Categories
AGENDA EKONOMI

KDNK 5.5-6.5 peratus tahun ini mampu dicapai susulan indikator positif

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara yang diunjurkan sekitar 5.5-6.5 peratus pada tahun ini mampu dicapai, dipacu oleh indikator-indikator positif termasuk pengurangan jumlah penganggur.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bilangan penggangur pada November 2021 menunjukkan trend menurun selepas mencatat seramai 694,400 orang berbanding 705,000 orang pada Oktober 2021.

Menurutnya, indikator lain seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara yang meningkat 9.4 peratus tahun ke tahun pada November 2021, dipacu oleh peningkatan dalam indeks pembuatan, elektrik dan perlombongan.

Malah, kata beliau, bagi tempoh sama, jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan paras tertinggi iaitu tujuh peratus tahun ke tahun kepada RM118.1 bilion yang mengatasi paras bulan sebelumnya sebanyak RM116.2 bilion.

“Oleh itu, secara keseluruhannya kalau kita lihat petanda-petanda ini, ia jelas menunjukkan bahawa unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu dapat dicapai. Kita juga dapat melihat lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan serta mengembalikan sentimen positif negara terutamanya selepas pandemik Covid-19.

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat tiga peratus tahun ke tahun manakala unjuran kerajaan bagi keseluruhan tahun tersebut adalah sekitar 3.0-4.0 peratus,” kata beliau dalam program bual bicara Inklusif yang disiarkan di saluran TV1 pada malam tadi.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata walaupun negara masih berdepan dengan cabaran akibat pandemik Covid-19 pada tahun ini, tempoh itu sebaliknya juga merupakan tahun pemulihan ekonomi yang menyaksikan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM322 bilion menerusi Bajet 2022 iaitu angka terbesar dalam sejarah negara.

“Fokus kerajaan adalah untuk kesejahteraan rakyat dan membina daya tahan sektor perniagaan selain membina ekonomi agar lebih makmur dan mampan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KDNK Malaysia dijangka tumbuh 3.5-4.0 peratus

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Firma pelaburan Capital Dynamics Sdn Bhd menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sekitar 3.5 peratus hingga 4.0 peratus pada tahun ini berikutan pelbagai cabaran luaran.

Pengarah Urusannya Tan Teng Boo berkata ekonomi Malaysia pada tahun ini juga dilihat bergelut mengharungi kesukaran akibat faktor luaran yang berlaku secara serentak.

“Tiada satu punca khusus terhadap penyusutan FTSE Bursa Malaysia KLCI atau pun KDNK Malaysia. Ini semua berpunca daripada faktor-faktor seperti perang perdagangan Amerika Syarikat-China, isu Brexit, rusuhan di Hong Kong, kebakaran belukar di Australia, pertelingkahan Korea Selatan-Jepun dan penularan Covid-19.

“Sudah pasti, kesemua faktor itu menyebabkan prestasi KDNK bagi suku pertama ini tidak begitu menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena penganjuran program syarikat itu bertajuk “Latest Investment Outlook” yang akan diadakan pada 7 Mac ini.

Tan juga optimis penularan Covid-10 itu berkemungkinan besar akan mencecah tahap kemuncaknya tidak lama lagi iaitu sama ada bulan ini atau bulan depan memandangkan kadar pemulihannya telah mencatat momentum ketara dengan 14,689 kes berjaya dipulihkan di peringkat global, setakat ini.

Malah, China diunjurkan kembali stabil daripada jangkitan itu dengan ekonomi juga pulih apabila penularan itu mencecah paras kemuncaknya.

“China sudah lama menjadi sumber terbesar pertumbuhan ekonomi global sejak 15-20 tahun lepas. Jika ekonomi China pulih lebih cepat, ini pasti memberi rangsangan kepada KDNK Malaysia,” katanya.

Di peringkat tempatan, beliau berkata masih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing termasuk mengetengahkan hala tuju jelas mengenai masa depan politik negara serta dasar ekonomi bagi jangka panjang.

Malah, katanya, dua isu terbabit jelas menjadi halangan utama bagi pelaburan langsung asing ke Malaysia berbanding negara jiran seperti Vietnam, Singapura dan Indonesia.

