SHAH ALAM, 7 FEB: Pesakit Covid-19 yang bergejala ringan, berusia bawah 60 tahun dan tidak mempunyai lebih satu penyakit (komorbid) tidak perlu hadir ke pusat penilaian Covid-19 (CAC).
“Sebaliknya (mereka) hanya perlu melakukan pemantauan kendiri melalui kit penilaian di rumah (HAT) dalam aplikasi MySejahtera,” kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook.
Selain kategori 1 (tanpa gejala), bagi menghadapi gelombang Omicron, KKM membahagikan pesakit kategori dua kepada 2A (ringan) dan 2B (sederhana).
Gejala bagi dua kategori dihuraikan dalam infografik di bawah.
Individu positif kategori 2B dan ke atas, sama ada berisiko tinggi atau tidak, dan mengalami gejala yang semakin teruk dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat.
Menurut KKM, individu kategori 2B perlu melakukan pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC.
Virus Covid-19 terus merebak pantas dengan merekodkan lonjakan ketara sejak pertengahan minggu lepas sehingga 11,034 kes hari ini, jumlah tertinggi tahun ini .
Sebanyak 10,089 kes direkodkan semalam berbanding 9,117 pada Sabtu, 7,234 kes (Jumaat) dan 5,720 (Khamis).