Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia: Penyertaan gagal jika tidak layak ke perlawanan akhir

 

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Penyertaan skuad lelaki kebangsaan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada 15 hingga 20 Feb ini, dianggap gagal sekiranya tidak berjaya mara ke final, menurut pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia.

Zii Jia yang menyasarkan pasukannya menjadi juara kejohanan itu berkata Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan yang ada memandangkan terdapat beberapa pasukan yang kuat tidak menghantar pemain utama mereka dalam saingan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.

“Saya bukan nak bagi tekanan namun kebanyakan pasukan lain hantar barisan kedua pemain, sudah tentu bagi saya mahu juara atau sekurang-kurangnya ke final.

“Kalau tak ke final bermakna kita gagal, saya juga gagal, sebab barisan pemain kita paling kuat,” katanya kepada pemberita selepas menjalani sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara menjelang BATC, hari ini.

Skuad lelaki diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan, sekali gus mengelak dari bertemu juara tiga kali Indonesia (2016, 2018, 2020), India, Korea Selatan dan Hong Kong yang diundi dalam Kumpulan A.

Difahamkan pemain nombor dua dunia pada ketika ini, Kento Momota dan pasangan beregu lelaki nombor empat dunia iaitu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, selain beberapa pemain utama Indonesia seperti Anthony Sinisuka Ginting, Jonatan Christie dan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, tidak akan menyertai kejohanan itu.

Pasukan seperti China, Thailand dan Taiwan tidak akan menyertai edisi kali ini, dan format kejohanan sudah diubah dengan tiada peringkat suku akhir.

Mengulas mengenai perlawanan tumpuan antara beliau dan Loh Kean Yew dari Singapura, Zii Jia berkata dia sudah bersedia untuk bertarung dengan juara dunia 2021 dalam pertemuan yang disifatkan sangat penting baginya untuk menyumbang mata pertama buat Malaysia, ketika menentang pasukan dari negara republik itu dalam Kumpulan B nanti.

Selain Zii Jia, lima lagi pemain iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong melengkapkan barisan perseorangan lelaki negara untuk kejohanan dwitahunan itu.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula akan mengetuai gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beregu lelaki.

Pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul bagi kategori perseorangan, manakala beregu diwakili Pearly Tan-M.Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Walaupun Malaysia mempunyai peluang tinggi untuk bergelar juara BATC kali ini, namun Aaron pula mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak terlalu yakin dengan ketiadaan beberapa bintang ternama dari negara lain dan menuntut pemain negara untuk berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan pada kejohanan itu.

Beliau juga merasakan kehadiran semula Zii Jia, yang mencari ‘angin baharu’ dengan bergerak secara profesional baru-baru ini, ke dalam pasukan lelaki pada BATC kali ini jelas menyuntik semangat mereka untuk memberikan persembahan terbaik di laman sendiri nanti.

Bagi Nur Izzuddin, pemain berusia 25 tahun dari Muar itu berkata beliau tidak berasa tertekan namun kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri ternyata menaikkan semangatnya untuk membantu pasukan mara ke final.

Sementara itu, Thinaah pula berharap rakan sepasukan dalam pasukan wanita negara mampu mengharungi setiap perlawanan dengan baik, manakala Qi Xuan pula menganggap peluang agak seimbang bagi Malaysia untuk mara ke separuh akhir biarpun bakal meniti laluan sukar dalam peringkat kumpulan.

Dalam undian wanita, juara bertahan Jepun dan India, menanti Malaysia dalam kumpulan Y, manakala Kumpulan Z pula terdiri daripada Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir dan layak secara automatik ke Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Peserta badminton Asia masih jalani kuarantin, mula latihan Isnin

SHAH ALAM, 11 FEB: Semua peserta Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bakal memulakan sesi latihan memanaskan badan di Akademi Badminton Setia Alam di sini pada 14 Februari, iaitu sehari sebelum saingan membuka tirai.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata ketika ini kesemua pasukan dari tujuh negara sedang melengkapkan tempoh kuarantin di Hotel Clio Sunway, Petaling Jaya dan ia dijadualkan tamat pada Ahad ini.

“Mereka diberi sekitar dua hingga tiga jam untuk berlatih pada hari berkenaan mengikut slot yang ditetapkan bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak timbul isu berkaitan Covid-19.

“Latihan ini hanya sebagai pemanas badan selain memberi peluang kepada pemain menyesuaikan diri dengan keadaan di negara ini kerana saya percaya pemain sudah membuat persiapan rapi di negara mereka sebelum tiba di sini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Selain itu, Mohamad Nizam berkata semua pemain juga dilarang keluar dari hotel penginapan masing-masing sepanjang berada di negara ini, kecuali bagi urusan yang ditetapkan.

“Mereka juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 secara berkala termasuk ujian doping yang dikendalikan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS),” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa persiapan lokasi kejohanan sudah mencapai 70 peratus dengan jangkaan siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada Ahad.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 dalam acara berprestij yang diselaraskan oleh MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Seramai 24 pemain negara menggalas cabaran pada kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City selama enam hari mlai 15 sehingga 20 Februari.