Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Kejohanan badminton Asia semarak semangat kesukanan, perpaduan rakyat

SHAH ALAM, 21 FEB: Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berakhir semalam mampu menyemarakkan semangat kesukanan serta mengukuhkan perpaduan rakyat negeri ini.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kejohanan yang mengangkat pasukan lelaki negara sebagai juara itu juga mampu menaikkan nama Selangor di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, RSM Sport, Invest Selangor, Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI, Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Terima kasih juga kepada penaja korporat, jawatankuasa pengelola tempatan dan semua pihak yang menjayakan kejohanan berprestij ini,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam kejohanan enam hari bermula Selasa di Pusat Konvensyen Setia City Alam skuad wanita negara sekadar berpuas hati di tempat ketiga selepas tewas 0-3 kepada Korea Selatan.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan BAM.

Perlawanan disertai 142 atlet lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Lima skrin gergasi dipasang, mudahkan tonton separuh akhir Badminton Asia

SHAH ALAM, 19 FEB: Lima skrin gergasi disediakan di luar Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) hari ini bagi memudahkan peminat menonton perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Mohd Khairuddin Othman berkata inisiatif tersebut berikutan jumlah penonton dibenarkan ke gelanggang terhad 200 orang bagi setiap sesi pertandingan.

“Kita terima permintaan menggalakkan malah ada penonton yang sanggup menunggu di luar SCCC bagi menggantikan kekosongan kerusi,” katanya menambah pemasangan skrin bergantung keadaan cuaca.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yang juga EXCO pembangunan sukan berkata bilangan kerusi akan ditambah kepada 800 jika skuad negara layak ke perlawanan akhir.

Malaysia ke peringkat separuh akhir selepas skuad lelaki menjuarai Kumpulan B manakala skuad wanita mendahului Kumpulan Y dengan kedua-duanya dijadual menentang Korea Selatan.

Segelintir penyokong yang hadir memberi sokongan ketika aksi terakhir kumpulan B menentang Jepun pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 18 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Persiapan hampir selesai, pemain boleh uji gelanggang esok

SHAH ALAM, 13 FEB: Persiapan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City yang berlangsung Selasa mencecah 80 peratus setakat ini.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menjangka proses tersebut selesai malam ini dengan pemain boleh menguji gelanggang bermula esok.

“Setakat ini, semua persiapan mengikut perancangan dan dalam keadaan baik untuk kejohanan bermula Selasa ini,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada Selangorkini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi bercakap kepada media ketika sesi latihan skuad kebangsaaan di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 13 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau berkata hanya pemain Indonesia tamat kuarantin setakat semalam dan dibenar menjalani latihan di Akademi Badminton Setia di Setia Alam.

“Setiap pemain perlu menjalani dua saringan Covid-19 iaitu pada hari ketibaan dan tamat kuarantin. Setakat ini, tiada kes dilaporkan,” katanya lagi.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 selama enam hari sehingga 20 Februari yang diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Menerusi undian pada 8 Februari, skuad lelaki negara berada dalam kumpulan B bersama Singapura, Jepun dan Kazakhstan manakala kumpulan A dibarisi Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Sementara pasukan wanita negara pula diundi dalam Kumpulan Y bersama India dan Jepun.

Permain badminton negara giat menjalani sesi latihan skuad kebangsaaan di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 13 Februari 2022. Skuad negara bakal berentap dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 

Permain perseorangan lelaki Lee Zii Jia giat menjalani sesi latihan skuad kebangsaaan di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 13 Februari 2022. Skuad negara bakal berentap dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia enggan berputih mata, mahu tundukkan juara dunia

SHAH ALAM, 13 FEB: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia tidak mahu lagi berputih mata di tangan Juara Dunia Loh Kean Yew apabila memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 menentang Singapura, Rabu ini.

Susulan kejayaan Kean Yew memenangi dua perjumpaan terakhir mereka dalam empat pertembungan keseluruhan, Zii Jia mahu menggunakan perlawanan di Pusat Konvensyen Setia City kali ini, sebagai medan kebangkitannya.

Selepas mengharungi musim tidak konsisten sepanjang 2021, juara bertahan All England berusia 23 tahun itu berharap kemenangan ke atas Kean Yew turut dapat meningkatkan keyakinannya untuk musim yang lebih baik selepas keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.

“Sudah tentu saya mahu membalas dendam, dia pun lawan untuk pertahankan kemenangan. Jadi saya rasa kita dua-dua pun tak mahu kalah kali ini. Pada perlawanan sebelum ini, saya cedera, tetapi sejujurnya, dia main bagus hari itu, kalau tak cedera pun, saya pun tak berapa yakin boleh menang.

“Sekarang nampak dia punya permainan lebih mantap dan semakin matang. Kemenangan ke atas beliau amat penting untuk tingkat keyakinan,” kata pemain ranking ketujuh dunia itu kepada pemberita selepas latihan rasmi pertama pasukan di sini, hari ini.

Mengikut rekod pertemuan, Zii Jia menewaskan Kean Yew pada Cabaran Antarabangsa Smiling Fish 2016 dan Terbuka Fuzhou China 2019, namun gagal mengatasi lawannya sejak zaman remaja pada Terbuka Perancis 2021 dan final Terbuka Hylo 2021 di Jerman, apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Mengulas lanjut, Zii Jia berkata skuad negara tidak boleh memandang rendah cabaran Jepun dan India walaupun mereka tidak menghantar pasuan terkuat, sambil menuntut rakan sepasukan memberikan sepenuh fokus dalam mencapai kedudukan empat teratas bagi mengesahkan tempat ke Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

Ditanya mengenai pemain termuda dalam pasukan, Jacky Kok Jing Hong yang bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan berpasukan, Zii Jia berharap pemain berusia 20 tahun itu mampu belajar sesuatu dan menimba pengalaman pada kejohanan ini.

“Saya memang dah kenal beliau sejak kecil, kami memang dari tempat dan kelab yang sama, iaitu ASRC di Alor Setar. Saya sangat gembira dengan prestasinya sejak kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, Jacky yang muncul Juara Terbuka Sweden pada bulan lepas, tidak mahu memberikan tekanan buat dirinya dengan memikirkan mengenai status lawannya, sebaliknya bertekad untuk memberikan prestasi terbaik sekiranya diberi peluang untuk beraksi.

“Tanggungjawab dalam pasukan senior memang lebih berat berbanding junior. Namun, saya sedang mencari keyakinan serta belajar daripada senior supaya dapat mencabar lawan yang lebih berpengalaman…tak boleh tergesa-gesa, kena selangkah demi selangkah,” katanya.

Skuad negara kali ini turut dibarisi pemain perseorangan Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao dan Lim Chong King, manakala pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi beregu.

Selepas bertemu Singapura pada Rabu, Malaysia akan meneruskan kempen Kumpulan B menentang Kazakhstan pada Khamis dan Jepun pada hari seterusnya, dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

200 individu dibenar tonton setiap sesi kejohanan badminton Asia

SHAH ALAM, 13 FEB: Seramai 200 penonton dibenar menyaksikan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bagi setiap sesi di Pusat Konvensyen Setia City mulai 15 hingga 20 Februari.

Kejohanan selama enam hari berlangsung pada jam 10 pagi dan 4 petang dengan tempahan tiket secara dalam talian, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

“Tempahan hanya dibuka sehari sebelum setiap pertandingan bagi mengelak pembaziran tiket dan memberi peluang orang ramai hadir menonton,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada Selangorkini.

Beliau menambah seramai 200 urus setia terlibat sepanjang kejohanan itu dalam aspek keselamatan, gelanggang dan penjagaan tatacara operasi piawai (SOP).

“Mereka ini menjalani saringan Covid-19 setiap hari menggunakan kit kendiri bagi mengelak penularan wabak,” katanya lagi.

Tempahan tiket secara dalam talian dibuka sehari sebelum setiap pertandingan bermula 12 tengah hari hingga 11.59 malam melalui pautan https://selangorbatc2022.com.

Mereka yang berjaya menempah akan menerima tiket elektronik melalui e-mel, yang perlu dibawa bersama kad pengenalan atau nombor pasport sebelum memasuki tempat kejohanan.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiket percuma tonton Kejohanan Badminton Asia mulai Selasa

SHAH ALAM, 12 FEB: Orang ramai berpeluang menyaksikan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 secara percuma di Pusat Konvensyen Setia City mulai 15 hingga 20 Februari.

Menurut sekretariat kejohanan, tempahan tiket secara dalam talian bagi sesi pagi dan petang dibuka sehari sebelum setiap pertandingan bermula 12 tengah hari hingga 11.59 malam.

Jelasnya, mereka yang berjaya menempah akan menerima tiket elektronik melalui e-mel, yang perlu dibawa bersama kad pengenalan atau nombor pasport sebelum memasuki tempat kejohanan.

“Begitupun, jumlah tiket dan tempat duduk terhad susulan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi memastikan keselamatan dan mengawal jangkitan Covid-19 di tempat pertandingan dan kawasan sekitar,” katanya.

Sekretariat itu menambah hanya penonton yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan masuk manakala kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang mengikut arahan penganjur.

“Pemilik tiket mesti mematuhi SOP ditetapkan termasuk mengimbas MySejahtera, memakai pelitup muka dan memastikan penjarakan fizikal sepanjang berada di lokasi pertandingan,” katanya lagi.

