Categories
AGENDA NASIONAL

Pantau lebih kerap SOP subkontraktor, elak insiden kanvas ‘terbang’ berulang

SEPANG, 7 NOV: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan memantau lebih kerap tatacara operasi piawai (SOP) syarikat subkontraktor ketika menjalankan tugas bagi mengelakkan insiden kanvas ‘terbang’ berulang.

EXCO Kerajaan Tempatan yang juga pengerusi agensi berkenaan berkata syarikat sudah menggariskan beberapa kaedah dan akan melihat sama ada ia dipatuhi atau sebaliknya.

“Ini supaya pekerja sentiasa mematuhi peraturan sedia ada. Sekarang KDEBWM sedang menyiasat lebih terperinci kejadian itu sebelum membuat sebarang tindakan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han

“Saya ingin memohon maaf kepada keluarga penunggang motosikal itu. KDEBWM akan cuba membantu keluarga mangsa,” kata Ng Sze Han.

Beliau ditemui pada program Jom Kembali Ke Sekolah anjuran Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Majlis Perbandaran Sepang Zon Kota Warisan hari ini.

Pada Khamis, Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir berkata tindakan tegas termasuk penamatan kontrak bakal dikenakan terhadap syarikat subkontraktor terbabit insiden itu yang menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong, Rabu lalu.

Jelasnya syarikat menitik berat berkaitan isu pematuhan operasi dan menghargai komitmen orang ramai mengenai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kualiti kerja memuaskan, 15 subkontraktor KDEBWM terima sijil ISO

SHAH ALAM, 8 OKT: Sebanyak 15 subkontraktor KDEB Waste Management (KDEBWM) menerima sijil Sistem Pengurusan Kualiti (ISO) 9001 diperakui Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Pengarah urusan berkata penganugerahan amat membanggakan memandangkan ia merupakan pengiktirafan antarabangsa terhadap pematuhan kerja mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Mereka menjalani tiga fasa pengauditan iaitu penyediaan dan pematuhan dokumen, audit dalaman dan audit luaran sebelum layak memperoleh sijil.

“Ini membuktikan komitmen tinggi KDEBWM dalam mengurus sisa pepejal domestik negeri dengan baik dan mengikut piawaian ditetapakan,” kata Ramli Mohd Tahir menerusi kenyataan.

Menurutnya pensijilan itu menjadi tanda aras dan ikutan lebih 1,000 subkontraktor dalam memastikan kerja kutipan dibuat mengikut ketetapan syarikat.

“Syabas saya ucapkan kepada 15 syarikat ini atas kerjasama dan usaha mereka. Ini menjadi contoh terbaik kepada semua.

“KDEBWM akan memberikan yang terbaik dan merangka pelbagai rancangan demi memastikan kualiti kerja memuaskan,” katanya.

Categories
ADN AGENSI SELANGOR

KDEBWM sumbang sembilan tong sampah untuk penduduk Taman Templer

SHAH ALAM, 5 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyumbangkan sembilan tong sampah larut di perumahan sekitar Taman Templer yang menghadapi masalah kekurangan tempat pembuangan sampah.

Wakil rakyat Taman Templer Mohd Sany Hamzan berkata tujuh pangsapuri menerima sumbangan itu di Pangsapuri Julia, Selayang Mulia, Prima Selayang, One Selayang, Kota Warisan, Dahlia dan Nuri.

Bantuan turut diberi di Kampung Mahkota dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Selayang Baru.

Mohd Sany berkata kawasan terbabit sebelum ini menghadapi masalah tong sampah tidak mencukupi kerana terpaksa berkongsi dengan penduduk dari luar kawasan.

“Ada orang luar datang buang sampah di kawasan itu sehingga berlaku limpahan menyebabkan keadaan tidak selesa kepada penduduk.

“Jadi kami bangkitkan kepada KDEBWM yang bersetuju sumbang sembilan tong untuk kemudahan penduduk,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tong sampah larut itu disampaikan Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir di One Selayang.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Buang pelitup muka dengan betul, mudahkan petugas urus sampah  

SHAH ALAM, 26 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) memohon kerjasama orang ramai supaya membuang pelitup muka dengan betul bagi memudahkan urusan pengendalian sampah.

Pengarah urusannya berkata kesedaran orang ramai mengenai amalan betul pembuangan pelitup muka yang sudah dipakai belum mencapai tahap memuaskan dan masih dibuang merata-rata di tempat awam.

Menurut Ramli Mohd Tahir, keadaan itu melambatkan proses pengurusan sampah selain pekerja berisiko dijangkiti berikutan virus dibimbangi melekat pada pelitup muka dipakai pembawa wabak.

