KAJANG, 28 JAN: Tempoh permohonan lesen bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) disingkatkan antara 15 hingga 30 minit sahaja melalui inisiatif kaunter bersepadu.
Kemudahan bagi memohon 95 perkhidmatan lesen membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam melaksana sistem penyampaian cekap, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Kita dapat lihat bagaimana kaunter bersepadu ini melancarkan permohonan lesen kepada 30 minit sahaja, paling cepat 15 minit sekiranya dokumen pemohon lengkap.
“Saya berharap MPKj dapat terus meningkatkan sistem perkhidmatannya untuk manfaat masyarakat,” katanya selepas merasmikan kaunter tersebut di Menara MPKj hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Haris Kasim dan Yang Dipertua MPKj Najmuddin Jemain.
Amirudin juga berharap MPKj yang menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini terus melaksana pelbagai inisiatif untuk menjadikan Kajang sebagai bandar lestari dan berdaya huni.
Tambahnya, pihak berkuasa tempatan itu berpotensi diangkat sebagai bandar raya susulan pertumbuhan beberapa penempatan moden, namun perlu memenuhi keperluan memajukan sesetengah kawasan.
“Pada masa sama harus pastikan menyedia kemudahan dan perkhidmatan terbaik,” kata menambah Sungai Lui dan Sungai Gabai yang menjadi tarikan pengunjung perlu dipadankan dengan pemodenan.