Categories
PBT SELANGOR

Kaunter bergerak MBPJ mudahkan peniaga perbaharui lesen

PETALING JAYA, 8 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka kaunter lesen bergerak di lapan pusat beli-belah sejak November bagi memudahkan peniaga memperbaharui permit.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Arif berkata kaunter yang beroperasi hingga 31 Disember turut mendidik dan melatih golongan itu ke arah pendigitalan.

“Ketika buat pembayaran kita turut beri tunjuk ajar cara pembayaran dalam talian supaya mereka boleh menggunakannya dengan mudah pada masa akan datang.

“MBPJ akan menggiatkan lebih banyak urusan pendigitalan selain mudah bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya selepas melawat kaunter bergerak di Starling Mall hari ini.

Khidmat kaunter bergerak itu turut ditempatkan di Ikano Power Centre, Paradigm Mall, 1 Utama Shopping Centre dan The Curve setakat hari ini.

Ia akan dibuka di 3 Damansara pada 15 dan 16 Disember, Jaya Shopping Centre (22 dan 23 Disember) serta Amcorp Mall (30 dan 31 Disember).

Mohamad Azhan berkata kaedah sama juga dibuat di tujuh pasar malam dan tiga pasar pagi bagi memudahkan penjaja memperbaharui lesen mereka ketika berniaga.

Pasar malam membabitkan lokasi di Seksyen 17/1A, SS 8 Sungai Way, Taman Medan PJS 2 D, Medan 9, Lorong Masjid 1 Kayu Ara, TSB 9 dan SS2/60 manakala pasar pagi di SS2/62, Jalan Othman dan Seri Setia.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA, MPKj buka kaunter bergerak untuk kutipan cukai, kompaun

SHAH ALAM, 2 DIS: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka kaunter bergerak hujung minggu ini bagi memudahkan orang ramai menyemak dan membayar cukai taksiran, cukai pintu serta kompaun.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulakan program pada Sabtu di pekarangan parkir Plaza Shah Alam, Seksyen 9 mulai jam 11 pagi hingga 5 petang.

Manakala Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membuka kaunter pada Ahad sempena program Komuniti Ceria dari jam 9 pagi hingga 2 petang di Dewan Seri Cempaka, Saujana Impian.

Tumpuan MBSA meliputi kempen pengurangan kompaun parkir serendah RM 10 dan diskaun 70 peratus bagi Undang-Undang Kecil (UUK) Kedai Gunting Rambut 1983, UUK Taman 2005 dan UUK Vandalisme 2005.

Turut ditawarkan diskaun ialah UUK Establisyemen Makanan 2007, UUK Pengendali Makanan 2007, UUK Iklan 2007, UUK Penjaja 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan UUK Pasar 2007.

Categories
PBT SELANGOR

Pejabat bergerak MBSA di Lotus Setia Alam Sabtu ini

SHAH ALAM, 24 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menempatkan pejabat bergerak di pasar raya Lotus Setia Alam Sabtu ini bagi memudahkan orang ramai berurusan ketika hari minggu.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Shahrin Ahmad berkata perkhidmatan ‘Shah Alam On Wheel’ itu dibuka dari jam 11 pagi hingga 5 petang di pekarangan letak kereta.

“Orang ramai tidak perlu ke kaunter untuk urusan semakan dan pembayaran cukai taksiran, kompaun tempat letak kereta, dan kaunter aduan.

“Majlis berharap platform ini dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.

MBSA menggunakan kaedah itu di beberapa lokasi sebelum ini sebagai pendekatan memudahkan urusan orang ramai termasuk pembayaran kompaun tertunggak.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ buka kaunter bergerak mudahkan orang ramai perbaharui lesen

SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka kaunter bergerak di beberapa lokasi bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen perniagaan 2022.

Kemudahan yang beroperasi mulai esok sehingga 31 Disember mampu mengurangkan kesesakan di kaunter Menara MBPJ, menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Usaha ini dapat memberi kemudahan kepada pemegang lesen untuk memperbaharui lesen di lokasi pilihan berhampiran dengan kediaman atau premis masing-masing,” katanya di Facebook.

PBT berkenaan turut mengingatkan pemegang lesen usahawan mikro (penjaja) untuk hadir sendiri dan membawa kad pengenalan bagi proses imbasan cap jari.

Berikut senarai lokasi dan tarikh kaunter bergerak:

1. IPC Shopping Centre (11 & 12 November 2021)
2. Paradigm Mall (17 & 18 November 2021)
3. 1 Utama Shopping Centre (24 & 25 November 2021)
4. The Curve (1 & 2 Disember 2021)
5. Starling Mall (7 & 8 Disember 2021)
6. Damansara (15 & 16 Disember 2021)
7. Jaya Shopping Centre (22 & 23 Disember 2021)
8. Amcorp Mall (30 & 31 Disember 2021)
9. Pasar Malam Seksyen 17/ 1A (9 November 2021)
10. Pasar Malam SS8, Sg. Way (15 November 2021)
11. Pasar Malam Taman Medan PJS 2D (18 November 2021)
12. Pasar Malam Medan 9 (24 November 2021)
13. Pasar Malam SS2/60, SS 2/61 (29 November 2021)
14. Lorong Masjid 1, Kayu Ara (2 Disember 2021)
15. Jalan TSB 9 (7 Disember 2021)
16. Pasar Pagi SS 2/62 (15 Disember 2021)
17. Pasar Jalan Othman (21 Disember 2021)
18. Pasar Awam Seksyen 17/27 (29 Disember 2021)

