Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PBT lain perlu contohi Kebun Komuniti MBSA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pelaksanaan Kebun Komuniti oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) wajar dijadikan contoh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, usaha murni itu bukan sahaja menggalakkan komuniti setempat berinteraksi antara satu sama lain tetapi mengoptimumkan penggunaan kawasan terbiar kepada lebih hijau dan mampan.

“Saya kagum melihat usaha ini dan kebun ini juga lebih besar dari tempat lain. Oleh itu, saya menggesa PBT lain supaya mengikuti jejak langkah MBSA ini.

“Jika setiap komuniti ada galakan seperti ini untuk bercucuk tanam, ia bukan hanya boleh dijadikan sebagai hobi, malah mengamalkan pemakanan sihat kerana sayur ini bebas racun serangga berbahaya yang boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang sempena Hari Bumi 2019, di Kebun Komuniti Lapan Timur Fasa 1, Seksyen 8, di sini.

Siti Mariah turut menyarankan inisiatif itu ditambah baik dengan menggunakan kaedah lebih sistematik, pada masa akan datang.

Pada masa sama, beliau berkata, kewujudan Kebun Komuniti itu boleh dijadikan sebagai wadah menyatupadukan penduduk setempat serta tolenrasi antara satu sama lain.

Katanya, usaha itu merupakan hubungan kekeluargaan serta memakmurkan jiran tetangga melalui aktiviti berkebun selain menjaga hasil dan terapi selepas penat seharian bekerja.

“Walaupun berbeza fahaman politik, namun usaha sedemikian menitikberatkan semangat kejiranan, setiakawan dan muhibbah dalam komuniti berbilang bangsa.

“Sayuran ini juga lebih murah dan kompetitif daripada harga pasaran lain, sekali gus boleh mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan keluarga,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Kebun komuniti tarik minat pesara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sesiapa sahaja akan terpegun dan teruja sebaik melangkah ke kebun komuniti diusahakan Persatuan Penduduk Lapan Timur (PP8T), Seksyen 8, Shah Alam.

Deretan pelbagai jenis tanaman menjadikan suasananya seperti berada di ladang sayur komersial kerana ia lengkap dengan batas khusus dan tersusun serta tapak tanaman berteres, selain sistem saliran air yang sempurna.

Pengerusi Kebun Komuniti, Dato’ Zainuddin Ahamad berkata, sejak kebun itu dilancarkan pada 2014, di kawasan tanah lapang di Jalan Jaluran 8/3, ia menarik minat ramai penduduk kawasan itu bercucuk tanam dan dijadikan aktiviti mengisi masa lapang.

Katanya, seramai 40 peserta kebun komuniti adalah pesara dan terdapat lebih 50 batas tanaman yang diusahakan.

“Kebanyakan mereka menghabiskan masa di kebun ini pada hujung minggu, ada juga hampir setiap hari berada di kebun.

“Aktiviti ini banyak mendatangkan faedah selain mengisi masa lapang, mereka juga dapat melakukan aktiviti sihat melaluinya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Zainuddin berkata, pihaknya turut meletakkan syarat utama kepada mereka iaitu hanya baja asli seperti tahi ayam sahaja digunakan pada tanaman dan tidak boleh menggunakan racun serangga.

“Berbanding sayuran yang terdapat di pasaran, mereka menggunakan racun serangga, ini membolehkan pengguna terdedah dengan bahan kimia, oleh itu, kita amat menitikberatkan perkara terbabit,” katanya.

Sementara itu, Suri Rumah, Tukilah Hashim, 59, mula berjinak dalam menanam sayur organik di kebun terbabit sejak dua tahun lalu.

Beliau yang turut menerima Anugerah Pekebun Paling Aktif berkata, aktiviti itu bagus untuknya daripada membuang masa di rumah.

“Sekurang-kurangnya dua jam setiap hari saya akan berkebun. Memang saya berminat dengan aktiviti ini sudah lama.

“Sebelum ini, saya hanya bercucuk tanam di rumah sahaja di mana tanah sangat terhad untuk menanam pelbagai sayur,” katanya.

Katanya, sayuran yang ditanam antaranya kangkung, sawi, kubis, salad akan dijual atau diberi kepada jiran mahupun bertukar sesama pekebun.