“Dalam persekitaran berhati-hati yang menyelubungi ekonomi global, Malaysia sebaliknya tidak memaparkan alasan kukuh untuk menarik pelabur asing berada di sini,” katanya.

Sementara itu, pada majlis hari ini, Capital Dynamics turut melancarkan inisiatif “Aid Xinyang” bagi membantu bandar tersebut menangani Covid-19 memandangkan kebanyakan sumber hanya bertumpu kepada Wuhan yang jugat pusat penularan itu.

Xinyang yang didiami tujuh juta penduduk, hanya mempunyai sembilan hospital bagi merawat Covid-19.

Menurut Tan, inisiatif itu bertujuan membantu dari segi penyediaan perubatan seperti penutup hidung jenis N95, pakaian perlindungan diri dan cermin mata manakala sumbangan kewangan untuk membantu pembelian bekalan perubatan atau disalurkan kepada dua organisasi utama seperti Palang Merah dan Pusat Pertubuhan Kebajikan Xinyang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ambank Research unjur KDNK 2019 tumbuh sekitar 4.5 peratus

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Ambank Research hari ini mengekalkan unjuran bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun penuh 2019 akan berkembang sekitar 4.5 peratus.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Ketua Pakar Ekonomi dan Penyelidik Kumpulan AmBank Dr Anthony Dass berkata purata pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi dua bulan pertama suku keempat 2019 (4Q2019) berada pada 1.2 peratus tahun ke tahun yang menunjukkan kemungkinan KDNK untuk tempoh berkenaan diunjurkan sekitar 4.5 peratus.

Menurutnya pada November lepas, indeks pengeluaran (IP) menokok sebanyak dua peratus tahun ke tahun dan melepasi konsensus pasaran pada satu peratus, didorong oleh peningkatan dicatatkan oleh pengeluaran perlombongan sebanyak 0.5 peratus tahun ke tahun daripada -5.6 peratus tahun ke tahun pada Oktober, didorong oleh pengeluaran pembuatan (+2.5 peratus tahun ke tahun) dan elektrik (+1.6 peratus tahun ke tahun).

Sementara itu, pengeluaran perlombongan untuk pertama kalinya merekodkan pertumbuhan selepas mengalami penguncupan selama empat bulan berturut-turut.

Pengeuaran gas asli jujga kembali meningkat sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun pada November daripada -6.3 peratus pada Oktober.

“Bagi tempoh 2020, KDNK diunjurkan berkembang sekitar 4.6 peratus didorong oleh penggunaan swasta, pembentukan modal tetap kasar daripada pengembangan sederhana Belanjawan 2020 serta sumbangan eksport,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Malaysia kekal waspada walaupun KDNK suku kedua kukuh – Azmin

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati walaupun mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih kukuh bagi suku kedua tahun ini.

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata data KDNK turut menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun terdedah kepada ketidaktentuan global.

“Malaysia dapat mengetepikan aliran serantau pada suku kedua tersebut apabila ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada 4.9 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang mantap khususnya perbelanjaan swasta serta peningkatan pengeluaran sektor perlombongan dan kuari.

“Namun, kita akan terus kekal berwaspada terhadap sebarang cabaran mendatang dan mengekalkan disiplin fiskal ketika berusaha melakukan yang terbaik untuk melonjakkan lagi pertumbuhan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Kongres Statistik Sedunia Institut Statistik Antarabangsa (ISI WSC 2019) ke-62 di sini, hari ini.

Acara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menyampaikan ucap tama.

Mohamed Azmin turut menekankan kepentingan peranan statistik yang tepat, relevan dan kena pada masanya sebagai asas pembentukan dasar dan keputusan selain menjadi panduan untuk kerajaan melaras semula dasar tidak tepat.

“Kita tidak boleh terlalu menekankan kepentingan data semata-mata kerana sebaliknya apa yang lebih utama adalah integriti dalam pelaksanaan dasar tersebut,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Malaysia memiliki dasar terbaik yang dirangka berasaskan statistik tepat, namun tanpa integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban, objektif akhir itu tidak mungkin dapat dicapai.

“Oleh itu, walaupun statistik menjadi mata pentadbiran negara ini, namun tadbir urus yang baik masih menjadi teras bagi memenuhi jangkaan rakyat,” katanya.

