Categories
PENDAPAT RENCANA

Lalui pengalaman petik sayur di pasar raya

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Revolusi teknologi pertanian membolehkan sayur-sayuran kini ditanam tanpa tanah dalam persekitaran yang terkawal di dalam bangunan, sekali gus menjamin kualiti dan keselamatan makanan.

Vegetory, sebuah syarikat teknologi pertanian tempatan, memperluas konsep itu dengan mewujudkan “stesen tanaman” di dalam pasar raya di mana pelanggan memetik sendiri sayur-sayuran yang mereka mahukan.

Hasil kerjasama dengan Bangsar Shopping Centre (BSC) Fine Foods di sini sejak 2020, Vegetory menawarkan pelbagai sayur-sayuran jenis salad yang ditanam dan membesar “di depan mata” pelanggan atau in situ.

Vegetory yang diasaskan oleh pasangan suami isteri Roy Liew dan Celleste Kok pada 2017, membangunkan sistem Plant Factory Indoor Farming (PFIF) atau kilang tanaman di dalam bangunan, teknologi yang dibawa masuk dari Taiwan.

Bercakap kepada Bernama di sini baru-baru ini, Liew berkata matlamat mereka ialah mewujudkan pertanian lestari menggunakan teknologi terkini yang turut menawarkan hasil tanaman yang selamat dan berkualiti tinggi.

“Kami menawarkan pertanian mesra alam agar pengguna dapat menikmati makanan tanpa rasa bimbang tentang kualitinya, selain merasai ‘kesegaran sayur-sayuran yang baru dipetik’ dari kebun,” katanya.

Kebun menegak dalam pasar raya

Melangkah ke dalam ‘stesen tanaman’ Vegetory di BSC Fine Foods yang berkeluasan 200 kaki persegi itu bagaikan mengembara ke alam lain. Pandangan pasti terarah kepada deretan dulang yang dipenuhi pelbagai jenis salad, baik yang baru ditanam mahupun yang sudah matang dan sedia dipetik, menghijau di bawah LED.

Pengasas Vegetory Celleste Kok (dua, kanan) bersama para pekerjanya melakukan proses pembungkusan untuk dijual di Vegetory, Jalan Suria Puchong baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Ada lima jenis salad yang ditanam, iaitu mizuna, romaine, crisphead dan read oak, selain dua jenis kale – hijau dan merah – serta rocket,” jelas Kok sambil memeriksa helaian dedaun salad berkenaan.

Beliau berkata pelanggan boleh memilih sama ada memetik sendiri salad yang diinginkan atau membeli yang sudah siap dibungkus.

“Semua hasil dipetik serta dibungkus secara harian dan boleh dimakan terus kerana ditanam secara hidroponik selain tidak melibatkan penggunaan sebarang racun makhluk perosak,” katanya, menambah sayur-sayuran tersebut mampu bertahan selama seminggu.

Menurutnya, strategi Vegetory itu turut menjimatkan kos kerana tiada penglibatan ‘orang tengah’ dengan setiap pek salad dijual terus kepada pelanggan pada harga antara RM7.20 dan RM9.90.

Sementara itu, Liew berkata kaedah yang digunakan oleh Vegetory membolehkan mereka mengawal pelbagai faktor yang memberi kesan secara langsung terhadap pertumbuhan, rasa dan kadar nutrisi setiap sayur yang ditanam.

“Sebab itulah sayur-sayuran yang dikeluarkan oleh kami lebih sedap dan bernutrisi tinggi. Malah sayur juga kekal segar ketika sampai di tangan pelanggan,” katanya.

Berkongsi keenakan salad

Menurutnya, rasa salad yang lebih sedap itu antara faktor beliau dan isteri membangunkan sistem PFIF di negara ini.

“Ketika lawatan kerja ke Taiwan, kami singgah di satu restoran yang bercantum dengan kilang tanaman. Mereka benarkan kami melawat kilang tanaman itu selain memberikan kami semangkuk besar sayur-sayuran yang baru dipetik.

“Kami sebenarnya tidak begitu gemar makan sayur, namun apabila kami makan salad yang diberikan kami terus terpikat dengan rasanya, sedar-sedar mangkuk salad kami telah kosong,” cerita Liew.

