Categories
ADN SELANGOR

150 penduduk Seri Setia sertai acara berbasikal TTDI Jaya-Bukit Jelutong

SHAH ALAM, 9 MAC: Pejabat Dewan Undangan Negeri Seri Setia menganjurkan program kayuhan basikal pada Ahad lalu bagi menggalakkan penduduk melakukan aktiviti bersenam.

Wakil rakyat Halimey Abu Bakar berkata program Fun Ride Seri Setia itu berjaya menarik 150 penyertaan untuk berkayuh sejauh 23 kilometer mulai TTDI Jaya hingga Bukit Jelutong, dekat sini.

“Jumlah jarak adalah membabitkan laluan pergi dan balik. Peserta terdiri daripada semua lapisan masyarakat berusia antara 18 hingga 73 tahun.

“Secara tidak langsung Fun Ride ini dapat mengeratkan hubungan antara penduduk setempat,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengadakan program yang sama tahun depan, susulan sambutan menggalakkan daripada masyarakat di kawasan itu.

“Program ini banyak memberi manfaat kepada peserta terutamanya dalam menjaga kesihatan mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

1,000 dijangka sertai kayuhan basikal 160km pada 18 Mei

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 24 APRIL : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengajak orang ramai khususnya peminat sukan berbasikal untuk menyertai Program Kayuhan ‘Shah Alam Endure Ride 2014’ pada 18 Mei depan.

Datuk Bandarnya, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan menjangkakan program yang julung kali diadakan itu bakal menarik minat lebih 1,000 peserta tempatan dan luar negara.

MBSAKatanya, program ini memerlukan peserta berkayuh sejauh 160 kilometer bermula di Taman Sukan Lasak (Extreme Park) Shah Alam dan melalui daerah Klang, Gombak dan Kuala Selangor.

“Kali ini kita libatkan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT), mungkin pada masa hadapan kita libatkan kesemua 12 PBT di seluruh Selangor.

“Kita mahu ini menjadi acara tahunan yang besar untuk semua dalam usaha mewujudkan budaya hidup sihat di kalangan masyarakat di negeri ini, khususnya Shah Alam,” katanya pada sidang media di Galeri MBSA , di sini.

Hadir sama dalam sidang media ialah Ketua Ahli Majlis MBSA, Tengku Ahmad Tengku Kasim, Pengarah Pedal Explorer, Zulkarnain Shah dan ahli-ahli majlis lain.

Para peserta berpeluang merebut gelaran dalam lima kategori dipertandingkan iaitu Wanita Terbuka untuk 18 dan tahun ke atas, Lelaki Master (36 tahun dan ke atas), Lelaki Senior Master (46 tahun ke atas), Lelaki Terbuka (35 tahun dan ke bawah) dan Lelaki Junior (bawah 18 tahun).

Peserta yang berjaya menghabiskan kayuhan dalam tempoh lapan jam akan menerima sijil penghargaan dan juga medal selain hadiah turut diberikan kepada kelab atau kumpulan yang menghantar peserta teramai dengan catatan masa terbaik.

Sementara itu, peserta yang membuat pendaftaran awal sebelum esok (25 April) akan dikenakan bayaran RM 85 manakala pendaftaran selepas itu akan dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM 100.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pihak urus setia pertandingan, Jaid Idham (012-3706636) dan Azreen Naim (019-2576897 atau boleh juga menghubungi wakil Persatuan Lumba Basikal Selangor, Ariffin Mohd Salleh (013-3822427).

Selain itu, penyertaan juga boleh dilakukan secara atas talian dengan mengunjungi laman sesawang http://sportsmanagement.my/ser2014.

EZY