“Ada kalanya petugas kami terpaksa mengutip satu persatu pelitup muka sudah digunakan dalam tong sampah dan bawah kereta, ini merumitkan kerja serta ambil masa untuk diuruskan,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian dalam temu ramah dengan Astro Awani baru-baru ini.

Menurut Ramli pelitup muka yang sudah digunakan boleh dimasukkan dalam plastik atau dilipat serta diikat menjadi kecil bagi mengelakkannya terbang.

“Kita harus ada keperluan membuang pelitup muka dengan betul sama seperti kesedaran tinggi memakainya selaras norma baharu,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM ubah tapak buang sampah jadi pusat kitar semula

PUCHONG, 29 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengubah tapak pembuangan sampah haram di Jalan BP 4/1, Bandar Bukit Puchong di sini kepada pusat kitar semula.

Pengarah urusannya berkata pusat seluas 1.8 hektar yang mula beroperasi pada Oktober tahun lalu dibina bagi mengurangkan jumlah sampah dihantar ke tapak pelupusan.

“Pembinaan pusat kitar semula ini juga diharap dapat mengurangkan sampah longgok dan haram serta mendidik masyarakat mengenai kepentingan kitar semula.

“Antara sampah yang boleh dikitar semula di pusat ini termasuk kertas, plastik, aluminum, sisa elektronik yang akan dimampatkan sebelum dijual,” kata Ramli Mohd Tahir.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula KDEBWM di Bandar Bukit Puchong yang disempurnakan EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Noraini Roslan dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Pusat Kitar Semula KDEBWM di Jalan BP 4/1 Bandar Bukit Puchong ini adalah yang kedua dibuka selepas yang pertama di Jalan Korporat Meru Klang.

EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han (tiga, kanan) melihat barangan kitar semula yang ditimbang selepas merasmikan Pusat Kitar Semula KDEB Waste Management di Bukit Puchong, Puchong pada 29 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM: Lebih 8,000 pekerja bakal terima bakul makanan

SHAH ALAM, 22 JAN: Seramai 8,432 pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) yang bertugas di lapangan akan mendapat manfaat bantuan bakul makanan.

Pengarah urusannya berkata sumbangan beras berjumlah RM100,000 diberikan kepada pemandu lori, kru kutipan dan pembersihan awam melalui pejabat cawangan di seluruh pihak berkuasa tempatan bermula minggu depan.

“Sumbangan kecil ini sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang bekerja 365 hari setahun dalam memastikan kutipan sampah dan pembersihan dibuat mengikut jadual demi menjamin kebersihan persekitaran.

“Diharap ia memberi semangat baharu kepada golongan tersebut yang juga dianggap petugas barisan hadapan untuk terus bekerja walaupun dalam tempoh mencabar Covid-19,” kata Ramli Mohd Tahir ketika dihubungi.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM1.3 juta untuk pelaksanaan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk Selangor yang terjejas susulan pandemik.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor memaklumkan sumbangan diagih kepada pemandu teksi, bas sekolah, penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pemandu lori KDEBWM.

Sementara itu, Ramli berkata pihaknya menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri dalam meringankan beban golongan terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita juga akan melihat bentuk bantuan lain yang mungkin boleh disalurkan kepada mereka sekiranya PKP dilanjutkan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM kendali kutipan sampah pukal di Puncak Alam mulai 1 Oktober

SHAH ALAM, 20 SEPT: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan mengambil alih perkhidmatan kutipan sampah pukal di kawasan Pusat Perdagangan Alam Jaya, Puncak Alam bermula 1 Oktober ini.

Pengarah urusannya berkata sebelum ini pihaknya hanya menguruskan kutipan sampah domestik di kawasan itu yang dilaksanakan setiap hari.

“Kutipan sampah pukal adalah di bawah Badan Pengurusan Bersama (JMB) AJ Boulevard dan longgokan tersebut dipercayai ekoran daripada pembuangan haram dari pihak tidak bertanggungjawab,” kata Ramli Mohd Tahir dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya menitikberatkan isu kutipan sampah dan pembersihan awam malah menghargai komitmen serta keprihatinan orang ramai mengenai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Selangor.

“KDEBWM mengalu-alukan orang awam menyalurkan aduan melalui aplikasi pintar ‘i-Clean Selangor’ dan pengguna boleh menghantar aduan bergambar sekali gus membantu kami menyelesaikan permasalahan dengan lebih cepat serta efisien,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Isu Jalur Gemilang terbalik, KDEBWM akan bertindak

SHAH ALAM, 24 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan mengambil tindakan terhadap pemandu dan sub kontraktor berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik pada lori sampah.

Pengarah urusannya berkata pihaknya memandang serius isu yang tular di media sosial itu dan memohon maaf kepada orang ramai.

“Kejadian yang berlaku tidak disengajakan sama sekali dan KDEBWM tidak akan berkompromi dengan sebarang perilaku yang tidak sepatutnya.

