Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Dakwaan kayu bakau dicuri & pulau akan lenyap tidak benar

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini menerima taklimat dari Jabatan Perhutanan Negeri Selangor berhubung laporan akhbar Kosmo pada 2 September berkenaan kegiatan kecurian kayu bakau yang didakwa bakal melenyapkan enam pulau di Negeri Selangor.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah memaklumkan bahawa keluasan hutan simpanan kekal telah bertambah dari 15,090 hektar kepada 18,998 hektar pada 2009 termasuk Kawasan Hutan Simpan Pulau Ketam yang diwartakan sebagai hutan simpanan kekal pada 6 Mei 2009 seluas 2,365 hektar yang asalnya merupakan tanah kerajaan.

Semenjak 2010 sehingga kini, Jabatan Perhutanan Negeri tidak mengeluarkan sebarang pengwartaan keluar kawasan hutan simpanan kekal hutan paya laut yang bermaksud penebangan pokok bakau adalah tidak dibenar sama sekali.

Mengenai dakwaan 200,000 batang bakau bernilai RM2 juta dicuri setiap bulan, Jabatan Perhutanan memaklumkan kepada kita bahawa dakwaan itu tidak benar kerana jumlah itu membawa maksud bahawa 1,800 hektar hutan paya laut telah digondol sedangkan hakikatnya perkara itu tidak berlaku di lapangan.

Bagi memenuhi permintaan tinggi di negeri ini, kayu jaras bakau dibawa masuk ke Selangor ini adalah yang diimport daripada Indonesia dan kemasukan daripada negeri jiran seperti Perak, Johor dan Melaka dengan kebenaran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Sehingga 1 September 2014, sejumlah 215,500 batang kayu bakau jaras telah dibawa masuk daripada Indonesia menggunakan dokumen Kebenaran Import (AP) yang dikeluarkan oleh MTIB.

Manakala sejumlah 349,527 batang kayu jaras bakau dipindah masuk ke negeri ini iaitu daripada Perak, Melaka, Johor dan dan pengimport  negeri Selangor.

Jumlah keseluruhan pergerakan keluar masuk kayu jaras bakau ialah 565,027 batang dan jumlah ini mencukupi bagi menampung permintaan di Negeri Selangor.

Jabatan Perhutanan negeri menjalankan usaha-usaha memantau dan pemuliharaan hutan payau bakau seperti projek penanaman semula yang telah melibatkan 438,738 pokok dengan keluasan 171 hektar.

Selain itu jabatan juga menjalankan rondaan secara agresif dan berkala, rondaan bersepadu dengan agensi lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta meneruskan polisi tidak mengeluarkan lesen pengeluaran kayu bakau sejak 2010.

Proses hakisan dan penambakan merupakan proses semulajadi di kawasan pesisir pantai yang berombak  dan proses ini berkait rapat dengan kaedah “cut and fill” secara semulajadi.

Tambakan pasir laut menghasilkan daratan baru yang dikenali “mudflat” seperti yang berlaku di Hutan Simpan Pulau Ketam, Hutan Simpan Pulau Tengah dan Hutan Simpan Pulau Cek Mat Zin.

Maklumat ini membuktikan laporan akhbar Kosmo bahawa pulau-pulau di Negeri Selangor akan lenyap disebabkan hakisan ombak adalah mustahil dan kurang tepat.

Kerajaan Selangor komited untuk memelihara dan memulihara hutan simpanan kekal dan alam sekitar demi kelangsungan ekosistem yang menjadi tonggak kepada kehidupan lestari.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR