Categories
AGENSI SELANGOR

Abang maut, adik sempat selamatkan diri rumah terbakar

SHAH ALAM, 23 JULAI: Seorang lelaki rentung manakala adiknya berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Saga, Seksyen 26 di sini, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang rentung, Ahmad Zulhilman Zakaria, 27, ditemukan di bilik tidurnya di tingkat atas rumah berkenaan.

Beliau berkata adik mangsa, Ahmad Hamizan, 25, yang berada di bilik tidurnya di tingkat bawah rumah pula menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap sebelum meminta bantuan jiran.

“Rumah ini didiami tiga beradik lelaki dewasa dan ibu bapa mereka bekerja di luar negara. Siasatan mendapati, adik bongsu mereka, Ahmad Nazmi, 21, tiada di rumah ketika kebakaran dan dimaklumkan dia bermalam di rumah kawannya.

“Rumah dua tingkat ini dianggarkan terbakar 90 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu, beliau ada mendengar bunyi kaca pecah serta jeritan Ahmad Zulhilman meminta tolong kira-kira pukul 3 pagi dan menganggap rumah mereka dipecah masuk pencuri.

Namun, ketika keluar untuk menjengah rumah jirannya itu, beliau terkejut melihat api sangat marak dan asap yang tebal.

“Adiknya (Ahmad Hamizan) datang kepada saya dan beritahu abangnya tak boleh keluar. Beberapa jiran lain pun datang untuk bantu tapi api sangat marak dan haba terlalu panas menyebabkan kami langsung tak boleh dekat (dengan rumah tersebut).

“Saya yang menelefon bomba. Namun kami jiran-jiran berasa kesal kerana tak dapat bantu mangsa sebab mereka sekeluarga dah duduk sini sejak puluhan tahun lepas. Ibu bapa mereka pula tiada di sini (bekerja di luar negara),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kilang proses barang elektronik di Klang terbakar

SHAH ALAM, 7 MEI: Sebuah kilang memproses barang elektronik di Taman Industri Meru, Klang musnah dalam kebakaran, petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.10 petang dan tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian.

“Kebakaran membabitkan kilang memproses barang elektronik, bahan yang digunakan adalah daripada plastik dengan anggaran keluasan 300 x 100 kaki.

“Bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 8.01 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada 5.25 pagi tadi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Seramai 46 anggota terbabit dalam operasi pemadaman iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar, Sungai Pinang, Kota Anggerik dan Pelabuhan Klang, selain dibantu Pasukan Bomba Bantuan serta Pasukan Bomba Sukarela dari Gombak, Seri Serdang, Kepong serta Batu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh beranak rentung dalam kebakaran di Sabah

BEAUFORT, 26 FEB: Tujuh sekeluarga rentung selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bandau, Membakut, dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan, ketika di hubungi Bernama, berkata tujuh mangsa itu terdiri daripada ibu bersama tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan rentung dalam kejadian jam 1.16 pagi.

Bagaimanapun, suami dan seorang anak lelaki mengalami kecederaan.

“Selepas menerima panggilan kecemasan, BBP Kimanis bergegas ke lokasi kejadian sejauh 17 kilometer dan mendapati rumah kayu bertiang itu sudah terbakar sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata mangsa dipercayai terperangkap dalam rumah berkenaan sementara suami dan anak lelaki mangsa yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes suami isteri rentung di Ipoh selesai

LUMUT, 27 NOV: Kes sepasang suami isteri rentung dalam kebakaran di sebuah apartmen di Taman Meru Impiana, Ipoh, Ahad lalu dianggap selesai, kata Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

Beliau berkata, kes itu dianggap selesai kerana berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) si suami dikenali sebagai Kamal Mustafa yang juga suspek utama kejadian adalah individu terakhir masuk ke kediaman itu.

Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mencari motif sebenar suspek yang juga seorang warga asing.

“Kita juga ada buat temubual dengan jiran, pergi ke hospital untuk dapatkan maklumat. Kes dianggap selesai cuma siasatan lanjut dijalankan untuk tahu apa motif kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika program lawatan kerja Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, hari ini.

Semalam, Razarudin berkata Kamal Mustafa adalah suspek utama kejadian selepas dia dilihat membawa masuk tong dipercayai berisi petrol yang dibeli di stesen minyak berhampiran ke dalam rumah mereka.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, Kamal Mustafa dipercayai warga Arab dan isterinya, Kamariah Talib seorang wanita tempatan masing-masing berusia 70-an ditemui rentung di unit apartmen berkenaan.

