Categories
AGENDA SUKANKINI

Kalah kepada Laos: Bukan tamparan tapi ‘kedegilan’ – Kim Swee

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Kekalahan mengejutkan Malaysia di tangan Laos pada kempen Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, diharap membuka mata semua pihak mengenai impak ketiadaan kelompok pemain utama dalam pasukan.

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee berkata tanpa pemain utama beraksi di kejohanan tersebut, cabaran dari negara seperti Laos, Kemboja, Timor Leste dan Filipina tidak boleh lagi dipandang rendah.

Menurut Kim Swee, idea untuk ‘merehatkan’ pemain utama dengan tanggapan pihak lawan adalah pasukan belasahan juga perlu dikikis, sekali gus membuka peluang kepada jurulatih untuk mendapatkan pemain dikehendaki bagi mengharungi kejohanan disertai.

“Ini bukan lagi tamparan (kekalahan kepada Laos), ini bagi saya merupakan ‘kedegilan’ kita. Berapa kali kita nak ‘ditampar’ dengan pasukan-pasukan seperti ini?.

“Kita perlu hentikan perkara ini, kita kena cari jalan penyelesaian untuk dapatkan pemain terbaik dalam pasukan. Bagi saya kita harus tampil dengan satu solusi untuk membenarkan pemain terbaik kita dapat didedahkan kepada perlawanan-perlawanan seperti ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada masa sama, Kim Swee mengakui terdapat kewajaran di sebalik pendekatan menurunkan pasukan ‘kedua’ terutama pada kejohanan yang tidak berada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), antaranya memberi peluang kepada jurulatih menguji pemain berbeza.

Bagaimanapun, bekas ketua jurulatih skuad senior dan B-23 kebangsaan itu berkata jika pasukan tidak berjaya mencapai sasaran ditetapkan, kegagalan itu tidak seharusnya diletakkan kepada individu tertentu.

“Sebagai contoh, saya, apabila Sukan SEA 2019 bukan dalam kalendar FIFA dan beberapa pemain tak dibenarkan sertai pasukan, apa berlaku pada saya?.. saya dipecat. Saya bukan mahu mempertahankan sesiapa cuma perkara ini dah banyak kali saya cakap.

“Daripada dulu bila kita tewas saya dah katakan kita tak boleh pandang rendah pasukan Laos, Kemboja dan Filipina dan kali ini terbukti, mereka telah mengurangkan jurang dengan pasukan kita,” kata Ketua Jurulatih Sabah FC berusia 51 tahun itu.

Skuad B-23 kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney membuka tirai kempen Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dengan keputusan mengecewakan selepas tewas 1-2 kepada Laos di Stadium Prince, Jumaat lepas.

Namun, Malaysia yang mempertaruhkan pasukan ‘kedua’ pada kejohanan itu sekali lagi akan bertemu Laos pada aksi terakhir kumpulan di venue sama esok, dalam misi meraih kemenangan dengan kelebihan dua gol bagi mencerahkan peluang mara ke peringkat separuh akhir selaku juara Kumpulan B.

Sebagai rekod, kekalahan 1-2 itu adalah kekalahan pertama Malaysia dalam enam pertemuan terakhir menentang Laos di kejohanan peringkat B-23 sejak 2014.

Sementara itu, Kim Swee menggesa barisan pemain negara yang dipilih beraksi pada kempen kejuaraan itu supaya mempercayai keupayaan diri sendiri, menjelang misi membalas dendam terhadap Laos.

Katanya kesemua pemain yang dibawa ke Kemboja perlu mengambil peluang keemasan tersebut untuk membuktikan kemampuan masing-masing, sekali gus mencerahkan masa depan mereka untuk terus dipilih mewakili pasukan negara.

“Dengan ketidakhadiran atau pun dengan masalah pemain tak dilepaskan, jika mereka membukitkan mampu bermain dengan lebih baik dan dapatkan keputusan yang positif, sudah pasti sebagai seorang jurulatih, mereka akan dikekalkan untuk tugasan akan datang.

“Kalau mereka tidak ambil peluang ini bermakna pintu skuad kebangsaan mungkin akan tertutup untuk mereka selepas ini,” katanya.

– BERNAMA