Tiket masuk boleh didapati dengan mendaftar di laman web https://selangorbatc2022.com.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 selama enam hari yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Menerusi undian pada 8 Februari, skuad lelaki negara berada dalam kumpulan B bersama Singapura, Jepun dan Kazakhstan manakala kumpulan A dibarisi Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Sementara pasukan wanita negara pula diundi dalam Kumpulan Y bersama India dan Jepun.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Hendrawan yakin gabungan pemain junior, senior mampu hadapi saingan kejohanan badminton asia

SHAH ALAM, 12 FEB: Skuad badminton lelaki negara perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan membuka tirainya pada 15 Februari ini.

Justeru, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan memberi jaminan akan memastikan pasukan kendaliannya mempamerkan aksi terbaik dan bertenaga terutama ketika bertemu lawan dari Singapura dan Jepun pada peringkat kumpulan.

“Setakat ini, keadaan pemain semuanya baik dan tiada antara mereka mengalami kecederaan. Jadi, inilah masanya untuk mereka menunjukkan persembahan terbaik, apatah lagi kali ini kita bermain di tempat sendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menganggap kejohanan kali ini lebih menarik kerana menggandingkan pemain junior dan senior dan beliau percaya mereka mampu membawa pasukan melangkah ke separuh akhir, seterusnya menjulang piala kejohanan.

Pada masa sama, pengendali kelahiran Indonesia itu berkata Lee Zii Jia yang juga Juara All England 2021 menjadi penyumbang mata penting ketika berdepan lawan dari dua negara terbabit.

“Dia (Zii Jia) perlu meraih mata penting untuk pasukan dan saya yakin berbekalkan pengalaman yang ada, Zii Jia mampu mengawal tekanan lebih-lebih lagi ketika menentang juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew,” katanya.

Selain itu, Hendrawan mengakui setiap negara memiliki kekuatan sama rata berikutan keputusan masing-masing menurunkan campuran pemain muda dan berpengalaman pada kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City itu.

Menerusi undian pada 8 Februari lalu, Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Singapura, Jepun dan Kazakhstan manakala kumpulan A diketuai juara bertahan Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Pada saingan kali ini, Malaysia menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki diketuai Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Kok Jin Hong.

Dalam acara beregu pula, Malaysia diperkuatkan kehadiran pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir sekali gus menempah tiket kelayakan automatik ke Piala Thomas dan Piala Uber 2022 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand Mei depan.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 dari 15 hingga 20 Februari yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Zii Jia antara 24 pemain sertai kejohanan badminton Asia

SHAH ALAM, 11 FEB: Lee Zii Jia antara 24 pemain yang akan membawa cabaran negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 mulai 15 hingga 20 Februari ini.

Selain jaguh perseorangan lelaki negara itu, saingan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini turut menampilkan pemain perseorang wanita S Kisona.

Berikut senarai pemain negara:

Lelaki

– Aidil Sholeh
– Aaron Chia
– Sze Fei Goh
– Nur Izzuddin
– Jing Hong Kok
– Lee Zii Jia
– Leong Jun Hao
– Lim Chong Khim
– Man Wei Chong
– Ng Tze Yong
– Soh Wooi Yik
– Tee Kai Wun

Wanita

– Anna Ching Yik Cheong
– Eoon Qi Xuan
– Go Pei Kee
– S Kisona
– Low Yeen Yuan
– Myisha Mohd Khairul
– Siti Nurshuhaini Azman
– Valeree Siow
– Pearly Tan
– Tan Zhing Yi
– Teoh Mei Xing
– Thinaah Muralitharan

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi pada Rabu berkata semua lapan negara yang bertanding sudah berada di Shah Alam serta sedang menjalani tempoh kuarantin ditetapkan.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 dalam acara berprestij diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman (dua, kanan) bersama Setiausaha Agung BAM Dato’ Kenny Goh (tengah), Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia Saw Chit Boon (dua, kiri) dan Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi (kanan) merasmikan logo Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 27 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKIN
Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan badminton Asia: Penonton boleh tempah tempat duduk, jumlah terhad

SHAH ALAM, 9 FEB: Penyokong dibenarkan menyaksikan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini, mulai 15 hingga 20 Februari depan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi bagaimanapun berkata jumlah kehadiran adalah terhad susulan peningkatan kes Covid-19.

“Setakat ini penyokong masih dibenarkan hadir dengan membuat tempahan menerusi dalam talian yang akan diuruskan penganjur,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata semua lapan negara yang bertanding sudah berada di Shah Alam serta sedang menjalani tempoh kuarantin ditetapkan.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam mulai 15 hingga 20 Februari depan.

Kejohanan berprestij itu diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).