Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kaunter permit sementara dibuka untuk penjaja, peniaga Sungai Buloh

SHAH ALAM, 14 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka kaunter selama dua hari untuk membantu penjaja dan peniaga kecil sekitar Bandar Baru Sungai Buloh memohon permit niaga sementara.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membuka kaunter berkenaan di Dewan Meranti, Jalan 1D di kawasan tersebut antara 8 pagi hingga 4 petang esok dan 8 pagi hingga tengah hari Ahad.

Dalam notis pemberitahuan kepada peniaga kecil dan pemilik premis yang dikeluarkan Datuk Bandar, MBSA juga menyediakan taklimat khas antaranya daripada Jabatan Pelesenan, Jabatan Bangunan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran.

Selain permohonan permit lesen penjaja sementara, taklimat tersebut juga melibatkan permohonan permit ubah suai bangunan, kebenaran merancang dan kebersihan serta keselamatan makanan.

“Tuan-puan adalah dijemput untuk hadir ke program ini. MBSA akan membuka kaunter permohonan permit penjaja sementara, permohonan permit binaan bumbung sengkuap, dinding sesekat dan sebagainya,” notis itu dipetik.

Difahamkan kira-kira 80 peniaga kecil di bandar baharu itu, dalam Seksyen U20, akan mendapat manfaat daripada langkah MBSA membantu usahawan tempatan.

Pada 12 Ogos lalu, PBT berkenaan menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup, di kawasan berkenaan.

Ia juga mengeluarkan 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin PBT berkenaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perpustakaan Negara dibuka semula 16 Jun

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) membuka semula hampir semua perkhidmatannya kepada pengunjung bermula Selasa ini.

Menurut Ketua Pengarah PNM Maizan Ismail dalam satu kenyataan hari ini, pembukaan semula itu adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dikuat kuasa kerajaan sejak Rabu lepas.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang dibuka di Menara PNM di Jalan Tun Razak di sini adalah Kaunter Penerangan dan Pendaftaran Keahlian; Kaunter Penyerahan Bahan Akta dan Perkhidmatan Kepada Penerbit; serta Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara.

Turut dibuka Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu dan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu.

Kenyataan itu menyebut Perkhidmatan Pinjaman Dewasa di Wisma Sejarah pula akan mula dibuka setiap Selasa hingga Sabtu, bermula Selasa ini.

Maizan berkata turut dibuka bermula Selasa ini ialah Perpustakaan Komuniti dan Perpustakaan Desa di bawah kendalian PNM di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pengunjung untuk mengamalkan prosedur operasi standard dan normal baharu selaras arahan dikeluarkan kerajaan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kaunter pandu lalu MBSA ditutup hingga Oktober

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kaunter bayaran pandu lalu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan ditutup sementara waktu bermula 10 Ogos hingga Oktober ini.

Kaunter pandu lalu yang terletak di hadapan Wisma MBSA itu ditutup bagi memberi ruang kerja penambahbaikkan sekitar kawasan berkenaan.

cukai MBSA copyDalam kenyataannya, MBSA akan menyediakan kaunter bayaran pandu lalu sementara di belakang pentas Dataran Kemerdekaan sebagai alternatif.

Ia bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran tanpa perlu berurusan di kaunter utama, Wisma MBSA.

Sehubungan itu, MBSA memohon orang awam terutama mereka yang ingin berurusan di kaunter bayaran pandu lalu mengambil maklum berhubung penutupan kaunter itu.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Kaunter Utama, MBSA di talian 03-5511 3253 atau 03-5510 5133 sambungan 1288/1414.

-NFN-