Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang proses kelapa sawit bantu tingkat hasil peladang

SABAK BERNAM, 26 MAC: Sebuah kilang memproses kelapa sawit seluas 4,000 ekar akan dibina mulai akhir tahun ini di Selangor Smart Agro Park di Changkat Menteri di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata projek yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun bakal dibangunkan di atas sebahagian tanah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sebahagian tanah lagi milik peladang kecil dari kawasan sekitar yang dibuat atas persetujuan bersama.

“Kita sudah memeterai persefahaman dengan pekebun kecil dan kita percaya apabila mereka hantar kepada kita ia dapat meningkatkan kualiti harga dan pendapatan peladang ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau melancarkan hab sekuriti makanan di kawasan sama bagi memastikan kelangsungan bekalan di negeri ini melalui projek pertanian.

Usaha tersebut sebahagian pakej pemulihan ekonomi negeri iaitu menjamin bekalan makanan mencukupi dengan dana permulaan RM50 juta.

Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak 2,000 ekar tanah dibangunkan setiap tahun bagi tujuan itu antaranya di Sungai Air Tawar dan Pulau Carey.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan India beri impak kecil sawit Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Jumlah kuantiti eksport minyak sawit bertapis Malaysia ke India adalah kecil iaitu dianggarkan sekitar US$300 juta setahun.

Sebarang tindakan seperti sekatan dikenakan pengimport minyak sawit India bagi pembelian komoditi Malaysia itu sebaliknya hanya memberi impak minimum kepada negara ini, demikian menurut Standard Chartered.

“Pada akhirnya, India perlu membelinya daripada sumber lain dan sekiranya sekatan itu dikuatkuasakan dan mereka perlu membeli pada harga lebih tinggi,” kata Ketua Pakar Ekonomi dan Penyelidikan ASEAN/Asia Selatan Standard Chartered, Edward Lee kepada pemberita pada taklimat penyelidikan di sini, hari ini.

Beliau berkata secara amnya perkembangan itu hanya memberi sokongan kepada harga minyak sawit mentah (MSM).

“Ia turut memberi sokongan kepada eksport Malaysia dan juga akaun semasanya,” katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan Kementerian Perdagangan dan Industri India mengeluarkan kenyataan import minyak sawit bertapis dipinda daripada ‘bebas’ kepada ‘terhad.’

Namun, Menteri Industri Utama Teresa Kok pada Isnin menafikan laporan mengenai sekatan ke atas minyak sawit Malaysia.

“Mana ada boikot? Mereka cuma minta kita (Malaysia) lebihkan eksport MSM ke sana dan kurangkan eksport minyak bertapis,” kata Kok pada satu sesi taklimat bersama penanam sawit Selangor.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Negara Eropah jual barang ke Malaysia diminta henti burukkan kelapa sawit

LONDON, 18 JUN: Negara Eropah yang menjual pelbagai barangan kepada Malaysia diminta supaya tidak meneruskan usaha memburukkan minyak kelapa sawit, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita boleh berbuat demikian tetapi sama ada mereka terima atau tidak itu lain perkara.

“Ini boleh kita lakukan dan banyak lagi bekalan dari Eropah yang boleh kita guna untuk meminta mereka supaya tidak memburukkan penggunaan minyak sawit,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom (UK).

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai cadangan penggabungan syarikat telekomunikasi Malaysia iaitu Axiata dengan Telanor dari Norway, antara negara yang menentang penggunaan minyak kelapa sawit.

Norway merupakan negara pertama di dunia melarang penggunaan dan pembelian bahan api bio diesel yang mengandungi minyak sawit atas alasan penanaman kelapa sawit membawa kepada kemusnahan hutan semula jadi.

Dalam lawatan kerja tiga hari ke UK, Dr Mahathir diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Kontrak hadapan Minyak Sawit Mentah diniaga pada paras semasa

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan pada tahap semasa antara RM2,100 dan RM2,200 satu tan metrik minggu depan, kata peniaga.

Menurut beliau, pelabur sedang menunggu petunjuk baru untuk memasuki pasaran.

“Minyak sawit akan terus bergerak seiring dengan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago minggu depan kerana kedua-dua komoditi itu bersaing untuk destinasi eksport yang sama,” katanya.

Sementara itu, pasaran didagangkan bercampur-campur untuk minggu baru berakhir.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, November 2018 jatuh RM20 kepada RM2,125 satu tan metrik, Disember 2018 rugi RM19 kepada RM2,174 satu tan metrik, Januari 2019 merosot RM29 kepada RM2,224 satu tan metrik dan Februari 2019susut RM32 kepada RM2,278 satu tan metrik.

