Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad lelaki negara yakin dakap trofi Kejohanan Badminton Asia 2022

SHAH ALAM, 19 FEB: Skuad badminton lelaki negara berpeluang mencipta sejarah muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 (BATC) buat kali pertama apabila bakal membuat perhitungan dengan musuh tradisi Indonesia dalam aksi final, esok.

Pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia sudah pasti tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri di Pusat Konvensyen Setia City sekali gus merealisasikan impian menjulang trofi BATC 2022.

“Sudah sampai final siapa tidak mahu jadi juara, sasaran seterusnya adalah menjadi juara,” katanya kepada pemberita.

Skuad lelaki negara menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke perlawanan akhir selepas mengecewakan Korea Selatan 3-0 dalam aksi separuh akhir.

Juara All England yang menyumbang mata pertama negara selepas menewaskan Jeon Hyeok Jin 13-21, 21-13, 21-15 berharap dapat memperkemaskan gaya permainannya termasuk mengawal angin ketika dalam gelanggang yang menjejaskan konsentrasinya selain mengurangkan kesilapan mudah dalam perlawanan petang esok.

Sementara itu, pemain beregu lelaki, Soh Wooi Yik yang kecewa dengan prestasi buruk dalam perlawanan semalam, mengakui melepaskan geram dengan ‘membaling’ jersi ke arah peminat selepas menempuh perlawanan mendebarkan bersama Aaron Chia, mengalahkan Kim Hwi Tae-Kim Jaehwan 21-14, 20-22, 21-19 hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu tewas mengejut kepada gandingan ke-857 dunia Ayato Endo-Yuta Takei dari Jepun 21-23, 16-21 dalam aksi terakhir Kumpulan B, semalam.

“Semalam kalah dengan pasangan ranking lebih rendah dan saya semestinya tidak selesa dengan kekalahan itu namun saya tetap puas hati menang perlawanan ini,” katanya.

Bagi Aaron pula, beliau berharap agar rakan sepasukan kekal fokus untuk menjuarai BATC 2022 memandangkan mereka mempunyai kelebihan dibarisi skuad utama berbanding Indonesia yang mempertaruhkan skuad kedua mereka dalam edisi kali ini.

Bagi seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, yang mengesahkan mata kemenangan negara selepas mengatasi Kim Joo Wan 19-21, 21-16, 21-12 pula berharap dapat menjelmakan prestasi lebih baik pada aksi terakhir.

“Bukan sahaja mesti menang (final), tapi sudah pasti kami akan bermain bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir, Indonesia mengesahkan pertemuan dengan Malaysia pada final selepas menewaskan Singapura 3-2, untuk memburu kejuaraan keempat berturut-turut kejohanan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Badminton Asia: Skuad lelaki negara selangkah merebut kejuaraan

SHAH ALAM, 19 FEB: Skuad lelaki negara menamatkan saingan separuh akhir penuh bergaya apabila berjaya membenam Korea Selatan 3-0 pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 sebentar tadi.

Kejayaan pasukan Malaysia itu sekali gus meletakkan negara ini berjaya menempah tiket ke peringkat akhir yang bakal menentang Indonesia 4 petang esok.

Jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia yang menjadi sandaran mata pertama menang mengatasi Jeon Hyeok Jin dengan mata 21-13, 13-21 dan 15-21 dalam perlawanan petang tadi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.

Gandingan pasukan beregu negara Chia Aaron-Soh Wooi Yik pada perlawanan kedua berjaya menewaskan Kim Hwi Tae dan Kim Jaehwan 14-21, 22-20 dan 19-21.

Skuad negara terus bangkit menerusi pemain perseorangan Ng Tze Yong menentang Kim Joo Wan menerusi tiga set perlawanan 21-19, 16-21 dan 12-21 dalam tempoh satu jam 11 minit.

Kejohanan selama enam hari mulai 15 Februari itu turut disertai Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan juga disiarkan secara langsung di Astro.

Categories
AGENDA NASIONAL

400 tiket hari pertama Kejohanan Badminton Asia habis dijual

SHAH ALAM, 14 FEB: Sebanyak 400 tiket perlawanan hari pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 esok habis dijual kurang dari 10 minit.

Setiausaha jawatankuasa penganjur Mohamad Nizam Marjugi berkata tiket dijual dalam talian pada 12 tengah hari tadi dan semua habis ditempah sembilan minit kemudian.

“200 tiket perlawanan sesi petang terjual dalam tempoh enam minit manakala penjualan semua 200 tiket sesi pagi selesai pada 12.09 tengah hari.

“Tempoh singkat (penjualan) ini bukti ramai yang mahu menyaksikan perlawanan namun kita terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini penganjur merancang untuk membenarkan kehadiran 1,000 penonton di gelanggang perlawanan.

Sementara itu Mohamad Nizam yang juga pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata jualan tiket setiap sesi dibuka sehari sebelum pertandingan menerusi https://selangorbatc2022.com bermula 12 tengah hari hingga 11.59 malam.

“Tiket perlu dibawa bersama kad pengenalan atau passport sebagai bukti pembelian. Pembeli harus imbas aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal.

“Hanya penonton lengkap vaksinasi dibenarkan masuk dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dilarang,” katanya.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 sehingga Ahad ini yang diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan badminton Asia: Pemain beregu seru orang ramai hadir beri sokongan

SHAH ALAM, 14 FEB: Pemain beregu wanita menyeru penyokong badminton hadir ke Pusat Konvensyen Setia City di sini bagi memberi sokongan kepada negara dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang bermula esok.

M Thinaah berkata selaku tuan rumah kehadiran penyokong akan memberi motivasi tambahan kepada para pemain untuk beraksi dengan lebih baik.

“Ia memberi keyakinan kepada pemain di gelanggang. Saya minta kalau boleh datang dan beri sokongan kepada kami.

Pemain beregu wanita M Thinaah. Pix tangkap layar video Facebook BAM

“Kami memerlukan sokongan setiap dari anda,” katanya menerusi video yang dikongsi di Facebook Persatuan Badminton Malaysia.

Beliau berkata semua pemain berada sudah bersedia dan akan bermain bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan nanti.

“Kami telah lakukan yang terbaik dalam latihan dan semua rakan juga dilihat bersemangat untuk menghadapi kejohanan ini,”katanya.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 selama enam hari sehingga 20 Februari yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan BAM.

Timbalan Pengarah Kejurulatihan Rexy Mainaky (tengah) bersama barisan pemain badminton negara pada sesi latihan skuad kebangsaan di Pusat Konvensyen Setia City pada 13 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Menerusi undian pada 8 Februari, skuad lelaki negara berada dalam kumpulan B bersama Singapura, Jepun dan Kazakhstan manakala kumpulan A dibarisi Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Sementara pasukan wanita negara pula diundi dalam Kumpulan Y bersama India dan Jepun.

Permain perseorangan lelaki Badminton Malaysia, Lee Zii Jia giat menjalani sesi latihan skuad kebangsaaan di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 13 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI