Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN Selangor gesa badan bebas pantau siasatan ketua pesuruhjaya SPRM

SHAH ALAM, 9 JAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menggesa siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dipantau badan bebas.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor Halimey Abu Bakar berkata tindakan berkenaan bagi memastikan tidak ada tangan ghaib mengganggu proses siasatan tersebut.

Beliau juga menggesa pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM selepas ini perlu melalui proses dan dipantau Parlimen Malaysia bagi memastikan seseorang individu berwibawa dan bebas dari pengaruh politik.

“Cukuplah dengan bala yang menimpa negara dengan urus tadbir lemah, ditambah lagi dengan agensi penguatkuasa yang bobrok,” katanya dalam kenyataan semalam.

Azam didakwa memiliki saham dua syarikat pada 2015 berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, beliau pengarah bahagian siasatan SPRM.

Azam dalam sidang media pada 5 Januari kemudian mendakwa akaun sahamnya digunakan adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kemudian menyatakan setiap akaun sekuriti mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN Selangor: Hormati konsensus, usah tuding jari kepada individu

SHAH ALAM, 23 NOV: Para pemimpin HARAPAN digesa menghormati semangat konsensus dan perpaduan dalam parti, tegas Ketua Penerangan KEADILAN Selangor.

Justeru Halimey Abu Bakar berkata tindakan menuding jari terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendesaknya meletakkan jawatan atas kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Keputusan PRN Melaka sememangnya memberi tamparan hebat kepada HARAPAN namun setiap keputusan yang telah dibuat adalah berdasarkan konsensus bersama kesemua pimpinan dan bukannya keputusan individu.

“Jadi adalah sangat tidak wajar mana-mana pimpinan dalam HARAPAN untuk menuding jari terhadap ketua pembangkang seolah-olah segala keputusan dibuat atas kehendak beliau,” bidas Halimey dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen dari DAP yang mendesak Anwar meletakkan jawatan ketua pembangkang ekoran kekalahan HARAPAN dalam PRN Melaka pada 20 November lalu.

Dalam PRN itu, HARAPAN memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 15 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Barisan Nasional pula menguasai 21 kerusi DUN sekali gus membolehkan ia kembali memerintah manakala Perikatan Nasional hanya menang dua kerusi.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata HARAPAN perlu melakukan perubahan dalam memenangi hati pengundi luar bandar dan anak muda selain menggalakkan pengundi luar untuk pulang mengundi.

“Pesanan ikhlas buat semua pimpinan dalam HARAPAN agar lebih berhati-hati dan berhemah dalam membuat sebarang kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Cabang KEADILAN Tanjong Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, adalah tidak wajar untuk meletakkan kegagalan di bahu Anwar seorang sahaja.

“Para pemimpin HARAPAN di setiap peringkat digesa berhenti menunding jari antara satu sama lain. Rapatkan saf dan kekalkan muafakat serta perpaduan dalam parti.

“Kami berikar untuk terus memberikan kepercayaan serta sokongan kepada Anwar Ibrahim selaku Pengerusi HARAPAN,” tegas beliau.

Katanya, sebagai sebuah gabungan politik, setiap kemenangan mahupun kekalahan perlulah diletakkan di bawah tanggungjawab bersama.

Beliau yang juga Pengerusi HARAPAN Tanjong Karang mengingatkan bahawa Anwar hampir setiap hari turun ke Melaka berkempen walaupun mempunyai kekangan tugas sebagai ketua pembangkang.

“Adalah tidak adil apabila HARAPAN gagal di Melaka, golongan ini menghalakan serangan serta menyalahkan Anwar selaku Pengerusi HARAPAN.

“Namun sekiranya kemenangan dicapai golongan ini akan mendakwa kemenangan tersebut adalah hasil usaha mereka,’ katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN Selangor nasihat calon terus tawan pengundi

PAYA RUMPUT, 14 NOV: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mengingatkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka agar terus berkempen biarpun berdepan pelbagai kekangan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata calon juga harus bersabar dan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk bertemu pengundi sehingga tamat tempoh berkempen.

“Calon harus bawa dan sampaikan hasrat serta matlamat kepada rakyat. Insha Allah saya yakin kemenangan pada 2018 boleh diulang oleh HARAPAN di Melaka,”katanya.

Terdahulu beliau hadir minum petang bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam lawatan turun padang membantu persiapan calon PRN.

Dalam lawatan itu, Amirudin turut berbincang berhubung keperluan tambahan PRN Melaka berkaitan pengundi dan hal-hal ehwal masyarakat.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menyifatkan kempen yang terhad sepanjang PRN memberi kesan kepada ramai kepada semua calon dalam menyampaikan aspirasi mereka.

“Ini bukan isu lebih kempen, tetapi kekurangan kempen dan merupakan peristiwa agak malang dalam sistem demokrasi yang terganggu disebabkan Covid-19,”katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.

Ia susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.

Categories
SELANGOR

KEADILAN Selangor bincang, bantu PRN Melaka

KLANG,25 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor akan membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, maklum pengerusinya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Ada sebahagian pemimpin sudah mula bergerak. Bagaimanapun ada kekangan kerana kempen sangat ketat dan tidak pasti cara hendak laluinya.

“Kekangan ketat kerana tidak boleh bersemuka dan berkumpul walaupun dalam fasa empat. Saya rasa konsistensi kerajaan perlu ada dalam hal ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Jelajah Deepavali KEADILAN Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan tiada sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November hadapan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata larangan tersebut ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan tatacara operasi piawai (SOP) PRN dalam masa terdekat.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN sangkal tuduhan Pemuda PAS, Selangor giat percepat suntikan vaksin

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kerajaan Selangor tidak sesekali bermain politik dalam isu suntikan vaksin sebaliknya mengambil pelbagai langkah termasuk membeli vaksin dan melaksanakan program Vaksin Selangor (Selvax).

Pengarah komunikasi KEADILAN negeri juga menegaskan Kerajaan Negeri tidak pernah berpeluk tubuh, malah langkah untuk mendapatkan bekalan sendiri dibuat sejak Januari lagi.

Menolak dakwaan Dewan Pemuda PAS Selangor, Saifuddin Shafi mengingatkan kerajaan persekutuan melalui Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 bertanggungjawab mengurus bekalan vaksin.

Beliau juga menjelaskan Selvax bertujuan melengkapi usaha kerajaan persekutuan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi mempercepat pemberian vaksin kepada penduduk.

“Usaha ini sahaja menunjukkan bahawa tuduhan Dewan Pemuda PAS Selangor jauh meleset,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Selangor Hanapi Zulkapli menuduh Kerajaan Selangor bermain politik dalam isu suntikan vaksin berikutan peratusan dicapai Selangor hanya 75.6 peratus setakat 13 Julai.

Saifuddin sebaliknya berkata KEADILAN Selangor turut mempersoal kesahihan angka suntikan vaksin kononnya “ada negeri lain yang telah mencapai 90 peratus” yang dipetik Dewan Pemuda PAS.

Menyifatkan dakwaan itu meleset, beliau meminta timbalan menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga ahli parlimen PAS supaya berkongsi angka sebenar kepada Dewan Pemuda itu.

“Malah, seharusnya juga timbalan menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi berkongsi angka-angka yang tepat kepada Dewan Pemuda PAS Selangor sebelum membuat tuduhan melulu begini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa KEADILAN Selangor perkukuh jentera, pimpin negeri lain

SHAH ALAM, 2 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor memperkukuh jentera parti agar mampu menjadi pimpinan kepada negeri lain.

Presiden KEADILAN berkata perkara yang harus diberi tumpuan ketika ini adalah memperkuat jentera parti berbanding memikirkan soal calon untuk bertanding.

“Selangor mesti menjadi pimpinan dengan harapan membantu negeri lain. Tahniah kepada saudara Amir (Dato’ Seri Amirudin Shari) kerana memberi jaminan untuk membantu keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada program iftar perdana KEADILAN Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Sementara itu, Anwar meminta ahlinya bergerak sebagai sebuah parti dengan mempertahankan nilai murni dan akhlak bagi mengelak terjerumus dalam sebarang salah laku.

“Pengalaman kita yang lalu, kita keluarkan pimpinan yang mula bersekongkol dengan kompromi rasuah…menggunakan kuasa untuk memperkayakan diri.

