Categories
AGENDA NASIONAL

14 pemancing, empat kru hilang bot dipercayai karam di Langkawi

ALOR SETAR, 26 FEB: Sebuah bot yang dipercayai membawa empat kru dan 14 pemancing hilang selepas bot dinaiki mereka disyaki karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata insiden itu dipercayai berlaku pada kira-kira 2 petang tadi.

“Kita telah menggerakkan aset iaitu KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Maklumat berhubung kejadian itu turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia serta komuniti nelayan setempat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sektor operasi telah diperluas daripada lima batu nautika hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek yang timbul di permukaan air seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot terbabit.

“Penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang. Sehingga kini, pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot berkenaan.

“Aset Maritim juga telah ditempatkan di sektor berkeluasan 10 batu nautika bersama aset agensi yang lain,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Melaka dan Perlis kian pulih, mangsa terjejas di Kedah meningkat

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Keadaan banjir di Melaka dan Perlis semakin pulih apabila jumlah mangsa serta pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan pagi ini, namun di Kedah jumlah mangsa terus mencatatkan peningkatan.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di Alor Gajah terus mencatat penurunan kepada 95 mangsa daripada 26 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 149 mangsa daripada 38 keluarga, 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata semua mangsa berkenaan ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah serta Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal.

Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS SK Durian Tunggal membabitkan 26 orang daripada 10 keluarga, SJKC Sin Wah (49 mangsa daripada 12 keluarga) manakala di Dewan Japerun Durian Tunggal (20 mangsa daripada empat keluarga), katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semua mangsa merupakan penduduk yang terjejas di enam kawasan di daerah berkenaan iaitu Kampung Padang Keladi, Bukit Balai, Kampung Bukit Tambun, Pekan Durian Tunggal, Taman Murai Jaya dan Kampung Padang Kerbau.

Di Perlis, hanya satu PPS masih dibuka di Arau bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan berkenaan sejak Selasa.

Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Mohammad Hazam Ismail, 12 keluarga melibatkan 42 individu ditempatkan di PPS SK Arau setakat 8 pagi tadi.

“Semalam dua PPS dibuka, tapi hari ini satu sudah ditutup iaitu di Masjid Kampung Banggol Sena dan penduduk sudah pulang ke rumah masing-masing kerana air telah surut,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kedah meningkat kepada 754 orang pagi ini berbanding 665 mangsa pada petang semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata setakat 8 pagi tadi semua mangsa yang terdiri daripada 205 keluarga ditempatkan di 13 PPS di lima daerah.

Beliau berkata satu lagi PPS dibuka di daerah Kubang Pasu di SK Malau pada 11 malam tadi yang menempatkan 26 mangsa daripada empat keluarga dan beberapa PPS lain turut menyaksikan peningkatan mangsa yang dipindahkan.

“Seramai 141 mangsa dipindahkan di Kubang Pasu yang terdiri daripada 36 keluarga dan setakat ini dipindahkan ke tiga PPS di daerah itu sementara Baling mencatat 15 mangsa daripada lima keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan.

“Di daerah Kota Setar, 272 mangsa daripada 79 mangsa dipindahkan ke empat PPS dan 34 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Pokok Sena manakala 292 mangsa daripada 72 keluarga dipindahkan ke dua PPS di daerah Pendang, katanya dalam kenyataan.

Di Johor, daerah Pontian melibatkan kawasan Kampung Paya Embun dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih dua jam, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata keadaan itu menyebabkan sebuah PPS di SK Melayu Raya dibuka pada 9 malam tadi bagi menempatkan 18 mangsa daripada empat keluarga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedah, Perak dan Pulau Pinang dilanda banjir, 44 keluarga terjejas

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Seramai 153 orang daripada 44 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, Perak dan Pulau Pinang setakat pagi ini susulan bencana banjir yang berlaku sejak Rabu.

Di Kedah, dua mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan, manakala 32 mangsa daripada enam keluarga lagi berada di dua PPS di Bandar Baharu iaitu PPS SK Sungai Salleh dan PPS SK Selama.

“Sebuah lagi PPS di Yan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi yang dibuka bagi menempatkan mangsa yang positif COVID-19 masih aktif dibuka walaupun tiada kemasukan buat masa ini.

