Categories
AGENDA JENAYAH

Kanak-kanak perempuan 11 tahun ditemui rentung dalam kilang

SUNGAI PETANI, 4 MAC: Seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia 11 tahun maut dalam kebakaran sebuah kilang memproses getah tiruan (sintetik) di Kawasan Perindustrian Bakar Arang dekat sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim berkata mayat Misha Kasih ditemukan dalam keadaan rentung di tingkat dua bangunan pejabat kilang berkenaan.

“Pengurus kilang memberitahu bahawa Misha adalah cucu angkat kepada keluarga mereka, yang dipelihara sejak kecil, iaitu selepas ibu kanak-kanak itu pulang ke negara asalnya dan meninggalkan Misha, untuk dijadikan anak angkat secara sah.

“Kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada keluarga beragama Islam untuk dijaga namun sering dibawa oleh pengurus kilang ke tempat kerja untuk bermain dan tidur di situ bersama anaknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian anak pengurus kilang itu yang tidur di dalam sebuah bilik di bangunan kilang terbabit sempat menyelamatkan diri, namun Misha gagal ditemui ketika itu.

Anuar berkata kebakaran itu memusnahkan hampir 95 peratus kilang, yang telah beroperasi hampir 20 tahun.

Katanya mayat kanak-kanak itu sudah dihantar ke unit forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk proses bedah siasat.

Sementara itu pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah penolong kanan pesuruhjaya bomba Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 4.11 pagi.

“Sebaik jentera bomba tiba di lokasi didapati api sedang marak dan ia berjaya dikawal pada pukul 5.10 pagi. Mayat kanak-kanak itu dijumpai pada jam 7.30 pagi,” katanya.

Katanya jumlah kerugian dianggarkan RM16.35 juta dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

15 gerai makan MPK terbakar, tiada kemalangan jiwa

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebanyak 15 gerai makan milik Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Jalan Besar Pandamaran, Pelabuhan Klang dekat sini mengalami kebakaran awal hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata deretan gerai itu terbakar kira-kira 80 peratus namun kejadian tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.14 pagi dan 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang serta BBP Seri Andalas tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian bagi operasi pemadaman.

“Anggota bomba dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 15 minit dan kebakaran kemudian dapat dipadam sepenuhnya pada pukul 5.18 pagi,” katanya sambil menambah punca kebakaran sedang disiasat.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kereta hangus akibat api bakar sampah merebak

SHAH ALAM, 3 FEB: Sebuah Perodua Myvi hangus dipercayai akibat pembakaran sampah yang merebak ke kenderaan tersebut dalam kejadian i Parit 3 Timur, Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.46 pagi, lapor Berita Harian.

Hafisham Mohd Noor menjelaskan, sepasukan empat anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar dikejarkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

“Ketika kejadian, pemilik kereta berusia 38 tahun berada di dalam rumah keluarganya. Kebakaran berpunca daripada pembakaran sampah dan dipercayai merebak ke kenderaan terbabit.

“Pemilik kenderaan cuba memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam api tetapi gagal. Dia kemudian menghubungi bomba,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Suami isteri rentung, tujuh lagi melecur dalam kebakaran 40 rumah

TAWAU, 9 JAN: Sepasang suami isteri rentung manakala tujuh lagi melecur dalam kebakaran membabitkan kira-kira 40 rumah di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama di sini tengah malam tadi.

Mayat Saiful Rosli, 32, dan isterinya Jumaidah M Jida, 36, ditemukan anggota bomba awal pagi tadi selepas kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 6.20 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Julius John Stephen Jr berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.25 tengah malam tadi dan 25 anggota serta dua jentera diaturgerak ke lokasi.

“Mangsa yang melecur 86 peratus ialah Abdul Mutalib Suma, 45, manakala seorang lelaki, 26 tahun dan seorang remaja, 18 tahun melecur 17 peratus.

“Selain itu, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara enam hingga 12 tahun melecur antara 1 hingga 6 peratus dan semua mangsa melecur dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, mangsa kebakaran Mala Tipung, 46, ketika ditemui Bernama menangis teresak-esak apabila mendapati rumahnya yang ditinggalkan kosong selama seminggu itu musnah dalam kebakaran.

“Saya ke tempat kerja suami seminggu lalu di Sungai Burong Teck Guan, pagi ini saya balik, baru saya tahu rumah kami terbakar, semua tinggal jadi debu, satu barang pun tidak dapat diselamatkan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Hasoni Basiah, 34, berkata ketika kejadian beliau sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah oleh sahabatnya, bernama Awil.

“Saya buka pintu, kawan saya Awil sudah berteriak ‘api’ dan saya tengok api besar sudah di belakang rumah saya, melihat api marak saya kejutkan isteri dan adik ipar, untuk menyelamatkan diri, ” katanya menambah dia hanya sempat mengambil dokumen penting sebelum lari keluar dari rumah.

Nur Anita Saddu, 30, pula berkata dia suami serta dua anaknya sempat menyelamatkan diri selepas mendengar salakan kuat anjing seperti memberi amaran sesuatu berlaku sebelum kedengaran suara jiran menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

“Ketika kami keluar rumah, api sudah merebak ke rumah jiran, saya cuma sempat bawa keluar baju anak manakala suami sempat pindahkan kereta ke tempat selamat,” katanya.

