Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Idris : Pembangunan desa perlu rangkum tiga aspek utama

Ijok DNS

SHAH ALAM, 3 JULAI : Kerajaan Negeri disarankan supaya mengaplikasikan tiga aspek utama dalam usaha memastikan pembangunan di desa adalah seimbang dengan pembangunan di kawasan bandar.

Tiga aspek yang dimaksudkan ialah kesejahteraan, selamat dan sihat, kata Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Jelasnya, untuk mencapai masyarakat yang sejahtera, mutu pendidikan anak-anak di desa seharusnya  ditingkatkan dengan menambah lebih banyak pusat tuisyen yang mengkhusukan tiga subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Di bawah aspek sama katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menggalakkan pelaburan ke desa yang berasaskan pertanian bagi meningkatkan pendapatan dan memberi peluang pekerjaan kepada warga desa tanpa perlu berhijrah ke bandar.

“Untuk sektor pendidikan, saya syorkan exco pendidikan mengambil perhatian dengan menubuhkan lebih banyak pusat tuisyen untuk semua peringkat (darjah satu hingga tingkatan lima) supaya mereka mendapat persediaan awal sebelum menghadapi peperiksaan.

“Kerajaan Negeri juga sepatutnya menggalakkan pelaburan ke desa iaitu pelaburan industri yang berasaskan pertanian kerana banyak tanah terbiar di desa yang tidak digunakan,” katanya semasa membahaskan titah DYMM Sultan Selangor dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Sementara itu, di bawah aspek kesihatan jelasnya, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan untuk membina hospital di kawasan desa bagi memastikan pesakit tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan.

Meskipun pembinaan hospital tertakluk di bawah perancangan Kerajaan Pusat, namun tegasnya, Kerajaan Negeri perlu mengambil inisiatif awal untuk membina hospital yang boleh memberi rawatan kepada pesakit.

“Terdapat ramai pesakit kronik di kawasan desa yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital berikutan lokasi hospital itu terlalu jauh dari kediaman mereka.

“Sebagai contoh di Kuala Selangor, pesakit perlu merujuk ke Hospital Sungai Buloh atau Tanjung Karang untuk mendapatkan rawatan sedangkan kondisi mereka sangat kritikal pada waktu itu.

“Kerajaan Negeri tidak perlu membina hospital canggih, cuma bina yang asas sahaja untuk memberi rawatan kepada pesakit,” katanya lagi.

Tambahnya, aspek ketiga iaitu selamat adalah merujuk kepada pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan masuk kawasan kampung untuk mengurangkan masalah jenayah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah : PM Puji Rosmah Berdasarkan KPI Atau Sebagai Suami Isteri

rosmah-permata-2

SHAH ALAM 28 MEI : Tidak pasti apakah pujian pujian Perdana Menteri terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung Projek Permata Negara berlandaskan hubungan suami isteri atau berdasarkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) projek tersebut.

Demikian respon Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Rodziah Ismail ketika diminta mengulas pujian Datuk Seri Najib Razak dalam Persidangan Women Deliver 2013, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini

Najib dalam ucapannya menyanjung tinggi kerja-kerja kebajikan yang dijalankan isterinya selain mendakwa usaha Rosmah itu memberi dividen besar kepada negara.

Bagaimanapun, Rodziah merasakan Projek Permata yang dicetuskan Rosmah itu tidak mencapai sasaran yang sewajarnya kerana ia hanya tertumpu pada segelintir kumpulan kanak-kanak.

“Saya lebih menggesa Perdana Menteri untuk melihat kebajikan kanak-kanak kepada hak yang lebih menyeluruh tanpa mengira latar belakang mereka samada daripada kawasan kampung atau bandar, untuk mendapat pendidikan awal.

“Isu pendidikan awal kanak-kanak ini sepatutnya dilihat secara lebih menyeluruh sedangkan Projek Permata seolah-olah hanya mensasarkan golongan tertentu dan elit untuk beroleh manfaaat,” ujar Rodziah yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Seharusnya, tegas Adun Batu Tiga ini, Kerajaan Persekutuan perlu mewujudkan insentif tertentu untuk disalurkan secara terus kepada ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jika dilihat, kebanyakan projek-projek persekutuan ini lebih pentingkan bilangan atau kuantiti sementara kualiti langsung tidak dipantau.

“Malah, kita juga tidak tahu siapa yang benar-benar menerima manfaat daripada projek yang dijalankan,” jelasnya lagi.