“Semua warga kerja dan sub kontraktor sentiasa menjunjung tinggi dan menghormati bendera negara kita,” kata Ramli Mohd Tahir dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki membuat teguran kepada seorang kontraktor dan pemandu lori sampah selepas melihat bendera dipasang secara terbalik di bahagian depan lori.

Video dilaporkan berlaku di Bandar Country Homes Rawang memaparkan pemandu lori memberi alasan bendera tersalah pasang oleh pekerja warga Bangladesh.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Kerja kutipan sisa domestik di Shah Alam lancar

SHAH ALAM, 5 JAN: Proses kutipan sisa domestik di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) berjalan lancar dan terkawal.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, ia dilihat berdasarkan pemantauan berkala dan aduan diterima sejak lima hari pengambilalihan kerja kutipan bermula 1 Januari lalu.

Katanya, jumlah kutipan sampah domestik turut mencapai purata 650 tan sehari.

“Setakat ini kerja kutipan berjalan lancar, KDEBWM sedang mencuba menyelesaikan sampah yang tertunggak sebelum ini.

“Kita sedang mengenal pasti semua laluan, mengenal lorong dan jalan serta membiasakan dengan jadual.

“KDEBWM juga sedang mengenal pasti tong sampah lama dan uzur yang perlu kita pohon pada MBSA untuk ditukarkan bagi memudahkan kutipan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Ramli berkata, pihaknya mengalami sedikit kekangan kerja kutipan sisa berkenaan di kampung tradisi kerana faktor kepadatan penduduk dan jalan serta lorong kecil.

Bagaimanapun, katanya, kerja kutipan berjaya dilaksanakan dengan menggunakan aset lain seperti lori roll on roll off (RORO).

“Saya lihat kawasan kampung tradisi seperti Kampung Melayu Subang, Padang Jawa, Merbau Sempah serta Paya Jaras mempunyai aduan yang tinggi sedikit.

“Kawasan kampung ini rumahnya padat dan sampah juga banyak. Banyak jalan dan lorong kecil menyukarkan lori masuk untuk membuat kutipan, malah kita terpaksa gunakan aset lain seperti RORO untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Sehubungan itu, Ramli berharap dan meminta penduduk Shah Alam bersabar sekiranya terdapat masalah di kawasan masing-masing kerana pihak kontraktor sedang menyesuaikan diri dengan laluan dan jadual baharu.

“Aduan kita terima terus ke Centralised Command Center. Kita cuba selesaikan terus dalam hari yang sama. Ia kebanyakannya dari sampah “miss collection” ataupun sampah tertunggak sebelum ini ketika hujung tahun dan sebagainya.

“Justeru, saya mohon penduduk bersabar sedikit kerana semua kontraktor kita sedang menyesuaikan diri dengan laluan dan jadual baharu,” katanya.

Mulai 1 Januari lalu, KDEBWM mengambil alih kutipan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA membabitkan 57 zon.

Manakala, kerja kutipan pembersihan awam di kawasan itu pula dijangka akan diambil alih pada 1 Julai depan.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM ambil alih pengurusan sisa pepejal di kawasan MBSA tahun depan

SHAH ALAM, 27 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) bakal mengambil alih perkhidmatan pengurusan sampah dan sisa pepejal di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bermula 1 Januari tahun hadapan.

Ia selaras arahan Kerajaan Negeri supaya KDEBWM yang juga syarikat melalui pegangan saham Kumpulan Darul Ehsan itu mengambil alih pengurusan sisa pepejal di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk MBSA.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, proses pengambil alihan perkhidmatan pengurusan sampah itu akan dimuktamadkan menerusi pertemuan yang bakal diadakan bersama pimpinan tertinggi PBT terbabit, Khamis ini.

“Kita sudah membuat persediaan untuk pengambil alihan di PBT terakhir di Selangor yang tertangguh hampir setahun berikutan beberapa isu teknikal, namun kita kena terima hakikat Kerajaan Negeri memutuskan prosesnya dijangka pada 1 Januari tahun hadapan.

“Bagaimanapun, dengan pengalaman kita di 11 PBT sebelum ini, kita akan menggunakan sebaiknya dan membuat persiapan sebaiknya.

“Malah, kita juga sudah memiliki data MBSA untuk olahan selain kelulusan pembelian lori baharu daripada agensi kerajaan termasuk pasukan KDEBWM ditempatkan ke MBSA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Bola Sepak Piala Pengarah Urusan KDEBWM 2019, di Stadium Rhino KV Arena, di sini hari ini.

Ditanya fokus pihaknya selepas proses pengambil alihan selesai di kesemua 12 PBT, Ramli berkata, pihaknya bercadang untuk memperluaskan program kitar semula termasuk menambah baik sistem sedia ada.

