Categories
ADN SELANGOR

150 calon SPM 2020 Subang Jaya ikuti kelas dalam talian percuma

SHAH ALAM, 14 FEB: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sekitar Subang Jaya mendapat tajaaan pembelajaran dalam talian sebagai persediaan mendepani peperiksaan pada 22 Februari ini.

Ahli Dewan Negeri Michelle Ng Mei Sze berkata seramai 150 pelajar menerima 20 sesi pembelajaran secara percuma dari tenaga pengajar berpengalaman.

“Ini merupakan langkah membantu pelajar SPM 2020 memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tahun lalu terganggu akibat pandemik Covid-19.

“Kita tahu wabak ini memberi kesan. Jadi mereka yang mendapat tajaan ini berpeluang mengulang kaji pelajaran mengikut kesesuaian masa masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Menurut Michelle, program berkenaan merupakan kerjasama pihaknya dengan syarikat AskBee.

Susulan penularan pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan meminda tarikh peperiksaan SPM kepada 22 Februari hingga hujung Mac depan.

Categories
ADN SELANGOR

Masyarakat diseru sumbang komputer riba, bantu mahasiswa belajar dalam talian

SHAH ALAM, 8 SEPT: Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing menyeru orang ramai menyumbang komputer riba kepada mahasiswa bagi memudahkan pembelajaran secara dalam talian golongan itu ekoran penangguhan kuliah secara bersemuka.

Rajiv Rishyakaran berkata pihaknya dengan kerjasama badan bukan kerajaan StandUpMalaysia melancarkan program ‘Laptop4siswa’ bagi membantu pelajar mendapat akses pendidikan dengan sempurna ketika peningkatan kes Covid-19.

“Kelas ketika ini bermula secara dalam talian, ada antara mereka yang tidak mempunyai komputer riba, bahkan ada terpaksa berkongsi dengan adik beradik yang lain.

“Permulaan ini kita mengharapkan sumbangan komputer riba daripada orang ramai untuk membantu mereka, komputer riba terpakai pun kita terima,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Wakil StandUpMalaysia, Rheanne Wong Li An pula berkata setakat ini, pihaknya menerima lebih 50 permohonan dan menyeru mereka yang ingin menyumbang menghubungi Pejabat Khidmat Masyarakat Bukit Gasing di talian 03-79547490/[email protected] atau StandUpMalaysia 014-6691320/[email protected].

Pada 2 Oktober, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan semua institusi pengajian menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi penuntut baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini susulan peningkatan kes pandemik.