“…dan sebahagian daripada kita terperangkap kerana terpukau dengan habuan diberi tanpa mempersoalkan bahawa parti ini ditegakkan dari awal untuk menolak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Itu pengajaran yang harus diperbetulkan,” katanya.

Ketua pembangkang turut memaklumkan sistem pemerintahan negara ketika ini sangat lemah sehingga pelbagai kesilapan besar membabitkan salah guna kuasa berjaya dibongkarkan.

“Sistem kita (pemerintahan) sudah rosak. Jadi, kita mampu di peringkat sekarang perkuat jentera selain menggesa dan mendesak.

“Kita yakin bahawa negara ini hanya akan selamat dengan pimpinan beretika dan berwibawa. Insya-Allah, KEADILAN akan tampil sebagai kekuatan raksasa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN sasar bertanding 25 kerusi DUN Selangor

SHAH ALAM, 2 MEI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyasarkan untuk bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata pihaknya juga akan membincangkan lebih lanjut kedudukan tiga kerusi Parlimen di negeri itu.

“Insya-Allah menjelang PRU akan datang, kita ingin menambah daripada 21 kerusi (sedia ada) menjadi 25.

“Begitu juga di kerusi Parlimen ada tiga lagi perlu dibincang iaitu dua daripadanya, Sungai Besar yang hampir pasti kita dapat dan satu lagi Tanjong Karang sedang dalam perkiraan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada program iftar perdana KEADILAN Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Turut hadir, Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli majlis pimpinan pusat KEADILAN.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar menambah kesempatan menganjurkan program berbuka puasa itu digunakan untuk memperkukuh ukhwah dan solidariti dalam mendepani musuh politik yang menunggu merosakkan parti.

“Selangor adalah sebahagian tiang seri penting. Saya tahu kalau mereka (musuh) berjaya merampas dan menggugat, kita juga akan tergugat secara amnya di Malaysia.

“Sebab itu dari semasa ke semasa, kita memperkukuh… dan Selangor antara negeri pertama yang berjaya membentuk seluruh jawatankuasa pilihan raya parlimen,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN yakin pertahan Selangor meski wakil rakyat keluar parti

SHAH ALAM, 17 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor yakin mampu menarik pengundi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 meski ada pemimpin keluar parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Dato’ Seri Amirudin Shari berkata situasi dan cabaran sama pernah dilalui parti itu ketika mula mentadbir Selangor pada 2008.

“Dari 2008 hingga 2013, sejumlah ahli parlimen kita keluar parti malah bekas menteri besar yang juga wakil rakyat Perlabuhan Klang (ketika itu) juga menjadi bebas.

“Apa yang penting bagi saya KEADILAN mempunyai polisi dan kita buktikan melalui program. Transformasi, reformasi yang kita buat bukan hanya kata-kata tetapi nampak hasilnya yang seterusnya dijadikan contoh,” katanya.

Beliau mengulas cabaran KEADILAN Selangor untuk menarik pengundi dalam PRU selepas ada beberapa wakil rakyatnya keluar parti.

Amirudin menambah pendekatan KEADILAN memimpin negeri berbeza selaras peredaran zaman selain bergantung situasi semasa dan keperluan rakyat.

“Zaman sebelum ini kita berkongsi apa yang kita ada dan rakyat mahu tetapi sekarang berubah sesuai dengan konsep penerimaan data dan keputusan lebih tepat iaitu kita beri apa yang mereka perlu.

“Jadi saya rasa dari masa ke masa KEADILAN sebagai kerajaan dan parti komponen Pakatan Harapan walau apapun berlaku kita masih mempunyai dua pertiga di Selangor,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan cabang penting untuk menangi pilihan raya

GOMBAK, 11 APRIL: Tadbir urus yang sistematik membuktikan tiada satu cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Selangor terbubar.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata meskipun kehilangan beberapa wakil rakyat dalam parti tersebut, namun pentadbiran di setiap cabang tidak terjejas sebaliknya berjalan lancar.

“Walaupun ketua cabang, ahli cabang, ahli parlimen keluar tetapi cabang itu masih lagi kekal sama. Disebabkan kita susun (pengurusan) dengan baik, tidak ada satu cabang pun yang terbubar… Itu yang pentingya.

