Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Kelab malam kekal ditutup dalam fasa peralihan endemik

SHAH ALAM, 9 MAC: Kelab malam masih tidak dibenarkan beroperasi dalam peralihan ke fasa endemik bermula 1 April ini, kata menteri kesihatan.

Menurut Khairy Jamaluddin, larangan itu dikekalkan berikutan premis hiburan terbabit berisiko tinggi untuk menyebarkan jangkitan Covid-19.

“Hanya satu jenis premis sahaja berada dalam senarai negatif iaitu kelab malam kerana persekitaran yang berisiko tinggi jika dibuka meskipun dalam fasa peralihan endemik,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara memasuki fasa peralihan endemik dan pembukaan semula sempadan negara awal bulan depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko dan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malaysia menutup sempadan negara kepada pelancong dan pelawat asing sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarik lesen operasi, penjara pemilik pub ingkar arahan PKPP

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disyor mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik pub dan kelab malam yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk mengheret mereka ke mahkamah dan menarik balik lesen operasi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini memandangkan kesalahan ingkar PKPP melibatkan aktiviti di pub dan kelab malam terus merekodkan kesalahan tertinggi meskipun premis ini masih dalam senarai larangan beroperasi.

“Setiap hari tangkapan melibatkan aktiviti di kelab malam dan pub tinggi kerana premis-premis ini masih tersenarai dalam senarai yang dilarang beroperasi disebabkan sukar untuk mengawal penjarakan fizikal dan tatacara operasi piawai (SOP) yang lain.

“Saya sudah minta PBT kalau premis ini ada lesen kita minta agar lesen mereka ditarik dan tutup perniagaan… mungkin tindakan lebih keras boleh diambil dengan hadapkan mereka ke mahkamah untuk hukuman lebih berat seperti penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kad Aku Janji Pematuhan SOP Covid-19 sempena Kempen Bulan Kebangsaan Perbadanan Nasional di sini hari ini.

Katanya, setakat ini belum ada perbincangan untuk membenarkan kelab malam dan pub kembali beroperasi.

Mengenai pemeriksaan pematuhan SOP premis perniagaan, Ismail Sabri berkata berdasarkan laporan harian yang diterima didapati tiada tangkapan dilakukan terhadap premis perniagaan berhubung pelanggaran SOP.

“Setakat hari ini, tidak banyak premis perniagaan diambil tindakan cuma ada yang berniaga lebih masa tetapi tiada tangkapan dilakukan maka saya anggap tiada tangkapan tentulah pematuhan dilaksanakan.

Bagaimanapun ramai yang masih keliru dari segi kedudukan di meja makan, setiap individu yang duduk di meja makan itu mesti ada penjarakan fizikal tidak kiralah besar mana meja tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengenakan kuarantin terhadap mereka yang pulang dari Sabah.

“Ia hanya akan dilakukan sekiranya negeri itu diisyiharkan sebagai Zon Merah… selagi seluruh Sabah tidak diisytiharkan sebagai Zon Merah selagi itu kita tidak perlu adakan kuarantin bagaimanapun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan buat kajian dari semasa ke semasa ikut pada jumlah kes berlaku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: 294 ditahan berhibur di kelab malam – menteri

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kesalahan membabitkan aktiviti di pub dan kelab malam merupakan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi semalam dengan 294 kes direkodkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mereka merupakan antara 512 individu yang ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antara kesalahan lain ialah penganjuran aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (103), ‘private party’ atau pesta persendirian (56), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (32), tidak memakai pelitup muka (14) dan premis beroperasi lebih masa (8).

“Daripada jumlah yang ditahan, 452 individu dikompaun, 59 individu direman dan seorang dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata pihak berkuasa berjaya menangkap 80 pendatang tanpa izin, enam penyeludup dan seorang tekong melibatkan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sebanyak 82 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan PDRM (57), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10) dan Angkatan Tentera Malaysia (15),” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 24 Julai lepas hingga semalam, seramai 28,063 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dari 32 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 10,187 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 69 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam dan institusi pengajian swasta manakala 69 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 17,807 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata mereka yang terbabit pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Mengenai operasi sanitasi awam di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, beliau berkata bagi tempoh 30 Mac lepas hingga semalam, sebanyak 9,930 operasi dijalankan di 134 zon dengan 12,988 premis antaranya pusat perniagaan, bangunan kerajaan dan tempat awam telah disanitasi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mudah diperoleh.

-BERNAMA