Categories
NASIONAL

PAKATAN beri ruang suburkan kebebasan media – Saifuddin

KUALA LUMPUR 14 JUL: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjamin akan memberi ruang untuk menyuburkan kebebasan media di negara ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Malaysia kini melalui transisi politik untuk menjadi sebuah negara demokrasi matang dan media memainkan peranan penting dalam membantu merealisasikan objektif itu.

Katanya, kerajaan hari ini juga lebih bersahaja serta bersedia untuk menerima kebebasan media.

“Wartawan tak perlu risau akan menerima panggilan daripada PMO (Pejabat Perdana Menteri) atau daripada menteri-menteri lain.

“Buat lagi debat pun tak larang. Harap tak ada editor yang akan dipanggil hanya kerana gambar yang diguna kurang menarik,” katanya pada Malam Wartawan Malaysia 2018 dan Penyampaian Anugerah Kewartawan Malaysia 2017 MPI-Petronas 2017 di sini malam tadi.

Saifuddin, yang juga ketua setiausaha PH, berkata media di Malaysia juga harus sama-sama memainkan peranan dalam memberi dan meningkatkan pendidikan politik kepada rakyat negara ini.

Katanya, ini merupakan satu aspek penting dalam usaha mematangkan politik dan demokrasi di Malaysia.

Katanya, proses itu harus disokong dan didokong oleh seluruh rakyat Malaysia, kerana rakyat jugalah yang akan merupakan pemenang dalam sebuah negara yang mengamalkan politik demokrasi matang.

HKM MPI-Petronas 2017 menyaksikan pasukan wartawan daripada akhbar The Star dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai menerusi laporan mereka bertajuk “The Student Trafficking Trade”.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, sijil dan trofi.

Sementara itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut memenangi tiga hadiah dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil setiap seorang.

Wartawan Perkhidmatan Meja Berita Ekonomi, Niam Seet Wei memenangi hadiah sagu hati bagi kategori Laporan Portal Berita Terbaik menerusi laporannya bertajuk “Old bike shop Choo Ho Leong spurred by renewed interest in cycling”, “Raise tax relief to boost insurance penetration rate” dan “Bursa Malaysia concludes 2017 on GHD note”.

Wartawan Bernama Radio, Ahmad Fawzan Azmie Abdul Halil dan Nurliyana Farhah Ruslan turut memenangi hadiah sagu hati bagi kategori Laporan Radio Terbaik masing-masing menerusi laporan bertajuk “Ampang Park: Sayonara” dan “Tapak Pembinaan: Lubang Maut.”

Sementara itu, Pengarang Urusan Kanan, The Borneo Post, Francis Chan dan ketua pengarang The Edge Azam Aris dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Juri.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil dan trofi setiap seorang.

Sebanyak 20 kategori dipertandingkan tahun ini, antaranya Infografik Terbaik, Kartun Editorial Terbaik, Laporan Berita Cemerlang, Laporan Radio Terbaik, Laporan Portal Berita Terbaik, Foto Esei Cemerlang dan Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang.

Pertandingan anugerah MPI-Petronas 2017, anjuran Institut Kewartawanan Malaysia (MPI), menerima 349 penyertaan, berbanding 216 penyertaan tahun sebelumnya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya, tokoh wartawan Datuk A. Kadir Jasin dan Tan Sri Zainuddin Maidin, Ketua Juri Hakim Anugerah, Datuk Yong Soo Heong.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Masih suburkah kebebasan media?

OLEH : AFIX REDZUAN

Tanggal 3 Mei diingati setiap tahun sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia seperti diisytiharkan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tarikh itu bagi menimbulkan kesedaran tentang pentingnya kebebasan akhbar dan mengingatkan kerajaan tugas mereka untuk menghormati serta mendukung hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub di bawah Artikel 19, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Malaysia turut tersenarai dalam kelompok Indeks Kebebasan Media dengan kedudukan 146 daripada 180 bagi 2016 berdasarkan statistik yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF).

Kedudukan itu tidak membanggakan meskipun Malaysia memperbaiki kedudukan dengan pertambahan skor 3.28 mata daripada 43.29 mata menjadi 46.57 mata.

The MediaNamun disebalik pertambahan itu, industri media negara menyaksikan penutupan beberapa agensi portal berita dalam talian terutamanya seperti The Malaysian Insider (TMI), Asia Broadcasting Network (ABN) dan The Rakyat Post.

Beberapa faktor mendorong kepada penutupan antaranya soal kewangan operasi selain berdepan sekatan Kerajaan Persekutuan disebabkan paparan berita sensasi terutama mengenai skandal syarikat pelaburan negara 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjadi bualan hangat antarabangsa.

Penangkapan serta penghantaran pulang dua wartawan Australia Broadcasting Corporation, Linton Besser dan Louie Eroglu yang sedang mengadakan rakaman untuk satu segmen penyiasatan Four Corners pada Mac tahun ini turut mendapat kecaman hebat.

Segalanya bermula apabila mereka ingin menyoal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi melengkapkan dokumentari dalam satu majlis namun usaha itu gagal selepas mereka dikepung polis dan ditahan untuk siasatan.

14 Mac 2016 menjadi hari terakhir operasi portal The Malaysian Insider selepas 8 tahun dan 18 hari sejak 25 Februari 2008.

Penutupan portal yang sentiasa menjadi tumpuan pelayar internet terutama siaran berita mengenai pendedahan skandal 1MDB dirasakan ramai pihak termasuk dalam kalangan ahli politik Pembangkang.

Press IndeksDalam tempoh lapan tahun, TMI memperoleh jumlah pengikut hampir 3 juta pembaca sehari dan muncul sebagai salah sebuah portal berita paling ramai dilayari di negara ini.

Waktu paling mencabar berlaku sepanjang tahun lepas apabila 4 daripada pengarangnya ditahan dan laman sesawang disekat kerana didakwa menyiarkan berita palsu.

Ketika mencecah usia genap 8 tahun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat laman sesawang mereka atas sebab ‘keselamatan negara’ berhubung satu artikel yang memetik sumber mengenai keterangan terhadap dakwaan skandal kewangan Perdana Menteri.

Penutupan beberapa agensi sedikit sebanyak merencatkan keharmonian kekeluargaan dalam kalangan petugas media. Tidak terkecuali ada yang kurang bernasib baik kehilangan pekerjaan dan mengganggu perbelanjaan kehidupan disaat tekanan kos sara hidup.

Namun harus diingat, kebebasan ada batasnya asalkan tidak melanggar etika kewartawanan. Wartawan mampu menjadi nadi perubahan sesebuah negara seperti kata pepatah ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang’.

Salam Hari kebebasan Akhbar