Categories
AGAMA EKONOMI NASIONAL

Invest Selangor kekal yakin dengan prospek ekonomi 2022

SHAH ALAM, 1 DIS: Invest Selangor Bhd, cabang pelaburan kerajaan negeri Selangor kekal optimistik tetapi berhati-hati terhadap prospek ekonomi negeri untuk 2022.

Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris berkata ini kerana Covid-19 telah membawa banyak cabaran baharu khususnya kepada rantaian bekalan kebanyakan industri.

“Bekalan terhad bahan mentah, alat ganti dan komponen terutamanya dalam industri elektrik dan elektronik telah menghalang penghantaran tempahan baharu banyak barangan elektronik di seluruh dunia.

“Bagaimanapun kami kekal positif tetapi berhati-hati dalam mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negeri bagi 2022,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hasan Azhari berkata Selangor adalah penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, menyumbang secara purata 24 peratus setahun.

Justeru, kata beliau pertumbuhan ekonomi negeri memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Tahun lepas, negeri itu merekodkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan sebanyak 2.09 peratus di tengah-tengah penguncupan KDNK negara keseluruhan sebanyak 5.6 peratus disebabkan oleh pandemik dan perintah kawalan pergerakan.

Hasan Azhari berkata meskipun di sebalik situasi pandemik bermula pada awal 2020, Selangor berjaya memperoleh tempat teratas sebagai destinasi pelaburan terbaik Malaysia untuk sektor pembuatan, dengan jumlah pelaburan bernilai RM18.4 bilion tahun lepas.

“Untuk 2021, sasaran awal kami untuk pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan dan pembuatan ialah RM12 bilion.

“Bagaimanapun, kami telah menilai semula (sasaran) ini kerana ketidakpastian pandemik, penyebaran varian baharu dan sekatan berpanjangan dalam aktiviti ekonomi serta perjalanan telah banyak menjejaskan. rancangan kami untuk 2021.

“Kami berharap keadaan akan semakin baik pada tahun 2022 dan kami akan dapat merancang aktiviti penglibatan dan promosi kami dengan lebih baik,” kata Hasan Azhari.

Baru-baru ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Selangor merekodkan nilai pelaburan lebih tinggi sebanyak RM4.64 bilion dari Januari hingga Jun 2021 berbanding RM3.39 bilion pada separuh pertama 2020.

Jumlah projek pembuatan yang diluluskan  pula sebanyak 122, sama seperti tahun lepas.

Amirudin berkata, sebanyak 9,179 pekerjaan telah diwujudkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini manakala pelaburan tempatan dan asing masing-masing meningkat kepada RM4.06 bilion dan RM576.98 juta.

Jumlah itu meningkat berbanding 5,001 pekerjaan diwujudkan, RM1.82 bilion pelaburan tempatan dan RM1.55 bilion pelaburan asing pada separuh pertama 2020 .

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan optimis capai 4.8 peratus KDNK tahun depan

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Kementerian Kewangan (MoF) optimis kerajaan mampu mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.8 peratus pada 2020, meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Timbalan Menterinya Datuk Amiruddin Hamzah berkata perang perdagangan antara US dan China, situasi di Hong Kong serta Brexit, mengurangkan keyakinan pelabur untuk melabur dalam negara ekonomi membangun, justeru memberi kesan kepada ekonomi serantau.

Bagaimanapun katanya usaha Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menerusi siri lawatan luar negara, bagi mengukuhkan hubungan dagang dua hala, telah memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menarik pelaburan luar di samping mengembangkan perdagangan.

“Kita harus ambil peluang tersebut untuk memastikan aktiviti perdagangan dengan negara-negara yang dilawati (oleh Perdana Menteri) dapat diteruskan, dan dikembangkan lagi.

“(Kita turut) mengalu-alukan pelaburan luar, terutama dari negara ekonomi maju seperti China, US, Jepun dan Korea,” katanya dalam rancangan Bicara Naratif berkenaan Pencapaian MoF Sepanjang 2019 terbitan RTM pada Selasa.