Hasil bedah siasat menemukan beberapa kesan tikaman pada rusuk kiri Kamariah yang dipercayai meninggal lebih awal sebelum kebakaran, manakala si suami meninggal akibat sesak nafas akibat asap tebal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rumah terbakar, 16 penghuni tinggal sehelai sepinggang

KUALA TERENGGANU, 25 NOV: Seramai 16 mangsa termasuk sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Padang Hiliran di sini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd Norshah Shahri berkata kejadian pada 7.15 malam tadi menyebabkan rumah separa kekal yang mempunyai 21 buah bilik sewa itu musnah 100 peratus.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.30 malam, empat jentera bersama 20 anggota telah diarahkan ke lokasi dan ketika pihak bomba sampai di lokasi, kebakaran telah merebak sebanyak 60 peratus,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Katanya keadaan angin kuat menyebabkan api marak lebih cepat dan bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal dan memadam sepenuhnya kebakaran tersebut.

Mohd Norshah berkata punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pihak bomba.

Sementara itu, seorang mangsa Mohd Thaqif Sulaiman, 32, berkata beliau hanya menyedari rumah sewanya terbakar apabila melihat asap tebal dan bertindak memeriksa di bahagian belakang rumah.

“Saya lihat api telah marak dan saya menjerit meminta lima lagi rakan yang turut berada di dalam rumah ketika itu keluar menyelamatkan diri.

“Pada mulanya saya ingin masuk kembali ke dalam rumah untuk menyelamatkan barangan berharga tetapi gagal kerana asap tebal dan pergerakan saya yang terbatas akibat kecederaan tulang belakang yang dialami selepas kemalangan Oktober lalu,” katanya.

Rakannya, Mohd Nazrul Mohd Yusoff, 39, yang merupakan seorang pemuzik berkata akibat kebakaran itu beliau mengalami kerugian kira-kira RM25,000 selepas gagal menyelamatkan barangan peribadi dan alat muziknya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku ketika kejadian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas rentung terperangkap kebakaran

IPOH, 24 NOV: Dua warga emas rentung dalam kebakaran sebuah unit apartmen di Taman Meru Impiana dekat Meru Raya, awal pagi ini.

Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Khairul Jamil berkata dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki dan wanita ditemukan dalam keadaan tertiarap masing-masing di bahagian ruang tamu serta koridor bilik di kediaman berkenaan.

Katanya seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan BBP Meru Raya dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 3.40 pagi.

“Kita menemui dua mangsa dalam keadaan tertiarap semasa hendak keluar dari apartmen tersebut yang mana kita jumpa dalam keadaan rentung,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Khairul berkata kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 4.45 pagi dan operasi turut dibantu anggota daripada Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Bercham serta Pekan Baru.

Identiti dan punca kebakaran belum dikenal pasti.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Bantuan kecemasan buat mangsa kebakaran di Batu Caves

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua akan menyalurkan bantuan kecemasan dalam masa terdekat kepada empat keluarga yang terjejas ekoran kediaman mereka hangus dijilat api dalam satu kejadian semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam insiden yang membabitkan empat unit kediaman di Jalan Kampung Melayu, Batu Caves, petang semalam.

“Saya turut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” tulisnya menerusi hantaran twitternya, semalam.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 petang.

Pihaknya, mengerakkan sepasukan 16 anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selang dan BBP Rawang digerakkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal pada jam 2.35 petang,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong cemar duli ziarah mangsa kebakaran di Tawau

TAWAU, 2 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarahi mangsa kebakaran Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat dekat sini hari ini bagi memenuhi hasratnya untuk bersama rakyat yang ditimpa musibah.

Seri Paduka bertitah baginda terpanggil untuk menziarahi mangsa kampung itu setelah mengetahui kejadian kebakaran terbabit ketika baginda berada di Jakarta, Indonesia.

“Apabila beta terbaca dan terlihat dalam berita berhubung kejadian kebakaran di sini (Kampung Otentik), hati beta memang sudah terpanggil supaya beta mesti datang ke sini kerana hendak merasai kesusahan dan keperitan yang dilalui mangsa kebakaran.

“Pada Hari Kebangsaan lalu, kebetulan ada satu kejadian kebakaran di sebuah perkampungan di Sungai Lembing, Pahang, tetapi beta komited untuk ke Tawau dahulu kemudian berkunjung ke Pahang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menziarahi mangsa kebakaran kampung itu di Masjid Al-Mukarramah, Tanjung Batu Keramat dekat sini.

