Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

21,000 peserta Kiss, Kiss-IT terima manfaat bantuan kehidupan sejahtera

GOMBAK, 4 DIS: Seramai 21,000 penerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) dan Kiss Ibu Tunggal (Kiss-IT) tahun ini akan menerima manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) bermula Februari depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif terbaharu melalui Belanjawan #Selangor2022 membolehkan golongan terbabit mendapat RM300 sebulan berbanding RM200 pada masa kini.

“Tahun ini, kesemua peserta Kiss dan Kiss-IT berjaya dibantu dengan RM200 setiap bulan untuk membeli barang keperluan sekali gus meringankan beban mereka sepanjang pandemik.

“Justeru, tahun depan kita masukkan semua peserta ini ke dalam program Bingkas. Mereka akan terima RM300 sebulan atau RM3,600 setahun disalurkan melalui akaun,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan bantuan persekolahan ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 2,157 ahli Tawas yang lahir pada 2015 mendapat bantuan berupa beg, alat tulis, bekas makanan, botol minuman, beg tuisyen, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Belanjawan negeri dibentangkan Amirudin Jumaat lalu memperuntukkan RM108 juta bagi inisiatif Bingkas yang bakal memanfaatkan 180,000 individu di negeri ini.

Katanya, bantuan itu boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti dari membeli barang keperluan rumah, membayar yuran dan pendidikan anak-anak serta menyara kehidupan rakyat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor hulur bantuan KISS untuk wanita terpaksa curi makanan, ubat

SHAH ALAM, 22 JAN: Kerajaan Negeri sedia menawarkan bantuan kepada wanita didakwa mencuri ubat dan makanan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya kelmarin.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan RM200 menerusi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membolehkan ibu tiga anak itu membeli barangan keperluan asas setiap bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan bagaimanapun wanita tersebut perlu mendaftar bagi tujuan itu berikutan alamat kediaman sebelum ini di Pahang, lapor BH Online.

“Saya tersentuh dengan perkara ini apatah lagi di Selangor kita mempunyai program khusus untuk mereka memerlukan. Insya-Allah kita akan menguruskan bantuan KISS.

“Cuma untuk peringkat awal, ibu ini perlu mendaftar dan segala urusannya akan dipermudahkan segera,” katanya yang mengadakan lawatan mengejut di kediaman wanita berkenaan di Lembah Subang malam tadi.

Amirudin ditemani Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar dan dua pembantunya turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan.

Beliau berkata, kunjungan dibuat selepas menyedari kisah wanita berusia 30-an ditahan pengawal keselamatan sebuah pasar raya disiarkan media semalam.

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor memaklumkan ibu berkenaan merupakan asnaf berdaftar sejak 2018.

Keluarga itu menerima bantuan kewangan bulanan, bantuan hari raya dan keperluan sekolah namun agensi itu berkata akan melihat semula keperluan mereka susulan kejadian berkenaan.

Individu tersebut dikatakan gagal membayar pelekat Kool Fever, sosej dan kek berjumlah RM58 untuk anak-anaknya, seorang daripada mereka mengalami demam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal turut tampil membantu wanita itu termasuk tidak meneruskan tindakan (NFA) atas jenayah dilakukan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Penerima Kiss disemak, pastikan yang layak terima bantuan

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Senarai penerima Program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) akan dikemas kini bagi memastikan hanya yang layak mendapat manfaat, kata EXCO pemberdayaan wanita.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah tersebut bukan untuk mengurangkan jumlah penerima sebaliknya memastikan bantuan itu disalurkan kepada golongan memerlukan sahaja.

“Semakan lebih teliti dibuat bagi mengelak individu sama menerima manfaat setiap tahun sedangkan ramai di luar sana yang betul-betul susah serta memerlukan pertolongan.

“Selain itu ada dalam kalangan penerima Kiss telah berjaya keluar dari kemiskinan hasil kejayaan pelbagai program Kerajaan Negeri untuk meningkatkan taraf hidup mereka, jadi kita perlu beri ruang kepada orang lain pula,” katanya.

Pada 1 November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan bagi program Kiss ditambah RM12 juta menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada RM62 juta pada tahun ini seterusnya memberi manfaat kepada 25,000 penerima.

Sejak diperkenalkan pada 2017, inisiatif Kiss memberi manfaat kepada hampir 50,000 wanita di Selangor pada setiap tahun dan berjaya dalam memberdaya golongan berkaitan sebagai tonggak keluarga.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Manfaat KISS diterus, kemas kini data mulai 1 Jun

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA SELANGOR, 26 APR: Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) akan mengemaskini data penerimanya selama sebulan bermula 1 Jun depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bagaimanapun KISS tetap diteruskan kepada semua penerima sedia ada sehingga 31 Mei ini.

