Categories
AGENDA NASIONAL

Perluasan program bayaran bantuan tanpa tunai JKM ditangguh hingga kajian selesai

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menangguhkan perluasan program rintis bayaran bantuan kewangan tanpa tunai atau JKMPay ke negeri atau daerah lain, sehingga Kajian Kebolehlaksanaan Projek Rintis tanpa tunai itu diselesaikan.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini menyatakan keputusan itu dimaklumkan oleh timbalan ketua pengarah (strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosmahwati Ishak, semasa soal jawab Sesi Libat Urus bersama Pertubuhan-Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) orang kurang upaya (OKU), pada Jumaat.

Kenyataan itu menyatakan sesi dua hari di Dewan Perdana Nur, KPWKM Putrajaya bermula 24 Februari itu bertujuan memberi penerangan terhadap pelaksanaan program rintis JKMPay.

“Kementerian mengambil maklum terhadap semua maklum balas dan saranan yang telah dikemukakan untuk penambahbaikan perkhidmatan JKMPay, pada masa akan datang.

“Untuk makluman, hanya seramai 4,722 penerima bantuan baharu dilibatkan dalam program ini (projek rintis), terdiri daripada warga emas, keluarga miskin dan OKU, manakala 519,409 penerima bantuan sedia ada tidak terlibat dan masih kekal menerima keseluruhan bantuan mereka,” menurut kenyataan itu.

KPWKM berkata pihaknya sentiasa mengambil maklum terhadap isu-isu berbangkit berkaitan kumpulan sasar, dengan menggunakan pendekatan ‘The Whole Government and Whole of Nation’, agar penggemblengan tenaga pelbagai pihak seperti PSK, agensi, korporat, pemimpin tempatan dan komuniti dimanfaatkan.

JKMPay dilaksana bermula pada 1 Feb 2021 membolehkan individu menerima 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan diluluskan ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad, manakala baki 50 peratus akan dimasukkan ke dalam kad tanpa tunai JKMPay.

Bagaimanapun, kaedah itu mendapat bantahan sesetengah pihak termasuk Ahli Dewan Negara yang juga Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang mahukan program itu dihentikan kerana berpendapat ia dibuat tanpa mendapatkan pandangan terlebih dahulu daripada komuniti itu sendiri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPWKM akan perhebat usaha daftar OKU

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperhebatkan usaha menggalakkan ibu bapa dan penjaga mendaftarkan anggota keluarga mereka yang kelainan upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui ‘Jom Daftar’ pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata, program itu, yang telah mula dilaksana dan digerakkan Jabatan Pembangunan OKU dan JKM, akan memberi tumpuan utama kepada aktiviti turun padang di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Contohnya segelintir keluarga di kawasan luar bandar, mereka mungkin tidak tahu mengenai autisme, itulah sebabnya kami perlu masuk ke sana (kawasan luar bandar) dan membawa bersama pakar untuk menerangkan mengenai perkara itu kepada keluarga.

“Kita juga memaklumkan kepada anggota Parlimen yang mana mereka perlu membantu Jabatan Pembangunan OKU dan memikirkan tentang kawasan mereka, berfikir bagaimana untuk mendaftarkan mereka (golongan OKU),” katanya selepas merasmikan simposium ‘Malaysia Applied Behaviour Analysis’ (ABA) di sini, hari ini.

Yeoh berkata, pihaknya akan ke Lawas, Sarawak bagi aktiviti turun padang di kawasan itu pada Februari tahun hadapan.

Menjelaskan program itu akan dijalankan di semua kawasan, beliau berkata, pendaftaran itu penting bagi membolehkan mereka mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka, selain memastikan kerajaan mengetahui taburan dan bilangan golongan OKU di negara ini.

Pada masa ini, jumlah OKU berdaftar di negara ini adalah kira-kira 500,000 dan beliau percaya angka itu sebenarnya lebih tinggi. Ia antara lain disebabkan stigma terhadap OKU dan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan untuk berdaftar dengan JKM.

Sementara itu, simposium dua hari itu yang dianjurkan Behaviour Analysis Academy bersama Jabatan Psikologi, menampilkan nama-nama terkenal dalam ABA yang akan menyediakan maklumat saintifik terkini dalam aplikasi yang lebih luas seperti dalam bidang pendidikan, keperluan khas dan tingkah laku organisasi.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KPWKM lancar video pendidikan seks untuk kanak-kanak

PUTRAJAYA, 24 JUN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini melancarkan video pendidikan seks untuk kanak-kanak di medium digital YouTube sebagai usaha terbaharu kerajaan mengurangkan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pendekatan kreatif untuk menyampai dan menyebar luas video pendidikan seks itu menyasarkan tontonan sebanyak 150,000 oleh kanak-kanak berusia tiga hingga ke empat tahun sehingga hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata video berdurasi kira-kira seminit tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan akan disiarkan bermula hari ini dalam bentuk iklan sebelum video pilihan kegemaran dan pilihan kanak-kanak disiarkan di platform tersebut.

