Categories
AGENDA NASIONAL

99 peratus kes Covid-19 dalam kategori satu dan dua, katil mencukupi

SHAH ALAM, 7 FEB: Lebih 99 peratus kes Covid-19 antara 30 Januari hingga 5 Februari tergolong dalam kategori satu dan dua sekali gus penggunaan katil di premis kesihatan mencukupi.

“Buat masa ini, kadar penggunaan katil Covid-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membebankan,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau menjelaskan penggunaan katil pada masa ini hanya 33 peratus daripada 9,776 yang disediakan sekalipun berlaku peningkatan empat peratus berbanding minggu sebelumnya.

Berikut perincian mengenai penggunaan katil bagi merawat pesakit Covid-19:

  •  Kadar penggunaan katil ICU pula adalah 14 peratus atau 116 daripada 850 katil yang disediakan
  •  KKM siap sedia sembilan hospital untuk pesakit Covid-19 sepenuhnya dan 111 hospital hibrid
  •  43 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah dengan kapasiti 10,810 buah katil
  •  Hanya 335 (0.8 peratus) pesakit adalah kategori tiga hingga lima

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pesakit wabak kurang, penggunaan katil hospital turun 20 peratus

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital di Selangor menurun berdasarkan penggunaan katil yang berkurangan 20 peratus dalam tempoh 1 hingga 17 Ogos.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata penggunaan semasa 7,780 katil disediakan bagi berdepan penularan wabak itu menunjukkan 81 peratus diguna berbanding 101 peratus pada 1 Ogos.

Jelasnya, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) juga berkurangan kepada 90 hingga 100 peratus berbanding melebihi kapasiti sebelum ini.

“Malah ketika kes memuncak pesakit kritikal terpaksa dirawat menggunakan ventilator di luar ICU.

“Dua minggu ini kita lihat keadaannya semakin baik, golongan berusia 60 tahun ke atas semakin berkurangan di ICU selepas kumpulan itu menerima vaksin,” katanya di sini semalam.

Dr Sha’ari turut menasihatkan individu menghidap penyakit kronik berhati-hati dan sentiasa patuh tatacara operasi piawai walaupun sudah menerima vaksin.

“Dapatkan rawatan secukupnya dan pastikan diri dalam keadaan sihat.

“Kalau dijangkiti mungkin gejalanya teruk tetapi dapat dikurangkan dengan vaksin,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tambah katil hospital antara usaha JKNS tangani kenaikan kes Covid-19

SHAH ALAM, 6 OGOS: Penambahan kapasiti katil hospital merupakan antara usaha Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam menangani kenaikan kes wabak.

Pengarah Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata ia sebagai persediaan empat hospital yang dijadikan pusat rawatan Covid-19 sepenuhnya menerima lebih ramai pesakit yang memerlukan rawatan rapi.

“Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti daripada 1,311 kepada 1,602 katil meliputi wad dan juga unit rawatan rapi (ICU), manakala Hospital Ampang mempunyai 640 katil untuk pesakit Covid-19.

“Hospital Selayang mempunyai 900 katil diperuntukkan bagi pesakit Covid-19 selain 658 katil Hospital Serdang diperuntukkan bagi tujuan sama,” katanya pada sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Selain itu, katil Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Hospital Banting serta Hospital Kajang turut ditambah kepada 10 hingga 20 peratus.

Dr Sha’ri menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang yang awalnya hanya menerima pesakit kategori satu, dua dan tiga kini turut menerima kategori empat.

“Perkhidmatan ambulan untuk mengambil pesakit ke hospital juga ditambah melalui ambulan standby sewaan ambulan swasta.

“Semua hospital diberi tambahan silinder oksigen yang mana 3,000 tangka oksigen dibekalkan ke PKRC MAEPS,” katanya.