Pada masa sama, Seri Paduka melahirkan penghargaan kepada Yang Dipertua Sabah, Tun Dr Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta jabatan dan agensi terbabit kerana menjayakan ziarah baginda ke kampung itu.

Baginda turut mengajak rakyat untuk memberi penghargaan kepada pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia atas tindakan pantas pasukan berkenaan mengawal kebakaran daripada merebak tanpa membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

“Beta menganggap kehadiran kita bersama di sini sebagai satu rahmat daripada Allah supaya kita ingat dan bersabar serta mempelajari musibah yang dilalui.

“Beta sudah mendengar (taklimat kejadian oleh JBPM) dan memperhatikan kedudukan rumah di kampung ini yang dibina agak rapat dan boleh mendatangkan bahaya.

Pada lawatan Seri Paduka, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 87 ketua isi rumah yang terjejas oleh kebakaran pada malam 26 Ogos lalu.

Baginda turut mendengar taklimat kejadian kebakaran oleh Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah dan meninjau tapak kejadian yang memusnahkan 69 rumah dan mengakibatkan 511 orang tinggal sehelai sepinggang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk berkobar bangun semula pekan Sungai Lembing

KUANTAN, 2 SEPT: Walaupun diuji dengan kebakaran besar, namun penduduk Sungai Lembing di sini tetap bersemangat untuk membangunkan semula pekan berkenaan.

Mereka yakin pekan Sungai Lembing akan kembali seperti sedia kala tidak lama lagi.

Sikap optimis ini jelas terbayang, semasa Bernama menemui sebilangan penduduk yang terjejas dengan bencana itu, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing yang dijadikan pusat penempatan sementara.

Menurut mereka, ini disebabkan keprihatinan pelbagai pihak yang tidak jemu menghulurkan bantuan kepada, sejak kejadian berlaku sehingga ke saat ini.

Penduduk, Kong Swee Leng, 65, yang kehilangan kedai runcit dua tingkat pada kejadian itu berkata akan berusaha untuk membina semula ‘kehidupannya’ di tapak asal yang merupakan peninggalan pusaka suaminya.

“Kedai runcit dan rumah di tingkat dua adalah satu-satunya peninggalan suami. Sudah lebih 50 tahun saya tinggal di sini selepas berkahwin, jadi nilai sentimentalnya sangat mendalam buat saya. Saya tiada tempat lain hendak tuju.

“Saya harap kerajaan negeri dapat membantu memberi geran atau pajakan untuk kami yang terjejas dalam kebakaran itu, kerana kawasan ini adalah tapak warisan,” kataya.

Swee Leng berkata, sementara menanti ‘rumah dan kedainya dibina semula’, beliau bercadang untuk menumpang secara bergilir-gilir di rumah anak dan saudara supaya tidak terlalu menyusahkan mereka.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana ketika bencana berlaku semalam, beliau berada di rumah anak perempuannya di Taman Impianku yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Sungai Lembing.

Hakikat beliau terselamat disifatkan sebagai ‘peluang kedua buat dirinya’.

“Jika berada di rumah, sudah pasti sukar untuk saya menyelamatkan diri kerana saya tidur di bahagian atas. Saya mempunyai masalah lutut yang menyukarkan saya untuk berjalan… apa lagi untuk berlari dalam keadaan kecemasan seperti kelmarin,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Chang Fam Meng @ Chen Fam Meng, 83, yang tinggal seorang diri di situ juga berkata tidak akan berpindah ke tempat lain kerana seluruh kehidupannya sudah dihabiskan di pekan yang merupakan tapak peninggalan bandar perlombongan bijih timah.

Katanya, rumah yang musnah dalam kebakaran itu adalah peninggalan ibu bapanya dan berdasarkan pengalaman berjiran di pekan itu, beliau tahu mereka di situ akan saling membantu untuk kembali seperti sedia kala.

“Orang di sini semuanya baik hati. Ramai yang datang bertanya khabar. Bantuan juga tidak putus-putus tiba, bukan hanya dari kerajaan tetapi juga dari badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

“Saya tahu perjalanan kami untuk membina semula pekan ini tidak mudah, tapi semangat dan bantuan daripada ramai pihak menjadikan tidak mustahil untuk kami bangkit,” katanya.

Walaupun sedih kehilangan rumah pusaka, seorang lagi mangsa Yong Siew Meng, 43, juga berhasrat supaya pembangunan semula bangunan terbakar itu dibuat dengan mengekalkan reka bentuk sedia kala.

Katanya, susun atur deretan kedai dan rumah setingkat yang terletak di tengah-tengah pekan kecil Sungai Lembing itu menjadi identiti tersendiri kawasan itu, yang merupakan satu daripada lokasi tarikan pelancong di Kuantan.

