Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pamer tanda harga mengelirukan, 45 kedai makan kena tindakan

SEPANG, 1 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan terhadap 45 daripada 4,064 premis makanan yang diperiksa dalam Ops Menu di seluruh negara sejak 6 November hingga hari ini.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata 45 premis berkenaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 serta Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

“Dalam Ops Menu ini, perkara utama kita akan periksa tanda harga yang dipamerkan, sama ada ia sama dengan di dalam menu atau tidak. Ada restoran yang pamerkan tanda harga tapi tidak sama dengan di dalam menu.

“Perbezaan harga itu antara RM0.50 hingga RM0.60 sen. Ini adalah satu kelakuan yang ternyata mengelirukan pengguna. Jadi kita (KPDNHEP) sudah ambil tindakan terhadap peniaga berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan Ops Menu di sekitar Kota Warisan, di sini malam tadi.

Katanya, Ops Menu yang bermula pada 6 November lepas disertai lebih 2,000 anggota penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara dan akan diteruskan bagi menyekat kenaikan harga makanan secara mendadak.

Berikutan pelbagai aduan diterima daripada pengguna berkaitan isu tersebut Azman berkata bahawa KPDNHEP tidak lagi memberi amaran kepada peniaga yang sengaja mengaut keuntungan secara tidak munasabah, sebaliknya mengenakan tindakan tegas di bawah AKHAP 2011 jika didapati bersalah.

Seksyen 14(1) AKHAP 2011 memperuntukkan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Orang ramai dipelawa menyalurkan aduan beserta bukti seperti resit atau gambar kepada KPDNHEP melalui pelbagai saluran yang disediakan iaitu portal e-aduan.kpdnhep, e-mel di [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDNHEP, WhatsApp 019-279 4317 atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di talian 03-8882 6088/ 6245.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peniaga pantau ketat SOP, hanya lengkap vaksin boleh makan di kedai

SHAH ALAM, 2 OKT: Peniaga di bandar raya ini tetap mengehadkan kebenaran makan di kedai kepada pelanggan lengkap vaksin meski Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.

Ini kerana beberapa pemilik restoran dan gerai kurang jelas tatacara operasi piawai (SOP) fasa itu yang dikatakan membenarkan individu belum lengkap suntikan makan dalam premis.

Kekeliruan itu turut diakui Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang kemudian mengekalkan peraturan makan di kedai hanya untuk individu lengkap dua dos bagi semua fasa PPN.

Pemilik Restoran Hatinie di Seksyen 10 Amir Sharifudin Mohd berkata pihaknya tetap memeriksa sijil digital vaksin walaupun difahamkan ada kelonggaran kepada mereka yang belum lengkap vaksin.

Pemilik Restoran Hatinie, Amir Sharifudin Mohd (kanan) melihat sijil digital vaksinasi pelanggan yang lengkap dua dos sebelum dibenarkan memasuki restoran miliknya di Seksyen 10, Shah Alam pada 1 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ada rakan peniaga di Negeri Sembilan memberitahu ketika dalam fasa tiga mereka diminta hanya membenarkan pelanggan lengkap vaksin makan di kedai.

“Kami hanya benarkan penerima lengkap dua dos vaksin sahaja, kami bimbang kalau tidak saring pihak berkuasa ambil tindakan pula,” katanya ketika ditemui.

Pengurus Restoran Hakim di Seksyen 7 Roslan Hakimsa berkata majoriti pelanggannya memahami prosedur pemeriksaan vaksin sebelum dibenarkan makan di kedai bagi mengawal penularan Covid-19.

“Walaupun sudah ada kelonggaran dalam fasa tiga namun kami tetap ambil langkah berjaga-jaga sehingga kes benar-benar dapat dikawal,” jelasnya.

Bagi peniaga makanan di medan selera Seksyen 2 Roslinda Rasid, beliau masih mengekalkan SOP lama yang mengehadkan hanya penerima vaksin lengkap boleh makan di kedai sebagai langkah keselamatan.