“Hasil jualan yang saya dapat cukup untuk menampung modal serta baja, namun bukan keuntungan yang kami mahukan sebaliknya aktiviti sihat ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Komuniti Seksyen 8 buktikan di bandar boleh bertani

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 FEB: Kebun Komuniti seluas 2.4 ekar diwujudkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi memastikan bandar raya itu dipenuhi kawasan hijau selain menyediakan ruang aktiviti untuk komuniti setempat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, Program Pertanian Bandar di bawah rintisan talian TNB, di Kolam Tadahan, Jalan 8/3, Seksyen 8, adalah program bandar mampan dilaksanakan pihaknya.

Katanya, sehingga kini sebanyak 63 batas tanaman atau plot diusahakan secara beramai-ramai bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan Persatuan Penduduk Seksyen 8 Timur membabitkan 40 ahli.

“Pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran ditanam antaranya sawi, bayam, kangkung, cili, terung, bendi, timun, tomato, peria, kacang botol, jagung, ubi keledek, ubi kayu, lengkuas, kunyit dan lemon.

“Tanaman ini akan dituai atau disemai selepas mencapai tempoh matang kelak,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi turut berkesempatan melawat Kebun Komuniti itu bersama penduduk setempat.

Shahrin berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai keperluan dan kelengkapan bagi mengusahakan Kebun Komuniti itu termasuk pembelian benih tanaman, baja, pemasangan saliran air dan penyediaan peralatan tanaman seperti cangkul.

“Peranan penduduk sekitar terhadap Kebun Komuniti adalah memastikan tanaman diselenggara dengan baik dan sentiasa disiram mengikut waktu, menggembur serta membaja tanah, membersihkan rumpai selain memastikan kawalan penyakit juga serangga perosak dikawal secara semulajadi.

“Penduduk perlu memastikan plot atau batas sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur, merumpai atau mencabut rumput di batas tanaman serta memastikan kebun tidak diserahkan atau ditukar milik mahupun dijual kepada pihak luar,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap, Program Pertanian Bandar dapat menjadi medium kepada komuniti setempat untuk berekreasi dan berkomunikasi antara satu sama lain, sekali gus menjadi program mampan yang berterusan.

Categories
SELANGOR

Kebun komuniti beri manfaat, penglibatan generasi muda mesti dipertingkat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 OKT: Kewujudan kebun komuniti masih disifatkan penting walaupun ‘urban agro’ tidak memberikan impak besar seperti industri pertanian nasional.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, kesedaran terhadap kebergantungan negara terhadap sektor pengimportan makanan perlu diberikan perhatian dalam mendidik masyarakat untuk berbudi kepada tanah.

“Kebun komuniti ini disifatkan sebagai jaminan simpanan makanan. Walaupun lokasi pertanian diusahakan kecil, tetapi ia penting untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.

“Mengikut statistik, negara mengimport makanan berjumlah RM40 bilion pada 2017 dengan peratusan terbesar adalah sayur-sayuran.

“Kebergantungan besar juga buka sahaja untuk kegunaan kita seharian ia termasuk makanan untuk haiwan ternakan dengan jumlah import RM6.2 bilion dan RM3.3 bilion daripadanya adalah jagung bagi kegunaan ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang di Kebun Komuniti Persatuan Penduduk Rumah Teres Seksyen 24 Setia, Shah Alam.

Menurutnya, penglibatan golongan muda perlu dipertingkatkan tambahan dengan penggunaan teknologi masa kini mampu memberikan pulangan lumayan.

Katanya, keadaan tanah yang tidak terawat mengakibatkan ia rosak sekaligus menyebabkan tanaman gagal memberikan hasil diharapkan.

Ini termasuk penggunaan baja dan racun berlebihan bahkan petani digalakkan menggunakan baja organik yang lebih selamat serta mesra alam.

Menyentuh soal pembangunan pertanian dalam Belanjawan Negeri Selangor 2019 Izham menjelaskan Kerajaan Negeri akan mengumumkan beberapa insentif dan program bagi memastikan industri itu terus menyumbang kepada negeri serta negara.