Perolehan mingguan meningkat kepada 216,904 lot berbanding 192,058 lot Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 281,512 kontrak berbanding 298,481 kontrak.

Di pasaran fizikal, Oktober Selatan berkurangan RM10 kepada RM2,110 satu tan metrik.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
EKONOMI

Malaysia, Switzerland tubuh jawatankuasa khas minyak sawit

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kementerian Industri Utama dan Jabatan Persekutuan Hal Ehwal Ekonomi, Pendidikan dan Penyelidikan (EAER) Switzerland akan menubuhkan jawatankuasa khas bersama yang terdiri daripada pakar dari kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam isu berkaitan minyak sawit.

“Jawatankuasa pakar khas itu akan meninjau peluang berkaitan minyak sawit ke arah kelestarian, perdagangan dua hala, pertukaran teknologi saintifik yang berkaitan dan kemungkinan kerjasama dalam aplikasi hiliran industri minyak sawit,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Katanya usaha itu telah dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan di Bern, Switzerland antara Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Anggota Majlis Persekutuan Switzerland, Johann Schneider-Ammann.

Mesyuarat itu diadakan dalam tempoh yang penting sejak 25 Sept, 2018, apabila Dewan Negara Parlimen Switzerland menang tipis dalam usul untuk mengehadkan pengimportan dan penggunaan minyak sawit di negara itu.

Usul Switzerland itu timbul daripada kebimbangan mereka bahawa minyak sawit dihasilkan secara tidak lestari dan menyumbang kepada penebangan hutan.

Maklumat salah itu disebarkan melalui kempen anti-minyak sawit oleh pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berjaya mewujudkan persepsi negatif terhadap minyak sawit.

Kedua-dua pihak bersetuju bahawa jawatankuasa khas bersama itu akan berjaya ke arah menangani banyak sentimen negatif berkaitan minyak sawit di Switzerland dan akan menjadi platform penting untuk memberi jaminan kepada petani tempatan Switzerland bahawa minyak sawit yang diimport tidak akan memberi ancaman kepada kehidupan mereka pada masa akan datang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Minyak Sawit Mentah dijangka diniaga dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mencatat dagangan dalam jajaran kecil minggu depan dengan harga sekitar RM2,130 hingga RM2,170 minggu depan.

Perkembangan itu disebabkan oleh sikap ‘tunggu dan lihat’ peniaga ketika pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan, kata seorang peniaga.

Peniaga Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata ketidaktentuan membabitkan konflik itu telah menyebabkan kebanyakan harga komoditi di bawah tekanan dan tidak mampu bergerak lebih tinggi.

“Memandangkan konflik itu terus berleluasa, kita mungkin menyaksikan China beralih kepada Argentina sebagai alternatif mendapatkan kacang soya berbanding AS,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, beliau berkata, tahap inventori lebih tinggi juga menjadikan harga komoditi itu rendah berikutan Ogos dan September yang merupakan tempoh kemuncak pengeluaran, terutamanya bagi Malaysia dan Indonesia.

“Namun, memandangkan Deepavali disambut pada November, kita berharap untuk menyaksikan lebih banyak pembelian dicatatkan.

“Lebih-lebih lagi selepas pengumuman cukai duti sifar peratus pada Oktober oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dijangka merangsang minat belian dalam kalangan pedagang khususnya India, Pakistan dan China dalam minggu-minggu mendatang,” katanya.

Teh berkata harga fizikal yang kekal melepasi penanda aras RM2,000 itu masih merupakan sokongan terhadap pasaran MSM berkenaan.

Bagi minggu dagangan yang singkat ini, pasaran tempatan MSM adalah rendah seiring dengan penurunan dicatatkan pasaran soya di Lembaga Dagangan Chicago.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, bulan semasa baharu Oktober 2018 susut RM94 kepada RM2,116 satu tan, November 2018 turun RM96 kepada RM2,126, Disember 2018 merosot RM104 kepada RM2,143 manakala Januari 2019 berkurangan RM112 kepada RM2,173.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 228,370 lot daripada 123,174 lot sebelum ini manakala minat terbuka menokok kepada 310,474 kontrak berbanding 305,584 kontrak, minggu lepas.

Di pasaran fizikal, September Selatan berada pada RM2,130 satu tan iaitu turun RM90 daripada RM2,220 satu tan pada minggu lepas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan pergiat strategi eksport minyak sawit, terutama ke China

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Kerajaan sedang mempergiat strategi meningkatkan eksport minyak sawit negara, khususnya, dalam mendepani cabaran pemasaran di China, dan akan membentuk kerjasama perdagangan yang lebih erat dengan negara itu, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Menurutnya kementerian berkenaan akan menandatangani memorandum kerjasama dan rundingan perdagangan bebas untuk memudahkan pengeksportan produk minyak sawit Malaysia ke China.

“Lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China yang dijadualkan bulan ini, akan digunakan sebagai platform untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi mewujudkan kerjasama dengan Kerajaan China,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Dr Azman Ismail (KEADILAN-Kuala Kedah) yang bertanyakan strategi kerajaan bagi meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia dalam mendepani cabaran pemasaran di Eropah dan China.

Jawapan Kok dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Malaysia, Indonesia bekerjasama lindungi industri minyak sawit

JAKARTA 11 OGOS: Malaysia dan Indonesia hari ini mengulangi komitmen mereka untuk bekerjasama bagi mempromosikan produk sawit dan menangani bersama serangan terhadap industri minyak sawit oleh Eropah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking dan Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita, dalam satu sidang media bersama berkata, usaha menangani isu itu akan menjadi keutamaan bagi kedua-dua kementerian tersebut.

“Kedua-dua negara akan, antara lainnya, meningkatkan peranan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit bagi mempromosikan produk sawit,” kata Leiking yang sedang dalam rangka lawatan tiga hari ke Indonesia bermula hari ini.

Pada Januari tahun ini, Parlimen Eropah mengundi untuk menghentikan secara berperingkat biodiesel yang menggunakan minyak sawit menjelang 2021.

Leiking berkata lawatan beliau itu adalah susulan kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama dua hari ke Jakarta pada Jun lepas bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Enggartiasto berkata Malaysia dan Indonesia menghasilkan 80 peratus daripada minyak sawit global dan kedua-dua negara merupakan dua pengeluar terbesar dunia.

“Kami akan bekerjasama untuk menangani serangan itu dan komited mempromosikan bersama produk minyak sawit,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dan yang ketiga terbesar dalam ASEAN.
Perdagangan dua hala hampir berganda daripada AS$9.02 bilion (AS$1=RM4.08) pada 2006 kepada AS$16.89 bilion tahun lepas.

“Sepanjang dekad yang lalu, pelaburan Malaysia adalah dalam sektor-sektor utama seperti perbankan, perladangan, pembinaan, jalan bertol, tenaga serta telekomunikasi.

“Kita berharap lawatan kerja ini akan diterjemahkan kepada kejayaan ekonomi yang lebih besar bagi kedua-dua negara,” kata kementerian itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Harga minyak sawit mentah dijangka RM2,200-RM2,400

KUALA LUMPUR 7 OGOS: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka berlegar antara paras RM2,200 satu tan metrik dan RM2,400 satu tan metrik pada separuh kedua 2018 atas sokongan permintaan terhadap biodiesel dan kemungkinan pertumbuhan pengeluaran tempatan tidak setinggi yang dijangka.

RAM Rating Services Bhd berkata, harga MSM susut kepada kira-kira RM2,100 satu tan metrik kebelakangan ini dalam keadaan permintaan yang lembap, peningkatan pengeluaran dan kebimbangan akan berlakunya perang perdagangan antara­ Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Peningkatan duti import India ke atas minyak kacang soya (pesaing­ MSM) pada Jun 2018 juga dijangka memulihkan aliran menurun eksport minyak sawit bagi Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Menurutnya, pengeluaran MSM Malaysia telah menyusut pada bulan Mei dan Jun.

Secara keseluruhannya, pengeluaran tempatan naik dua peratus kepada 8.92 juta tan metrik pada separuh pertama tahun ini dan kemajuan sederhana ini dijangka berterusan bagi tempoh berbaki tahun ini.

Selain itu, Indonesia mengekalkan aliran pertumbuhan kukuhnya dengan pengeluaran meningkat 24 peratus, tahun ke tahun, kepada 18.37 juta tan metrik yang dicatatkan dalam lima bulan pertama 2018.

Dari segi permintaan, prestasi eksport Malaysia turun pada Mei dan Jun, terjejas disebabkan kenaikan mendadak duti import India ke atas produk sawit (berkuat kuasa 1 Mac 2018) dan cukai eksport ke atas MSM yang dikenakan semula pada Mei.

Pada akhir Jun 2018, inventori minyak sawit naik 43 peratus kepada 2.19 juta tan metrik iaitu perbezaan besar berbanding setahun lalu berikutan fenomena cuaca El Nino.

