Categories
SELANGOR

CMC UNISEL rai 30 anak yatim

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 30 anak yatim apabila dirai dalam majlis iftar jama’ie anjuran Kelab Komunikasi Media (CMC) Universiti Selangor (UNISEL), di Ruang Seksyen 16, di sini, semalam.

Kanak-kanak terbabit termasuklah tiga kanak-kanak Rohingya yang juga sebahagian daripada penghuni Asrama HALUAN Penyayang Darul Miftah As-Sa’adah, berusia lingkungan lapan hingga 17 tahun.

Pengarah Projek, Nur Ashikin Md Zain berkata, acara tahunan itu adalah usaha murni CMC bagi mendekati golongan kurang bernasib baik, khususnya anak-anak yatim.

“Ia merupakan penganjuran kali kedua dan kami mengambil kesempatan memanfaatkan bulan mulia ini dengan melaksanakan aktiviti kebajikan.

“Selain menjalin hubungan erat antara warga kelab dan pensyarah, majlis dihasratkan untuk menyemarakkan Ramadan serta berkongsi kesyukuran bersama mereka yang memerlukan perhatian,” katanya kepada SelangorKini.

Majlis turut dihadiri Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAV), Haslinda Sutan Ahmad Nawi serta pensyarah jabatan komunikasi.

Pada majlis sama, CMC turut menyalurkan sumbangan kepada anak-anak yatim bagi persiapan sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, Pengetua Asrama HALUAN Penyayang, Abdul Manas teruja dan berterima kasih kerana CMC sudi menjemput dan meraikan mereka pada majlis berbuka puasa itu.

“Sudah tentu majlis sebegini dapat membakar semangat kepada anak-anak ini untuk berjaya, sekali gus membuktikan mereka tidak disisihkan,” katanya.

Terdahulu, majlis turut disemarakkan dengan solat maghrib berjemaah, bacaan al-quran dan qasidah serta persembahan nasyid.