Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar kesihatan saran pilih kedai makan bersih elak taun

SHAH ALAM, 15 NOV: Orang ramai disaran memilih kedai makan yang bersih dan mengikut piawaian penyediaan makanan dengan betul bagi mengelak jangkitan taun atau kolera.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Mohammad Farhan Rusli berkata perkara tersebut perlu dititikberat termasuk memastikan peniaga itu mendapat suntikan tifoid.

“Kita bukan mahu memboikot peniaga makanan tetapi sebagai pengguna, perlu membuat keputusan yang bijak,” katanya lapor Harian Metro.

Menurut Dr Mohammad Farhan lagi pengendali makanan juga perlu menyediakan makanan mengikut piawaian seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, katanya, KKM juga perlu menyediakan infografik dan maklumat jelas berhubung cara pencegahan wabak taun.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter mengesahkan berlakunya jangkitan berkenaan.

Sebagai langkah pencegahan, JKNS meminta semua pengamal perubatan melaporkan kes wabak yang disahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui sistem e-notifikasi dalam tempoh 24 jam.

Selain itu, mereka juga diminta mengambil sampel najis bagi ujian kultur dan sensitiviti bagi kes yang disyaki taun.