“Bermula 1 Julai 2019, pemberian manfaat KISS diteruskan dengan jumlah yang sama iaitu RM 200 sebulan kepada penerima sedia ada yang berdaftar, memenuhi kelayakan dan tersenarai dalam senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau tersenarai dalam Sistem e-Kasih.

“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan penerima manfaat KISS adalah terdiri daripada golongan yang benar-benar layak dan golongan yang sangat memerlukan.

“Pengemaskinian data berdasarkan proses pengesahan melalui semakan silang dengan senarai penerima BSH atau Sistem eKasih yang dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Beliau menjelaskan perubahan itu ketika sidang media selepas Sesi Town Hall Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Lumu, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, penerima KISS sedia ada yang belum mendaftarkan diri bagi BSH mahupun e-Kasih, dinasihatkan segera membuat pendaftaran bagi membolehkan manfaat KISS bagi 2019 terus dinikmati.

Katanya, pendaftaran boleh dilakukan dengan mengisi lengkap borang e-Kasih yang boleh didapati disemua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di seluruh Selangor atau secara online di laman web Bantuan Sara Hidup (http://bsh.hasil.gov.my)

 

Categories
SELANGOR

Guna peluang ‘Work From Home’ jana pendapatan sampingan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang bakal terpilih menyertai program ‘Work From Home (WFH)’ perlu menggunakan peluang keemasan itu untuk menjana lebih pendapatan sampingan keluarga.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, pelaksanaan program ‘empowerment’ golongan wanita yang dijangka bermula pada tahun hadapan itu, mampu melatih mereka berdikari untuk mencari sumber kewangan sendiri.

“Apabila mereka menjalankan sesuatu pekerjaan dari rumah, ia bergantung sepenuhnya kepada usaha seseorang itu, kalau rajin maka mereka akan memperoleh lebih daripada itu.

“Yang penting, kerja keras untuk mendapatkan pulangan hasil yang baik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kecergasan ‘Jom Sihat’ yang bertemakan Wanita Ceria, Rumahtangga Bahagia’, di Dewan Melawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Masdiana yang juga isteri Dato’ Menteri Besar berkata, program terbabit turut menyediakan platform pemasaran khususnya kepada penerima KISS untuk mengembangkan lagi bidang pekerjaan mereka.

Katanya, kemungkinan terdapat syarikat menawarkan peluang pekerjaan hasil daripada kemahiran dan nilai tambah dimiliki oleh golongan wanita terbabit.

“Jika dilihat, kerja jahitan manik misalnya, walaupun pendapatan agak sedikit pada peringkat permulaan, tetapi tidak mustahil lama-kelamaan mereka boleh membuka butik sendiri.

“Kita tidak tahu rezeki pada masa akan datang, sebab itu saya berharap supaya usaha dan kerja keras mereka ini sentiasa berterusan serta jangan sesekali cepat berputus asa,” katanya.

Terdahulu, menerusi belanjawan Selangor 2019, program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) akan diteruskan ekoran sambutan luar biasa di kalangan rakyat di negara ini khasnya Selangor yang memberi manfaat kepada 40,000 ibu.

Justeru, bagi mengorak langkah ke arah Pemberian ke Pemberdayaan (From Gift To Empowerment), penerima KISS terpilih menyertai program WFH.

Pembabitan proaktif 56 Pusat Wanita Berdaya di seluruh Selangor turut sama dizahirkan dalam mengenal pasti penerima KISS berpotensi untuk menjadi peserta program berkenaan.

Categories
SELANGOR

Skim Peduli Sihat dan KISS terus dapat sambutan rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 NOV: Skim Peduli Sihat berjaya mendaftarkan 362,000 keluarga melibatkan 1.45 juta orang sejak Januari 2018 sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Corporation Sdn Bhd, Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, jumlah itu melepasi sasaran 250,000 keluarga ditetapkan Kerajaan Negeri sebelum ini dengan purata bayaran balik tuntutan RM3.3 juta setiap bulan.

“Sejak Januari sehingga kini, kita merekodkan 628,000 jumlah tuntutan bayaran dengan perbelanjaan yang sudah dilunaskan berjumlah RM32.2 juta.

“Secara purata, kita membayar RM3.3 juta setiap bulan kepada pusat perubatan berdaftar dengan kita. Buat masa ini permohonan pendaftaran masih dibuka kepada keluarga yang berminat,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), setakat ini seramai 39,448 ahli berdaftar dengan sasaran 40,000 penerima manfaat.