Beliau turut memuji kepakaran Jabatan Perangkaan Malaysia yang memberi bantuan teknikal dalam bidang-bidang utama kepada negara-negara lain selain turut meraih manfaat menerusi perkongsian kemahiran dan pengetahuan tersebut.

Mohamed Azmin juga berkongsi data perangkaan penduduk bandar Malaysia yang meningkat daripada 28.4 peratus pada 1970 kepada 76.2 peratus tahun ini manakala ekonomi pula berkembang kepada RM1.36 trilion daripada RM11.82 bilion, sebelum ini.

Selain itu, purata pendapatan bulanan isi rumah meningkat pada kadar 7.1 peratus setahun kepada RM6,958 pada 2016 berbanding RM264 pada 1970, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertumbuhan kukuh KDNK bukti daya tahan Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2019 Malaysia yang berkembang pada 4.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku sebelumnya, hanya membuktikan kemampuan daya tahan negara dalam senario persekitaran global yang mencabar.

Malah, pencapaian yang mengatasi jangkaan pasaran, turut menggambarkan keberkesanan pembaharuan institusi yang dilaksanakan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) juga menyifatkan angka pertumbuhan KDNK pada 4.9 peratus itu juga mengatasi konsensus pasaran 4.7 peratus yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

“Ini jelas berlaku ketika beberapa rakan dagang utama Malaysia sedang mengalami pertumbuhan lebih perlahan akibat pelbagai faktor termasuk perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlanjutan.

“Malaysia juga adalah antara sekumpulan kecil negara di rantau ini yang menikmati pertumbuhan suku kedua lebih pantas berbanding suku sebelumnya,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan itu.

Pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku kedua itu disokong oleh pengukuhan permintaan domestik yang berkembang sebanyak 4.6 peratus tahun ke tahun yang lebih pesat daripada 4.4 peratus pada suku pertama 2019.

Lim bagaimanapun mengingatkan, walaupun pertumbuhan Malaysia pesat, pihak kerajaan tidak akan mengetepikan risiko tinggi akibat perang perdagangan AS-China yang terus ketara.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan sentiasa berjaga-jaga dan akan terus memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi domestik secara mampan dan menyediakan langkah-langkah pengembangan luar jangka jika perlu bagi menangani sebarang impak daripada perang perdagangan itu.

“Kejayaan kerajaan menguruskan kewangan secara berhemat menerusi usaha pembaharuan sejak setahun lepas akan membolehkan Malaysia menangani (sebarang krisis) secara wajar, sekiranya perlu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sememangnya memantau kelemahan permintaan global serta impaknya terhadap ekonomi domestik.

Untuk rekod, pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Julai lepas telah bertindak menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK global 2019 kepada 3.2 peratus daripada 3.3 peratus manakala awal tahun ini, ia menjangkakan ekonomi dunia pada 2019 akan berkembang pada 3.5 peratus.

Kelemahan permintaan itu disebabkan oleh ketegangan perdagangan yang berterusan. Namun Bank Dunia sebaliknya mengunjurkan bahawa KDNK Malaysia berkembang 4.6 peratus bagi keseluruhan 2019.

Selain itu, pertumbuhan KDNK yang kukuh, beserta konsolidasi kos dan keetelusan fiskal yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah antara faktor yang menyakinkan agensi penarafan kredit antarabangsa untuk mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada gred tinggi atau A- atau A3, kata kenyataan itu.

Pada 18 Julai, 2019, pihak Fitch Ratings mengesahkan penarafan kredit kerajaan pada A- dengan unjuran stabil dan ini turut disusuli tindakan sama oleh S & P Global Ratings pada 3 Julai lepas.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI

MIER semak naik unjuran pertumbuhan KDNK 2019 kepada 4.6 peratus

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyemak naik prospek Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.6 peratus daripada 4.5 peratus berikutan perubahan dalam model unjuran.

Bagaimanapun, Pengerusi MIER Tan Sri Dr Kamal Salih berkata semakan menaik itu adalah tidak terlalu tinggi dan masih dalam unjuran yang dibuat Bank Negara Malaysia.

