Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai alat ganti kereta terpakai musnah, terbakar

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sebuah kedai menjual alat ganti kereta terpakai di Taman Segambut di sini musnah dalam kebakaran petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kira-kira 5.50 petang sebelum lapan jentera bomba dari balai Sentul, Jinjang, Sri Hartamas, Hang Tuah, Titiwangsa, Taman Tun Dr Ismail, Wangsa Maju dan Seputeh, tiba di lokasi kejadian.

“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan dan kebakaran tersebut melibatkan kedai menjual alat ganti kereta terpakai berkeluasan 4,000 kaki persegi yang terbakar hampir 90 peratus.

“Operasi pemadaman melakukan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’, dengan membahagikan pasukan pemadam kepada beberapa bahagian untuk mengelakkan api merebak ke kawasan lebih besar,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan JBPM itu menyatakan setakat 8.30 malam tadi, kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan.

Kebakaran berhampiran susur Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Selayang itu turut mengakibatkan trafik sesak dari Jalan Loke Yew sehingga lokasi di Jalan Kuching.

Kejadian tersebut turut tular di laman sosial, dengan pengguna memuat naik gambar dan video kejadian berkenaan yang memaparkan api sedang marak dan kepulan asap tebal.

– BERNAMA