Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Negeri tak pernah halau mangsa kebakaran Batu 12 Puchong

 

Oleh: SHUHAIMI SHAFIEI

Pada 7 Jun 2015 satu kejadian kebakaran yang menimpa penghuni rumah setinggan Batu 12, Puchong telah berlaku. Ia mendapat perhatian Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Ahli Parlimen Puchong, Ahli Dewan Negeri Sri Serdang dan Kerajaan Negeri  Amnya. Mangsa kebakaran dipindahkan ke Dewan Serbaguna MPSJ Bandar Bukit Puchong pada jam 11.00 malam dengan bantuan MPSJ dan semua urusan bantuan selesai sehingga jam 4 pagi. Jabatan Kebajikan Masyarakat Petaling telah menghantar bantuan makanan dan peralatan.  Mangsa terlibat adalah terdiri daripada 8 keluarga dan sehingga tengahari ini  hanya 3 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan sementara.

MPSJ telah menawarkan rumah transit di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6 untuk penempatan sementara selama 4 bulan tanpa sebarang sewa.  Namun mereka enggan berpindah atas alasan lokasi penempatan itu jauh dan sebaliknya berhasrat membuat tuntutan milikan tanah yang merupakan tanah berstatus milik kerajaan.

Penempatan sementara dilanjutkan sehingga 26 Jun 2015 (Jumaat) bagi memudahkan mangsa membuat persiapan berpindah dan dilanjutkan sekali lagi sehingga 29 Jun 2015 (Isnin)  jam 2.00 petang.

Notis untuk berpindah telah diserahkan kepada semua ketua-ketua keluarga mangsa pada 19 Jun 2015 secara serahan tangan serta tampalan notis di dewan tersebut. Mangsa telah menyatakan kesanggupan untuk berpindah keluar daripada dewan itu dengan cara baik.

Ingin ditegaskan bahawa MPSJ mahupun Kerajaan Negeri tidak pernah menghalau mangsa kebakaran tanpa tempat berteduh, sebaliknya telah menyediakan tempat penginapan yang lebih selesa di Rumah Transit Bandar Kinrara 6. Akhirnya kesemua 3 mangsa telah bersetuju untuk berpindah ke lokasi yang ditetapkan selewat-lewatnya petang ini.

# Shuhaimi Shafiei adalah Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor

 

 

Categories
SELANGOR

RM4,000 bantuan awal kecemasan kebakaran Tahfiz Khairul Alam

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 MEI: Bantuan kecemasan berbentuk wang tunai berjumlah RM4,000 dan 60 bungkus makanan diserahkan segera kepada Tahfiz Khairul Alam selepas terbakar awal pagi tadi.

Adun Seri Muda, Suhaimi Shafiei berkata, beliau mewakili Kerajaan Selangor membuat lawatan ke tahfiz yang mempunyai hampir 30 pelajar.

11155160_1092216680792520_1648661463269510133_oMenurutnya, kebakaran tahfiz beroperasi hampir 15 bulan lalu itu berpunca daripada litar pintas hingga mengakibatkan tingkat atas asrama pelajar musnah.

“Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad dimaklumkan mengenai kejadian itu dan beliau juga menzahirkan ada bentuk bantuan yang boleh diberikan.

“Bantuan sementara RM4,000 dan 60 bungkusan makanan sementara turut dismpaikan,” katanya yang membuat lawatan ke tahfiz hari ini.

Untuk sementara waktu, semua pelajar ditempatkan di Dewan MBSA, Jalan Kebun di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dibantu petugas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Kos kerugian dianggarkan berjumlah hampir RM15,000.

EZY

Categories
SELANGOR

13 mangsa kebakaran Jln Kebun terima bantuan awal RM500

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 DIS: Kesemua 13 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Baru Dua, Jalan Kebun di sini menerima sumbangan kilat RM500 bagi setiap keluarga daripada DUN Seri Muda,

Pegawai Khas, Tan Ah Kow berkata, selain menyampaikan sumbangan, Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei turut berkesempatan melawat tempat kejadian dan menemui mangsa kejadian.

10846499_10205650176284727_2186127276630152111_nKatanya kesemua mangsa menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) dan masjid serta surau berhampiran.

“Kejadian kali ini meranapkan dan menghanguskan kesemua rumah, tiada apa yang tinggal.

“Kita akan berbincang lanjut dengan pihak-pihak lain bagaimana kesemua mangsa dapat dibantu.

“Mereka akan ditempatkan di dua lokasi penempatan sementara iaitu di Dewan Ketua Kampung Jalan Kebun dan Balai Penghulu Johan Setia,” katanya kepada Selangor Kini.

10349944_10205650176604735_5408876694936138654_nDalam kejadian kira-kira 9 pagi tadi, 13 rumah musnah selepas satu daripada rumah berkenaan tiba-tiba terbakar dan api merebak ke rumah bersebelahan.

Pihak bomba bergegas dengan dua jentera ke lokasi sejurus menerima panggilan dan masih menyiasat punca kejadian.

Dalam perkembangan lain, Exco Kebajikan, Dr Daroyah Alwi dijadual tiba di lokasi pada jam 6.30 petang ini.

“Setakat ini kita dimaklumkan segala keperluan terdesak seperti tempat tinggal sudah diuruskan pihak pejabat daerah.

“Petang ini kita akan sampaikan sumbangan selain meneliti bentuk bantuan lain yang perlu,” katanya.

EZY