SENI

Ruang di akhbar SelangorKini amat dihargai

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 DIS: Inisiatif Kerajaan Negeri memperuntuk ruangan khas di SelangorKini kepada pengkarya muda menyerlah bakat penulisan adalah amat dihargai.

Bagi pemenang utama Anugerah Hadiah Sastera Selangor 2017 bagi kategori cerpen, Azrin Fauzi, 25, ia memberi peluang kepada penulis sepertinya mengetengahkan karya di peringkat lebih luas.

“Untuk kita masuk ke media arus perdana dengan skop penulisan yang dibawa mungkin agak sukar tetapi SelangorKini sediakan ruang itu.

“Jika ruangan ditambah, saya percaya lebih ramai lagi anak muda Selangor dapat menonjolkan karya masing-masing untuk dikongsi bersama lebih 100,000 pembaca akhbar berkenaan,” kata anak jati Kuala Lumpur itu kepada Selangor Kini.

Beliau merupakan satu daripada 14 pengkarya muda yang dirai menerusi Majlis Anugerah Hadiah Sastera Selangor 2017, pada 8 Disember lalu.

Turut bersetuju, pemenang sagu hati kategori esei, Amir Hafyan, 24, percubaan dan kemenangan pertama diraih itu memberi semangat untuknya lebih aktif menulis.

“Saya tidak sangka kerana ini pertama kali namun pada masa sama gembira dengan keputusan juri yang bukan calang-calang.

“Saya akan terus menulis dan fokus untuk mengangkat suara rakyat biasa untuk perhatian mereka yang mahu membaca dan berfikir,” kata pelajar jurusan perundangan di institusi pengajian tinggi di Nilai itu.

Sementara itu, pemenang sagu hati kategori sajak, Nour Amir, 25, berkata, ruang diberikan Kerajaan Negeri itu pasti akan digunakan sebaiknya bagi memperbaiki mutu karyanya.

“Saya tidak menjangkakan sebarang kemenangan kerana kemenangan bukan sesuatu yang dicari.

“Menerima komen juri, sama ada pujian dan teguran memberi semangat kepada saya untuk memberikan lebih makna dalam karya selepas ini,” katanya yang turut aktif menghasilkan skrip teater.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Komersialkan karya kreatif mahasiswa UNISEL

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 APR: Agensi kerajaan dan pihak swasta disaran menyokong usaha berterusan mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL) mengetengahkan pelbagai produk serta karya kreatif mereka.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari, berkata ketetapan itu diperlukan bagi memastikan hasil karya mahasiswa terus ‘hidup’ walaupun selepas tamat pengajian.

Yaakob sapari DUN“Ada karya kreatif mereka sangat baik untuk ditonjolkan di peringkat komersial. Jadi, pihak industri boleh ambil karya ini supaya ia boleh menjadi landasan yang baik untuk masa depan pelajar.

“Kalau ia tidak dikomersialkan, karya kreatif ini akan mati. Oleh sebab itu, perlu adanya elemen komersial supaya produk ini dapat dikembangkang di peringkat luar.

“Jadi, saya cadangkan karya ini dipamerkan di luar seperti pusat membeli-belah supaya masyarakat boleh melihat kejayaan mereka ini,” katanya kepada Selangor Kini pada Pameran Pelajar Tahun Akhir Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FADEX) 2016 di Dewan Pro Canselor UNISEL, di sini, hari ini.

Sementara itu, mahasiswa, Fikri Afif Azhari, 24 berharap karya kreatif rekaan aplikasi keselamatan yang dihasilkannya dapat diketengahkan untuk diguna dalam kehidupan seharian.

voxpop fikri grafik“Saya harap dengan rekaan ini, maka boleh membuat kerjasama dengan pihak berkuasa ke arah mengurangkan kadar jenayah contohnya membabitkan isu penculikan.

Bagi Syasha Ahmad pula, pembukaan pameran sedemikian menjadi landasan bagi golongan muda sepertinya menonjolkan produktivti diri.

“Kita harap ada bantuan berterusan daripada pihak kerajaan supaya mahasiswa UNISEL dapat bersaing dengan mahasiswa negara luar contohnya Singapura dan Brunei.

“Apa yang penting, saya juga berharap idea ini dapat diterima baik di peringkat yang lebih tinggi lagi selepas ini,” katanya.

-NFN-