Selain itu Abbas Tenri, 49, berkata dua surat lahir anaknya tidak sempat diambil dan musnah bersama barangan lain dalam kebakaran itu.

“Saya dan tujuh anak selamat cuma ada dua surat lahir anak saya tidak sempat ambil, saya juga bingung esok anak-anak akan mula sekolah tetapi barang-barang sekolah mereka semua musnah,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa kebakaran.

Katanya segala keperluan mangsa sedang diusahakan pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Bencana Daerah Tawau dan Jabatan Kebajikan, selain berharap mangsa dapat bersabar ketika ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wad hospital terbakar, 30 pesakit dipindah

SHAH ALAM, 11 OKT: Seramai 30 pesakit dua wad di Hospital Pantai di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang dipindahkan susulan kebakaran malam tadi.

Seramai 20 kakitangan hospital terbabit turut dipindahkan namun tiada mangsa cedera dilaporkan, maklum pengarah bomba Selangor.

Norazam Khamis berkata seramai 13 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 malam.

“Bomba yang tiba di lokasi pada jam 11.42 malam mendapati kebakaran melibatkan bilik bernombor A60 dan A61, namun telah dikosongkan.

“Pasukan bomba menggunakan konsep ‘receo’ iaitu membuat kerja menyelamat, memindahkan pesakit dan kerja pemadaman,” katanya.

Beliau berkata api berjaya dikawal 10 minit kemudian dan operasi ditamatkan jam 12.57 pagi manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabel terbakar, lapan kawasan di Klang terputus bekalan elektrik

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak lapan kawasan sekitar Klang mengalami gangguan bekalan elektrik susulan kebakaran kabel di pencawang pembahagi utama Puncak Alam.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline dalam kenyataan berkata kawasan terlibat meliputi Bandar Puncak Alam, Taman Alam Sutera, Taman Alam Suria dan Kampung Bukit Hijau.

Turut terjejas bekalan ialah Kampung Bukit Cerakah, Bandar Hillpark, Astana Alam 2 dan sebahagian kecil kawasan Kuala Selangor.

“Pasukan teknikal kami sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik,” kata syarikat tenaga itu di Facebook.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kebakaran pada jam 5 pagi.

Susulan itu, Penolong Pengarah Operasinya Hafisham Mohd Noor berkata sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dikerah ke lokasi di Jalan Felda 2, Puncak Alam.

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Fasa peralihan monsun berterusan hingga pertengahan Mei

PUTRAJAYA, 19 MAC: Fasa peralihan monsun dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei tahun ini dengan kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku khususnya pada petang dan awal malam, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya perkara itu dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2021 yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini.

“Cuaca panas dan kering masih boleh berlaku dan akan reda sepenuhnya menjelang April tahun ini. Fenomena ini adalah normal, berlaku sekitar Feb hingga April setiap tahun dan tiada cuaca panas yang luar biasa diramal akan berlaku tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata jumlah hujan bulanan terendah pada Februari tahun ini adalah di Pulau Langkawi dan Alor Setar, Kedah dengan 0.0mm manakala suhu maksimum tertinggi adalah 36.8ْC di Kuala Krai, Kelantan pada 26 Februari lepas.

Sementara itu menurutnya 1,586 kes pembakaran terbuka dilaporkan bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Mac tahun ini, dan 29 kes kebakaran berskala besar telah dilaporkan, yang melibatkan hutan simpan kekal, belukar dan hutan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

Tuan Ibrahim berkata JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 52 saman, 37 kompaun, 62 notis arahan,168 surat arahan dan 26 penyediaan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.

“Kerajaan akan mengambil tindakan serius bagi membenteras isu kebakaran di tapak pelupusan sampah haram, di samping menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan serta belukar tanah gambut yang menjejaskan kualiti udara serta menyebabkan jerebu tempatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering dengan meningkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka dan jerebu tempatan yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam.

Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan yang ditubuhkan pada 1997 dan bermesyuarat secara dwi tahunan, bertanggungjawab untuk melaporkan status semasa berhubung keadaan jerebu dan cuaca panas kering yang melanda negara.

Jawatankuasa itu dianggotai pelbagai agensi kerajaan yang berkait rapat dengan pengurusan bencana jerebu termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Kesihatan, JAS dan MetMalaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 30 rumah atas air di Pulau Gaya terbakar

KOTA KINABALU, 11 MAC: Hampir 30 rumah atas air di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya dekat sini musnah dijilat api dalam kejadian dipercayai bermula sekitar 8.30 malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah ketika dihu\bungi mengesahkan perkara berkenaan dan kerja-kerja memadam kebakaran masih berjalan ketika ini.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan penduduk bertindak menyelamatkan diri dengan terjun ke laut…punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata pasukan JBPM Sabah menghantar pasukan daripada tanah besar dengan menggunakan bot untuk menjalankan tugas memadam kebakaran dan menyelamat mangsa.

Terdahulu, tular beberapa gambar serta video dikongsi netizen di laman sosial keadaan api yang marak itu dapat disaksikan dari pinggir pantai Kota Kinabalu.

Pulau Gaya boleh diakses dengan menggunakan bot dari tanah besar di sini dengan perjalanan sekitar 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan cuaca dan laut.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hutan simpan terbakar punca Banting jerebu

KUALA LANGAT, 3 MAC: Kebakaran sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Selatan menyumbang bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di Banting.

EXCO alam sekitar berkata bacaan pada kadar 165 semalam disyaki berpunca dari petani haram yang ingin membuka tanah pertanian baharu berhampiran kawasan terbabit.

“Keadaan sama turut berlaku di Johan Setia yang mencatat IPU 183. Kita berharap operasi pemadaman akan menyelesaikan masalah jerebu,” kata Hee Loy Sian selepas meninjau kebakaran hutan di sini semalam.

Selain Banting dan Johan Setia, Petaling Jaya turut mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu 141.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor mengenal pasti kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan membabitkan kawasan 40.469 hektar.

Pengarahnya Datuk Norazam Khamis berkata kawasan terjejas meliputi lapan kompartmen dan pihaknya berjaya memadam kebakaran seluas 6.07 hektar sejak kelmarin.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide beri sumbangan kepada mangsa kebakaran di Taman Keramat

GOMBAK, 2 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan sumbangan kecemasan kepada empat keluarga mangsa kebakaran di Jalan Enggang 13, Taman Keramat kelmarin.

Agensi dalam kenyataan memaklumkan sumbangan wang tunai dan kit bantuan itu sebagai tanda prihatin dan meringankan beban mangsa terbabit.

“Terima kasih kepada penyumbang yang telah menderma melalui Tabung Dana Musibah Yide,” menurutnya sambil menambah sumbangan disampaikan Pegawai Kebajikan, Muhammad Zubair Azizan.

Pegawai Kebajikan Yide, Muhammad Zubair Azizan (kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai dan kit bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran pada 31 Oktober 2020. Foto Yide

Salah seorang mangsa, Musran Dollah, 59, berkata kejadian kira-kira jam 11 pagi pada 28 Oktober lalu menyebabkan struktur rumah hangus terbakar secara keseluruhannya.

Menurutnya, anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya memadam api marak namun pemilik dan penyewa rumah tidak sempat menyelamatkan barang peribadi.

“Kebakaran memusnahkan sebuah rumah teres paling hujung (corner lot) yang disewakan kepada empat keluarga lain.

“Buat masa ini, kesemua mangsa kebakaran ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) AU1A/2 bersebelahan Surau Azziah,” katanya dalam kenyataan sama.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian hotline Yide 017-7569476.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki warga emas rentung dalam kebakaran rumah teres

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Seorang lelaki warga emas, ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres di Jalan Belalang Dua, Kepong Baru, di sini selepas kediaman itu terbakar malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata mangsa berusia 74 tahun itu, ditemui meninggal dunia akibat melecur seluruh badan dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu.

“Pihak PGOKL terdahulu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan dan menghantar jentera bomba ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba menemukan sebuah rumah teres satu tingkat kekal dipercayai terdapat seorang mangsa di dalamnya yang terlibat dalam kejadian kebakaran berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pihak bomba yang kemudiannya melakukan pemadaman dan hasil pencarian menemukan mangsa yang mempunyai penyakit strok, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, unit pengesan K-9 telah dipanggil ke lokasi untuk mengenal pasti punca kebakaran.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelajar MITS Kuala Langat jalani pembelajaran dalam talian

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pelajar perempuan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar di Banting meneruskan pembelajaran dalam talian buat sementara waktu.

Pengetuanya Abd Halim Saljadi berkata pendidikan secara maya itu dijangka berjalan dua bulan susulan masa diperlukan bagi membaik pulih bangunan asrama yang terbakar semalam.

“Bermula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kita memang mengajar dalam talian. Komitmen pelajar juga memuaskan dan semua guru berpuas hati jadi tidak ada masalah untuk teruskan cara ini.

“Seramai 36 pelajar tingkatan empat dan lima, mereka mungkin akan ke kelas seperti biasa bermula minggu hadapan memandangkan perlu menjalani peperiksaan besar. Kita tempatkan mereka di kuarters guru,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abd Halim berkata pihaknya bersyukur dan bangga dengan tindakan pantas semua pelajar menyelamatkan diri dalam tempoh lima minit.

“Bila penggera kebakaran berbunyi semua pelajar terus keluar bilik tanpa mengambil barang peribadi. Mereka berlari ke dataran perhimpunan dan semuanya selamat.

“Bantuan diberikan Dato’ Menteri Besar semalam akan digunakan sepenuhnya untuk membaik pulih bangunan manakala sumbangan orang ramai untuk membeli barangan pelajar yang terbakar,” katanya.

Pagi semalam, seramai 131 pelajar maahad berkenaan selamat selepas bangunan asrama tingkat empat didiami mereka terbakar ketika mereka sedang bersiap menunaikan solat Subuh.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang melawat lokasi kejadian turut mengumumkan bantuan RM300,000 bagi proses membaik pulih bangunan berkenaan.