Jelasnya, terdapat 27 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ditubuhkan di negeri ini yang mana setiap daerah mampunyai sekurang-kurangnya satu pusat yang dilengkapi peralatan untuk menangani kes kecemasan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kapasiti katil hospital di Lembah Klang Raya ditingkatkan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kapasiti katil di hospital awam dan swasta yang merawat pesakit Covid-19 di kawasan Lembah Klang Raya (GKV) dipertingkat, termasuk menukarkan fungsi kawasan guna semula dalam hospital sebagai wad pesakit.

Komander Pasukan Bertindak Khas GKV (GKV STF) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata langkah berkenaan dibuat berikutan situasi terkini penularan wabak itu di GKV merangkumi kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata inisiatif lain iaitu penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan ke hospital swasta turut dilakukan bagi membolehkan lebih banyak katil di hospital awam digunakan untuk pesakit Covid-19.

“Perkhidmatan ambulan juga dipertingkatkan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Jababatan Bomba dan Penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah.

“Selain itu, isolasi di rumah dan pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya dibuat bagi pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata GKV STF turut menjalinkan kerjasama dengan NGO dan sukarelawan bagi melaksanakan pengesanan kontak rapat.

Sehingga kini, di GKV terdapat 29 hospital awam dan 51 hospital swasta serta dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk empat hospital penuh rawatan Covid-19 iaitu Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Serdang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggunaan katil hospital di Lembah Klang lebih 85 peratus

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kadar penggunaan katil pesakit termasuk ‘repurpose bed’ (katil yang diubah suai) di hospital-hospital di Lembah Klang kini melebihi 85 peratus, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata mengambil kira keperluan katil tambahan, khususnya di unit rawatan rapi (ICU), Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan beberapa langkah afirmatif segera untuk menangani keadaan luar jangka kedatangan atau rujukan pesakit yang tinggi ke hospital-hospital kementerian di Lembah Klang, terutamanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Antaranya ialah meluaskan lagi penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi membolehkan HKL menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

Selain itu, kapasiti katil ICU dan bukan ICU termasuk peralatan dan kemudahan seperti alat bantuan pernafasan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti seperti Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM), Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), akan ditingkatkan bagi menerima serta merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

“Turut dilaksanakan ialah memberi penugasan semula sementara kepada petugas kesihatan merangkumi pakar perubatan dan anggota paramedik dari negeri tertentu, bagi menyokong perkhidmatan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti yang memerlukan petugas kesihatan tambahan untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata langkah lain ialah mengoptimumkan sumbangan sukarelawan dan pelajar kejururawatan tahun akhir daripada Institut Latihan KKM yang sedang menjalani latihan praktikal bagi membantu petugas kesihatan seperti di pusat pemberian vaksin (PPV), manakala sebahagian jururawat berpengalaman di PPV dan pusat saringan COVID-19 ditugaskan semula bagi menyokong penyampaian perkhidmatan di hospital KKM.

“Menerusi langkah-langkah afirmatif ini, KKM berharap tekanan tinggi yang diterima oleh pihak hospital untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 dapat dikurangkan dari semasa ke semasa, serta negara dapat segera mencapai pemulihan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dikendalikan oleh HKL, sebanyak 71 peratus adalah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima, manakala bakinya pesakit Covid-19 kategori satu dan dua.

Berdasarkan rekod terkini, Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL menerima 60 hingga 70 pesakit Covid-19 sehari dengan purata tiga pesakit kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan selain perlu dirawat di ICU.

Beliau menjelaskan jumlah kedatangan atau rujukan pesakit yang tinggi ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL sebagai hospital rujukan berstatus Hibrid Covid-19, iaitu menerima pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19, ditangani dengan penyediaan dan penggunaan katil tambahan, manakala pesakit Covid-19 yang telah stabil dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras dan Institut Perubatan Respiratori.

Menurutnya, jumlah kedatangan atau rujukan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat ke hospital KKM di Lembah Klang ditangani dengan kerjasama Hospital Sungai Buloh yang kini berstatus Hospital Covid-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang turut mengendalikan sementara pesakit Covid-19 hingga kategori empat sebelum dipindahkan ke hospital.