Projek Permata Negara mula dilaksanakan pada tahun 2007 dengan tujuan memberi peluang kanak-kanak di bawah umur 4 tahun didedahkan dengan proses pembelajaran awal.

Projek ini juga menerima peruntukan setiap tahun dalam bajet Kerajaan Pusat dan terbaru dalam Bajet 2013 yang dibentangkan September tahun lalu, sejumlah RM111 juta daripada bajet pendidikan diberikan kepada Projek Permata yang diketuai Rosmah ini.

Ia bagaimanapun tidak dimasukkan laporannya dalam Laporan Audit Negara menyebabkan tiada siapa arif dan tahu tentang bagaimana peruntukan yang diterima dibelanjakan.

Berbeza dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga April lalu, lebih RM600,000 diperuntukkan untuk memberi bantuan Tadika (Skim Tunas) dan Taska (Skim Si Kembar) kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Untuk Skim Tunas, keluarga berpendapatan RM 2,500 sebulan layak untuk mendapat bantuan RM 50 sebulan untuk menghantar anak mereka yang berusia antara empat hingga enam tahun ke tadika.

Sementara itu, bagi Skim Si Kembar, kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah layak menerima bantuan RM 100 setiap bulan yang dibayar terus kepada taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih Banyak Keluarga Bakal Terima Bantuan Tambang Bas Sekolah

xavier UPSR tambang bas andalas mac17 03

KLANG 17 MAC : Sambutan menggalakkan daripada ibubapa terhadap bantuan tambang bas sekolah menyebabkan Kerajaan Negeri bercadang untuk memperluaskan skim tersebut di kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Bantuan subsidi tambang bas sekolah itu adalah salah satu program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak tiga tahun lalu di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata sumbangan RM 300 setiap keluarga membolehkan mereka menampung tambang bas sekolah untuk satu anak selama 10 bulan.

“Sumbangan ini diberikan kepada keluarga yang berpendapatan RM 1,500 ke bawah.

?Namun, disebabkan sambutan yang menggalakan, kita akan cuba untuk keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Saya akan usulkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya yang juga Adun Sri Andalas.

Hari ini Dr Xavier menyampaikan sumbangan tersebut kepada 62 keluarga dari DUN Andalas di satu majlis di Dewan Sukan Majlis Perbandaran Klang, Andalas, di sini.

xavier UPSR tambang bas andalas mac17 04

Xavier berkata skim tersebut tidak hanya membantu anak pekerja ladang tetapi juga kawasan bandar.

Pemberian itu melibatkan peruntukkan sebanyak RM 18,600.

?Tujuan kita adalah bagi bantuan adalah untuk mengurangkan beban keluarga disebabkan kenaikan harga minyak pada masa ini serta taraf hidup yang tinggi,” katanya.

Suri rumah, Norizah Marwan, 48, gembira dengan bantuan yang diterima anaknya, Amir Irfan, 13, kerana selama ini pihaknya tidak pernah menerima ganjaran seperti itu.

?Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang amat mengambil berat kesusahan rakyat. Saya amat gembira.

?Ia sangat membantu keluarga saya. Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan lima orang anak masih bersekolah, jadi ia banyak mengurangkan beban keluarga,” katanya.

Manakala bagi, Ketua Kampung Sungai Kandis, Miswan Salleh, 58, berkata pentadbiran Kerajaan Negeri pada masa kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

Ia kerana pemimpin Pakatan Rakyat jauh lebih prihatin terhadap kesusahan rakyat.

xavier UPSR tambang bas andalas mac17 01

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan masalah kami. Saya berharap pemberian subsidi bas sekolah ini akan berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam majlis itu juga, lebih 300 pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menerima sijil penghargaan dan wang saguhati yang melibatkan 15 buah sekolah.

Pelajar cemerlang, M. Aaron Raj, 13, berkata hasil usahanya untuk belajar sebelum ini terbalas selepas menerima keputusan 5A dalam UPSR.

“Sangat seronok juga apabila YB memberi sumbangan dan sijil ini. Saya rasa dihargai,” katanya.

Pelajar lain, Syukrin Hanah Shahrul Azman, 13, gembira menerima sumbangan sagu hati  itu.

“Terima kasih YB. Rasanya saguhati ini juga dapat membalas usaha saya selama ini,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi jurutera.

xavier UPSR tambang bas andalas mac17 02