“Selain itu, satu lagi PPS iaitu SMK Lubuk Buntar yang juga tidak mempunyai mangsa masih aktif dibuka,” kata jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menerusi kenyataan hari ini.

Di Perak pula, seramai 95 orang daripada 29 keluarga dari dua daerah masih ditempatkan di dua PPS.

“Tujuh mangsa daripada sebuah keluarga di daerah Teluk Intan ditempatkan di sebuah PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Smart Batu 8, Jalan Changkat Jong.

“Sementara itu di Taiping, seramai 88 orang melibatkan 28 keluarga kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan Matang, berikutan air banjir yang belum surut dan masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini,” kata jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Bencana Perak.

Di Pulau Pinang, pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh memaklumkan sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan( SK) Jawi yang menempatkan 24 orang daripada lapan keluarga, berbanding 35 orang petang semalam.

“Seramai 11 orang daripada tiga keluarga telah dibenarkan pulang selepas air di kawasan rumah mereka surut manakala 24 mangsa banjir lagi masih ditempatkan di PPS SK Jawi kerana kediaman mereka belum selamat untuk diduduki.

“Ada rumah mereka yang air telah surut namun belum sempat untuk pulang cuci kerana kesan banjir dan kotoran yang teruk dalam kediaman,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ketika ini cuaca di negeri ini kelihatan baik dan air di kawasan banjir juga mulai surut.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Fenomena kepala air di Yan: Tiga maut, tiga masih hilang

ALOR SETAR, 19 OGOS: Tiga mangsa ditemukan maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, yang dilanda banjir susulan fenomena kepala air pada petang Rabu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata setakat operasi pada 1 pagi ini, tiga lagi mangsa dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun.

“Ketiga-tiga mangsa (yang maut) adalah lelaki, dengan satu mangsa ditemukan di tanah runtuh jalan naik ke Gunung Jerai dan dikenal pasti sebagai Shahruzi Mohamad, berumur 53 tahun.

“Jenazah sudah diturunkan dan operasi (mencari dan menyelamat) akan disambung lagi kemudian,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp awal pagi ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan sebentar tadi dan akan bersambung semula 7 pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, antara lokasi terlibat banjir selepas kejadian kepala air itu ialah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN nafi kuat kuasa PKP di Kedah mulai esok

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan dakwaan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah bermula esok sehingga 31 Januari ini, seperti yang tular di media sosial.

Pemakluman berita palsu itu dikeluarkan Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pada 11 malam tadi.

Sehubungan itu, MKN meminta orang untuk tidak menularkan maklumat tidak sahih, yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran awam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

26 daerah zon merah Covid-19 dalam tempoh 14 hari – CPRC

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Sebanyak 26 daerah di seluruh negara dikategorikan sebagai zon merah dalam tempoh 14 hari iaitu dari 7 hingga 20 Oktober, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Berdasarkan senarai yang diberikan CPRC, Sabah mencatatkan jumlah zon merah tertinggi dengan 16 daerah manakala Selangor mencatatkan lima daerah, masing-masing dua daerah di Kedah (Kota Setar dan Pokok Sena) dan Pulau Pinang (Timur Laut dan Seberang Perai Selatan), manakala satu di Perak iaitu daerah Larut, Matang, Selama.

Memperincikan 16 daerah di Sabah itu, ia melibatkan daerah Lahad Datu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tuaran, Kunak, Papar, Semporna, Tawau, Putatan, Penampang, Ranau, Beaufort, Kota Belud, Keningau, Tambunan dan Kudat.

Lima daerah di Selangor pula melibatkan Klang, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat.

Dari segi mukim pula, Kedah melibatkan mukim Kota Setar dan Gajah Mati; Pulau Pinang (Georgetown dan Mukim 6); Perak (Taiping); dan Selangor (Klang, Kapar, Sungai Buloh, Petaling, Damansara, Kajang dan Tanjung Dua Belas (1)).

