Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 naik 3,684 kes, 99.1 peratus tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kes baharu COVID-19 terus meningkat hari ini kepada 3,684 kes berbanding 3,198 kes semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,798,917 setakat 12 tengah hari tadi.

Angka tersebut adalah tertinggi dalam tempoh dua minggu sejak 30 Dis lepas yang mencatatkan 3,997 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes sembuh pula mencatat 3,292 kes, menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu kini 2,726,891 kes.

“Daripada 3,684 kes harian dilaporkan hari ini, 34 kes (0.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,650 kes (99.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 192 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 91,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lapan kluster baharu turut dikenal pasti dengan 178 kluster masih aktif setakat ini, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.99, semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal 470 kes seperti dimaklumkan semalam kerana tiada pertambahan kes baharu dilapor setakat 3 petang ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan turut mengesan empat kes penyakit berjangkit melibatkan mangsa bencana itu yang merangkumi dua kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan dua kes penyakit kulit.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 meningkat 3,543 kes hari ini

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Kes baharu COVID-19 terus meningkat hari ini kepada 3,543 kes berbanding 3,270 kes semalam, menjadikan kes kumulatif dijangkiti wabak itu adalah 2,776,699 setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 53 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala, 3,490 kes lagi ialah kategori satu dan dua.

“Kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 253 manakala kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 130,” katanya menerusi satu kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 hari ini.

Mengenai jumlah kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 3,484 kes dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif pulih daripada jangkitan wabak itu adalah 2,705,292 kes.

Beliau berkata tujuh kluster baharu turut dikenal pasti dengan 190 kluster masih aktif setakat ini, sementara nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini mencatatkan 0.97, semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes COVID-19 baharu melibatkan mangsa banjir, dan jumlah kes kekal 465 kes.

Beliau berkata 33 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir terdiri daripada 22 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut, penyakit kulit (10) dan Acute Gastroenteritis (satu).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 102 daripada 5,516 kes baharu kategori tiga, empat, lima

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Hanya 1.8 peratus atau 102 kes daripada 5,516 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, melibatkan individu dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.

Kategori Tiga merujuk kepada mereka yang mempunyai radang paru-paru, Kategori Empat memerlukan bantuan oksigen dan Kategori Lima memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 5,414 kes atau 98.2 peratus pula terdiri daripada mereka dalam Kategori Satu dan Dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 5,502 kes melibatkan penularan dalam negara manakala 14 kes adalah kes import,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata sebanyak 9,401 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,297,289.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat 669 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 333 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata empat kluster baharu dikenal pasti membabitkan tiga kluster tempat kerja dan satu kluster pendidikan lain.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 1.6 peratus kes baharu dalam kategori tiga hingga lima

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Hanya 1.6 peratus atau 243 kes daripada 14,954 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hingga 12 tengah hari ini adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kategori tiga merujuk kepada pesakit yang mengalami radang paru-paru, kategori empat memerlukan bantuan oksigen dan kategori lima memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau, baki 14,711 kes atau 98.4 peratus pula adalah daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 11 adalah kes import melibatkan sembilan warganegara dan dua rakyat asing manakala 14,943 kes lagi adalah penularan dalam negara melibatkan 13,580 warganegara dan 1,363 rakyat asing,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam yang lepas, sebanyak 23,469 kes sembuh turut direkodkan menjadikan jumlah kes pulih dari Covid-19 dalam negara kini ialah 1,863,922.

Terdapat 1,194 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 882 kes disahkan positif Covid-19 dan 312 kes lagi adalah “suspected”, “probable” dan kes dalam siasatan.

Daripada jumlah terbabit, 665 kes memerlukan bantuan pernafasan merangkumi 401 kes disahkan Covid-19, sementara 264 kes adalah “suspected”, “probable” dan kes dalam siasatan.

Beliau berkata sebanyak 19 kluster baharu dikesan dalam tempoh sama dengan 13 daripadanya berkaitan tempat kerja, empat berkaitan penularan dalam komuniti dan masing-masing satu kluster berkaitan pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) Malaysia semalam adalah 0.94 dengan Sarawak mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.08, diikuti Pahang dan Terengganu (1.05) serta Johor dan Perak (1.01).

