Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bekas pemain Selangor anjur perlawanan amal bantu kutip dana

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Bagi membantu meringankan kos rawatan bekas pemain kebangsaan era 70-an, Mohd Shah Alias Norbit, beberapa bekas pemain Selangor dan syarikat KDEB Waste Management Sdn Bhd mengadakan satu perlawanan amal di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, semalam.

Jurucakap Unit Kebajikan Persatuan Bola Sepak Selangor Zulkifli Mohamed berkata, perlawanan sedemikian merupakan antara usaha mereka membantu mengurangkan kos rawatan penyakit angin ahmar serta kencing manis yang dihidapi Mohd Shah Alias sejak beberapa tahun lepas.

Perlawanan berkenaan berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Sekitar Perlawanan Amal antara KDEBWM FC dan Ex Selangor yang berkesudahan seri 2-2 di Padang PKNS, Kelana Jaya. Foto Facebook KDEB Waste Management

“Kita berharap agar lebih banyak lagi syarikat koporat tampil ke hadapan bersama kita dalam meneruskan usaha murni ini sebagai satu daripada usaha menghargai jasa bekas pemain negeri yang suatu masa dahulu pernah mewarnai dan menyumbang kepada sukan bola sepak tanah air,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Zulkifli memaklumkan perlawanan amal berkenaan akan diteruskan dalam tempoh terdekat melibatkan bekas pemain Selangor dan Terengganu pada 15 Ogos ini di Kuala Terengganu dan ia diadakan bertujuan mengutip dana bagi membantu dua bekas pemain Terengganu iaitu Mohd Fadali Jalil dan Rosli Ishak yang kini terlantar sakit.

Mohd Fadali, 53, yang beraksi di posisi pertahanan, dilaporkan terlantar kerana masalah saraf dan jangkitan kuman akibat kencing manis manakala Rosli, 59, pula menghidap penyakit angin ahmar.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

70,000 penutup hidung, mulut untuk petugas kutipan sampah

SHAH ALAM, 30 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) menerima 70,000 penutup hidung dan mulut daripada Bilik Gerakan Covid-19 Negeri (SUK Selangor).

Ketua Perhubungan Awam dan Media KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata ia akan diagihkan kepada petugas operasi yang berada di lapangan serta pekerja kutipan dan pembersihan.

“Alat perlindungan berkenaan amat penting bagi kegunaan pekerja kami untuk mengurangkan risiko dari terdedah dengan penyakit khususnya wabak Covid-19.

“KDEBWM mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan semua pihak yang menghulurkan sumbangan alat perlindungan diri kepada pekerja kutipan dan pembersihan yang juga antara petugas barisan hadapan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahfuzah berkata pada masa sama KDEBWM turut mengedarkan cecair pembasmi kuman dan sarung tangan kepada semua subkontraktor KDEBWM.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Banyak premis komersial tutup, jumlah kutipan sampah turun

SHAH ALAM, 17 APRIL: Jumlah kutipan sampah domestik di kawasan komersial seluruh Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turun sebanyak 14.8 peratus, kata KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata ia mungkin disebabkan premis komersial menutup operasinya ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kawasan perumahan juga tidak menunjukkan kenaikan kutipan sampah domestik walaupun ramai masyarakat berada di rumah.

“Berdasarkan pengumpulan data dan maklumat operasi sepanjang PKP sehingga kini jelas menunjukkan penurunan ton yang ketara bagi kutipan sampah domestik di kawasan komersial seluruh negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.Mahfuzah berkata semua kru kutipan sampah, pemandu kompaktor dan penyelia di kawasan bertugas menjalankan kutipan sampah seperti biasa mengikut jadual ditetapkan demi memastikan Selangor bersih, indah dan sihat.

“Malah, mereka juga turut dibekalkan dengan alatan perlindungan diri seperti cecair pembasmi kuman, sarung tangan dan penutup mulut dan hidung bagi membendung penularan Covid-19,” jelasnya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM sediakan penutup mulut, hidung kepada petugas kutip sampah

SHAH ALAM, 6 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) membekalkan 18,000 topeng muka penutup mulut dan hidung buat petugas kutipan sampah di Selangor.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya memperketatkan langkah pemantauan terhadap semua petugas di lapangan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Pemantauan dan langkah berjaga-jaga sentiasa menjadi perkara utama kami untuk memastikan tahap kesihatan warga kerja berada dalam keadaan baik setiap hari.