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ buka 17 kaunter bergerak seluruh negara

BATU PAHAT, 18 SEPT: Sebanyak 17 Kaunter Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile) dibuka di seluruh negara termasuk di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata dua lagi kaunter akan dibuka dalam masa terdekat bagi menampung permintaan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan JPJ.

“Kita lihat ramai orang mahu mendapatkan perkhidmatan daripada JPJ ini seperti pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan motor yang kini perkhidmatannya hanya dilakukan di Pejabat JPJ dan Pejabat Pos,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kaunter JPJ Mobile hari ini.

Sementara itu, Wee berkata bagi pemegang Lesen Belajar Memandu (Lesen LDL), lanjutan tempoh diberikan sehingga 30 Jun 2021 susulan terdapat kesukaran bagi orang ramai mendapatkan slot janji temu untuk memperbaharui lesen memandu sebelum ini.

Sementara itu, mengulas projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi yang bermula Khamis lepas, Wee berkata sektor pelancongan dan pengangkutan terutamanya penerbangan, dilihat bersedia untuk kembali beroperasi bagi memenuhi permintaan tinggi daripada rakyat.

“Pemulihan ekonomi kini sedang berjalan … Khamis lepas seramai 800 pengunjung memulakan perjalanan ke Pulau Langkawi dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), manakala 720 pengunjung dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2),” katanya.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ buka 19 kaunter bergerak untuk perbaharui lesen perniagaan

PETALING JAYA, 30 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak di 19 lokasi terpilih di sekitar kawasan pentadbiran berkenaan sempena Kempen Jom Bayar Lesen Perniagaan 2020, bermula pada 5 November hingga 27 Disember ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, inisiatif itu diambil bagi memudahkan urusan pemegang lesen membuat pembaharuan lesen masing-masing sebelum tarikh tutup kempen pada 31 Disember.

Katanya, proses permohonan dan pembaharuan lesen yang sudah mula dibuka sejak 1 Oktober lalu itu akan membabitkan sebanyak 51,251 pemegang lesen tred serta 9,480 lesen usahawan mikro (penjaja).

“Bagi pembaharuan lesen tred, kita membuka kaunter bergerak di lapan lokasi pusat membeli belah terpilih, manakala lesen penjaja boleh dilakukan di 11 lokasi di pasar malam, pasar awam dan pasar lambak.

“Pembaharuan lesen juga boleh dibuat di kaunter ibu pejabat MBPJ, Menara MBPJ dan pejabat cawangan Petaling Jaya Utara. Sebagai tambahan kepada penyediaan perkhidmatan, kaunter bergerak ibu pejabat MBPJ dibuka pada Sabtu, Ahad termasuk cuti umum sepanjang Disember 2019 dari 9 pagi hingga 4 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Jom Bayar Lesen 2020, di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar dan Pengarah Jabatan Pelesenan MBPJ, Sharinaz Samsudin.

Mohd Sayuthi berkata, semakan pembaharuan lesen juga boleh dibuat melalui aplikasi e-lesen dan pelanggan boleh mengimbas kod bar pada lesen bagi tujuan menjejak pergerakan permohonan daripada lesen sementara ke lesen kekal.

“Pelanggan dapat menyemak bilangan kompaun berkaitan dengan akaun lesen, selain membaca maklumat terkini berhubung akaun lesen yang diimbas seperti nama syarikat, alamat lesen, aktiviti dilesenkan dan tempoh sah laku lesen itu.

“Pengguna aplikasi akan menerima pemberitahuan berkenaan pengumuman terkini daripada Jabatan Pelesenan MBPJ seperti pautan borang, promosi dan maklum balas tahap kepuasan pelanggan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kegagalan pemegang lesen memperbaharui lesen terbabit dalam tempoh ditetapkan akan dikenakan caj pemprosesan sebanyak RM300.

“Kita mengingatkan mereka supaya menjelaskan tunggakan kompaun dan memperbaharui kelulusan tukar guna bangunan, kebenaran merancang serta permit bangunan terlebih dahulu sebelum pembaharuan lesen 2020 dibuat.

“Pembaharuan lesen melalui pekerja atau wakil perlu disertakan dengan surat kebenaran wakil atau mengisi borang maklumat wakil yang boleh didapati di kaunter Jabatan Pelesenan juga laman sesawang rasmi MBPJ.

“Pengambilan lesen oleh pemilik, pekerja atau wakil perlu mengemukakan kad pengenalan atau pasport kepada petugas kaunter untuk dimasukkan ke dalam sistem pengesahan pengambilan lesen (SPPL) bagi tujuan perekodan,” katanya.