“Di sebalik semakan itu, kami tidak optimis berikutan cabaran global dan sentimen yang lemah. Ini bukan tempoh yang sesuai untuk mengatakan semuanya akan menjadi lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Ekonomi Nasional MIER ke-34 di sini, hari ini.

Indeks Keadaan Perniagaan MIER merosot kepada 94.2 mata pada suku kedua 2019 (2Q19), berbanding 94.3 mata pada suku sebelumnya, manakala keyakinan perniagaan kekal tidak berubah pada suku tersebut.

Indeks Sentiman Pengguna naik kepada 93 mata pada 2Q19 daripada 85.6 mata pada suku pertama 2019.

Menurut MIER, pada beberapa bulan akan datang, permintaan isi rumah akan terus kekal berhati-hati, terutamanya minat terhadap barangan yang sensitif dan bernilai tinggi seperti rumah dan kereta. – BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Bank Dunia unjur KDNK Malaysia tumbuh 4.6 peratus

PUTRAJAYA, 1 JUL: Ekonomi Malaysia dijangkakan berkembang pada kadar yang agak sederhana, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencatatkan 4.6 peratus pada 2019, kata Bank Dunia.

Ahli ekonomi utama dalam makroekonomi, perdagangan dan pelaburan Richard Record berkata KDNK mencatatkan 0.1 mata peratusan lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini, mencerminkan aktiviti pelaburan dan eksport yang lebih lemah berbanding unjuran pada suku pertama (Q1) 2019.

Pada April Bank Dunia mengekalkan unjuran KDNK pada 4.7 peratus.

“Risiko berpotensi ke atas pertumbuhan termasuk perkara berkaitan ketegangan perdagangan, pertumbuhan ekonomi utama yang lebih perlahan berbanding jangkaan, selain ketidakstabilan dalam pasaran kewangan dan komoditi.

“Kadar hutang swasta dan awam yang agak tinggi juga menimbulkan risiko kepada pertumbuhan,” katanya pada sidang akhbar pada Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025, di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun penggunaan swasta dijangka terus menyokong permintaan dalam negeri, pertumbuhannya dijangkakan berkurangan kepada 6.6 peratus tahun ini.

Ini berikutan pengembangan yang teguh pada 2018, terutama semasa tempoh GST berkadar sifar.

“Dalam sektor awam, rasionalisasi berterusan perbelanjaan kerajaan akan menyebabkan sumbangannya berkurangan, dengan kadar pertumbuhan dijangkakan bertahan pada 1.8 peratus bagi tahun ini,” kata Record.

Sementara itu, Malaysia terus berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2024.

“Pendapatan negara kasar (GNI) per kapita Malaysia berjumlah US$10,460 pada 2018, US$1,915 di bawah had US$12,375 yang ditetapkan oleh Bank Dunia dalam menentukan status negara berpendapatan tinggi,” kata Record.

Beliau berkata Malaysia boleh mencapai had yang lebih tinggi daripada ang ditetapkan pada satu ketika antara 2021 dan 2024.

“Seiring penyertaan ekonomi Malaysia dan ekonomi berpendapatan tinggi, perhatian harus diberikan kepada aspek-aspek pembangunan dan kesejahteraan masyarakat secara lebih luas seperti kesihatan, pendidikan dan pengagihan kekayaan, yang tidak dicapai secukupnya hasil dari segi peningkatan dalam pendapatan per kapita,” katanya.

Menurut edisi ke-20 Pemantauan Ekonomi Bank Dunia (MEM) yang dilancarkan hari ini, dasar harus ditumoukan kepada usaha untuk meningkatkan daya tahan dan melindungi golongan yang lemah dalam jangka pendek.

Laporan itu menyebut penampan dasar fiskal perlu dibangunkan selain memudahkan pelaburan swasta dan memastikan perlindungan sosial yang mencukupi untuk isi rumah berpendapatan rendah yang mudah terjejas.

“Asas pendapatan kerajaan juga perlu dipeluas menerusi usaha dalam mengembangkan dan meningkatkan sistem perlindungan sosial ke arah kemajuan yang lebih baik secara menyeluruh.

