Categories
NASIONAL

KPWKM: Tiada arahan perintah berkurung, mesej tular palsu

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini menjelaskan ia tidak mengeluarkan sebarang arahan berkaitan perintah berkurung remaja di bawah umur 18 tahun.

Merujuk kepada mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, kementerian itu meminta orang ramai untuk membuat semakan sebelum menyebarkan sesuatu perkara.

Menerusi perkongsian di laman Twitter dan Facebook, KPWKM memuat naik ‘tangkap skrin’ mesej tular itu yang berbunyi: “Mulai malam ini (berkuat kuasa serta-merta) adik-adik di bawah umur 18 tahun (13-16) tidak dibenarkan berada di luar kawasan rumah melebihi jam 10 malam, manakala yang berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di luar dari kawasan rumah melebihi jam 8 malam kecuali hal yang tidak dapat dielakkan. – Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat.”

Sehubungan itu, KPWKM memohon agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan secara serius cadangan mengadakan perintah berkurung bagi remaja di bawah 18 tahun bagi mengelakkan mereka terbabit dalam gejala dadah, seperti dilaksanakan di Iceland.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Program ‘Diversion’ elak kanak-kanak ditahan – Wan Azizah

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang melaksanakan projek perintis ‘Diversion’ bagi tujuan mengelakkan pesalah jenayah kanak-kanak dari terus ditahan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia adalah sistem ‘pengalihan’ melibatkan kanak-kanak terlibat jenayah ringan daripada terus dihukum sistem kehakiman sedia ada.

“Melaluinya kanak-kanak terlibat akan menjalani modul intervensi khas mengikut jenis kesalahan dan latar belakang mereka.

“Modul itu merangkumi kaunseling, khidmat masyarakat, pembayaran ganti rugi atau membaikpulih kerosakan yang dilakukan.

“Mengikut modul ini, kanak-kanak ini juga tidak akan ditahan,” katanya dalam sidang media selepas sesi lawatan ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi (STBSB), hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, ini kerana ada kanak-kanak yang mengalami kesan psikologi buruk setelah melalui proses perundangan sedangkan kesalahan yang dilakukan adalah kecil.

“Inisiatif ‘diversion’ ini akan dipertimbangkan untuk dilaksana sekali gus menjadi alternatif rehabilitasi.

“Saya percaya dan yakin anak-anak ini mampu mengubah nasib mereka dan menjadi insan atau pemimpin di masa depan,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPWKM bantah perkahwinan bawah umur kanak-kanak

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berpendirian tegas menolak perkahwinan bawah umur dan perlu dielakkan ekoran bercanggah dengan prinsip perkembangan kanak-kanak.

Dalam kenyataan media, jurucakapnya berkata, sehubungan itu KPWKM memandang serius perkara itu dan usaha perlu dilakukan bagi mengatasi masalah sedia ada demi masa depan kanak-kanak lebih terjamin.

“KPWKM tegas berpendirian kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi sepenuhnya selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Kementerian menolak sama sekali perkahwinan membabitkan kanak-kanak pada usia terlalu muda lebih-lebih lagi dengan pasangan dewasa,” katanya berkaitan perkara itu khususnya merujuk kes perkahwinan seorang lelaki 41 tahun dan kanak-kanak 11 tahun di Kelantan bulan lalu.

Pada masa ini, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terperinci dan kementerian menjangkakan ia akan selesai segera bagi membolehkan tindakan perundangan bersesuaian serta tepat dapat diambil ke atas pesalah.

Tegasnya, KPWKM bersama Jabatan Peguam Negara akan memastikan keadilan ditegakkan dan hak kanak-kanak itu disokong.

“Kementerian bersama pihak berkepentingan termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan Wanita dan Kanak-Kanak, beberapa pakar agama dan mufti serta Mahkamah Shariah serta pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sedang memantau status kebajikan kanak-kanak ini dan keluarga.

“Kes ini membuka kepada isu lebih besar membabitkan beribu perkahwinan kanak-kanak di Malaysia dan ia adalah satu masalah sistematik memerlukan analisis secara terperinci juga penyelesaian kekal,’ katanya.

Sebagai langkah jangka masa panjang, KPWKM berkata, pihaknya sedang dalam usaha bersama Menteri Hal Ehwal Agama di Pejabat Perdana Menteri untuk menetapkan had umur minimum bagi perkahwinan di dalam semua perundangan kepada 18 tahun.

Perkara itu, jelasnya, membabitkan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam (Sarawak) 2001, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah dan undang-undang adat kaum peribumi di Sarawak.

Dalam masa sama, KPWKM mengalu-alukan pengumuman Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengenai cadangan menaikkan had umur mimimum perkahwinan untuk kanak-kanak perempuan beragama Islam kepada 18 tahun di Selangor dan berharap inisiatif sama dipertimbangkan negeri lain ke arah menyelaraskan had umur minimum perkahwinan di Malaysia.

Selain daripada mengubah perundangan dan polisi, KPWKM berkata, adalah penting untuk memperkasakan pengetahuan ibu bapa mengenai kesan negatif perkahwinan kanak-kanak yang dinafikan hak kesihatan, pendidikan, keselamatan dan perkembangan diri mereka.

“Kita perlu memperkasakan pengetahuan komuniti bahawa praktis perkahwinan kanak-kanak bersandarkan kepada budaya atau adat adalah salah dan pendidikan serta peluang latihan adalah kunci kepada masa depan cerah anak kita.

“KPWKM kini bekerjasama erat dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Ekonomi penting untuk menghapuskan kemiskinan, meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar serta memberi peluang pemerkasaan ekonomi terutama kepada wanita untuk memastikan keluarga tidak memilih perkahwinan kanak-kanak demi kelangsungan hidup,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPWKM tubuh tabung Palestin depani tekanan AS

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 20 JUL: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik semula dana sejumlah US$300 juta daripada Agensi Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) memberi tekanan kepada lebih 5 juta penduduk Palestin khasnya golongan wanita dan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau menyokong penuh usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan Tabung Derma Palestin melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

“Inisiatif mulia ini sudah tentu bakal menyuntik semangat penduduk Palestin yang amat menghargai bantuan makanan, kebajikan, pendidikan dan keperluan asas.

“Saya turut menyeru warga Malaysia untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan secara terus untuk memastikan sekolah-sekolah seliaan UNRWA di Gaza mampu memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media pada hari kedua Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 2018 berlangsung di Bangunan Parlimen, semalam.

Nurul Izzah berkata, UNRWA memaklumkan bahawa setiap RM92 yang disumbangkan dapat membantu penyediaan kit persekolahan untuk seorang kanak-kanak pelarian Palestin, RM151 untuk bekalan makanan asas sekeluarga dan hampir RM900 bagi memastikan sebuah keluarga pelarian Palestin mendapat tempat tinggal bagi tempoh sebulan.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan derma masing-masing ke akaun bank Alliance Islamic Bank bernombor akaun 1601-4001-0011-300.