Sementara itu, berdasarkan data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW dan Github, sejumlah 324 kes kematian baharu dilaporkan setakat tengah malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu kini ialah 23,067 kes.

Bagaimanapun, daripada jumlah kematian baharu itu, hanya tujuh kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam (18 Sept) manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak. Sebanyak 70 kematian baharu yang dilapor adalah kes yang berlaku di luar hospital.

Sejumlah 146 kes kematian dilaporkan di Selangor, Johor (54), Kedah (24), Pulau Pinang (25), Perak (15), Sabah (13), Kelantan (12), Sarawak (11), Melaka dan Kuala Lumpur (masing-masing tujuh) serta Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing lima).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

i-Sinar: Ramai tarik nafas lega tetapi ada masih keliru

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Suri rumah, pemandu bas sekolah, kru filem dan pekerja hotel kini boleh menarik nafas lega apabila mereka dinyatakan sebagai antara kategori yang bakal mendapat kelulusan secara automatik program i-Sinar, bermula pertengahan bulan ini.

Ini susulan kategori itu turut dipaparkan laman sosial Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas institusi tersebut membuat pengumuman berhubung kriteria dan butiran kemudahan i-Sinar, Rabu lepas.

Seorang suri rumah Kamilia Mohd, 28, berkata kelulusan secara automatik itu memudahkannya kerana tidak perlu berhadapan prosedur  melecehkan membuat pengeluaran caruman KWSP.

“Suami bekerja sendiri dan sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Mac lepas pendapatan memang agak terjejas kerana pada waktu itu dia tidak boleh keluar untuk berniaga dan sekarang pun pendapatannya tidak serancak sebelum ini.

“Jadi apabila ada program i-Sinar dan sebagai suri rumah, walaupun saya tidak lagi mencarum hampir 10 tahun, agak memudahkan kerana tidak perlu melalui prosedur melecehkan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pemandu van sekolah Noria Rashid, 45, pula menyifatkan pengeluaran wang diluluskan secara automatik kepada pemandu van dan bas sekolah yang menjadi ahli KWSP sepertinya, secara tidak langsung memberi sedikit harapan kepada kumpulan pekerjaan sangat terjejas pendapatan.

Noria berkata buat masa ini dia terpaksa menjual aiskrim Malaysia sebagai sumber pendapatan alternatif susulan penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sejak 14 Okt lepas.

“Saya tahu program i-Sinar, tetapi tidak tahu kami sebagai pemandu van dan bas sekolah boleh dapat secara automatik, jika benar insya-Allah kami akan memohon.

“Adanya sedikit duit (KWSP) dapatlah kami bernafas buat sementara sebelum sekolah dapat dibuka dan perkhidmatan kami beroperasi semula,” katanya.

Ayuni Zamani, 36, seorang penulis skrip bebas turut senada dan menyifatkan program itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang perlu melunaskan beberapa komitmen tertangguh sebelum ini.

Katanya walaupun jumlah caruman KWSP yang boleh dikeluarkan tidak besar, sedikit- sebanyak dapat membantu ketika keadaan industri perfileman dan drama tempatan terjejas oleh Covid-19.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pejabat KWSP di ibu negara mendapati kebanyakan pencarum  ditemui memilih berjumpa pegawai KWSP bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kemudahan pengeluaran caruman daripada Akaun 1.

Mereka berpandangan bertemu pegawai KWSP bukan sahaja membolehkan mereka mendapat maklumat terperinci tetapi juga mengelakkan kekeliruan berhubung kemudahan berkenaan memandangkan ada dakwaan proses pengeluaran merumitkan.

Zahari Shamsudin, 36, seorang peniaga yang juga pencarum kategori 1 i-Sinar, meluahkan rasa lega dengan penjelasan pegawai KWSP berhubung proses dan maklumat lebih terperinci pengeluaran carumannya.

“Baca di media sosial banyak sangat maklumat yang kadang-kadang mengelirukan, jadi saya datang ke pejabat KWSP berbincang dengan pegawai untuk maklumat lanjut,” katanya.

Tidak terkecuali penghantar makanan Amirul Amir Ismail, 30, yang hadir di pejabat KWSP untuk mengetahui sama ada dia layak memohon pengeluaran hingga RM10,000 program itu.