“Langkah yang dirancang kerajaan untuk melaksanakan rangka kerja subsidi bahan bakar bersasar boleh meningkatkan simpanan untuk dilaburkan semula dalam program kebajikan sosial utama,” menurut laporan itu. – BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Data perdagangan positif bukti suku kedua lebih memberangsangkan

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Data eksport Malaysia bagi April 2019 meningkat 1.1 peratus kepada RM85.2 bilion dan jelas membuktikan petunjuk awal perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua yang lebih memberangsangkan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata import bagi tempoh sama turut meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun yang menunjukkan permintaan domestik kukuh dan seiring dengan pertumbuhan suku kedua yang mantap.

“Ini berlaku selepas KDNK bagi suku pertama berkembang sebanyak 4.5 peratus daripada setahun lepas dan mengatasi konsensus pasaran terbitan Bloomberg sebanyak 4.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada RM159.5 bilion pada April selepas menokok 2.6 peratus tahun ke tahun daripada RM155.5 bilion setahun lepas.

Menurut Lim, import barangan penggunaan meningkat sebanyak 18.9 peratus tahun ke tahun selepas mencecah kadar kukuh 10.5 peratus pada Mac manakala import bagi barangan pengantara melonjak sebanyak 20.3 peratus bagi tahun ke tahun selepas meningkat hanya 3.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Perkembangan kukuh kedua-dua barangan penggunaan dan pengantara ini menunjukkan bahawa pertumbuhan KDNK bagi suku kedua akan lebih memberangsangkan,” katanya.

Jelas Lim, perkembangan perdagangan yang positif ini dicatatkan ketika kadar inflasi stabil pada 0.2 peratus pada April, kadar pengangguran kekal rendah pada 3.4 peratus pada Mac lepas dan pertumbuhan berterusan pengeluaran perindustrian pada suku ini.

Merujuk Indeks Keyakinan Pengguna yang diterbitkan Nielsen bagi suku pertama 2019, beliau berkata data itu menunjukkan keyakinan pengguna Malaysia terhadap prospek ekonomi bagi 12 bulan akan datang berikutan peningkatan indeks itu sebanyak 11 mata kepada 115 mata daripada 104 mata setahun lepas.

“Peningkatan eksport ini telah membolehkan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sehingga mencecah RM10.9 bilion pada April lepas. Ini menjadikan jumlah lebihan dagangan bagi empat bulan pertama 2019 kepada RM47.8 bilion.

“Lebihan besar setakat ini akan membantumemastikan supaya imbangan akaun semasa tahunan negara berada dalam keadaan lebihan. Ia akan turut melindungi Malaysia daripada pelbagai risiko luaran seperti perang perdagangan yang berterusan,” katanya.

Mengulas perang perdagangan Amerika Syarikat dan China yang masih berlanjutan, Lim berkata, Malaysia sebaliknya terbukti mendapat manfaat berikutan peralihan perdagangan dan penempatan semula perniagaan.

Ini jelas dipaparkan menerusi data pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan yang terbukti meningkat 48 peratus kepada RM80.5 bilion pada 2018 berbanding RM54.4 bilion pada 2017.

“Nomura yang juga sebuah institusi kewangan Jepun, juga baru-baru ini mengiktiraf Malaysia sebagai penerima manfaat keempat terbesar dunia (susulan peralihan perdagangan) selepas Vietnam, Taiwan dan Chile.

“Selain peralihan perdagangan yang membantu meningkatkan eksport, Malaysia juga berkemungkinan besar akan meraih manfaat daripada penyusunan semula rantaian bekalan global, ” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

KDNK 4.5 peratus bukti daya tahan ekonomi Malaysia tinggi

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 4.5 peratus bagi suku pertama tahun ini menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia yang tinggi, semasa negara berhadapan dengan ketidaktentuan cabaran luaran yang timbul akibat perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, ini merupakan satu permulaan yang memberangsangkan untuk tahun ini.

“Ia seiring dengan kenaikan pelaburan langsung asing iaitu ke tahap tertinggi di dalam sejarah negara, iaitu RM21.7 bilion, peningkatan sebanyak 94.8 peratus berbanding RM11.2 bilion yang telah dicatatkan pada suku pertama tahun lepas.