“Justeru, semua kru operasi di lapangan perlu sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, beliau menyerahkan topeng mulut dan hidung kepada kepada wakil sub-kontraktor di pejabat KDEBWM, hari ini.

Ramli berkata operasi harian dalam pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di Selangor berjalan seperti biasa mengikut jadual kutipan.

Beliau turut menggalakkan warga kerja membawa makanan sendiri sebagai langkah mengurangkan kontak dengan orang awam dan tidak terlalu lama di luar.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM rancang luas operasi luar Selangor

SHAH ALAM, 17 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) berhasrat meluaskan operasinya di luar Selangor bagi memastikan kelestarian perniagaan, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata syarikat milik penuh Kerajaan Negeri itu melihat bidang pengurusan sisa pepejal mempunyai potensi besar dan sedang mengkaji peluang berkaitan.

“Bagaimanapun sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, Lau Weng San (DAP) yang meminta penjelasan Kerajaan Negeri berhubung operasi KDEBWM di luar Selangor.

KDEBWM mengambil alih sepenuhnya perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bermula Januari lalu.

Categories
ADN SELANGOR

Pengurusan sampah DUN Seri Setia efektif, aduan berkurang

PETALING JAYA, 16 FEB: Pengurusan sisa pepejal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menunjukkan kesan positif selepas diambil alih KDEB Waste Management (KDEBWM), kata ahli dewan negerinya.

Halimey Abu Bakar berkata pihaknya juga tidak menerima banyak aduan berhubung masalah kutipan sampah di tapak yang boleh menyebabkan gangguan bau.

“Tahap kebersihan di lokasi juga semakin bersih berbanding sebelum ini. Justeru, saya berharap KDEBWM sentiasa menjaga prestasi kontraktor supaya tiada aduan,” katanya pada Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Seri Setia di Giant Hypermarket Kelana Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Petaling Jaya Zon 24, Nurainie Haziqah Shafi’i.

Katanya, kesedaran komuniti terhadap pengurusan sampah bermula di kediaman masing-masing juga semakin meningkat.

“Kesedaran masyarakat berbeza jika dibandingkan sebelum ini memandangkan di kawasan Seri Setia kebanyakan Badan Pengurusan Bersama berganding bahu antara satu sama lain,” katanya.

KDEBWM yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal di Selangor berjaya mengurangkan aduan sejak Mac 2017.

Categories
EXCO SELANGOR

KDEBWM uruskan 7,000 tan sisa pepejal sehari

SHAH ALAM, 26 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) dijangka berdepan pertambahan jumlah kutipan sisa pepejal kira-kira 2,000 tan sehari selepas mengambil alih kerja kutipan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 1 Januari 2020.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, faktor demografi penduduk yang padat di Shah Alam menyebabkan jumlah kutipan keseluruhannya boleh mencecah 7,000 tan sehari.

“Cabaran pertama adalah pertambahan jumlah sampah sisa pepejal. Ketika ini, purata jumlah tan sampah yang dikutip oleh KDEBWB di negeri ini sebanyak 5,200 tan sehari.

“Jumlah ini akan bertambah selepas pengambilalihan di MBSA dan mungkin akan meningkat ke 6,000 tan sehari. Pada masa akan datang dijangka jumlah itu akan terus meningkat kepada 7,000 tan sampah sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Bagi Kutipan Sampah Domestik di kawasan pentadbiran MBSA di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MBSA, Mohd Rashidi Ruslan, Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Tahir.

Sze Han berkata, KDEBWM juga bakal berdepan isu pembuangan sampah haram (illegal dumping) yang masih dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Justeru, saya menyeru semua pihak supaya bertindak secara kolektif bagi membenteras aktiviti tidak bertanggungjawab termasuk penguatkuasaan dan pemantauan dari masa ke masa bagi membendung kegiatan sampah haram ini,” katanya.