 

Categories
SELANGOR

MB puji dan sokong kebun komuniti Keramat Pangsa

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KELANG, 10 FEB: Usaha gigih dan kerjasama erat penduduk Pangsapuri Keramat Pangsa, di sini, membangunkan kebun komuniti mereka berbaloi apabila bukan sahaja dapat berkongsi hasilnya tetapi turut menarik perhatian Dato’ Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin ketika ditanya berkenaan tinjauannya di kebun itu berkata, Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan permohonan mereka untuk membesarkan kebun seluas 0.74 ekar itu.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada masyarakat di Keramat Pangsa ini kerana membangunkan kebun komuniti yang saya sendiri tinjau sebentar tadi. Kebun ini bukan sahaja memupuk ukhwah tetapi juga dapat menonjolkan kemahiran beberapa tokoh tertentu, di taman ini.

“Akhirnya, hasil usaha rakyat di kawasan ini, maka ramai yang dapat menikmati sayur-sayuran dan bahan makanan secara percuma.

“Ini sangat baik dan mereka ada rancangan membesarkan kebun komuniti ini. Saya akan melihat permohonan terbabit dan sudah tentu Kerajaan Negeri memberikan sokongan terhadap usaha penduduk Keramat Pangsa ini,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kebun komuniti penduduk Pangsapuri Keramat Pangsa yang terletak bersebelahan taman permainan kanak-kanak berhampiran pangsapuri terbabit.

Katanya, aktiviti dijalankan penduduk itu juga mampu membantu menjimatkan perbelanjaan dapur bagi penduduk, di kawasan itu.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Rumah Pangsa AU2, Taman Keramat, Mohamad Halim Mohamad Said memberitahu SelangorKini, kebun komuniti itu dijalankan di atas tanah Kerajaan Negeri yang belum dibangunkan selepas mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Katanya, MPAJ turut memberi pelbagai bantuan seperti baja, benih dan peralatan berkebun.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ rai 15 kebun komuniti

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 23 DIS: Sebanyak 15 kebun komuniti di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dirai menerusi Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebun Komuniti 2017, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, anugerah itu dianjur dengan peruntukan RM30,000 diperoleh menerusi pelaksanaan Projek Hijau daripada Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan motivasi kepada peserta untuk terus aktif dan bersaing secara sihat di antara satu sama lain.

“Program ini juga dapat mengeratkan hubungan sesama kaum dan agama melalui aktiviti perkebunan dijalankan, sekali gus mengerat serta memperkukuhkan hubungan baik yang terjalin antara MPSJ juga Jawatankuasa Penduduk (JKP),” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, tempat pertama dimenangi Kebun Komuniti USJ 6, Subang Jaya yang menerima wang tunai RM5,000.

Katanya, tempat kedua dimiliki Pangsapuri Garnett, Puchong (RM4,500) diikuti tempat ketiga Pangsapuri Cengal/Cendana, Serdang (RM2,500).

“Jabatan Landskap melaksanakan pertandingan berkenaan bagi 15 lokasi yang layak dari 21 lokasi kebun, di MPSJ.

“Sesi audit diadakan selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Disember lalu dengan diadili juri dari Jabatan Pertanian Gombak Petaling,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Kebun Kita manfaatkan tanah terbiar

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 3 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) komited melancarkan program Kebun Kita secara berterusan di bawah pentadbirannya.

Terbaru, program terbabit di ancarkan di Bandar Utama bersama Persatuan Permastautin Penduduk (PPP) BU/12.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan, Kebun Kita itu dijenamakan semula pada Mac lalu merupakan usaha MBPJ untuk meningkatkan tahap kehidupan dan suasana persekitaran masyarakat dengan menggalakkan aktiviti pelbagai jenis penanaman.

Katanya, ia bagi menjana hasil seterusnya menghilangkan beban terutamanya ketika menangani kenaikan harga barangan keperluan harian yang tidak menentu.

“Kerajaan Negeri di bawah Seksyen Pemberdayaan Ekonomi Kerajaan Selangor (portfolio Kemiskinan, Kerajaan Prihatin) juga melihat program ini dengan lebih luas.

“Program ini dijadikan sebagai model untuk memperkasakan ekonomi dan keusahawanan sosial bagi memberi peluang kepada golongan miskin untuk mendapatkan pendapatan yang lebih baik serta meningkatkan diri mereka dari segi kewangan,” katanya.