Menurut agensi penarafan itu, Jabatan Pertanian AS menjangkakan bekalan minyak sayuran global meningkat lima peratus pada 2017/2018, dan tiga peratus pada 2018/2019.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Malaysia sedia kerjasama dengan EU berhubung isu minyak sawit

PUTRAJAYA, 25 JUL: Malaysia bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan negara-negara Eropah dalam mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna berhubung pengeluaran minyak sawit mampan dan manfaat kesihatan minyak sawit, kata Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Katanya, kerjasama yang lebih baik antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu pengeluaran minyak sawit boleh membawa manfaat lebih besar dalam jangka panjang kepada semua pihak terbabit.

“Malaysia percaya bahawa, penyelesaian terbaik adalah bekerja bersama untuk mempromosikan pertumbuhan yang inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada kenyataan Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche, bahawa pendapat awam terhadap minyak sawit di EU masih negatif disebabkan oleh kebimbangan terhadap perubahan iklim, perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian bio.

Dalam satu temubual dengan Bernama minggu lalu, Laplanche mencadangkan bahawa Malaysia dan EU meningkatkan kerjasama dalam mencari penyelesaian terhadap persepsi awam dan sentimen negatif yang menyelubungi minyak sawit disebabkan oleh isu penebangan hutan.

Shamsul Iskandar berkata, Malaysia akan meminta Laplanche dan keseluruhan komuniti EU di Malaysia untuk berterusan bekerja bersama Kementerian Industri Utama untuk memberi maklumat lebih baik kepada pengkritik industri minyak sawit.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Pedagang Jepun masih utamakan minyak sawit Malaysia – MPOC

KUALA LUMPUR 11 JUL: Para pedagang Jepun terbukti masih menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan mereka berdasarkan faktor bekalan, kualiti serta jaminan kemampanan yang boleh diharapkan selain kepentingan peranan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor dalam satu kenyataan hari ini berkata, minyak sawit Malaysia menyumbang sebanyak 71 peratus atau 502,000 tan daripada jumlah komoditi itu yang diimport ke Jepun.

“Pihak dagangan dan industri Jepun secara khususnya menghargai usaha berani Malaysia untuk menjadikan Skim Pensijilan MSPO itu sebagai mandatori menjelang Januari 2020.

“Malah, ini lebih ketara apabila pihak (penganjur) Olimpik Tokyo 2020 turut mengiktiraf MSPO sebagai antara sistem pensijilan bagi pemerolehan Minyak Sawit Mapan Yang Diperakui,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas berakhirnya acara Dialog dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Jepun anjuran MPOC, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di Tokyo pada 9 Julai 2018.

Seminar itu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan jalinan hubungan perniagaan sedia ada antara penggiat Jepun dan rakan mereka di Malaysia.

Pada masa sama, acara itu turut menjadi platform bagi membolehkan kalangan penggiat industri minyak sawit Malaysia meninjau peluang baharu menerusi inovasi dan teknologi Jepun yang berpotensi.

Menurut MPOC, pada tahun lepas, penggunaan minyak dan lelemak di Jepun meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada 2.85 juta tan berbanding 2016, manakala import minyak dan lelemak meningkat secara stabil sebanyak 5.2 peratus pada 2016 kepada 1.02 juta tan.

“Aliran ini dijangka berterusan pada masa depan seiring dengan pertumbuhan permintaan tempatan selain kepelbagaian penggunaan produk berkaitan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Malaysia dan Indonesia sepakat tangani kempen Eropah burukkan industri minyak sawit

JAKARTA, 30 JUN: Malaysia dan Indonesia hari ini, sepakat untuk menangkis kempen negatif Eropah berhubung industri minyak sawit.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata sebagai dua pengeluar utama komoditi itu, Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama melawan kempen yang dijalankan Eropah memburukkan industri negara.

“Eksport minyak sawit kini diancam oleh Eropah dan kita perlu bersama melawan hujah mereka kononnya banyak hutan ditebang yang memberi kesan besar kepada cuaca dan alam sekitar,” katanya pada sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo, di Istana Presiden Bogor, di sini.

Dr Mahathir berkata, tentangan Eropah itu dilihat lebih berkaitan ekonomi dan bukannya kesan alam sekitar akibat penerokaan tanah untuk tanaman sawit.

Beliau berkata, jika berkaitan alam sekitar, negara Eropah yang sebenarnya tidak lagi mempunyai kawasan yang dilitupi hutan kerana hampir semuanya sudah ditebang.

“Apabila kita perlukan kawasan penanaman sawit yang lebih besar, mereka menentangnya,” katanya.

Sementara itu, Jokowi meminta kerajaan Malaysia menimbangkan permintaan Indonesia menyediakan sekolah untuk anak pekerja dari negara itu di Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak.

Beliau juga menyentuh keperluan mengadakan kerjasama erat dalam menangani isu berkaitan sempadan dan pengeluaran kereta bersama.

SUMBER: BERNAMA