Categories
AGENDA NASIONAL

Selain bantuan RM1,000, mangsa banjir harap diberi kelengkapan sekolah

SHAH ALAM, 26 DIS: Mangsa banjir berharap Kerajaan Negeri dapat memberi bantuan kelengkapan sekolah selain wang tunai RM1,000.

Seorang ibu, Hasnida Mat Drus, 45, berkata persiapan persekolahan enam anaknya sudah dibeli tetapi sekelip mata semuanya musnah dibadai bah.

“Saya menyambut baik bantuan (RM1,000) daripada Kerajaan Selangor yang sedikit sebanyak membantu tetapi jika diberi pakaian, kasut dan beg sekolah mungkin itu lebih bagus.

“Sedih juga tengok barang sekolah anak-anak semua penuh lumpur,” katanya ketika ditemui SelangorKini di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

Hasnida yang baharu sahaja habis berpantang juga tidak menduga diuji bencana teruk seumpama itu selepas lebih 20 tahun menetap di Taman Sri Muda di sini.

Kerajaan Negeri pada Isnin lalu mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah Sabtu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan sumbangan RM1,000 turut diagih kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Categories
ADN SELANGOR

3,000 pelajar B40 DUN Paya Jaras terima bantuan kelengkapan sekolah

SHAH ALAM, 15 DIS: Seramai 3,000 pelajar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras akan menerima bantuan kelengkapan sekolah sempena program Kembali ke Sekolah bagi sesi 2021.

Ahli Dewan Negeri Mohd Khairuddin Othman berkata sumbangan berupa baju sekolah, kasut, stokin, pelitup muka dan beg disalurkan dalam dua fasa iaitu pada 21 Disember dan 20 Januari tahun depan.

“Serahan bantuan ini disasarkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40). Kita harap dengan sumbangan ini ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata orang ramai yang ingin memohon boleh hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paya Jaras.

Tambahnya, pemohon mesti memenuhi kriteria utama iaitu ibu bapa dibuang kerja atau tidak bekerja serta ibu tunggal yang mempunyai anak yang masih bersekolah.