“Pengetahuan dan kesedaran yang disampaikan melalui video ini merupakan perkara asas yang kanak-kanak perlu tahu untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa dan membantu mereka mengenal pasti tingkah laku mencurigakan yang sepatutnya dilaporkan,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran video tersebut di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Dr Wan Azizah berkata video tersebut dihasilkan melalui usahasama antara kementerian dan Malaysians Against Pornography yang sehingga kini telah menghasilkan empat hingga lima video pendidikan seks untuk kanak-kanak, selain mendapat kerjasama pihak Google.

Dr Wan Azizah berkata kebanyakan ibu bapa hari ini membenarkan anak-anak mereka melayari Youtube bukan sahaja untuk tujuan pendidikan tetapi turut menjadi sumber pendidikan interaktif.

“Namun ibu bapa harus memantau tempoh ‘screen time’ anak-anak ini dan kementerian mencadangkan sebaik-baiknya, ‘no screen time’ atau akses terhad kepada kepada internet adalah sehingga kanak-kanak berumur dua tahun,”katanya.

Mengenai saranan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) supaya cuti paterniti sekurang-kurangnya tujuh hari diperkenalkan di sektor swasta, Yeoh yang ditemui selepas majlis itu berkata kementerian menyambut baik cadangan tersebut yang dapat meringankan beban ibu yang baru melahirkan anak.

“Isu keibubapaan memerlukan kedua-dua pihak memainkan peranan dan kita tidak mahu ibu melalui kesusahan diawal waktu selepas melahirkan anak berseorangan kerana bapa perlu keluar bekerja,”katanya.

Buat masa ini, golongan bapa di sektor swasta tidak layak dari segi perundangan untuk cuti paterniti manakala golongan bapa dalam sektor awam menikmati tujuh hari cuti paterniti bergaji. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 50 lelaki direkod mangsa keganasan rumah tangga

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sejumlah 56 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga dari Jun 2017 hingga Jun tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu merupakan 5.4 peratus daripada keseluruhan kes iaitu sebanyak 1,037 kes.

Beliau berkata, daripada keseluruhan kes itu, ia antaranya melibatkan 484 kes mencederakan mangsa secara fizikal dan 401 kes sengaja meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan.

“Manakala sebanyak 69 kes adalah penderaan secara psikologi dan emosi serta melakukan khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan dan kegusaran sebanyak 30 kes,” katanya di persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) yang ingin tahu jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada JKM bagi tempoh 2017 hingga kini.

Yeoh berkata, kementerian telah melakukan pindaan berkenaan Akta Keganasan Rumah Tangga dan mempertingkatkan lagi usaha memberikan perlindungan kepada mangsa dengan cara memberi perintah perlindungan sementara, memindahkan mangsa supaya tinggal berasingan atau kembali ke rumah ibu bapa dan saudara-mara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hannah Yeoh tegur tajuk utama berita

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 FEB: Sebuah media arus perdana ditegur gara-gara memaparkan tajuk berita ‘Saya nak kahwin’ yang membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, sepatutnya media perlu memainkan peranan penting dan tidak perlu memilih tajuk sedemikian rupa.

“Kalau nak Malaysia Baharu, media juga perlu mainkan peranan penting.

“Kenapa pilih tajuk seperti ini?. Kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti untuk memberikan kebenaran.

“Tidak relevan sama ada mereka mempunyai niat atau hasrat untuk berkahwin,” tulisnya menerusi laman twitter.

 

Menerusi artikel berita berkenaan, seorang kanak-kanak perempuan Rohingya berusia 11 tahun meluahkan rasa kecewa apabila perkahwinannya dengan lelaki berusia 21 tahun dibatalkan selepas majlis akad nikahnya diserbu pihak berkuasa, Rabu lalu.

Hannah sebelum ini lantang menyuarakan had umur perkahwinan lelaki dan wanita bagi menangani masalah perkahwinan di bawah umur.

Categories
SELANGOR

Selangor cadang beberapa nama untuk jadi Senator OKU

rodziah-ismail okuSHAH ALAM 10 OKT: Kerajaan Selangor akan mencadangkan nama beberapa individu profesional dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang layak untuk dilantik sebagai Senator Dewan Negara.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, ia selaras dengan kehendak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mencadangkan beberapa nama untuk membawa suara golongan OKU ke Dewan Negara.

“Saya harap kementerian ambil kira pandangan rakyat Selangor kerana walaupun 10 peratus penduduk negara ini OKU, sejumlah besar datang dari Selangor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kerajaan bersetuju melantik seorang Senator Dewan Negara daripada kalangan OKU.

Rodziah berkata, pelantikan Senator OKU wajar dan dinanti-nantikan sejak terhenti pada 2009 dan ia diterima sebagai usaha legislatif ke arah mengarus perdana golongan berkenaan.