Selain itu, mukim merah di Sabah melibatkan Bandar, Silabukan dan kawasan Felda di Lahad Datu; Kota Kinabalu (Laut, Likas, Pantai, Sembulan, Darat, Kamung Air, Petagas dan Tanjung Aru); Sandakan (Sentosa, Karamunting, Beatrice, Batu Sapi, Sibuga dan Pantai Elopura); Tuaran (Indai, Serusup dan Tambalang); Kunak (Pekan); Papar (Pengalit/Kawang dan Labak/ Kinarut); Semporna (Bugaya dan Tampi-Tampi); Tawau (Sri Tanjung, Merotai dan Balung); Putatan (Petagas dan Lok Kawi); Penampang (Kepayan dan Penampang Baru); Kota Belud (Kulambai); dan Kudat (Tiga Papan).

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lagi kluster baharu dikesan di Kedah

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah hari ini, iaitu kluster Tembok di Alor Setar dengan tiga kes positif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes indeks kluster itu (kes ke-11,207) juga merupakan kes kematian ke-135, adalah seorang lelaki tempatan yang dikesan positif pada 28 Sept lepas.

Susulan itu, beliau berkata saringan kontak rapat dijalankan dan terdapat dua lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti.

“Dua kes positif ini melibatkan warganegara dan mereka dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan.

“Sehingga kini, seramai 169 individu disaring dengan tiga kes positif, manakala 166 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, empat kluster lain merekodkan pertambahan kes iaitu kluster Benteng LD dan kluster Bangau-bangau di Sabah; kluster Bakawali di Johor, serta kluster Sungai di Kedah.

Beliau berkata pertambahan empat kes baharu bagi kluster Benteng LD menjadikan jumlah kes kini 879, kluster Bangau-bangau naik sembilan kes kepada 287 kes, manakala kluster Bakawali naik tujuh kes kepada 11 kes dan kluster Sungai naik satu kes kepada 100 kes.

Dalam pada itu, terdapat satu lagi kluster diisytihar tamat hari ini, iaitu kluster MV Glen di Klang, Selangor dengan tiga kes positif.

Kluster melibatkan sebuah kapal itu merangkumi dua kes warga tempatan dan satu warga asing, namun tiada kematian direkodkan.

Sehingga kini terdapat 24 kluster masih aktif seluruh negara, manakala sebanyak 100 kluster diisytiharkan tamat.

Sementara itu, susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah, Dr Noor Hisham berkata pasukan bantuan kesihatan digerakkan secara berperingkat ke Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak, bagi membantu proses pengesanan kontak, saringan komuniti di lapangan, serta menjaga pusat kuarantin dan hospital.

“Seramai 10 Pegawai Sains Mikrobiologi dan lima Juruteknologi Makmal (JTM), dihantar ke Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, bagi membantu proses saringan Covid-19 di makmal.

“Seramai 72 Jururawat Terlatih (JT) juga ditugaskan di Hospital Kunak, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Tenom, Hospital Beluran, Hospital Keningau, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan Hospital Kota Belud,” katanya.

Beliau berkata mulai Oktober, sejumlah 140 Pegawai Perubatan dan 225 Penolong Pegawai Perubatan (PPP), akan ditempatkan di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah termasuk klinik, hospital dan Pejabat Kesihatan Kawasan seluruh negeri itu, mengikut kekosongan dan keperluan perkhidmatan semasa.

Jelasnya, pada masa yang sama, kebajikan petugas kesihatan dan perubatan perlu diutamakan bagi memastikan aset utama KKM itu, dapat menjalankan tugasan mereka dengan baik termasuk aspek logistik, latihan dan keperluan Personal Protective Equipment (PPE).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD bersasar di Kedah, Perlis tamat esok

SHAH ALAM, 25 OGOS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Perlis serta empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah tamat esok.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata keputusan itu diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan selepas semua penduduk di kawasan tersebut disaring dan tiada kes baharu Covid-19.

“KKM telah menyaring 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap, ” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata KKM mengesan beberapa kes melibatkan kluster Tawar di empat daerah di Kedah.

“Bagaimanapun Temco tidak akan dilaksanakan di kawasan tersebut sebaliknya langkah pencegahan diambil menerusi kawalan pergerakan secara bersasar,” katanya.