“Selagi semua atau hampir semua penduduk tidak lengkap vaksin maksudnya keadaan belum selamat dan boleh menyebabkan penularan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Suami isteri buat eksperimen sosial: Premis tidak patuh SOP diarah tutup

SEMENYIH, 25 OGOS: Polis Diraja Malaysia akan mengarahkan premis makanan yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditutup, susulan tindakan pasangan suami isteri yang tidak divaksin melakukan eksperimen di sebuah kedai makan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kerajaan memberi kelonggaran SOP ini bagi merancakkan semula ekonomi dan berharap masyarakat dapat memanfaatkannya dengan betul, dan tidak mengambil kesempatan.

“Polis dan pihak berkuasa tempatan melakukan rondaan bersama dan mana-mana premis yang tidak patuh (SOP) akan diarah tutup,” katanya dalam sidang media di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am hari ini.

Pada 8 Ogos lepas, kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran termasuk solat berjemaah di masjid dan surau serta makan di restoran.

Sehubungan itu katanya, polis meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis awam berikutan kelonggaran SOP terhadap individu yang telah lengkap vaksinisasi.

Susulan kelonggaran berkenaan juga pihaknya akan mengurangkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah-daerah secara berperingkat, bagaimanapun SJR antara negeri akan dikekalkan.

“Saya telah mengarahkan kontinjen-kontinjen polis negeri untuk mempertingkatkan tinjauan dan pemeriksaan ini untuk pastikan SOP yang baharu ini dipatuhi semua.

Pada Isnin lepas, pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 35 dan 36 tahun ditahan polis pukul 5 petang di sebuah premis makanan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua gadis kecil hias gerai makan ibu guna Jalur Gemilang

TUMPAT, 19 OGOS: Meskipun negara masih dilanda pandemik Covid-19, ia tidak mematah semangat dua anak kecil, Syazwani Amran, 10, dan Nor Maizira Wan Aman, 9, untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64, tahun ini.

Menggunakan waktu terluang, Syazwani berkata mereka mula memasang Jalur Gemilang di sekitar gerai makan milik ibunya di Pantai Geting dekat Pengkalan Kubor di sini, sejak awal bulan lepas.

Katanya, gerai makan itu terletak di kawasan pantai dan angin yang bertiup membuatkan bendera berkibar dan “mewarnai” kedai makan ibunya supaya kelihatan menarik.

“Sehingga kini saya bersama sepupu sudah memasang lebih 100 jalur gemilang bersaiz kecil.

“Mungkin selepas ini dengan sokongan ibu, saya akan memasang Jalur Gemilang yang bersaiz agak besar supaya kelihatan lebih menarik apabila berkibar,” kata murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Geting di sini.

Sungguhpun masih kecil, Syazwani yang berpendirian dan berfikiran matang berkata hanya 12 hari lagi negara akan menyambut hari bersejarah itu dan berharap dalam tempoh pandemik Covid-19, ia tidak akan melunturkan semangat rakyat untuk bersatu menangani wabak itu.

Sepatutnya dalam keadaan seperti ini, rakyat dapat teguh bersatu dan semangat itu perlu ditunjukkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang masa, luahnya.

“Sebagai murid sekolah kami telah diajar oleh guru tentang Hari Kebangsaan dan bagaimana cara untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara.

“Bagi kami berdua, mengibarkan Jalur Gemilang dan mereka bentuk dengan corak sebegini adalah cara kami melahirkan rasa bersyukur dengan keamanan negara yang dinikmati sekarang,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64 pada 31 Ogos ini bertemakan ‘Malaysia Prihatin’.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh makan lebih dua orang semeja tetapi patuhi SOP

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan membenarkan makan di restoran melebihi dua orang dengan syarat mengikut kesesuaian saiz meja di semua negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (keselamatan) berkata dengan tatacara operasi piawai (SOP) baharu itu, peraturan hanya dua orang dihadkan satu meja tidak lagi dikuatkuasakan bermula esok (19 Februari).

Katanya SOP penjarakan fizikal satu meter antara satu sama lain dikekalkan.

