Categories
SELANGOR

Selangor belanja RM1.04 juta beli teknologi terkini atasi kebakaran terbuka

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 DIS: Kerajaan Selangor membelanjakan RM1.04 juta bagi membeli teknologi terkini untuk memadam kebakaran terbuka yang melibatkan tanah gambut, Peat Firex bagi memastikan ia dapat dikawal lebih awal sebelum merebak lebih luas.

Teknologi yang didatangkan daripada Amerika Syarikat itu dikatakan mampu mengawal kebakaran tanah gambut terbuka lebih berkesan berbanding kaedah konvensional yang biasa digunakan pasukan pemadam kebakaran di negeri itu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, Selangor adalah negeri pertama yang menggunakan teknologi yang menggunakan bahan serbuk dan bancuhan air bagi mengatasi kebakaran hutan gambut, sekali gus menjayakan kempen tahun 2015 sifar kebakaran terbuka.

elizabeth api johan setia 25 jun 03“Kali ini kita ambil langkah awal bermula tahun ini. Kita sudah mula adakan perbincangan dalam isu kebakaran terbuka bagi menjayakan kebakaran terbuka sifar 2015.

“Kita yang pertama di Malaysia. Kaedah ini cuma perlu menyemburkan bancuhan di kawasan kebakaran bagi mengelakkan api marak berbanding cara sekarang yang perlu guna banyak air untuk membanjirkan kawasan kebakaran.

“Kalau kaedah sekarang bila ada kebakaran terbuka, anggota bomba bersiap sedia untuk berkhemah hingga sampai dua bulan tetapi kaedah ini masa lebih singkat,” kata Elizabeth ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sistem dan Produk Peat Firex di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini, petang tadi.

Beliau berkata, bahan campuran serbuk khas dan air akan dibancuh dengan menggunakan mesin khas terlebih dahulu dan boleh dioperasikan dengan masa lebih singkat dan penggunaan tenaga manusia yang optima.

Katanya, bekalan bahan bancuhan yang dibeli itu dijangka mencukupi untuk digunakan dalam jangkasa masa kira-kira lima tahun.

-NFN-