Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan RM40 juta laksana kerja pembaikan segera tangani banjir

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk hampir RM40 juta bagi melaksana kerja pembaikan segera di 50 kawasan titik panas kerap dilanda banjir di Selangor.

EXCO Infrastruktur berkata tindakan segera itu membabitkan RM25.7 juta bagi kerja mengorek dan mendalamkan sungai serta kolam; membina dan naik taraf ban; memasang pam baharu dan meroboh struktur haram dalam rizab sungai.

Ir Izham Hashim berkata sebanyak RM4 juta bagi membina kolam takungan Bluewater di Seri Kembangan dan RM10 juta membina kolam takungan banjir di Lebuhraya Grand Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja.

Ir Izham Hashim bercakap kepada media ketika tinjauan kerja menaik taraf jalan raya di Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Tindakan segera ini bertujuan mengurangkan kekerapan dan kesan banjir terhadap penduduk di kawasan terlibat sehingga terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda.

“Pelaksanaan kerja bermula Disember ini dan dijangka siap secara berperingkat sehingga April tahun depan,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menurutnya kawasan titik panas banjir antaranya sekitar Seksyen 13 (Shah Alam), Taman Meru Daya (Klang), Kampung Ginching, Kampung Salak Tinggi (Sepang) dan Selayang Baru (Gombak).

Jelas beliau banjir berlaku disebabkan jumlah taburan hujan yang tinggi melebihi 65 milimeter dalam tempoh singkat selain sistem saliran dan sungai yang tidak mampu menampung kapasiti aliran.

“Kepesatan pembangunan juga menjadi faktor banjir kerap berlaku serta halangan struktur bangunan haram yang berada dalam rizab sungai juga memberi kesan terhadap kelancaran aliran air.

“Kita harap dengan tindakan segera ini mampu menangani kejadian banjir di kawasan berkenaan,” katanya.