Noor Hisham berkata, pihaknya sudah membelanjakan RM48.7 juta sejak Januari 2018 sehingga kini.

Sempena Belanjawan Negeri 2019 beliau berharap program ini diteruskan kerana memberikan manfaat besar kepada rakyat.

Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor 2019 : Kebajikan wanita terus diberdaya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 OKT: Kebajikan wanita di Selangor terus diberdaya apabila Kerajaan Negeri merancang ingin memberi latihan kemahiran bagi membantu menjana pendapatan bulanan mereka, mulai tahun depan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kemahiran itu akan lebih memfokuskan kepada bidang jahitan.

“Pada peringkat permulaan ini, kita memberi fokus kepada penerima program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) supaya mereka boleh menjana pendapatan di samping mempunyai kemahiran tersendiri.

“Kita sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat korporat popular dalam kursus jahitan untuk mereka mengikuti kursus itu,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah berkata, menerusi kursus itu, peserta boleh bekerja tiga bulan dari rumah sekali gus mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada usaha golongan terbabit dan disiplin dalam diri masing-masing untuk mengubah kehidupan.

“Saya optimis golongan ini mempunyai daya usaha dan jangan sesekali berputus asa serta tidak hanya bergantung kepada bantuan dari mana-mana pihak sahaja,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu masih giat dirangka dan perincian lanjut berkenaannya akan dibentangkan di Sesi Pembentangan Belanjawan Selangor 2019, pada 23 November depan.

Terdahulu, program KISS merupakan inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan wanita dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli barang keperluan.

Peserta KISS boleh mendapat bekalan makanan asas, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.

Skim berkenaan terbuka kepada wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan di bawah umur 21 tahun atau mereka yang menetap melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar, di Selangor.

Categories
SELANGOR

241 wanita DUN Dengkil terima KISS

OLEH SHEEDA FATHIL

DENGKIL, 3 SEPT: Seramai 241 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), di sini, pada 30 Ogos lalu.

Penyerahan kad KISS itu disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil.

Adhif berkata, ikatan kebajikan itu amat bagus terhadap golongan sasar yang amat memerlukan bantuan sedemikian.

“Ia bertujuan meringankan beban tanggungan keluarga terutama kepada ibu yang tidak bekerja dan mempunyai anak ramai.

“Manakala, kepada mereka yang sudah memohon, urusan anda akan saya percepatkan dan berusaha untuk menyelesaikan dengan kadar segera,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook beliau.

Pada masa sama, Adhif turut mengucapkan terima kasih kepada wakil Selgate yang sudi hadir memberi penerangan berkenaan penggunaan kad KISS itu kepada orang ramai.

Terdahulu, KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 Selangor tahun lalu oleh mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui KISS, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Program itu memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta pakaian sekolah untuk anak di pasaraya juga kedai runcit terpilih.

Peserta KISS boleh mendapat bekalan berkenaan di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.

Categories
SELANGOR

Selangor iktiraf ‘Menteri Ekonomi Rumahtangga’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JUN: Pentadbiran Kerajaan Negeri mengiktiraf komitmen dan sumbangan golongan ibu dalam mengurus kebajikan keluarga, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Beliau berkata, inisiatif itu dibuktikan menerusi pemberian Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) kepada golongan itu.

“Sebagai wanita, kita juga digelar sebagai Menteri Ekonomi Rumahtangga.

“Peranan itulah menyebabkan Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar KISS khas buat kaum Ibu yang ada tanggungan.

“Keyakinan wanita sebagai pengurus kewangan itu dijadikan asas kad KISS kepada kaum ibu di Selangor,” kata bekas suri rumah itu, kepada SelangorKini.

Terdahulu, menerusi Belanjawan 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan program KISS dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Pemberian itu dijangkan akan memberi manfaat kepada 30,000 penerima.

KISS dikhususkan kepada wanita berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah yang melayakkan mereka mendapatkan bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di pasar raya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor komited teruskan IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUN: Kerajaan Negeri komited meneruskan Insiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan sejak 2008 lalu.

Exco Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berpendapat IPR akan terus diperkasa dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Katanya, Kerajaan negeri perkenal pelbagai program dengan peruntukan jutaan ringgit termasuk dari segi pendidikan kepada golongan memerlukan.

“Kita turut perkasakan anak muda tercicir dalam meneruskan pelajaran.

“Kita beri pendidikan percuma dan lebih 4,000 anak muda di Selangor dapat manfaat tajaan Kerajaan Negeri sejak 2008,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di Facebook, semalam.

Ganabatirau berkata, program Jom Shopping masih diteruskan dengan memberikan baucar RM100 kepada yang layak setiap kali sambutan perayaan.