Beliau berkata, ia membantu memberdayakan golongan OKU berikutan Ahli Dewan Negara di kalangan mereka dapat mengetengahkan sensitiviti dan isu dengan lebih berkesan.

Katanya, Senator OKU wajar disediakan kemudahan setimpal supaya boleh memainkan peranan dengan berkesan selain diberi peruntukan kakitangan mencukupi dan kenderaan sesuai.

“Isu pembelaan OKU selama ini hanya dalam kerangka memberi elaun saraan atau seumpamanya. Tentunya belum memadai untuk menjamin masa depan mereka.

“Walaupun ada peraturan dan akta yang menjaga kepentingan OKU, pelaksanaan dan penguatkuasaannya jauh dari memuaskan,” katanya.

Allahyarham Senator Datuk Dr Ismail Md Salleh, seorang pakar ekonomi lulusan Doktor Falsafah (PhD) yang cacat penglihatan adalah Senator Dewan Negara pertama yang dilantik dari kalangan OKU.

Beliau dilantik pada 18 Disember 2007 ketika pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan meninggal dunia pada 27 Ogos 2009

– FZL

Rakyat malang kerana pemimpin rasuah

nik-nazmi batik 01SHAH ALAM 18 Sept : Agenda pemerkasaan ekonomi tidak dapat disalurkan terus kepada rakyat sekiranya program-program kerajaan terus dicemari penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan oleh pemimpin-pemimpin politik dan kakita-ngan terlibat.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata adalah amat malang bagi rakyat sekiranya pemimpin dan pegawai yang diberi amanah mengkhianati kepercayaan yang diberikan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penahanan seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada 13 September lepas bagi membantu sia-
satan berhubung tuduhan salah guna dana Program Akhiri Zaman Miskin 1Azam.

?Suatu yang malang kepada negara, khususnya rakyat, apabila rasuah menjadi amalan biasa pemimpin dalam negara ini.

?Malah, saya yakin rakyat tidak terkejut dengan pendedahan ini, kerana rasuah di kalangan pemimpin negara sebelum ini banyak didedahkan oleh badan antarabangsa, termasuk agensi kerajaan,? jelasnya.

1azamProgam 1Azam adalah program perintis yang diuruskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan mensasarkan golongan miskin tegar melalui latihan kemahiran dan penyediaan peluang pekerjaan.

Sehubungan dengan pena-hanan itu, Nik Nazmi berharap keadilan dapat ditegakan dan hukuman setimpal dikenakan ke atas pesalah rasuah.

?Syabas atas kerja SPRM dan berharap sekirannya kes ini kukuh, peguam negara akan mengambil tindakan sewajarnya agar keadilan diperolehi.

?Kita tidak mahu kelemahan sebelum ini terus berulang, sebelum ini SPRM mengemukan beberapa kes rasuah, tetapi apabila sampai kepada Peguam Negara tiada apa-apa pendakwaan yang dilakukan,? jelasnya ketika dihubungi Selangor Kini.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : Tugas Shahrizat Diganti Rosmah

SHAH ALAM 8 APRIL : Hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dikhuatiri akan berakhir dengan telunjuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata tiada sebab untuk Najib gagal mencari penganti Shahrizat kerana beliau mempunyai masa yang panjang untuk berbuat demikian.

“Najib sudah tahu tentang tarikh tamat tempoh untuk Shahrizat menjadi senator ini sekian lama dan Shahrizat juga telah mengumumkan untuk tidak melanjutkan jawatannya itu.

“jadi Najib mempunyai masa yang panjang untuk mencari calon peganti, malangnya tiada calon yang mendapat kepercayaannya.

“Perkara ini menyebabkan beliau terpaksa memangku jawatan tersebut dan hakikatnya yang akan menjalankan peranan menteri wanita ini adalah Rosmah Mansor,” jelas Mahfuz ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa beliau akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ia berikutan pengumuman Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatannya dalam kabinet apabila tempoh perkhidmatannya sebagai senator untuk penggal pertama tamat pada hari ini.

Shahrizat terpalit dengan salah guna dana rakyat dalam kes National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarganya.

Mahfuz menambah, walaupun pengumuman itu menghentikan spekulasi berhubung siapa pengganti Shahrizat, namun ia membuktikan bahawa tiada calon wanita dari parti itu yang berpotensi untuk mengalas peranan tersebut.

Sebelum ini, ketua Wanita Umno Selangor Datuk Raja Ropiaah diwar-warkan mengisinya jawatan itu setelah dilantik sebagai senator baru.

“Malang bagi wanita Umno kerana tidak mendapat kepercayaan Najib untuk mengalas peranan menteri wanita, Rosmah pula tidak mungkin dilantik menjadi senator, maka najib muncul sebagai pemangkunya manakala yang akan menjalankan peranannya ialah Rosmah,”jelas Mahfuz lagi.