Katanya, KDEBWM bukan sahaja mahu menerajui syarikat pengurusan sampah domestik di Selangor, bahkan berhasrat menjadi syarikat terbesar dalam pengurusan barang kitar semula.

“Ini kerana sampah di negeri ini untuk sehari adalah 7,000 tan (domestik) dan 3,000 tan (pukal), jadi sampah dikutip dalam tempoh sehari sebanyak 10,000 tan. Jika dilupuskan di pusat pelupusan, maka tiada nilai tambah yang akan diperolehi daripada sampah terbabit.

“Konsepnya ‘sampah ialah duit’ dan ‘sampah tidak kotor’, kalau boleh buat kitar semula sebagai sumber, saya percaya kita mampu mengumpul lima peratus bagi tujuan kitar semula, seterusnya berjaya mengurangkan sisa sampah di Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya turut berhasrat membangunkan model sistem bagi pengumpulan rekod kutipan sampah kitar semula di setiap PBT.

“Setakat ini tiada PBT yang mempunyai rekod kutipan kitar semula dan jika boleh gunakan model berkenaan, kita mahu mulakan daripada kosong untuk mendapatkan jumlah kutipan.

“Jika Kerajaan Negeri beri arahan dan peluang, kita akan beri usahasama kerana sampah di Selangor tinggi dan tidak boleh diselesaikan dalam masa sehari atau kaedah pelupusan sistem lama.

“Pelbagai teknologi yang ada dengan melihat sistem dan teknik pelupusan sampah di negara luar seperti penghasilan diesel dari plastik serta tenaga dari sampah, malahan kita ingin lihat lebih dari itu untuk bantu Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM teruskan CSR edar tong sampah

SHAH ALAM, 24 JUL: KDEB Waste Management (KDEBWM) meneruskan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyampaikan sumbangan lima tong sampah di dua lokasi di Subang Jaya dan Klang.

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, tong sampah baru jenis ‘Leach Bin’ itu disumbangkan kepada Pangsapuri Desa Mentari 2 Petaling Jaya dan satu unit kepada Jawatankuasa Penduduk Bagan Hailam serta satu set tong sampah kitar semula disumbangkan kepada Pangsapuri Seri Nipah Pinggiran USJ.

Katanya, sumbangan tong sampah itu bukan sahaja dapat menggantikan tong sampah yang rosak, malah dapat membantu proses pembuangan sampah domestik lebih bersih dan teratur oleh penduduk di kawasan berkenaan.

“Selain itu, kerja-kerja kutipan sampah juga dapat dijalankan dengan lebih lancar oleh KDEBWM.

“Selain menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk di Pangsapuri Seri Nipah dan menyokong usaha penduduk dalam menyahut kempen kitar semula di kawasan kediaman mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Mahfuzah berkata, selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor, amat mengambil berat akan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk dan masyarakat.

“KDEBWM akan terus menyokong usaha dan menyambut baik sekiranya terdapat pihak yang amat memerlukan bantuan seperti ini sekaligus, dapat bersama-sama melestarikan kebersihan dan keindahan khususnya di Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

KDEBWM sumbang 40 tong sampah mudah alih

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 1 JUL: Sebanyak 40 buah tong sampah baharu jenis Tong Sampah Mudah Alih (MGB) diserahkan KDEB Waste Management (KDEBWM) kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 22 Majlis Daerah Kuala Langat bagi program gotong-royong yang diadakan di Taman Mesra Kanchong Darat di sini.

Ketua Perhubungan Awam dan Media, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, sumbangan berkenaan adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan kepada daerah itu.

“KDEBWM juga turut menyumbangkan hadiah cabutan bertuah berupa hamper dan barangan eletrik pada program terbabit.

“Kita turut berbesar hati munyumbangkan dua set tong kitar semula kepada Sekolah Kebangsaan Olak Lempit yang akan mengadakan Program Kitar Semula peringkat sekolah dalam masa yang terdekat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Mahfuzah berkata, pihaknya turut menyumbang sebanyak tiga unit tong sampah jenis ‘Leach Bin’ kepada Jawatankuasa Penduduk Bagan Hailam.

“KDEBWM mendapat makluman bahawa tong sampah di kawasan terbabit rosak dan tidak dapat digunakan.

“Oleh itu, sumbangan tong sampah ini dapat membantu memudahkan proses pembuangan sampah domestik oleh penduduk dan juga memudahkan kerja kutipan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, KDEBWM selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor amat mengambil berat akan permasalahan dihadapi penduduk dan masyarakat.

“KDEBWM akan terus menyokong usaha dan menyambut baik sekiranya terdapat program yang bermanfaat khususnya membabitkan pengurusan sampah dan penjagaan alam sekitar seperti gotong-royong juga kitar semula,” katanya.