Ismail Sabri berkata peraturan kebenaran makan di premis makanan berdasarkan keluasan meja dengan penjarakan fizikal satu meter turut dilaksanakan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Mesyuarat bersetuju semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP dibenarkan ‘dine in’ dengan kebenaran makan berdasarkan keluasan meja dan adanya penjarakan fizikal satu meter,” katanya pada sidang media mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Bermula 19 Februari, sebanyak empat negeri masih berada dalam PKP untuk dua minggu lagi iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi kedai makan dilanjut hingga 10 malam mulai esok

SHAH ALAM, 21 JAN: Kerajaan bersetuju melanjutkan operasi kedai makan dan restoran sehingga jam 10 malam mulai esok, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat hasil pertimbangan kerajaan terhadap aduan pengusaha kedai dan orang awam.

“Ada yang merungut pulang kerja lewat dan tidak sempat membeli makanan malahan ada juga dalam kalangan peniaga merintih kerana kebanyakan pelanggan mereka ramai pada waktu malam, contohnya penjual burger.

“Justeru, mengambil kira rungutan itu kita setuju melanjutkan waktu operasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam di semua negeri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Baru-baru ini ahli parlimen pembangkang menggesa Kerajaan Persekutuan membenarkan kedai makanan beroperasi mengikut lesen perniagaan tidak terhad setakat jam 8 malam.

Gesaan itu bertujuan memulihkan ekonomi peniaga selain menjana pendapatan pekerja penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan digesa lanjutkan operasi kedai makan lebih dari 8 malam

SHAH ALAM, 18 JAN: Seramai 21 ahli parlimen pembangkang menggesa Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan kedai makanan beroperasi mengikut lesen perniagaan tidak terhad setakat jam 8 malam.

Gesaan itu bertujuan memulihkan ekonomi peniaga selain menjana pendapatan pekerja penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

“Operasi dibenarkan ketika ini menyusahkan orang awam yang mahu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.

“Berikutan itu kami menggesa Majlis Keselamatan Negara membaiki SOP (tatacara operasi piawaian) ini kerana ia memberi kesan kepada peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian,” katanya menerusi kenyataan bersama.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri ketika ini hanya membenarkan aktiviti jualan makanan di restoran, kedai, gerai, kenderaan saji (food truck) dan penjaja tepi jalan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Sementara itu, kumpulan berkenaan turut menggesa pelanjutan moratorium selama enam bulan susulan pelaksanaan PKP ketika ini.

“PKP kali ini menyebabkan peniaga terjejas lebih teruk berbanding sebelum ini kerana terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis makan, kedai serbaneka di KL boleh operasi hingga 2 pagi

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membenarkan premis makan dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur beroperasi hingga pukul 2.00 pagi mulai esok.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

“Saya berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A Dahlan sebentar tadi kerana MKN sudah memberi kelonggaran itu.

“… peniaga telah kerugian banyak, kalau dia (perniagaan) tidak mengancam keselamatan sebagaimana yang dinilai oleh MKN, saya bersetuju supaya pihak DBKL membenarkan, buka sampai pukul 2.00 pagi. Tetapi SOP mesti dipatuhi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di sini, hari ini.

Semalam, DBKL memaklumkan waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur masih kekal sehingga jam 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawasan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMCWPKL), semalam.

Terdahulu pada 10 September lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga jam 2 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Maju dikesan di Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kementerian Kesihatan mengenal pasti satu kluster baharu iaitu kluster Maju di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes pertama kluster terbabit iaitu kes ke-9,176 dan 9,177 dilaporkan pada 16 Ogos lalu.

“Mereka adalah pekerja di restoran tersebut yang dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang dijalankan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan seorang pelanggan restoran tersebut dikesan positif Covid-19. Beliau mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 672 individu termasuk 16 pekerja dan 656 pelanggan disaring setakat ini dengan tiga daripadanya positif manakala baki negatif.

Katanya, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat diteruskan selain mempergiat langkah pencegahan serta kawalan jangkitan seperti proses nyahkuman dan nyahcemar di kedai makan terbabit.