Bekas petugas sektor perhotelan itu berkata kemudahan pengeluaran caruman berkenaan membantu meringankan bebannya yang kini terpaksa menjadi penghantar makanan selepas diberhentikan kerja Julai lepas.

“Bila berjumpa dengan petugas KWSP, selain beri maklumat, mereka juga beri saranan pengurusan wang yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Mohd Nasrul Naim, 39, pula berpendapat KWSP seharusnya menggunakan pendekatan mudah dengan menyenaraikan semua kategori layak serta diberikan kelulusan automatik kerana rata-rata pencarum masih keliru dengan pelaksanaan program yang turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.

“Bila tiada penerangan, pencarum juga keliru dan akhirnya terpaksa ke pejabat KWSP untuk dapatkan kepastian, ini menyulitkan keadaan bukan sahaja pencarum tetapi juga kepada pihak KWSP,’’ kata pemilik kedai makan itu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 28 November lepas mengumumkan program i-Sinar diperluaskan kepada lapan juta orang berbanding dua juta ahli yang layak dengan jumlah pengeluaran maksimum turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM10,000 bagi mereka yang mempunyai simpanan kurang daripada RM90,000 dalam Akaun 1, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih 80 peratus pesakit tidak bergejala, bergejala ringan

PUTRAJAYA, 24 APRIL: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan, lebih 80 peratus daripada pesakit Covid-19 di negara ini adalah pada kategori 1 dan 2, iaitu yang tidak mempunyai gejala dan mempunyai gejala ringan.

Katanya, jika seseorang itu dapat di kesan pada peringkat awal dan kemudiannya disaring positif, beliau akan terus dimasukkan ke dalam wad dan akan dipantau, walaupun mereka tidak menunjukkan gejala.

“Lebih 80 peratus daripada pesakit kita adalah dalam kategori 1 dan 2, bererti kita dapat pantau (mereka) di hospital dan mungkin ada negara lain tidak dapat masuk hospital pun, hanya dipantau di rumah,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada komplikasi seperti pembekuan darah dan strok dikesan dalam kalangan pesakit seperti yang dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat.

Dr Noor Hisham menjelaskan, daripada segi perkembangan rawatan Covid-19, di Malaysia apa yang penting ialah mengenal pasti pesakit pada peringkat awal.

Katanya, terdapat lima kategori iaitu; tidak bergejala, bergejala ringan, radang paru-paru yang tidak memerlukan oksigen, radang paru-paru yang memerlukan oksigen, dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, ubat yang digunakan kepada pesakit yang mempunyai gejala ringan sebagai contoh, hydroxychloroquine, yang digunakan sejak hari pertama lagi.

“Tetapi kita kena pantau kesan sampingan ubat itu. Mungkin daripada segi rawatan, ubat di peringkat yang awal, kita dapat elakkan gejala yang lebih teruk lagi.

“Jadi kita nasihatkan mereka yang ada gejala ataupun ada kesan positif, kita akan masukkan mereka ke wad dan memantau mereka. Tetapi kalau mereka datang pada peringkat yang lewat, mungkin (ada) komplikasi daripada segi paru-paru, organ dalaman serta pendarahan,” katanya.

Dr Noor Hisham mengambil contoh kes seorang warga Myanmar berumur 36 tahun yang dilaporkan di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, telah meninggal dunia kerana datang pada peringkat yang lewat.

“Tidak sempat kita nak buat apa-apa pun, walaupun kita cuba beri bantuan pernafasan, pesakit itu meninggal dunia. Jadi kalau datang pada peringkat yang lewat, memang amat sukar untuk kita lihat.

“Jadi kita kena lihat post-mortem pula. Kita lihat post-mortem berbagai komplikasi berlaku. Komplikasi daripada jangkitan dan juga radang atau inflamasi,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata, dalam post-mortem itu juga mengenal pasti virus Covid-19 itu ada di permukaan kulit, cecair badan, air kencing dan juga organ-organ dalaman.

“Kalau kita tidak teliti dalam pengurusan mayat, boleh juga menjangkiti orang yang memandikan jenazah mangsa,” katanya.

-BERNAMA