“KKM juga bekerjasama dengan HPKK UKM, Hospital UPM, Hospital UiTM dan Hospital Angkatan Tentera Malaysia untuk menerima serta merawat kes pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19,” kata Dr Adham.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Kes harian baharu Covid-19, kematian di Thailand catat rekod tertinggi

BANGKOK, 24 APRIL: Thailand mencatatkan 2,839 kes baharu Covid-19 pada Sabtu, kes harian tertinggi pada hari kedua berturut-turut dengan pihak berkuasa memberi jaminan katil hospital mencukupi di tengah-tengah gelombang jangkitan ketiga, pandemik terburuk di negara itu.

Jurucakap Pusat Pentadiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kes baharu itu menjadikan jumlah jangkitan kepada 53,022 sejak pandemik itu bermula tahun lalu dan dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand juga merekodkan lapan kematian baharu, juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi dalam sehari menjadikan jumlah kematian kepada 129.

Daripada jumlah kes baharu itu, beliau berkata 2,827 adalah penularan tempatan dan 12 kes import.

Beliau berkata Bangkok mendahului senarai itu dengan jumlah kes tertinggi ialah 1,582 diikuti Chiang Mai (151), Chonburi (118), Nonthaburi (96) dan Samut Prakan (84).

Beliau berkata gelombang ketiga wabak itu telah mencatatkan 24,159 kes dan 35 kematian hanya dalam tempoh 24 hari.

“Sehingga kini seramai 22,327 orang dimasukkan ke hospital iaitu 17,924 dirawat di hospital dan 4,403 di hospital lapangan.

Terdapat 418 orang lagi berada dalam keadaan serius manakala 113 menggunakan ventilator,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Tambahnya, kematian baharu itu melibatkan enam lelaki dan dua wanita – semua warganegara Thailand berumur antara 48 dan 89 tahun yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik kecuali pesakit berumur 48 tahun itu yang mempunyai masalah obesiti.

Mengenai katil hospital, Taweesin memberi jaminan katil hospital mencukupi di negara itu untuk menangani lonjakan kes Covid-19

Beliau berkata terdapat sejumlah 40,524 katil di hospital dan hospital lapangan dengan 21,138 masih kosong.

Memandangkan kes Covid-19 terus meningkat, beliau berkata Kementerian Kesihatan Awam sedang menambah lebih banyak katil hospital.

Lonjakan ketara jangkitan itu mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan katil hospital kerana Thailand menetapkan semua pesakit Covid-19 dimasukkan dan dirawat di hospital bagi mengurangkan penularan.

Media tempatan melaporkan Bangkok mempunyai 262 katil di unit rawatan rapi (ICU) dan hanya 69 katil tidak didiami. Jika jangkitan Covid-19 terus meningkat sebanyak 1,500 kes sehari, semua katil ICU di Bangkok akan penuh dalam tempoh enam hingga lapan hari.

Bagi menghentikan penularan pandemik Covid-19 di negara itu, pemakaian pelitup muka di tempat awam diwajibkan di 42 wilayah termasuk Phuket, Pattani, Songkhla, Kanchanaburi dan Samut Sakhon.

Selain itu, semua kompleks beli-belah dan bazar komuniti di kawasan zon merah termasuk Bangkok akan dibuka dari 11 pagi hingga 8 malam bermula esok hingga 2 Mei manakala pasar raya dan kafetaria akan ditutup pada 9 malam. Kedai serbaneka akan beroperasi dari 5 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu dalam ucapan yang disiarkan di televisyen malam tadi, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha meyakinkan rakyat di negara itu, kerajaan berupaya menangani wabak terbaru itu.

“Rakyat harus terus berhati-hati dan (malah) mematuhi langkah yang dikeluarkan oleh CCSA. Ini membantu meringankan beban petugas perubatan dan situasi Covid-19 harus segera terkawal,” katanya.

– BERNAMA