“Namun suka saya ingatkan, kita tidak boleh kalah dalam mengkordinasi pengurusan dengan baik kerana kebenaran yang tak tersusun akan tewas kepada kejahatan tersusun,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan KEADILAN cabang Gombak di Dewan Beringin, Seri Gombak di sini hari ini.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata prinsip perjuangan tegas dalam KEADILAN adalah perkara induk yang harus dikekalkan setiap ahli.

“Faktor inilah yang mendorong 80 peratus ahli KEADILAN di negeri ini kekal setia berjuang dalam menggerakkan reformasi parti,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pulangkan mandat rakyat, KEADILAN Selangor tumpu menang PRU15

SHAH ALAM, 8 APRIL: Matlamat memenangi pilihan raya dan mengembalikan mandat rakyat sentiasa menjadi fokus utama Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor.

Pengarah komunikasi negeri berkata usaha menjayakan agenda reformasi diperkukuh dengan pelancaran bilik gerakan utama untuk memastikan gerak kerja jentera yang lebih tersusun.

“Kita yakin jentera KEADILAN Selangor bersedia turun sebagai kesatuan bagi menyantuni dan memenangi undi rakyat negeri ini yang menjadikan Selangor sebagai kubu kuat sejak 2008,” kata Saifuddin Shafi dalam kenyataan.

Beliau turut berharap persediaan jentera meniup semangat anggota KEADILAN seluruh negara untuk mengatur langkah dan berpadu menuju kemenangan.

Jentera Pilihan Raya Negeri Selangor dilancarkan malam tadi di sini oleh Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pakatan Harapan negeri dijangka memuktamadkan agihan kerusi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada pertengahan bulan ini.

Amirudin berkata perbincangan bersama pimpinan DAP dan Amanah antara lain menumpukan kerusi Dewan Undangan Negeri yang sebelum ini ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN Selangor harus kukuhkan cabang, elak sengketa

AMPANG, 8 MAC: Pemimpin KEADILAN Selangor perlu mengukuhkan cabang masing-masing bukan memikirkan calon yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Majlis Pimpinannya Dato’ Seri Amirudin Shari juga meminta semua pihak tidak menghabiskan masa dengan sengketa dan adu domba sebaliknya menjunjung amanah dan mandat rakyat.

“KEADILAN Selangor diuji apabila tiga pemimpin utama kita keluar parti. Kita kehilangan timbalan presiden, ketua wanita pusat dan ketua wanita negeri.

“Namun, prinsip perjuangan dan agenda reformasi jadi kunci keteguhan kita. Alhamdulillah meskipun mereka pergi namun tiada cawangan di Selangor dibubar,” katanya ketika merasmikan bilik gerakan utama Parlimen Ampang di Santai@ Ampang Point di sini, semalam.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya yakin Selangor kekal di bawah PAKATAN pada PRU15 berdasarkan prestasi Kerajaan Negeri yang konsisten sejak mentadbir pada 2008.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN dakwa PN ‘khadam Umno’, tidak kekal

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘khadam Umno’ yang bakal tumbang tidak lama lagi.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menganggap gabungan itu kian goyah hingga memaksa mereka merancang mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.

Malah, beliau mendakwa PN juga terpaksa menunggu keputusan kes mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang boleh mempengaruhi sokongan terhadap mereka.

“Sebab itu mereka (PN) merancang buat pilihan raya kerana makin lama mereka makin berpecah, tambahan (pula) kes Najib ditentukan 28 Julai ini,” katanya pada majlis makan malam bersama cabang Ampang malam ini.

“Sebab kalau dia (Najib) kalah, beliau ada hampir 10 orang ahli parlimen yang setia. Kalau enam daripadanya tidak datang ketika pengundian mereka (PN) akan tewas.”

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar turut menegaskan PN cuma memikirkan cara untuk kekal berkuasa  tanpa mempedulikan masalah negeri, malah mereka bimbang menjadi kerajaan paling singkat dalam sejarah.

“Ujian pertama adalah lantikan speaker (Dewan Rakyat), mungkin mereka lepas tetapi selepas itu peristiwa besar adalah (kelulusan) belanjawan pada November hadapan,” katanya lagi.