Beliau berkata kerajaan juga mengambil inisiatif menyediakan laluan yang lebih mudah dan cepat bagi pelabur luar yang berhasrat untuk melabur di dalam negara.

“Kita (MoF) mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri setiap bulan untuk meneliti dan meluluskan permohonan pelaburan dari luar dengan segera.

“Semoga kelulusan (tersebut) menjadi sesuatu yang direalisasikan, bukan di luluskan semata-mata. Kerjasama dari agensi dan kerajaan negeri juga akan memudahkan dan menjadikan kelulusan dapat direalisasikan dengan segera, justeru membawa impak ekonomi yang baik dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Bagi 2019, Amiruddin berkata kerajaan positif untuk mencapai unjuran KDNK antara 4.3 hingga 4.8 peratus.

Sementara itu, beliau berkata paras hutang negara masih berada dalam kedudukan terkawal, dengan kerajaan mempunyai kemampuan untuk melunaskan hutang mengikut tempoh yang ditetapkan tanpa menjejas aspek ekonomi yang lain.

“Hutang yang kita buat adalah bertujuan untuk melaksanakan projek pembangunan negara, bukan untuk perlaksanaan operasi seperti membayar gaji dan sebagainya. Buat masa sekarang, paras hutang kita kepada KDNK masih di bawah 55 peratus.

“Apabila KDNK dapat ditingkatkan kelak, had yang diletakkan untuk hutang negara juga akan bertambah besar, jadi kita akan dapat mengekalkan paras hutang di bawah 55 peratus itu,” katanya.

Beliau berkata perbelanjaan operasi negara juga kekal positif, di mana hasil yang perolehi melebihi perbelanjaan mengurus.

“Kita hanya perlu meminjam untuk perbelanjaan pembangunan, yang tidak menjadi masalah sekiranya kita mempunyai rekod baik dari pembayaran semula hutang selain perkembangan ekonomi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

KDNK 2018 mampu cecah 6.0 peratus

SHAH ALAM, 21 JUL: Sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar diunjurkan mencecah 5.5-6.0 peratus tahun ini, selari unjuran Bank Negara Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ekonomi terbuka dan pelbagai memberi kelebihan kepada negara berdepan kesan perang perdangangan global semasa sekali gus mengembangkan ekonomi Malaysia 5.0 peratus untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

“Pasaran modal Malaysia tumbuh 12.6 peratus kepada RM3.2 trilion tahun lepas,” katanya kepada pemberita pada Pameran Pelaburan Syariah 2018 di ibunegara, hari ini.

Guan Eng berkata, permodalan pasaran modal konvensional dan Islam masing-masing meningkat 14.4 peratus dan 11.9 peratus, manakala pengumpulan dana menerusi pasaran ekuiti berkembang kepada RM21.7 bilion pada 2017 berbanding RM12.8 bilion tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pasaran bon dan sukuk masing-masing meningkat 10.1 peratus kepada RM1.3 trilion.

“2018 sukar bagi pasaran ekuiti Asia, namun prestasi pasaran domestik menggalakkan walaupun merosot.

“Walaupun Indeks Komposit Kuala Lumpur susut 1.7 peratus setakat tahun ini, data Bloomberg menunjukkan pasaran kita terus berdaya tahan berbanding bursa serantau seperti Singapura, Jakarta, Bangkok, Hong Kong dan Shanghai,” katanya.

Beliau berkata, prestasi semua pasaran berkenaan merosot antara 3.8 peratus dan 17.7 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh perang perdagangan dunia semasa.

Pameran Pelaburan Syariah anjuran Bursa Malaysia Bhd itu bertujuan meningkakan kesedaran orang ramai mengenai pelaburan runcit dalam pasaran saham domestik, terutama aset-aset patuh Syariah.

-Bernama-