Program Kebun Kita juga selaras dengan Pelan Strategik MBPJ 2016-2026 ke arah mencapai sasaran bagi memaksimumkan jaringan pintar berasaskan situasi menang-menang, memacu Petaling Jaya yang makmur, menerajui agenda hijau metropolis serta membangun masyarakat progresif, berbudaya, sihat dan sejahtera.

Kebun Kita akan memanfaatkan tapak terbiar/tanah majlis/tanah bukan milik majlis (mengikut syarat-syarat di tetapkan) dengan bantuan Agensi Kerajaan yang berkaitan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bekerjasama rapat dengan matlamat yang lebih luas bagi kebaikan komuniti penduduk setempat dan sekitarnya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM500,000 bangunkan Kebun Komuniti Selangor 2016

Oleh : AFEEQA AFEERA

BATU CAVES, 13 DIS: Sejumlah RM500,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan program Kebun Komuniti pada suku pertama 2016.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata ia bertujuan mewujudkan aktiviti untuk masyarakat setempat dengan mengalakkan mereka bertani.

zaidyKatanya, program itu mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita mahu menggalakkan pertanian bandar yang memberi manfaat kepada komuniti kerana mereka memerlukan aktiviti.

“Selain merapatkan hubungan sesama masyarakat, program itu juga membantu mereka bertani bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kempen Jom Guna 2.0 : Projek Pengurangan Sisa Isi Rumah Komuniti Pangsapuri di Pangsapuri Nuri, di sini hari ini.

Zaidy berkata, banyak teknologi baru untuk pertanian seperti kaedah hidroponik boleh dibangunkan dengan efisyen.

Katanya, pelaksanaan program itu dikaji terperinci sebelum diperluaskan ke kawasan lain di Selangor.

“Untuk peringkat awal kita masih mendapatkan maklumat dan kesediaan daripada pihak komuniti untuk lihat sambutan dulu,” katanya.

Sebelum ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mewujudkan Kebun Komuniti seluas 2.4 ekar di Seksyen 8 selaras dengan hasrat menjadikan ia sebagai kawasan hijau.

EZY

Categories
SELANGOR

Manfaatkan tanah lapang wujud kebun komuniti

Oleh: AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 17 OGOS: Penduduk di Subang Jaya kini boleh memanfaatkan tanah lapang yang ada bagi mewujudkan kebun komuniti dengan syarat mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, projek itu semakin berkembang dan mendapat perhatian komuniti setempat bagi menggalakkan tanaman di kawasan bandar serta mendidik kanak-kanak mengenal sayur-sayuran.

Menurutnya, selain di SS19/1, kebun komuniti itu turut diusahakan di SS17, USJ3/4, USJ11/4 dan USJ13.

Kebun1“Projek ini popular di peringkat komuniti bukan sahaja disertai orang dewasa tetapi kanak-kanak juga ada checkpoint mereka.

“Ia merupakan projek yang sesuai untuk rekreasi keluarga.

“Apa yang saya perasan, kanak-kanak sekarang kurang mengetahui jenis pokok dan tanaman seperti sayur. Jadi projek ini juga merupakan cara untuk mendidik mereka mengenai tanaman dan sayuran,” katanya ketika merasmikan pembukaan Kebun Komuniti di SS19/1.

Projek itu turut disokong MPSJ dan menjadi antara kriteria penyumbang markah dalam pertandingan Zon Bersih.

Tanaman seperti herba juga boleh diusahankan di Kebun Komuniti dan tidak terhad kepada tanaman sayur-sayuran serta buah-buahan sahaja.

Bagi wakil penduduk, Johan Yeong, mereka mengusahakan kebun itu sejak Disember lalu dengan penyertaan 12 orang dewasa dan lima orang kanak-kanak.

“Antara mereka yang bersama-sama dalam program ini adalah kumpulan pesara.

“Kami menanam sayur-sayuran seperti bayam, serai, cili dan sebagainya.

“Buat masa ini, penduduk saling bertukar hasil tanaman selain untuk kegunaan sendiri,” katanya kepada Selangor Kini.

EZY