“Ini membuktikan kekuatan ekonomi negara serta keyakinan tinggi pelabur asing ke atas kerajaan dan negara Malaysia,” kata beliau dalam perutusan Hari Wesak yang disambut esok.

Lim berkata, lebih separuh daripada FDI yang direalisasikan disumbangkan oleh pelaburan RM8.4 bilion daripada Jepun, RM3.7 bilion daripada Austria dan RM2.8 bilion daripada Hong Kong.

Kerajaan berharap keyakinan yang ditonjolkan pelabur asing akan membantu meningkatkan pelaburan domestik syarikat tempatan bagi memantapkan lagi pertumbuhan negara, katanya.

Pada masa yang sama, Lim berkata, lebihan akaun semasa telah naik kepada RM16.4 Bilion, atau 4.7 peratus daripada pendapatan kasar negara berbanding 3.0 peratus daripada suku keempat 2018.

“Ia dijangka akan terus berada dalam keadaan lebihan dalam suku-suku yang akan datang”.

Beliau turut berkata bahawa suku pertama 2019 telah memperlihatkan Malaysia menerima 6.696 juta pelancong asing, iaitu jumlah yang terbesar sejak suku keempat 2016.

Ini merupakan peningkatan 2.7 peratus berbanding tahun lepas apabila 6.520 juta pelancong asing melawat Malaysia, dan 3.9 peratus berbanding suku keempat 2018 apabila 6.446 juta pelancong asing masuk melawat Malaysia.

“Sambil semua penganut agama Buddha merayakan Hari Wesak dengan aman, marilah kita memperingati ajaran yang mengajak manusia untuk sentiasa berbuat baik dengan saling bantu-membantu tanpa melupakan sesiapa.

“Perkara yang sama akan dilaksanakan oleh kerajaan melalui pertumbuhan inklusif bagi memastikan kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia.

“Ini sejajar dengan konsep “Kemakmuran Bersama” seperti yang diterangkan Perdana Menteri pada 9 Mei 2019 sempena ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pertumbuhan menggalakkan KDNK rangsang keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Prestasi memberangsangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2019 memberi galakan positif kepada pertumbuhan negara di masa depan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sambil menyifatkan prestasi suku pertama itu sebagai “mengagumkan dan melangkaui jangkaan”, Lim berkata, keputusan tersebut melebihi daripada jangkaan kebanyakan pengurus dana antarabangsa dan tempatan yang mengunjurkan pertumbuhan itu kepada hanya 4.3 peratus dan ke bawah.

“Kita harap semua pihak akan yakin (terhadap ekonomi negara) seperti pelabur asing dan nampaknya mereka tidak dipengaruhi oleh (mana-mana) laporan yang mungkin tidak berapa positif dan mereka masih melabur dengan lebih banyak (pada suku ini) berbanding suku-suku sebelum ini.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan persidangan Meja Bulat Fintech Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Semalam, Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama 2019, dengan sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Berasaskan pelarasan bermusim sukuan, KDNK meningkat 1.1 peratus.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata insentif bagi inisiatif pendanaan awam dan rakan setara bagi mikro, perusahaan kecil dan sederhana (Mikro-PKS) akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2020.

Katanya inisiatif tersebut yang dibincangkan pada persidangan meja bulat tertutup itu akan menyediakan alternatif pembiayaan selain kos lebih rendah untuk membiayai Mikro-PKS.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KDNK negara berkembang 4.4 peratus pada suku ketiga 2018

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku ketiga 2018 dipacu penggunaan swasta yang kukuh susulan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus semasa tempoh tersebut.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datr Suk Nohamsiah Mohd Yunus berkata, bagi tempoh tiga suku pertama 2018, ekonomi berkembang 4.7 peratus dan berada di landasan untuk merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus bagi setahun penuh 2018.

Walaupun menghadapi cabaran global, beliau berkata, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan stabil, pada suku ketiga 2018.

Katanya, ia didorong khususnya peningkatan perbelanjaan isi rumah yang berkembang 9.0 peratus terutama pada Julai dan Ogos serta pertumbuhan pekerjaan dan upah yang teguh di samping sentimen pengguna positif.