Pada kejadian 1.30 pagi pada 31 Ogos lalu, sebanyak 32 bangunan di Sungai Lembing musnah dalam kebakaran melibatkan 20 unit kedai dua tingkat, 11 unit rumah dan sebuah perpustakaan selain meragut nyawa sepasang suami isteri warga emas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan unit asrama madrasah musnah dalam kebakaran

KUANTAN, 24 OGOS: Lapan pondok kayu daripada 64 unit asrama Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiah di Kampung Paya Jauh, Temerloh dekat sini, musnah dalam kebakaran pada 10.25 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Hashnuddin Hussin bagaimanapun berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana pondok itu tidak lagi dihuni pelajar.

“Jarak antara setiap pondok ialah sekitar tiga kaki sahaja menyebabkan kebakaran mudah merebak selain menyukarkan operasi memadam kebakaran.

“Bomba dimaklumkan kejadian pada 10.28 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya 50 minit kemudian,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Hashnuddin berkata operasi membabitkan 15 anggota bomba dari Balai Bomba Bukit Angin dan Temerloh, serta dua buah jentera, sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama sebuah tangki air berkapasiti 20,000 liter.

Pondok itu buat masa ini, mempunyai 17 pelajar lelaki dengan enam daripadanya pulang bercuti.

Katanya, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat, namun difahamkan pondok terbabit tidak lagi menerima bekalan elektrik kerana sudah lama tidak digunakan.

Sementara itu, pekerja am syarikat pembersihan Mohammad Farhan Abdul Rahman, 27, yang menghubungi bomba berkata dia terhidu bau asap yang kuat semasa mengutip sampah di kawasan sekitar pondok itu.

“Bau asap begitu kuat menyebabkan saya cuba mencari punca dan secara tiba-tiba melihat api di salah sebuah pondok. Selang beberapa minit kemudian saya mendengar orang menjerit api,” katanya.

Mohammad Farhan berkata keadaan menjadi kecoh dalam masa singkat, dan beliau terus menghubungi bomba apabila melihat orang ramai melarikan diri dari lokasi kejadian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebakaran 2.4 hektar hutan berbukit dekat Legoland dipadam

JOHOR BAHRU, 24 OGOS: Kebakaran membabitkan kawasan seluas 2.4 hektar hutan berbukit berhampiran Taman Tema Legoland dan sebuah hotel di Medini, Iskandar Puteri, petang semalam, berjaya dipadamkan awal hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Kamil Zulkiefle berkata, operasi pemadaman ditamatkan pukul 3.15 pagi ini selepas api padam sepenuhnya di kawasan berkenaan.

“Api berjaya dikawal dan dipadamkan dengan kaedah ‘fire break’ iaitu membina parit bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan Taman Teman Legoland dan hotel berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Selain bomba, operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) Legoland dan hotel berkenaan.

Punca dan anggaran kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan.

Semalam, bomba menerima panggilan kebakaran itu pukul 4.25 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin digerakkan melakukan operasi pemadaman.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Sepupu terkilan tidak sempat tunai hajat mangsa

HULU SELANGOR, 20 OGOS: “Esok pagilah bagi roti itu, aku nak rehat dulu,” itulah kata-kata terakhir Mohd Sharidan Abdul Aziz kepada sepupunya, Azuan Abdullah Sani sebelum terkorban dalam insiden kebakaran di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, kelmarin.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa Mohd Sharidan, 29 bersama isteri Siti Rafini Mohd Rafiee, 27, dan anak mereka Rafiq Mohd Sharidan, 14 bulan rentung di kediamannya.

Azuan, 37, ketika ditemui melahirkan rasa terkilan kerana terpaksa menangguhkan hajat sepupunya menikmati roti benggali kegemarannya ekoran kehabisan stok.

“Sekitar 10 malam sebelum kejadian, kami berbual dan bergurau senda memandangkan rumah kami berhadapan sahaja dan Allahyarham seorang yang sangat peramah, baik hati serta suka berjenaka.

“Ketika kejadian, saya belum tidur dan terdengar bunyi kaca di luar rumah. Apabila saya keluar, api sudah mulai marak, kami cuba menyelamatkan mangsa namun gagal,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui pada Majlis Serahan Bantuan bencana oleh Kerajaan Negeri yang disampaikan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Ahad lalu, tiga sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kebakaran di kediaman mereka.

Bagaimanapun, punca kejadian masih belum diketahui.