Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kontraktor culas kutip sampah bakal ditamatkan kontrak

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 15 JULAI: Kontraktor yang culas dalam mengendalikan sampah di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan diambil tindakan penamatan kontrak serta-merta.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, berkata MPK akan memantau kerja-kerja kontraktor secara berterusan dan aduan akan disalurkan kepada KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kontraktor yang dilantik juga akan diberi tempoh percubaan selama tiga bulan.

YDP MPK“Bermula 1 Julai lalu, KDEBWM mengambil alih pengurusan sampah di kawasan MPK, namun pihak kami akan memantau secara berterusan dan membantu mengendalikan pengurusan sampah jika terdapat kawasan tertinggal,” katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri MPK, di sini.

Yasid berkata, kekerapan kutipan sampah sekitar dua hari sekali juga akan dipertingkatkan secara kerap dalam tempoh terdekat.

Katanya, ia termasuk menambah lori kompaktor baru bermula Ogos depan.

“Kita memahami dan memberi masa kepada pihak KDEBWM yang baru sahaja mengambil alih pengurusan ini,” katanya.

KDEBWM mula mengambil alih pengurusan sampah domestik di kawasan MPK bermula 1 Julai lalu, kecuali Taman Sentosa, Bandar Bukit Tinggi dan Bandar Bukit Tinggi 2.

Jika terdapat sebarang masalah, orang ramai boleh menghubungi talian 019-2742824 (Whatsapp), 019-375 9592, 019-375 3980, talian bebas toll STARS di 1-800-88-2824 atau menerusi e-mel di alamat [email protected].

-AA-