Beliau berkata, pertumbuhan tersebut juga disokong oleh pelaburan swasta yang lebih tinggi iaitu meningkat 6.9 peratus dan kesan kejutan bekalan sekali yang berlarutan.

“Kejutan bekalan khusus komoditi yang berlarutan telah membawa kepada penurunan pengeluaran komoditi (dan eksport),” katanya semasa mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2018 di sini, hari ini.

Noor Shamsiah berkata, pertumbuhan pada suku kedua dan ketiga tahun ini mungkin lebih tinggi sebanyak 50 hingga 70 mata asas jika tiada kejutan bekalan dalam perlombongan dan pertanian.

Berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, ekonomi berkembang 1.6 peratus lebih pantas daripada 0.3 peratus pada suku sebelum ini.

Eksport kasar menyederhana kepada 5.2 peratus berikutan pengembangan perlahan dalam eksport perkilangan bukan elektrik dan elektrik ketika eksport komoditi mengalami penurunan lebih kecil.

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan telah menyokong pertumbuhan, manakala sektor perlombongan terus dipengaruhi oleh kejutan bekalan.

Sektor pertanian kekal lemah berikutan pemulihan yang berlanjutan daripada kekangan pengeluaran pada suku sebelumnya.

Pada suku tersebut, akaun semasa mencatatkan lebihan sebanyak RM3.8 bilion.

Dalam tempoh tiga suku pertama 2017, akaun semasa Malaysia mencatatkan lebihan terkumpul RM22.7 bilion atau 2.2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK).

“Pada masa akan datang, akaun semasa dijangka merekodkan lebihan, disokong oleh lebihan barangan dalam jumlah yang besar yang akan mengimbangi defisit akaun perkhidmatan dan pendapatan,” katanya, dengan menambah, bagi 2018 baki akaun semasa akan berada antara dua hingga tiga peratus daripada PNK.

Inflasi teras susut kepada 0.5 peratus pada suku ketiga 2018 berbanding 1.3 peratus pada suku kedua 2018, didorong terutamanya oleh kesan GST berkadar sifar peratus.

Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan mulai 1 Sept, 2018 telah memberi impak tersendiri terhadap inflasi pada suku tersebut.

Ringgit susut 2.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada suku ketiga, didorong terutamanya oleh pengukuhan mata wang negara maju itu serta aliran keluar pelaburan portfolio bukan pemastautin yang sederhana.

“Pengukuhan dolar AS dipacu oleh data dan unjuran ekonomi AS yang positif semasa tempoh suku tersebut.

“Ringgit dan mata wang serantau juga terjejas berikutan sentimen negatif disebabkan risiko penularan dari ekonomi pasaran pesat membangun yang mudah terjejas,” katanya.

Mengulas mengenai hutang luaran pula, beliau berkaya ia kekal boleh diurus dengan risiko pusingan terhad memandangkan lebih daripada separuh dilaksanakan bagi jangka sederhana dan panjang.

“Kira-kira satu per tiga hutang luaran adalah dalam denominasi ringgit dan berdasarkan pegangan instrumen ringgit oleh bukan pemastautin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI SELANGOR

Sultan bangga Selangor kekal penyumbang KDNK terbesar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa bangga atas kejayaan Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar di negara ini, pada kadar 23 peratus tahun lalu.

Dengan peningkatan KDNK ini, baginda percaya Selangor akan menjadi tumpuan utama pelabur domestik dan asing untuk terus melabur di negeri termaju itu.

“Beta berasa bangga Selangor adalah penyumbang KDNK terbesar kepada KDNK Malaysia pada tahun lalu iaitu sebanyak 23 peratus.

“Dua sektor utama menggerakkan pembangunan ekonomi ialah perkhimatan swasta dan pembuatan yang menyumbang sebanyak 83.9 peratus kepada keseluruhan KDNK diikuti sektor pembinaan, perkhidmatan kerajaan, pertanian, perlombongan dan kuari,” titahnya dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas 2018 di sini, hari ini.

Sultan Selangor bertitah, pertumbuhan ekonomi negeri dilihat terus kukuh pada kadar 7.1 peratus pada tahun lalu berbanding 4.8 peratus pada 2016.

“Ia juga merekodkan prestasi melebihi paras nasional iaitu pada kadar 5.9 peratus,” titahnya.