Categories
ADN SELANGOR

Trauma pascabanjir, kaunseling bantu rawat emosi mangsa

SHAH ALAM, 19 JAN: Program kaunseling bagi menjaga kesihatan mental dan emosi mangsa banjir akibat bencana tahun lalu antara tumpuan wakil rakyat Dusun Tua.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata usaha itu bagi membantu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit yang berdepan tekanan serta kebimbangan pascabah.

Beliau menjelaskan tindakan itu dibuat sebaik sahaja pembaikan infrastruktur dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) selesai bagi mengelakkan mangsa dibelenggu ketakutan.

“Ada yang mendapat rawatan psikiatri di hospital. Mereka trauma, tidak boleh tidur terbayang banjir besar dan kebimbangan melampau. Selepas ini, kita akan fokus pada emosi mereka,” katanya.

Sementara itu, Edry Faizal berkata lebih 4,500 mangsa banjir selesai menerima bantuan negeri berjumlah RM1,000 untuk fasa pertama manakala baki diagih sebelum hujung bulan ini.

“Fasa kedua nanti tidak ramai, anggaran sekitar 100 individu sahaja. Harap bantuan ini meringankan beban mereka. Kita akan bantu sebaik mungkin,” katanya lagi.

DUN berkenaan antara lokasi yang mengalami kerosakan teruk akibat bah Disember tahun lalu selain Taman Seri Muda, Shah Alam dan Bukit Lanchong, Subang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Imam, bilal enggan divaksin diberi kaunseling

KOTA BHARU, 4 SEPT: Kumpulan imam dan bilal yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat untuk menjalani sesi kaunseling.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata sesi kaunseling itu bagi menjelaskan tentang kepentingan pengambilan vaksin serta memberi penerangan kepada golongan terbabit bahawa vaksinasi tidak membawa keburukan.

“Sesetengah negeri kelompok sasar yang tertentu tidak mahu mengambil vaksin ini kerana terpengaruh dengan dakyah dan juga propaganda sesetengah pihak. Perkara ini perlu diambil tindakan sewajarnya, bukan tindakan undang-undang tetapi penerangan dan penjelasan termasuk mengadakan kaunseling,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat Kampung Landak, Pengkalan Chepa hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap 95 guru agama, 17 pegawai masjid serta jurunikah yang menolak suntikan vaksin Covid-19 walaupun negeri itu mencatatkan bilangan jangkitan harian yang tinggi.

Ahmad Marzuk berkata keengganan golongan antivaksin perlu dipandang serius kerana vaksinasi itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok memandangkan hakikat Covid-19 kini merupakan endemik.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Pusat kaunseling Selangor bantu atasi masalah kesihatan mental

SHAH ALAM, 5 JULAI: Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat (PKS-TS) menawarkan bantuan khidmat nasihat bagi menangani masalah kesihatan mental sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Pengerusinya berkata mereka yang mengalami gangguan mental boleh menetapkan janji temu dengan menghubungi talian 03 5519 0500 atau WhatsApp 013 300 9291 dan mengikuti Facebook Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat.

Menurut Mohamad Zahri Samingon pihaknya memberikan sesi kaunseling berstruktur secara secara maya yang menggantikan kaedah bersemuka yang ditangguhkan susulan PKPD selain menggunakan platform media sosial.

“Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD di kebanyakan kawasan di Selangor, PKS-TS menyeru masyarakat terganggu emosi atau psikologi segera menghubungi kami untuk bantuan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

PKPD dikuat kuasa di 34 mukim dalam lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai bagi membendung Covid-19.

Bagaimanapun, jika penularan wabak gagal dibendung, PKPD di sesuatu kawasan akan disambung selama dua minggu berikutnya.

22 Mei lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata banyak kes bunuh diri berlaku akibat masalah kesihatan mental sepanjang PKP namun tidak dihebohkan.

Categories
EXCO SELANGOR

Khidmat kaunseling percuma Kinrara bantu individu atasi tekanan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyediakan khidmat kaunseling secara percuma khusus untuk penduduk di kawasan sekitar.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata sesi tersebut diadakan pada Sabtu hingga Isnin mulai jam 10 pagi hingga 6 petang di Balai Masyarakat JKP Zon 16 Puchong.

Beliau menjelaskan program kendalian dua pakar meliputi kaunseling individu dan kumpulan, pengurusan tekanan dan emosi, kerjaya serta keluarga.

“Melalui waktu sukar? Jika anda dapati sukar untuk mengatasi tekanan, gelisah dan kemurungan, segera datang dan bercakap dengan kaunselor kami,” tulisnya di Facebook.

Sze Han menambah orang ramai yang ingin menyertai sesi kaunseling tersebut perlu membuat temu janji terlebih dahulu.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 bagi menangani isu kesihatan mental menerusi kelas interaktif.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu tersebut antara fokus umum Kerajaan Selangor bagi membantu rakyat, terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bilangan pegawai psikologi tidak mencukupi – KKM

PUTRAJAYA, 3 JUN: Bilangan pegawai psikologi kaunseling dalam negara masih tidak mencukupi iaitu dengan nisbah kaunselor kepada individu adalah 1:52,000, sedangkan nisbah normal adalah 1:500.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini hanya terdapat 148 pegawai psikologi kaunseling yang berkhidmat.

“Secara dasarnya bilangan ini tidak mencukupi bagaimanapun kita bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi tujuan perkhidmatan kaunseling,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata KKM meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental melalui sistem digital dan teknologi termasuk menyediakan talian sokongan psikososial dan kaunseling secara maya menggunakan aplikasi terkini.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini KKM menerima 9,338 panggilan daripada individu yang memerlukan sokongan dan antara isu yang dibangkitkan adalah berkaitan tekanan jiwa dan kerisauan, serta faktor sosial seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan dan masalah hubungan sesama manusia.

Selain itu masalah keperluan asas termasuk bantuan kewangan dan sumbangan serta isu keganasan rumah antara, merupakan antara isu yang disuarakan individu yang bimbang dan takut terhadap pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Khidmat kaunseling, pembersihan bantu mangsa banjir

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 26 JAN: Khidmat kaunseling dan bantuan pembersihan rumah kediaman disediakan bagi membantu mangsa banjir yang mengalami trauma, susulan musibah itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pasukan khas digerakkan bagi membantu keperluan terbabit.

“Kerajaan Negeri menyiapkan unit kaunseling di semua pusat pemindahan dan turut menyediakan pasukan yang akan membantu kerja pembersihan pasca banjir.

Azmin Banjir (2)“Inisiatif ini dibuat sebagai komitmen Kerajaan Negeri supaya dapat meringankan bebanan keluarga mangsa,” katanya.

Semalam, Kerajaan Negeri menyampaikan bantuan sumbangan kepada lebih 107 keluarga mangsa banjir berbentuk wang tunai dan keperluan harian.

Usaha itu digerakkan menerusi inisiatif bersama Lembaga Zakat Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan bukan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, BERNAMA melaporkan, mangsa banjir di Selangor meningkat sedikit kepada 384 orang, setakat jam 8 pagi ini.

Jumlah terbabit meningkat berbanding 352 orang di tiga pusat pemindahan utama Sabak Bernam, semalam.

-NFN-