Oleh: ERMIZI MUHAMAD
SABAK BERNAM, 27 FEB: Penubuhan Kelab Remaja Masjid mampu menarik golongan muda mendekati rumah ibadat umat Islam itu, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.
Beliau berkata, sambutan golongan itu untuk mendekati rumah Allah semakin berkurang apatah lagi masjid kini lebih menjadi tumpuan golongan berusia.
“Perlu ada pemerkasaan dengan menitikberatkan perkara yang perlu jadi kefardhuan khususnya kepada anak-anak muda kerana menjadi trend masjid kini hanya dikunjungi masyarakat agak berumur berbanding mereka yang lebih muda.
“Saya harap seluruh masjid di Selangor boleh menjalankan inisiatif dengan menubuhkan kelab remaja masjid untuk menarik golongan muda supaya dirinya atau hatinya lebih dekat dengan masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) di Masjid Ijtimai’ Kampung Tebuk Pulai dekat sini, malam tadi.
Yunus berkata, kelab itu juga berfungsi sebagai medium ukhuwah dan dakwah kepada golongan muda untuk beribadat dan mendapatkan ilmu.
Katanya, Kerajaan Negeri juga bersedia memberikan sedikit peruntukan melalui penyediaan frasarana seperti mini perpustakaan yang diharap mampu merealisasikan matlamat penubuhannya.
“Saya sudah berbincang bersama bahagian pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“InsyaAllah ada peruntukan untuk kita bangunkan infrastruktur ini supaya anak muda kita lebih dekat dengan masjid,” katanya.
-AA-