Perintah berkenaan melibatkan empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap bermula 3 Ogos dan sepatutnya tamat pada 30 Ogos manakala Temco di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul berkuat kuasa 8 Ogos hingga 4 September.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kemasukan ke IPTA di Kedah, Sarawak mungkin ditangguh

TANJUNG MALIM, 20 OGOS: Kepulangan penuntut dan kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kedah dan Sarawak pada Oktober depan, mungkin ditangguhkan sekiranya kes Covid-19 di kedua-dua negeri berkenaan didapati meningkat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata sekiranya penangguhan itu diputuskan, ia akan dilakukan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri yang terlibat.

“Pelajar akan mula masuk (daftar pada) Oktober, jadi bergantung kepada keadaan semasa Covid-19 dan tatacara operasi piawai (SOP) juga telah ditekankan oleh pihak kementerian supaya setiap universiti mengikut SOP yang ditetapkan.

“Tetapi bagi kawasan seperti di Kedah, ia bergantung kepada keadaan semasa tempat itu. Saya dapat makluman dalam beberapa minggu lepas, Sarawak ketika itu pun tinggi kes (Covid-19),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi berikutan penularan wabak Covid-19 khususnya di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Noraini berkata pihaknya berpuas hati dengan persediaan IPTA bagi menerima kemasukan pelajar masing-masing pada Oktober depan.

“Alhamdulillah, kita mengadakan penerangan mengenai SOP dengan pihak universiti dan KKM sendiri pun datang meninjau keadaan universiti tersebut dalam menerima pelajar yang akan mula mendaftar semula,” katanya.

Terdahulu, Noraini bertemu penduduk setempat pada Program Ziarah Kasih di Kampung Changkat Sulaiman hari ini, yang turut disertai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Tawar bertambah 12 kes, kini 33 orang

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kementerian Kesihatan mengesan pertambahan 12 kes positif Covid-19 membabitkan kluster Tawar menjadikan jumlah keseluruhan 33 orang setakat ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu 10 kes dicatatkan di Kedah manakala dua di Pulau Pinang.

“Sehingga 15 Ogos 2020 jam 12 tengah hari seramai 657 individu telah disaring dalam kluster ini,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Kes pertama kluster berkenaan iaitu kes ke-9,113 membabitkan lelaki warganegara Malaysia yang juga seorang peniaga.

Beliau yang dikesan positif pada 9 Ogos lalu mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos 2020.

Pecahan saringan mengikut negeri:

1. Kedah (520 disaring):
– 30 individu positif
– 472 individu negatif
– 18 individu masih menunggu keputusan

2. Pulau Pinang (129 disaring):
– Tiga individu positif
– 119 individu negatif
– Tujuh individu masih menunggu keputusan

3. Perak (lapan disaring):
– Tiada kes positif
– Lapan individu masih menunggu keputusan

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu lagi kluster baharu dikesan di Kedah

SHAH ALAM, 15 OGOS: Satu lagi kluster baharu Covid-19, Sala direkod di Yan, Kedah selepas kes positif pertama dikesan membabitkan warganegara pada 13 Ogos.

Ketua pengarah kesihatan berkata pengesanan kes ke-9,148 dibuat melalui sistem survelan klinikal jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan pada 14 Ogos 2020 dan kes-kes dikesan positif pada 15 Ogos 2020.

“Ketiga-tiga kes yang dilaporkan pada hari ini adalah merupakan ahli keluarga kepada kes pertama (kes ke-9,148) dan kesemuanya warganegara Malaysia,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan setakat ini 80 kontak rapat kes ke-9,148 disaring dengan empat orang didapati positif manakala 76 individu lagi masih menunggu keputusan.

Semalam, kluster Muda membabitkan anggota polis dikesan di Kedah selepas pengesanan kluster Tawar membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun serta lima petugas hospital di negeri itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster baharu libatkan anggota polis di Kedah

SHAH ALAM, 14 OGOS: Satu lagi kluster baharu dikesan di Kedah membabitkan dua anggota polis, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Muda bermula dari kes indek iaitu kes ke-9,114 yang menjangkiti rakan sekerjanya, kes ke-9,147.

“Kedua-duanya dirawat di hospital. Setakat ini 124 kontak rapat sudah disaring.

“Hanya dua disahkan positif. Lima negatif manakala 117 masih tunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengesanan kes secara aktif sedang dilakukan selain proses pembersihan dan nyahcemar dijalankan di lokasi dikenal pasti.