Bermula 1 Januari 2020, KDEBWM akan mengambil alih pengurusan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA manakala kerja pembersihan awam dijangka diambil alih pada 1 Julai 2020.

KDEBWM juga melebarkan operasi bagi kutipan sampah industri di Majlis Daerah Kuala Langat, kutipan sampah di kampung tradisi Majlis Daerah Kuala Selangor dan pembersihan taman di Majlis Perbandaran Klang.

Ini sekali gus melengkapkan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal oleh KDEBWM di seluruh Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

KDEBWM Petaling Jaya genggam Piala Pengarah Urusan 2019

SHAH ALAM, 27 OKT: Pasukan KDEB Waste Management (KDEBWM) Cawangan Petaling Jaya muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Pengarah Urusan 2019 selepas mengalahkan pasukan gabungan Shah Alam dan Klang 1-0, pada perlawanan akhir, di Stadium Rhino KV Arena, di sini hari ini.

Muhammad Adli Zulgafli muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Petaling Jaya menjulang trofi buat pertama kali pada cabaran edisi kedua itu.

Kemenangan itu turut melayakkan pasukan berkenaan membawa pulang piala iringan dan baucar bernilai RM1,000 daripada Kaki Jersi.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, sebanyak lapan pasukan mewakili 11 cawangan KDEBWM bersaing bagi memburu piala berkenaan.

Katanya, acara tahunan itu sebagai pendekatan memperkukuh hubungan silaturahim, selain menggalakkan warga kerja untuk turut aktif dalam aktiviti sukan dan riadah.

“Tahun lalu kita hanya ada enam penyertaan, tetapi tahun ini menyaksikan penambahan dua pasukan dengan 160 pemain secara keseluruhannya selepas kita mengambil alih 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kecuali Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)

“Ia membabitkan pasukan pasukan gabungan antara Shah Alam dan Klang; Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor; Sepang dan Kuala Langat termasuk pasukan Selayang, Ampang Jaya, Subang Jaya, Petaling Jaya serta Kajang,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan menyaksikan dua pasukan terbaik setiap kumpulan meneruskan kemaraan ke perlawanan separuh akhir sebelum ke pentas akhir.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, sukan bola sepak dipilih memandangkan ia adalah permainan paling mendapat perhatian dan digemari semua lapisan umur.

“Sukan ini bukan sahaja boleh menyihatkan jasmani, malahan fizikal dan mental. Paling penting, kita mahu menunjukkan persefahaman dengan semua warga kerja daripada cawangan lain,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pihaknya sedang merangka banyak lagi program lain berkaitan sukan bagi menggalakkan pembabitan kakitangan seperti boling, badminton dan berbasikal.

“Kita komited memastikan semua warga kerja KDEBWM bukan sahaja fokus terhadap kerja, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan aktiviti riadah termasuk ibadah supaya kehidupan menjadi seimbang daripada segi emosi dan mental.

“Ini sekali gus mendorong mereka untuk sentiasa memberikan perkhidmataan terbaik kepada syarikat,” katanya.

Terdahulu, acara lain yang turut dijalankan sepanjang kejohanan itu adalah raptai antara cawangan dengan mengangat tema kelestarian kitar semula dan cabutan bertuah.

Categories
SELANGOR

KDEBWM ambil alih pembersihan sampah MDKL Mac 2018

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 DIS: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan mengambilalih pembersihan sampah awam di Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), bermula Mac 2018.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, proses pengambilalihan dibuat selepas tempoh kontrak pengurusan lama tamat.

“Untuk rekod, pihak kami telah menghantar pegawai untuk membuat semakan, keperluan lori kompaktor dan proses inventori di kawasan MDKL.

“Selepas selesai semuanya, pengambilalihan akan dibuat pada Mac 2018 ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan Belanjawan Selangor 2018 antara lain memfokuskan usaha meluaskan operasi KDEBWM bagi pengurusan sisa pepejal di PBT lain.

Ia susulan kejayaan pengurusan sampah di Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang diusahakan KDEB Waste Management.