Kok pula berkata mereka kemudian dimaklumkan restoran itu dioperasikan oleh sebuah syarikat pertanian, dan dari situ sejarah Vegetory bermula.

Pengasas Vegetory Celleste Kok melakukan kerja-kerja pemeriksaan pada tanamannya di Vegetory, Jalan Suria Puchong baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Apabila kami beritahu mereka tentang hasrat kami untuk meneroka bisnes itu, mereka bersedia memberikan khidmat nasihat dan sokongan,” kata Kok, menambah beliau dan suami kemudian memulakan usaha tersebut di sebuah rumah kedai di Puchong pada penghujung 2016.

“Kami berdua langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang pertanian. Saya bekerja sebagai jurujual kejuruteraan sementara isteri lulusan sains komputer,” celah Liew.

Mengakui bukan mudah untuk sampai di tahap sekarang, lelaki itu berkata mereka belajar daripada kesilapan dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan.

Enggan mendedahkan jumlah pelaburan, Liew berkata sepanjang 2017, mereka langsung tidak menjana sebarang pendapatan kerana sayur-sayuran yang dikeluarkan diberi secara percuma kepada cef dan restoran di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan maklum balas mereka.

“Banyak yang kami pelajari daripada cef-cef ini kerana mereka benar-benar memahami cita rasa dan kehendak pelanggan. Kami ambil maklum balas itu dan tambah baik teknologi di kilang tanaman kami di Puchong,” kata Liew.

Peluasan pasaran

Sementara itu, Liew berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mereka kini dalam proses untuk bekerjasama dengan sebuah lagi pasar raya.

“Kerjasama dengan BSC ini adalah yang pertama dan kini kami di peringkat akhir perundingan untuk mewujudkan konsep serupa dengan sebuah lagi pasar raya,” jelasnya.

Menurutnya, mereka juga baru sahaja membuka sebuah kafe, dikenali sebagai Mori Kohi yang terletak di Jalan Aman off Jalan Tun Razak dekat ini.

Kafe itu yang menyediakan hidangan Jepun ala Barat turut menonjolkan kilang tanaman yang bersambung dengan premis.

“Nama Mori diambil daripada perkataan Jepun bermakna hutan sementara Kohi pula perkataan Jepun untuk kopi. Seperti konsepnya, kami hiasi kafe ini dengan pelbagai flora untuk mewujudkan suasana berada di tengah-tengah kehijauan rimba.

“Kriteria paling menonjol ialah kilang tanaman seluas 300 kaki persegi seperti yang kita ada di BSC Fine Foods,” jelas Kok.

Menurutnya, mereka merancang untuk membuka kafe itu pada Mac lepas, bagaimanapun ditunda ke pertengahan Oktober lalu berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Kami mahu mendidik orang ramai tentang pertanian menegak di kawasan yang terhad dan pada masa sama menekankan kepentingan gaya hidup sihat dengan memakan banyak sayur-sayuran.

“Kami mahu mengubah tabiat pemakanan warga kota dengan memberikan mereka pilihan untuk makan sayur hijau yang bukan sahaja kaya dengan nutrisi tetapi juga mudah disediakan (kerana tanpa penggunaan racun makhluk perosak), sesuai dengan gaya hidup mereka yang sentiasa sibuk,” kata Kok.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cari kaedah baru pembersihan kebun elak kebakaran besar

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 15 OGOS: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung kaedah baru bagi membolehkan pembersihan kebun secara mesra alam dilaksanakan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, hal itu bagi mengelakkan kebakaran besar berlaku ketika petani membuat pembersihan kebun.

“Selain kaedah baru, program pendidikan secara berterusan juga perlu diterapkan kepada petani.

“Kita mahu satu teknologi yang mesra alam dihasilkan membolehkan petani tidak perlu membakar bagi melakukan pembersihan kebun.

“Pada masa sama juga dengan adanya langkah-langkah baru nanti, ia juga tidak menjejaskan sumber pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB dan kawasan kebakaran tanah gambut Johan Setia, di sini.

Isnin lalu, kira-kira 50 hektar kawasan tanah gambut di kawasan Johan Setia terbakar menyebabkan penduduk tidak senang ekoran menghidu asap tebal.

Sementara itu, Bee Yin berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan akan mengadakan dialog bersama penduduk dan ‘stakeholders’ bagi membincangkan masalah kebakaran di tanah gambut di kawasan itu.