Katanya, terdapat cadangan untuk program itu dipelbagaikan, kelak.

“Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) yang diperkenal untuk ibu-ibu daripada keluarga tidak berkemampuan diharap dapat bantu ringankan beban keluarga mereka.

“Hanya kerajaan Selangor berani bagi bantuan RM2,400 setahun (RM200 sebulan) kepada ibu yang layak,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan membantu 30,000 keluarga di negeri itu.

“Kerajaan negeri juga masih teruskan program pemberian air percuma.

“Dulu ada yang ketawakan kita dan bagi tahu kerajaan negeri akan bankrap tapi hingga kini ia masih dalam dilaksanakan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Semua ibu bakal merasai KISS sekiranya PAKATAN mentadbir

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 3 MEI : Semua ibu di negara ini bakal merasai program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sekiranya Pakatan Harapan (PAKATAN) diberi mandat mentadbir Putrajaya.

Penyandang kerusi N.43 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan sudah 43 program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilaksanakan Kerajaan Negeri bertujuan meringankan beban rakyat.

“Kerajaan Negeri membelanjakan RM2.6 bilion bagi melaksanakan program IPR sejak 2008, namun sebaliknya terjadi kepada Kerajaan Persekutuan yang membelanjakan RM300 bilion setahun tetapi rakyat tetap terbeban.

“Jika sebelum ini, kita memberi KISS kepada golongan sasaran namun sekiranya PAKATAN berjaya mentadbir Putarajaya dan hanya dengan RM1 bilion peruntukkan membolehkan semua ibu di negara ini bakal merasai nikmat KISS,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan penduduk Taman Seri Wangi pada sesi Ceramah Kelompok di sini, malam semalam.

Daroyah yang juga selaku mantan Exco Kesihatan, Kebajikan, Wanita dan Keluarga berkata, Kerajaan Negeri berusaha sedaya upaya meringankan beban rakyat Selangor dan program berkenaan turut ingin diperluaskan di seluruh negara.

Terdahulu, KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 Selangor tahun lalu oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui KISS, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Program itu memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta pakaian sekolah untuk anak di pasaraya juga kedai runcit terpilih.

KISS dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri melibatkan peruntukan RM72 juta.

Categories
SELANGOR

Penerima akui KISS banyak membantu

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 30 MAC: Penerima skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) menyifatkan bantuan bernilai RM2,400 daripada Kerajaan Negeri sangat bermakna kepada mereka sekeluarga.

Suri rumah, Gokila Arumugam, 36, berkata, bertambah bermakna apabila beliau sekeluarga tidak pernah menerima sebarang bantuan sebelum ini.

“Pada zaman sekarang harga barang semuanya naik menyebabkan ramai menanggung kesukaran hidup lebih-lebih lagi golongan kurang berada seperti kami tetapi dengan adanya Kad KISS RM200 sebulan membantu ringankan beban keluarga.

“Dengan bantuan ini saya boleh beli keperluan anak seperti lampin, susu formula, saya harap Kerajaan Negeri ini kekal supaya bantuan seperti ini diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Penyerahan Kad KISS Kepada Penerima di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, pada 28 Mac lalu.

Lily Suraini Abd Latif, 52, berkata beliau amat menghargai usaha keras Pegawai Penyelaras DUN Kota Damansara, Mohd Radzlan Jalaluddin bagi memastikan bantuan ini sampai kepada golongan memerlukan.

“Syukur kepada tuhan dan terima kasih banyak kepada penyelaras DUN, juga Kerajaan Negeri kerana membantu meringankan golongan seperti kami di mana bagi kami bantuan seperti ini amat bermakna.

“Dengan adanya bantuan seperti ini, saya dapat salurkan perbelanjaan untuk hal lain seperti persekolahan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi suri rumah, Tabitah Sab pula berkata, langkah ini merupakan salah satu bukti Kerajaan Negeri yang ada sentiasa peduli terhadap isu rakyat.

“Kalau di Sabah dahulu memang susah nak merasa dapat bantuan kerajaan seperti ini tetapi saya bernasib baik kerana kini tinggal di Selangor dan dapat pula bantuan Kad KISS ini.

“Bantuan ini buat saya begitu gembira dan terharu,” katanya.

Terdahulu, pada program terbabit, Mohd Radzlan menyerahkan Kad KISS kepada 435 penerima menjadi jumlah keseluruhan setakat ini lebih 800 penerima.

Mohd Radzlan berkata sehingga kini pihak PKM Kota Damansara menerima lebih 2,000 permohonan dan dijangkan terus bertambah.