Ramli berkata, pihaknya juga memberi jaminan untuk memberikan perkhidmatan terbaik selaras dengan prinsip Smart Waste Management.

“Kami sedia memberi jaminan terbaik, walaupun pada cuti perayaan atau cuti umum, proses kutipan sampah akan diteruskan kakitangan kerja yang ada.

“Kita tidak boleh membiarkan proses pembersihan tergendala kerana sebagaimana maklum proses kelewatan ini hanya akan memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Pada 1 Mac 2017, KDEBWM mula mengambil alih pembersihan awam di PBT terlibat secara berperingkat.

Keberkesanan pengurusan baru itu menyaksikan aduan berhubung pengurusan sampah berkurangan kepada enam pada Jun lalu, berbanding 227 diterima, Mac lalu.

KDEBWM adalah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) yang bertanggungjawab sebagai koordinator pengurusan projek di kawasan pentadbiran MPK, MPAJ dan MPS.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

Kutipan sisa pepejal tiga PBT meningkat 25 hingga 30%

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 21 JUN: Jumlah kutipan sisa pepejal di tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada bulan Ramadan ini meningkat 25 hingga 30 peratus.

Pengurus Besar KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, tiga PBT terbabit adalah Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Katanya, sisa makanan yang tidak dihabiskan termasuk yang dijual di bazar Ramadan antara penyumbang utama kepada peningkatan jumlah sampah itu.

kdeb-02“Kebiasaannya memang setiap kali Ramadan, kita dapat lihat peningkatan sampah terutama yang dijana dari penjualan bazar Ramadan.

“Saya percaya di PBT lain turut mengalami masalah sama,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata, penjanaan kutipan sampah itu menjadikan sehingga 800 tan sehari berbanding 500 tan sehari, sebelum ini.

“Antara tiga PBT itu, setakat ini di kawasan Selayang mencatatkan paling tinggi iaitu sehingga 800 tan sehari,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya sudah menambah tong roro bagi kegunaan penduduk khususnya kawasan MPK dan MPS menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Di dua PBT ini, kita sudah mengambil alih pengurusan sampah pukal. Namun, di kawasan MPAJ kami memberi jaminan untuk turut menawarkan untuk mengambil sampah pukal bagi memudahkan penduduk menyambut perayaan.

“Kita juga akan memastikan semua kawasan bersih dan tidak tertumpu pada kawasan ‘hotspot’ sahaja,” katanya.

Categories
SELANGOR

KDEBWM lebar sayap, MPK sambut baik

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 17 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri memperluaskan pengambilalihan di 20 kawasan pembersihan awam mulai 1 Mac ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, KDEB Waste Managemant (KDEBWM) akan melebarkan sayapnya dengan melaksanakan kerja pembersihan awam meliputi kutipan sampah pukal, kebun dan pemotongan rumput.

Katanya, sebanyak tujuh fasa dan 111 zon dengan kontrak sebanyak RM29 juta dilaksanakan KDEBWM secara berperingkat.

YAZIDBeliau berkata sejak 1 Julai tahun lalu, KDEBWM mula menguruskan kutipan sisa domestik di sekitar Klang dan berjaya dilaksanakan secara keseluruhan.

“Walaupun pada mulanya, ramai agak skeptical dan sangsi keputusan itu, namun KDEBWM membuktikan bahawa keputusan Kerajaan Negeri dengan melantik mereka sebagai Project Management Company (PMC) adalah sangat tepat.

“Ini dapat dibuktikan dengan statistik aduan yang menunjukkan trend penurunan yang amat ketara bermula dari bulan pertama mereka mengambil alih kutipan sampah di Klang sehinggalah ke hari ini,” katanya di pelancaran program Smart Trak dan majlis penyerahan Mobile Garbage Bin, di Kompeks Sukan Pandaraman, di sini.

Yasid berkata MPK bertuah dan berbangga kerana diberi peluang menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama menggunakan lori-lori KDEBWM yang canggih, seragam dan tahan lasak.

Katanya, ia sekali gus dapat mengatasi masalah tipikal dan dominan yang sering diperkatakan di Klang.

-nR-