Katanya, kebakaran yang sering berlaku itu berlarutan sejak 15 tahun lalu.

“Saya akan mengadakan dialog dan mesyuarat bersepadu diadakan dengan semua pihak termasuk pemilik kebun mencari penyelesaian supaya insiden ini tidak berulang lagi.

“Setiap tahun kita dengar masalah yang sama. Perkara membabitkan kesihatan tidak boleh dipandang mudah, saya mahu semua pihak tangani isu ini secara serius,” katanya.

Beliau memberi jaminan untuk menyelesaikan insiden berskala besar seperti itu tidak berulang dan pemantauan akan diadakan berterusan.

“Saya juga akan turun ke lokasi ini setiap hari untuk melihat sendiri perkembangan kerja-kerja pemadaman api,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kebun Smart Selangor galak pertanian konsep moden

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JULAI: Projek Kebun Smart Selangor adalah satu langkah terbaru bagi menggalakkan industri pertanian di negeri ini terutama bagi golongan penduduk bandar.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, projek itu akan dibangunkan di setiap daerah untuk djadikan contoh kepada orang awam supaya menceburi bidang pertanian berasaskan komersil menggunakan teknologi moden.

“Kebun Smart Selangor ini lebih kepada komersial dengan menggalakkan tanaman menggunakan teknologi moden melalui konsep fertigasi.

ZAIDY TALIB (2)“Dalam konsep ini, satu ekar kawasan boleh tanam 1,000 polibeg yang boleh mengeluarkan hasil untuk pendapatan. Setakat ini, kita sudah mengenalpasti satu lokasi untuk setiap daerah di Selangor,” katanya.

Katanya, model itu diusahakan di tanah berkeluasan satu ekar dengan bajet dibawah 50,000 serta boleh dikembangkan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersedia memberikan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada pengusaha yang berminat untuk mengusahakan tanaman kontan di atas tanah milik kerajaan supaya mereka memperoleh hasil.

“Langkah ini diharapkan menjadi cabang baru kepada Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil pendapatan memandangkan kawasan komuniti dan bandar memiliki ruang pertanian terhad,” katanya.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Tempatan menggalakkan orang ramai mengusahakan ladang komuniti bersifat perkongsian plot kecil yang kebanyakannya diusahakan di kawasan perumahan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Enggan beri kerjasama, kebun haram dilupuskan

OLEH SYASYA SUFIAN

PETALING JAYA, 25 OGOS – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terpaksa mengambil tindakan tegas apabila beberapa individu ingkar dan masih mengusahakan tanah milik pihak berkuasa tempatan itu di Taman Awam, Jalan Railway 1/2, di sini, dengan aktiviti berkebun.

Pengarah Pertanian dari Jabatan Landskap MBPJ, Shahrizatul Shima Shamsuri berkata, MBPJ terpaksa melupuskan kebun itu kerana keengganan pihak terbabit memberikan kerjasama dan kawasan berkenaan juga sudah dinaik taraf menjadi taman rekreasi awam.

“Kita sudah mengadakan satu perbincangan antara MBPJ bersama pihak terbabit dan mereka meminta penangguhan sehingga kebun itu membuahkan hasil. Selepas itu kerja pembersihan akan dilakukan.

image (1)“Namun, sehingga kini selepas mendapat hasilnya, masih tiada sebarang tindakan daripada mereka yang menyebabkan MBPJ perlu mengambil tindakan tegas membersihkan kawasan itu hari ini,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Difahamkan, kawasan tersebut dinaik taraf menjadi taman awam dan kebun komuniti untuk kegunaan orang ramai beriadah dan bersenam.

Sementara itu, ADN Bukit Gasing, R Rajiv berkata, taman itu sudah dibuka kepada orang awam sejak September 2015, namun kebun kecil yang ditanam beberapa individu menjadikannya semak dan tidak berjaga.

“Saya menerima beberapa aduan daripada penduduk yang bimbang kebun kecil yang tidak berjaga bakal mengundang bahaya selain menjadi tempat pembiakan binatang liar seperti ular.

“Oleh itu, kita perlu mengambil langkah segera membuat kerja pembersihan ke atas kebun haram itu,” katanya.

-NFN-