Categories
AGENDA NASIONAL

KKM cadang kelonggaran individu lengkap vaksin diberi ikut lokasi

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kelonggaran kepada individu lengkap dua dos vaksin Covid-19 akan mengambil kira beberapa kriteria termasuk kawasan sudah mencapai pemberian vaksin lebih 40 peratus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pihaknya ada mencadangkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara yang akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

Jelasnya, setakat ini pemberian vaksin di negara mencapai 21 peratus melebihi nilai ambang untuk bergerak dari fasa pertama ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Untuk bergerak ke fasa ketiga perlu mencapai 40 peratus, namun kita telah bentangkan kepada majlis bahawa ada sesetengah tempat sudah capai melebihi jumlah itu.

“Jadi kita mencadangkan supaya diumum kemudahan kepada mereka yang telah menerima dua dos selepas dua minggu, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan mengumumkannya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang diberi kemudahan itu nanti harus kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Beliau memberi contoh petugas kesihatan di hospital dan wad merawat pesakit Covid-19 perlu mengikut SOP ketat bagi mengelakkan jangkitan walaupun lengkap menerima vaksin.

“Jangkitan hanya 1.9 peratus dan hanya kategori satu serta dua, maksudnya penting mematuhi SOP,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand tarik balik perintah berkurung waktu malam

BANGKOK, 12 JUN: Thailand akan menarik balik perintah berkurung waktu malam di seluruh negara dari 10 malam hingga 4 pagi dan melonggarkan lagi larangan bagi membendung penularan Covid-19 pada minggu depan berikutan negara ini terus merekodkan sifar jangkitan tempatan bagi 18 hari berturut-turut.

Thailand bercadang membuka semula pintunya kepada pelancong asing dengan mewujudkan “travel bubble’ atau ‘koridor perjalanan”, membuka pintunya kepada pelawat daripada negara yang berjaya membendung pandemik Covid-19. Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan lagi.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kumpulan sasaran adalah pelawat perniagaan dan perubatan yang memerlukan perkhidmatan dan rawatan berikutan langkah itu akan mengurangkan beban ditanggung industri pelancongan.

Pelancongan boleh dibuka semula dengan negara dan wilayah seperti China, Hong Kong, Taiwan, Macau, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Laos, Myanmar, Kemboja dan beberapa negara Timur Tengah, katanya.

“Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha telah bersetuju pada prinsipnya bagi ‘travel bubble’. Jawatankuasa kecil akan ditubuhkan untuk membincangkan perkara berkaitan konsep, langkah-langkah dan garis panduan sebelum membentangkan cadangan itu kepada CCSA,” katanya pada taklimat harian mengenai perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Thailand masih menguatkuasakan larangan penerbangan penumpang antarabangsa, sehingga 30 Jun.

Terdahulu, Prayuth yang juga pengarah CCSA mempengerusikan mesyuarat CCSA untuk memuktamadkan fasa keempat kelonggaran larangan di negara ini dengan sekolah antarabangsa, sekolah menengah tinggi (kurang 120 pelajar) dan pusat tuisyen akan dibuka semula pada Isnin.

Bagaimanapun, sekolah awam akan dibuka semula pada 1 Julai berikutan ketika ini adalah cuti penggal persekolahan.

Seminar, persidangan, mesyuarat, dewan pameran, taman permainan (tanpa kolam bola dan istana belon), tempat permainan di pusat beli-belah, taman asuhan kanak-kanak, pusat jagaan harian untuk kanak-kanak dan warga tua akan dibuka semula pada 15 Jun. Bagaimanapun, semua pertandingan sukan akan diadakan tanpa penonton.

Perkhidmatan spa dan stim herba akan kembali beroperasi manakala aktiviti senaman berkumpulan dengan jumlah kurang 50 orang akan dibenarkan.

Pusat hiburan seperti pub, bar dan karaoke serta pusat mandian-sauna-urut kekal ditutup. Juga di bawah fasa keempat, semua perjalanan udara domestik akan dibenarkan dengan kapasiti 100 peratus penumpang tetapi perkhidmatan semua bas antara provinsi perlu mengekalkan kapasiti 70 peratus penumpang.

Sementara itu, Thaweesilp berkata Thailand mencatatkan empat kes baharu Covid-19, semuanya warga Thai yang kembali dari India, dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlahnya sebanyak 3,129 kes dengan 58 kematian.

Beliau berkata empat pesakit yang mengalami gejala sedang menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti negara.

Terdapat 192 warga Thai yang kembali dari luar negara diuji positif Covid-19, katanya.

Setakat ini, sebanyak 3,129 kes Covid-19 dilaporkan di Thailand dengan 2,987 telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala 84 masih dirawat di wad.

-BERNAMA