Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita maut dikelar dalam pergaduhan di premis niaga

SERDANG, 20 FEB: Seorang wanita maut dipercayai dikelar dalam pergaduhan di premis perniagaannya di Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A Anbalagan berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan terdapat pergaduhan di premis perniagaan berkenaan pada 7.25 malam.

“Setibanya anggota polis di lokasi kejadian menemukan mayat wanita berusia 29 tahun itu dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah akibat kesan kelar. Mangsa telah meninggal dunia akibat dikelar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bernama difahamkan mangsa yang mengusahakan perniagaan peti besi keselamatan bagi kediaman dan pejabat itu bergaduh dengan teman lelakinya berkaitan urusan wang.

Menurut Anbalagan, pihaknya sedang mengesan suspek terlibat serta motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

TAWAS serah sumbangan kepada waris mangsa kelar

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APRIL : Bapa kepada dua kanak-kanak lelaki yang maut dikelar pembantu rumah, Februari lalu menerima manfaat khairat kematian Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bernilai RM1,500.

Perunding bebas Teknologi Maklumat, Selvan Joseph, 44, menerima bantuan terbabit bagi pihak anaknya, Melvin Selvan Joseph, 18 bulan yang sebelum ini berdaftar dengan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan dia adalah penerima kedua manfaat program itu selepas dilancarkan, Mac lalu.

Selvan ketika ditemui dalam di Ibu Pejabat YAWAS berkata, beliau terharu dengan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat di negeri berkenaan.

IMG_4469“Saya tidak menyangka saya layak menerima bantuan daripada program ini. Ketika melihat sijil kematian anak, saya terfikir bahawa mereka ada berdaftar dengan TAWAS, jadi saya memaklumkan kepada mereka berkenaan kematian untuk menutup akaun.

“Kemudian mereka menghubungi saya untuk menerima bantuan RM1,500 ini,” katanya.

Beliau berpendapat manfaat terbabit sememangnya perlu kepada ibu bapa yang memerlukan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri untuk bantuan ini. Walaupun manfaat ini jumlahnya bukan sesuatu yang besar tetapi ramai ibu bapa di luar sana yang memerlukan,” katanya.

Februari lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia bertindak mengelar leher dua anak Selvan, di Taman Sri Putra, Sungai Buloh.

Suspek dipercayai membunuh Melvin terlebih dahulu sebelum membunuh abangnya, Kuay Jia Hiong, 5 tahun.

IMG_4420Sementara itu, Pengurus Besar YAWAS, Mohd Noor Mohd Zin, berkata manfaat itu layak diterima bagi kematian anak yang berdaftar dengan TAWAS, selepas Mac lalu.

Namun, katanya, disebabkan kes kematian anak Selvan itu dikategorikan sebagai ‘kes khas’, jadi beliau layak menerima bantuan selepas mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Pihak kami bersimpati dengan kejadian itu. Walaupun nilai bantuan tidak banyak, namun diharapkan ia dapat membantu meringankan beban,” katanya.

Bantuan itu disampaikan dalam bentuk cek oleh Mohd Noor sambil diperhatikan Pembantu Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Hamka Hassan.

Skim manfaat itu membolehkan ibu bapa peserta TAWAS yang meninggal dunia sebelum mencapai umur 18 tahun layak menerima sumbangan RM1,500 dan sehingga kini seramai 129,270 yang berdaftar.

-NFN-